Khamis, 28 Mei 2015

Jumlah aset 1MDB sudah diaudit RM51.4 bilion

hare
Jumlah keseluruhan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014 adalah RM51.4 bilion, menurut jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat.
Ia merangkumi aset semasa bernilai RM19.5 bilion dan aset bukan semasa RM31.9 bilion, kata jawapan kepada soalan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang meminta Menteri Kewangan menjelaskan mengenai perkara itu.

Jawapan itu menyebut 1MDB mempunyai kedudukan aset-aset yang kukuh antaranya tanah untuk pembangunan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur.

Aset lain adalah tanah di Pulau Pinang seluas 94.69 hektar serta 13 loji jana kuasa dan penyahgaraman (desalination) di lima negara.

"Nilai aset-aset 1MDB adalah disokong oleh laporan penilaian yang berkenaan atau nilai buku (book value) yang telah disahkan oleh juruaudit bebas(Deloitte)," menurut jawapan itu.

Menurut jawapan bertulis kepada soalan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya) juga ditujukan kepada Menteri Kewangan, aturan antara 1MDB dan International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dibuat secara ‘arm’s length’ dengan terma-terma komersil yang mengikut piawaian pasaran.

Ini berdasarkan maklumat yang dikemukakan pihak pengurusan 1MDB kepada Kementerian Kewangan.

"Pengumuman yang sewajarnya akan dibuat apabila nilai muktamad penebusan opsyen diselesaikan dan akan dilaporkan di dalam penyata kewangan beraudit akan datang," kata jawapan itu.

Pua bertanyakan sebab 1MDB memperoleh jaminan daripada IPIC untuk terbitan-terbitan bon bernilai US$3.5 bilion, yang menurutnya mengenakan syarat-syarat yang begitu menyeksakan.

Ia juga bertanya jumlah yang dibayar 1MDB untuk menebus opsyen yang diberi kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS.

Tiada ulasan: