Derma kepada parti politik adalah prosedur normal di Malaysia dan ia sudah menjadi amalan Umno sejak dulu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menjelaskan derma RM2.6 billion dari Timur Tengah itu adalah perkara biasa.

“Ini sudah menjadi amalan parti (Umno) sejak dulu.

“Malah, ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir’s (Mohamad) di pejabat, timbalannya tidak mempersoalkan beliau,” katanya ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Bahagian Umno Pasir Gudang, hari ini.

Najib turut menekankan bahawa derma politik adalah kaedah yang tidak menyalahi undang-undang bagi parti politik mendapatkan dana.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun mengenepikan isu ini sebagai derma politik,” katanya sambil menegaskan dia sudah mencadangkan untuk berbuat secara telus tetapi pembangkang enggan berbuat demikian.

Najib menjelaskan sebagai presiden parti, ia bukan tugas dan tanggungjawab mudah.

“Malah, pembangkang juga menerima dana daripada pihak lain tetapi tidak mendedahkannya.”
Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, menjelaskan derma yang diterima bagi tujuan politik iaitu Umno begitu juga tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sambil memetik contoh ramai ahli Umno berjumpanya meminta dana bagi parti dan jentera, beliau berkata: “Datuk, kita tak cukup dana. Duit tak turun, jentera tak gerak.”

“Mereka minta duit daripada saya, tetapi kepada siapa saya patut minta duit? Saya perlu mencari jalan secara sah mengikut undang-undang,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata, itu alasan mengapa SPRM membuat kesimpulan wang yang diterima bukan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau bagi tujuan peribadi.

Berhubung isu 1MDB, Najib mendedahkan dana syarikat pelaburan milik kerajaan sehingga kini mendapat tawaran daripada pihak berpotensi untuk membeli hartanah mereka seperti Edra Global Energy, Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange bernilai sehingga billion ringgit.

Kata Najib, 1MDB tidak mengalami kerugian sebaliknya ketika ini sedang menggandakan nilai aset mereka.

“Aset 1MDB sudah melebihi hutangnya dan hutang itu diharap dapat dikurangkan dalam tempoh lima bulan.”

Najib turut mengecam pengkritiknya yang melupakan apa yang baik telah dibuat oleh kerajaan hanya kerana 1MDB.

“Kita beri Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), program memperkasakan Bumiputera dan banyak lagi.

“Tetapi, hanya kerana media sosial menjadikan 1MDB isu hangat, semua orang memperkatakannya,” katanya.