Ahad, 24 Mei 2015

Umno Bahagian Di Seluruh Negara Wajib Wujud Kelab Pidato - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR - Semua UMNO bahagian di seluruh negara wajib menubuhkan sebuah kelab pidato untuk menyampaikan penerangan berkenaan isu semasa kepada masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata arahan mengenai penubuhan kelab tersebut dibuat secara bertulis hari ini dan berkuat kuasa serta merta.

"Surat arahan telah diedarkan kepada semua Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan Ketua-ketua UMNO Bahagian di semua 191 bahagian UMNO agar mewujudkan sebuah kelab pidato," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran 12 cawangan Persatuan Penggiat Pidato Kelab Pidato Perdana (KPP) di sini hari Sabtu.
Ahmad berkata setiap kelab pidato bahagian itu perlu menjalankan dua program pidato penerangan pada setiap bulan di kawasan masing-masing untuk menjelaskan tentang isu berbangkit sebagai satu daripada aktiviti tahunan setiap bahagian UMNO.

"Melalui surat arahan yang telah dikemukakan telah dilampirkan tentang modul dan cara pelaksanaan program pidato itu, ahli-ahli kelab juga akan diajar mengenai teknik pengucapan awam secara berkesan dan diberi latihan mengikut formula pidato KPP," katanya.

Ahmad berkata teknik pidato yang berkesan merupakan senjata utama dalam menyampaikan maklumat dan kemahiran itu penting untuk dikuasai oleh seorang pemimpin dan bakal pemimpin masa depan.

"Ceramah berbentuk penerangan perlu dilakukan secara berterusan tanpa mengira musim pilihan raya atau tidak, maka saya berharap setiap bahagian dapat sama-sama membantu menjelaskan tentang kebaikan dasar-dasar kerajaan," katanya.

Beliau berkata kelab pidato bahagian itu terbuka kepada semua, iaitu termasuk yang bukan anggota UMNO di kawasan itu juga boleh menyertai kelab tersebut.

"Sesiapa sahaja yang bukan ahli UMNO tetapi mempunyai kepakaran boleh berkongsi dengan masyarakat setempat, misalnya jika seseorang itu pakar akademik, dia boleh berpidato untuk menjelaskan mengenai isu pembelajaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Terdahulu Ahmad meluluskan geran berjumlah RM10,000 kepada KPP yang juga menyambut ulang tahun ke enam hari ini.

KPP memiliki 220 anggota termasuk 20 jurulatih yang bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran pengucapan awam dalam Bahasa Melayu dengan kaedah yang betul iaitu menggunakan 28 kaedah khas pengucapan yang dibukukan khas untuk anggotanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: