Selasa, 30 Mac 2010

Pidato adik Nurhani - Tahun dukacita Nabi Muhammad SAW

Adik Nurhani terkenal dengan kesungguhan dalam akademik dan kokurikulum. Sering mendeklamasikan sajak dan puisi yang mampu menyentuh jiwa pendengar.

Auzubillahiminasyaitonirrojiim. Bismillahirrohmaanirrohiim, Assalamualaikum WBT

Terima kasih tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru serta hadirin hadirat yg saya hurmati sekalian. Sebelum saya mulakan cerita, izinkan saya menyampaikan pantun pembuka kata,

Redup bulan nampak nak hujan
Pasang pelita sampai berjelaga
Hidup mati di tangan Tuhan
Tiada siapa dapat menduga…

Ya, kawan2, tajuk cerita saya hari ini ialah: “Tahun dukacita Nabi Muhammad SAW.”

Sahabat sekalian.
Pada tahun ke 10 kenabian Rasulullah SAW, - di saat Baginda tertekan dengan bekalan harta yg telah habis, menderita kemiskinan dan dipulau oleh kaum Quraisy, Baginda dikejutkan pula dengan wafatnya bapa saudara Baginda.

Ya kawan-kawan, beliau ialah Abu Tolib bin Abdul Muttalib yang sentiasa menjadi perisai melindungi Baginda dengan kuasa dan pengaruhnya selaku seorang pembesar Quraisy yang bertaraf menteri. Beliau wafat pada usia 87 tahun.

Di saat itu, Baginda menangis bukan menyesali pemergian Abu Tolib, tetapi sedih kerana gagal meng’iman’kan bapa saudara tercinta, yang begitu banyak berjasa. Sepertimana doa Nabi Ibrahim terhadap bapanya, begitulah ditolak Allah permohonan ampun Baginda terhadap bapa saudara tercinta, yang gagal beriman hingga hujung hayatnya.

Ya kawan-kawan. Jika permohonan ampun yang dipohon sendiri oleh Baginda untuk bapa saudara tercinta yang banyak berjasa pun ditolak, bagaimana halnya dengan kita semua yang belum jelas berjasa kepada Baginda dan agama Allah ini? Bayangkanlah..!

Rakan-rakan sekalian,
Sudah jatuh ditimpa tangga. Hanya 1 bulan 5 hari selepas kewafatan Abu Tolib, wafat pula isteri kesayangan Baginda Saidatina Khadijah, pada usia 65 tahun.

Kawan-kawan nak tau tak siapakah Khadijah di sisi Rasulullah?

Siti Khadijah,..
Namamu indah…
Uswah hasanah..
tauladan Muslimah Serikandi pertama…
waktu Islam bermula
Kaulah lambang cinta…
isteri sejati
Kau korbankan hartamu…
tidak berbaki

Siti khadijah.. wanita berhemah
Rasul keseorangan… engkaulah teman
Baginda tersisih… engkau tetap memilih
Baginda dicaci…, engkau tetap menyintai
Pemergianmu di tangisi… tiada pengganti

Alangkah bahagia… beristerikan Khadijah
Agung jasamu… di persada sejarah
Membantu dakwah… Baginda Rasulullah
Berbahagialah Khadijah… di sisi Allah.

Ya hadirin sekalian,
Siti Khadijah adalah seorang isteri yang sangat disayangi Baginda. Walaupun usianya 15 tahun lebih tua, namun beliaulah satu-satunya isteri yang melahirkan enam putera-puteri Baginda. Ini tidak berlaku pada isteri-isteri Baginda yang lain walaupun umur mereka jauh lebih muda. Ini bukti betapa intim-nya Baginda terhadap beliau sehingga berulang kali Baginda nyatakan yang kehilangan kasih Khadijah tidak pernah berganti.

Lebih menyayat hati apabila saya membaca riwayat di saat maut menghampirinya, Siti Khadijah bekas hartawan ini berkata dengan nada penuh tulus kepada Baginda. “Wahai Rasulullah.. hartaku telah tiada, telah habis ku labur untuk dakwah mu, namun kalaulah batang tubuhku ini boleh dikau jadikan jembatan untuk menyambung dakwahmu, akan ku relakan juga wahai suami ku…”

Ya Allah, betapa mulianya Siti Khadijah bte Khawailid, seorang isteri yang setia dan tulus, mujahidah ke jalan Allah.

Sidang hadirin sekalian,
Ibnu Ishak meriwayatkan setelah kedua-dua insan ini meninggal dunia, pihak Quraisy lebih berani mengancam Rasulullah dengan berbagai penyiksaan yang belum pernah di alami sebelumnya. Malah golongan bawahan pun berani menabur pasir dan selut ke atas kepala Rasulullah. Ada riwayat yang mengatakan Rasulullah pernah diludah dan dibaling najis. Pernah ketika membantu membasuh kepala Baginda salah seorang puterinya menangis terisak-isak kesedihan mengenangkan nasib Baginda.

SETERUSNYA KAWAN2, demi melarikan diri dari dugaan itu, Baginda cuba keluar berdakwah ke To’if, sebuah daerah yang mana Baginda tidak dikenali, dengan harapan penduduk di sana akan menyahut seruan Baginda. Malangnya Baginda menghadapi tentangan yang lebih pahit lagi.

Peribadi yang bergelar ‘al-Amin’ dan jasa Baginda yang pernah menjadi Ketua Pertubuhan jihad bernama ‘Hizbul Fudhul’, Komanden ‘Perang Fijar’, pegawai pemegang ‘kunci Kaabah’ serta bersifat sebagai ‘Jaksa Pendamai’ di Mekah langsung tidak diambil kira oleh penduduk To’if ketika mereka menyiksa Baginda. Dakwah Baginda ditolak mentah-mentah sehingga dikatakan Baginda sebagai ‘orang gila’. dicaci, dimaki bahkan dibaling batu, hingga patah gigi dan berdarah di dahi.

Alangkah malangnya Baginda. Sedih tak?

Selepas kematian dua insan yang dikasihi itu, tiada lagi penduduk Mekah pengikut Abu Jahal yang mahu beriman dan mendengar seruannya. Semua laluan dan pintu dakwah tersekat. Itulah yang menyebabkan Baginda berdukacita lalu menamakan tahun itu ‘Tahun perkabungan dan dukacita’.

Akhirnya ancaman terhadap Baginda memuncak sehingga Abu Jahal yang juga bapa saudara Baginda memerintahkan hukuman bunuh terhadap Baginda. Pada satu malam Rumah Baginda dikepung, memaksa Baginda melarikan diri bersembunyi tiga hari di gua Thur sebelum melarikan diri ke Yathrib dengan pertolongan Allah bersama sahabat Abu Bakar As-Siddiq. Sayidina Ali r.a. sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan tidur di tempat tidur Baginda pada malam itu.

Hadirin sekalian,
Perjuangan jihad tetap akan menempuh cabaran yang sangat perit. Ini telah Allah nyatakan dalam surah Al Baqarah ayat 214 yang berbunyi…

Ertinya: Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

Subhanallah, banyak sekali hikmah yang boleh kita pelajari dari sirah ini, betul tak..?

Di antara pelajaran yang sempat saya nyatakan ialah,

1. Rasulullah bukan menyesali pemergian dua insan tersayang, tetapi lebih menangisi kegagalan meng’iman’kan bapa saudara baginda, dan keengganan penduduk Mekah untuk beriman selepas kematian mereka.
2. Baginda bukan menangis atau berdendam kerana disakiti, tapi kasihan atas dosa pelaku yang jahil dan sedih kerana gagal menyampaikan wahyu Allah.
3. Perjuangan dakwah tidak boleh lepas dari melalui pelbagai cabaran.
4. Selain kekuatan ‘akidah’ dan ‘risalah’, kekuatan ekonomi dan pengaruh politik memainkan peranan penting dalam usaha dakwah.
5. Kejayaan perjuangan dakwah baginda walaupun kehilangan bantuan dari insan-insan tersayang membuktikan kuasa Allah untuk meyakinkan pendakwah agar sentiasa bertawakal kepadaNya, walau apapun ujian yang diterima.
6. Berdakwah tidak boleh sendirian, ia memerlukan sokongan para sahabat yang sehati sejiwa dan sehidup semati.
7. Peranan isteri tersangat penting dalam membantu kelancaran usaha dakwah.
8. Faktur umur dan harta bukan menjadi halangan untuk membina sebuah keluarga bahgia dan kekal abadi.
9. Sayidatina Khadijah adalah contoh isteri terbaik - tidak memilih dan menyayangi suami kerana hartanya, bahkan sanggup pula mengorbankan seluruh harta peribadinya demi membantu suami tersayang.
10.Rasulullah contoh suami terbaik – tidak menyayangi isteri kerana umur, kecantikan dan hartanya. Walaupun Khadijah berusia 15 tahun lebih tua, bahkan setelah beliau meninggal dunia, kasih baginda tidak berubah.

YA RAKAN RAKAN SEKALIAN.
Nampaknya masa mencemburui kita, oleh itu izinkan saya mengundur diri. Semuga kita dapat mengutip mutiara berharga dari sirah yang telah saya sampaikan ini.

Sesungguhnya yang baik itu dari hidayah Allah, yg buruk itu dari kelemahan saya sendiri.

Wabillahitaufik wal hidayah, Walhamdulillahi Robbil’Aalamin.
Wassalamualaikum w.b.t.

Jumaat, 19 Mac 2010

Yeop: Makin hari makin meluat

Yeop tak pergi ke mana-mana kelmarin. Yeop duduk depan televisyen. Sambil menonton sukan, movie dan hiburan, tangan Yeop tak lekang menekan-nekan butang alat kawalan mencari siaran berita. Yeop dengar ada kekecohan di sidang Parlimen. Sebab itu Yeop duduk depan televisyen. Nak tengok dan dengar apa yang berlaku.
Malam, kira-kira jam 8 lebih baru Yeop dapat tahu cerita yang berlaku di Parlimen. Teruknya. Bukan macam pasar lagi, tapi macam medan perang di bumi Iraq. Berdentum sana, berdentum sini dengan tepukan meja. Mercik sana, mercik sini dengan suara jeritan, pekikan dan laungan kebudak-budakan Ahli-Ahli Yang Berhormat (AYB) kita.
Memalukan. Itulah yang Yeop boleh katakan kepada AYB sebelah sana. Tidak bertamadun langsung. Tidak malu kepada pelawat-pelawat yang datang dari jauh untuk menyaksikan perjalanan sidang Parlimen, selain untuk melihat lebih dekat AYB mereka berdebat dan memperjuangkan nasib mereka di Parlimen.
Dedah mendedahkan kesalahan atau kesilapan AYB adalah perkara biasa dalam persidangan itu. Tetapi kalau pendedahan itu terpercik ke muka kita, janganlah kita melaung, menjerit menafikan atau mencabarnya seperti orang hilang akal. Bangunlah mengikut peraturan sidang. Jawablah dengan tertib. Kan ini antara syarat yang kita baca dan persetujui sebelum bergelar AYB.
Kenapa AYB yang matang, lagi bijaksana dan dihormati ini masih mahu mengikut cara orang kampung berdebat di kedai kopi? AYB bukan lagi orang kampung. AYB sudah jadi orang bandar. Orang terhormat. Pemikiran AYB tentunya lebih cerdik daripada pemikiran orang kampung. Kalau AYB nak jadi orang kampung, bawa perangai dan gelagat tidak sopan itu dalam Parlimen, lebih baik AYB buang saja songkok dan pakaian rasmi Dewan itu.
Yeop bukan nak berleter. Tapi Yeop sedih melihat gelagat AYB-AYB kita ketika bersidang. Nasib baik ayah Yeop bukan AYB. Kalau ayah Yeop jadi AYB, Yeop anak pertama dalam keluarga desak ayah supaya letak jawatan. Yeop tak mahu ayah memalukan institusi keluarga dan dipandang sinis oleh masyarakat oleh gelagatnya di Parlimen.
Pada Yeop, AYB sebegini tak layak dianggap jaguh atau hero rakyat. Mereka lebih kepada pak tolol (pelawak). AYB seperti ini tak ada dalam kamus Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pun tak apa. Makin ada, makin membebankan. Masalah rakyat tak juga diselesaikan.

Khamis, 18 Mac 2010

Yeop: Hati-hati pilih wakil rakyat

Yeop terharu dan sedih melihat keadaan Rubin Bakar di Kampung Matang Gerdu. Keadaan fizikal si penggali kubur yang berusia 74 tahun ini sangat lemah sekali. Badannya yang kurus kering, menceritakan 1001 keperitan hidup ditanggungnya selama ini.
Apakah sikap wakil rakyat, setelah media menyiarkan kisah penderitaan masyarakat daif di kawasan mereka, baru tindakan akan diambil? Itu hanya akan, bukan hendak. Atau setelah dipaparkan di dada akhbar, maka sibuklah wakil rakyat tampil membuat kenyataan, kononnya dalam perhatian? Selama mana ia dalam perhatian? Adakah ia hanya dalam perhatian setelah pihak akhbar dapat menghidunya?
Sebelum ini, sebelum media melaporkan, masyarakat yang menderita ini tidak pernah dipedulikan. Banyak kes melibatkan derita masyarakat yang dipaparkan adalah golongan yang terpinggir daripada pemerhatian wakil rakyat atau barisan jentera khidmatnya. Mereka hanya sedar setelah didedahkan oleh media.
Beginilah selalunya. Entah apa yang dibuat oleh wakil rakyat sehinggakan penderitaan ditanggung anak mukim dalam kawasannya pun tidak diketahui atau sengaja buat-buat tidak tahu. Yeop sedih dengan sikap wakil rakyat hari ini. Susah nak cari wakil rakyat zaman selepas perang Jepun dulu.
Dulu wakil rakyat bekerja untuk rakyat. Harta mereka diagih sama rata dengan rakyat. Kalau ada beras segantang, tiga cupak untuk rakyat, satu cupak lagi untuk mereka sekeluarga. Sekarang ini, bukan saja beras satu gantang tidak dibahagi, rakyat yang perlukan perhatian pun tidak diambil peduli.
Mereka lebih kepada sikap bermuka-muka, terutama kalau hendak menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan, mereka menjemput pihak media hadir bersama dan bergaya di depan kamera menghulurkan bantuan. Nak tunjuk mereka adalah wakil rakyat prihatin.
Yeop memang dari dulu, kini dan selama-lamanya tidak suka kepada wakil rakyat jenis ini. Mereka lebih suka menunjuk daripada berkhidmat secara amanah dan bertanggungjawab. Barangkali beginilah sikap manusia hari ini. Berubah mengikut situasi dan keadaan. Semangat patriotik lama ditinggalkan, semangat baru yang bagaikan plastik diambil dan diguna pakai sewenang-wenangnya.
Akhirnya penduduk seperti Rubin menjadi mangsa. Seolah-olah khidmat ketika dia sihat dulu tidak pernah dipedulikan. Malah disisihkan sehingga dia menanggung penderitaan yang amat berat dalam menghabiskan sisa hidup yang ada bersama keluarga. Siaran 18hb Mac 2010

7 Minit

Perit guna pengangkutan tambang mahal
"Berapa pakcik?"
"RM12..." jawabnya ringkas.
Saya terkedu seketika mendengar jumlah itu. Bagaimanapun, saya tanya sekali lagi, bimbang kalau-kalau kedua-dua telinga saya tersalah dengar. "Berapa ringgit pakcik?". Dengan selamba sambil menarik tuala 'good morning' di bahunya, dia menjawab lagi "RM12".
Sambil mengeluarkan dompet dari poket seluar, otak saya ligat bertanya, betul ke apa yang aku dengar ni? Logikkah perjalanan tidak sampai pun tujuh minit dan jarak dari stesen bas ekspres Seksyen 17 ke pejabat aku di Seksyen 15 tidak sampai pun empat kilometer, kadar tambangnya RM12?
Tambahan pula, ketika itu waktu baru jam 8 malam, bukan 4 atau 5 pagi. Keadaan di jalan raya pula agak tenang, tidak sibuk, tidak juga sesak sebagaimana di Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Kesas.
Mungkin aku tersalah dengar lagi barangkali. Tetapi mustahil aku tidak dengar kerana suara kali kedua pakcik itu agak kuat sedikit daripada suara yang mula-mula tadi. Dan memang sah pun sebutannya jelas iaitu dua belas ringgit.
Tanpa banyak bercakap, saya keluarkan duit sebanyak RM12 dan hulurkan kepadanya. Saya buka pintu dan keluar dari teksi itu. Masya-Allah, dia tinggalkan aku di seberang jalan, sepatutnya di depan pintu masuk ke pejabat. Nak tak nak, terpaksalah saya melintas jalan dan berjalan kaki pula lebih kurang 200 langkah menuju ke pejabat.
Itu kes pertama. Aku pendam dan diam.
Seminggu kemudian, di stesen komuter Seksyen 19, juga di Shah Alam, saya mengambil sebuah teksi di situ dan memaklumkan kepada pemandunya yang saya hendak ke Taman Sejahtera. Jaraknya kalau melalui lebuh raya Alam Impian yang dalam pembinaan itu adalah sekitar lima ke enam kilometer sahaja.
Naiklah teksi yang pemandunya sentiasa murah dengan senyuman dan bercakap banyak itu. Tak sampai 10 minit, tak puas pun dengar bebelan pemandu yang boleh dikategorikan sebagai pakcik itu, tiba-tiba destinasi dituju pun sampai. Seperti biasa saya turun dari teksi dengan riang dan bertanya berapa tambangnya.
"RM35," jawab pemandu yang saya sangka sebagai insan mulia keluar rumah mencari rezeki halal itu.
"Kenapa mahal sangat? Kalau mengikut meter, baru RM6," kata saya yang tidak berpuas hati dengan sikap pemandu teksi meletakkan harta sesuka hati mak ayah dia.
"Laluan ini kosong, saya kena balik (ke stesen komuter Seksyen 19) tanpa penumpang," katanya cuba membetulkan keadaan.
"Itu pakcik punya pasallah. Saya naik teksi pakcik kerana perkhidmatannya menggunakan meter, bukan letak sesedap mulut," tengking saya yang mula naik darah.
Iyalah, siapa tidak marah kalau berhadapan dengan pemandu teksi yang cekik darah begini. Tauke balak pun boleh lingkup kalau selalu gunakan perkhidmatan pengangkutan awam bergelar teksi ini.
Setelah berlaku sedikit 'pertengkaran', saya mencapai telefon bimbit dan cuba menghubungi talian hotline Lembaga Pengangkutan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk mengadu masalah yang berlaku.
Menyedari tindakan saya itu, pemandu berkenaan kemudian menurunkan jumlah tambang kepada RM25. Saya berkeras mahu bayar mengikut angka yang tertera pada meter iaitu RM6, tetapi dia pula tengking dan memutuskan saya membayar RM10.
Dengan perasaan lega, saya menghulurkan RM8 ke tangannya dan terus berlalu tanpa menghiraukan leterannya yang kemudian kedengaran memecut kenderaan ke lokasi di Seksyen 19. Mesej yang hendak saya sampaikan di sini ialah beginilah perkhidmatan teksi di negara maju.
Sesekali fikir lebih baik saya gunakan khidmat 'prebet sapu'. Di Kelantan, guna perkhidmatan ini, walaupun beroperasi secara haram, ciri-ciri keselamatan tidak ada, tetapi perjalanan sejauh 20 kilometer, tambangnya baru RM5. Malah, penumpang dihantar sehingga ke anak tangga rumahnya. Siaran 15hb Mac 2010

Rabu, 17 Mac 2010

Inilah yang dikatakan SEHIDUP SEMATI




















Seorang pemuda dari negara China yang berusia 26 tahun nekad mahu melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya, Huagui Zhuang Hu berusia 21 tahun yang mati dibunuh iaitu lapan hari sebelum tarikh perkahwinan mereka.

Mengikut jadual, pasangan ini akan berkahwin pada 4 Februari, tetapi pada 28 Januari iaitu satu minggu sebelum mereka disatukan, gadis berkenaan telah dibunuh oleh dua pencuri yang menikamnya sehingga mati.

Dengan perasaan sedih, pilu, terasa kehilangan orang yang disayangi, lelaki itu memutuskan akan tetap berkahwin dengan kekasihnya walaupun sudah bertukar mayat.

Upacara perkahwinan mereka diadakan di sebuah rumah di Zhangzhou, Fujian, China dan keluarga daripada kedua pihak hadir menyaksikan perkahwinan yang tragis itu. Pengantin perempuan walaupun hanya sekujur mayat tetapi didandani dan dipakaikan gaun kristal dan diletakkan dalam peti mayat.

Isnin, 1 Mac 2010

Setakat masuk bakul angkat sendiri

Bekas Timbalan Perdana Menteri ini banyak memperdayakan rakyat dengan kata-kata cakap dengar. Sebagai pemimpin politik yang pintar dalam putar belit, kenyataan sebegini tidak lebih daripada putar belitnya juga.

Dia menyatakan timbul rasa minat kalau Hillary memeluknya, tetapi sebagai orang kafir, Hillary tidak akan berbuat demikian kerana dia tahu wanita kafir sepertinya tidak boleh sewenang-wenangnya memeluk orang Islam, lebih-lebih lagi Anwar.

Tetapi Anwar nampaknya tertunggu-tunggu Hillary bangun memeluknya. Apa kata pemimpin Pas berhubung niat Anwar mengharapkan Hillary memeluknya sebagaimana dia kata, "Saya ingat kalau peluk, saya pun OK tetapi dia tidak peluk saya."


Anwar dakwa dapat sokongan AS
KOTA KINABALU 28 Feb. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini mengaku mendapat sokongan dan perhatian daripada Amerika Syarikat (AS) dalam kes tuduhan meliwat yang sedang dihadapinya.

Malah, katanya, beliau turut mendapat sokongan daripada pemimpin negara Islam lain seperti Turki dan Qatar.

Tambahnya, dalam isu kes liwatnya itu beliau turut mendapat sokongan daripada bekas Presiden Indonesia, B.J Habibi selain 58 Ahli Parlimen Australia.

"Minggu lalu saya pergi ke Qatar, Perdana Menteri, Syeikh Hamad jemput saya. Peluk saya dan bagi sokongan. Perdana Menteri Turki, (Recep Tayyip Erdogen) peluk saya dan dengan sedih berkata, saya menyokong kamu.

"Hillary Clinton (Setiausaha Amerika Syarikat) ketika di Qatar, apabila dia nampak saya dia terus bangun dan salam. Saya ingat kalau peluk, saya pun OK tetapi dia tidak peluk saya, kalau dia peluk, nanti Utusan Malaysia akan ambil gambar.

"Saya nak tanya dia bagaimana keadaan Clinton (bekas Presiden Amerika Syarikat) kerana membuat pemeriksaan jantung. Tetapi belum sempat saya bertanya, dia kata sebenarnya kami bersama anda Anwar, kami berjuang untuk keadilan," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kian Kok dekat sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Yong Teck Lee dan Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini.

Menurut Anwar, beliau turut mendapat sokongan daripada wartawan luar termasuk seorang editor terkenal dari India yang datang ke Kuala Lumpur baru-baru ini.