Khamis, 11 Jun 2015

PasMa sedia terima pemimpin PAS kalah, mesyuarat 13 Jun

Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa)  sedia menerima pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada muktamar lalu untuk menyertai NGO itu sekiranya PasMa menjadi sebuah parti politik.
Presidennya, Datuk Pahrolrazi Mohd Zawawi, entiti Pasma sama ada sebagai NGO atau parti politik akan diputuskan melalui satu mesyuarat yang diadakan 13 Jun ini di Shah Alam.

pasma

"Kita akan bermesyuarat pada 13 Jun ini yang dihadiri semua  pimpinan PasMa Pusat, saya menjangkakan hampir 200 pimpinan akan hadir.


"Dalam mesyuarat tersebut kita akan membincangkan sama ada PasMa akan terus menjadi NGO atau sebuah parti politik," katanya ketika dihubungi BNBBC.my.

Menurut Pahrolrazi, jika bergerak sebagai parrti politik, PasMa bersedia menerima mana-mana pemimpin PAS menyertainya.

Tegas beliau, PasMa tidak akan bergerak secara solo sekiranya menjadi sebuah parti politik berikutan matlamat penubuhannya adalah menjadi penyokong PR.

"Kalau mesyuarat memutuskan yang kita akan menjadi sebuah parti politik, kita akan menjadi sebahagian daripada komponen PR, tapi tidak bermakna PasMa menggantikan PAS sekiranya parti itu keluar daripada PR," jelasnya.

Mengenai pandangan Ahmad Awang yang tewas dalam perebutan jawatan Presiden dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar lalu, supaya  PasMa terus menjadi NGO, ini jawapan Pahrolrazi,.

"Itu hanya pandangan peribadi dia sahaja, sebab apa sahaja keputusan akan dibincangkan dalam mesyuarat 13 Jun ini," jelasnya.

Pahrolrazi dalam masa yang sama turut menafikan sebarang tawaran jawatan tertinggi kepada Ahmad dalam NGO itu.

"Kita tak tawarkan sebarang jawatan tertinggi kepada Ahmad, dan belum ada perbincangan lagi ke arah itu.

"Biarkan waktu bertenang sementara, dan kalau kita nak dia sertai kita pun, kita akan turut tawarkan kepada semua pimpinan PAS  yang lain sebab Pasma adalah terbuka kepada semua," tambahnya.

Tiada ulasan: