Jumaat, 17 Februari 2017

Zahid sahkan mangsa bunuh Kim Jong-nam



PUTRAJAYA: Lelaki warga Korea Utara yang mati dibunuh di KLIA 2 Isnin lalu, disahkan sebagai Kim Jong-nam, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jong-nam didapati membawa dokumen menggunakan nama Kim Chol, namun masih perlu menunggu keputusan DNA bagi pengesahan muktamad. 

"Ini (identiti Jong-Nam) turut disahkan polis dan selepas pasport mangsa diteliti, kita percaya mangsa menggunakan dua identiti, kemungkinan ini dokumen 'undercover' (penyamaran) pasport. 

"Mayat akan diserahkan kepada waris menerusi pihak kedutaan selepas semua prosedur perubatan dan siasatan polis selesai. 

"Kemungkinan besar waris sudah pun mengemukakan permohonan menuntut mayat menerusi kedutaan Korea Utara. 

"Di pihak kerajaan, kita akan memenuhi permintaan bantuan sebarang kerajaan asing dan ada prosedur perlu diikuti, tapi dasar kita ialah kita mesti memenuhi perjanjian dua hala yang dimeterai dengan mana-mana negara," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi. 

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menegaskan, keselamatan di lapangan terbang sentiasa berada pada tahap tertinggi dengan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dan sistem keselamatan canggih. 

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, polis kini sedang memantau beberapa CCTV, malah pagi tadi dua tangkapan dibuat dan beliau yakin akan ada maklumat tambahan yang diperoleh.

"Ini adalah insiden terpencil, di bawah Akta Imigresen, kita membenarkan sesiapa sahaja memasuki Malaysia secara sah, lebih-lebih lagi kalau memiliki dokumen yang sah. 

"Kenapa beliau (Jong-Nam) berada di sini dan kenapa mahu menaiki penerbangan ke Macau, itu adalah persoalan bagi bahagian operasi (polis dan Imigresen)," katanya.

Ahmad Zahid juga berpendapat harus ada hanya satu jurucakap berhubung penyiasatan terbabit. 

Beliau menegaskan, Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang masalah undang-undang terutama dari segi keselamatan kerana mahu melindungi sesiapa sahaja yang berkunjung atau berada di negara ini.


Teman lelaki suspek wanita Indonesia turut ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai teman lelaki kepada suspek wanita warga Indonesia yang ditahan pagi tadi berhubung kes itu.

Lelaki itu ditahan di sekitar Ampang pada jam 6 petang semalam.

"Kami tahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes itu, penahanan itu bagi membantu mengesan wanita Indonesia berkenaan yang akhirnya (wanita Indonesia itu) berjaya ditahan awal pagi tadi," katanya dipetik Bernama.

Awal hari ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, wanita bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia pada 11 Februari 1992 ditahan. Dia memegang pasport Indonesia.

Ia adalah wanita kedua ditangkap bersabit kematian Jong-nam susulan penahanan wanita yang memegang pasport Vietnam di KLIA 2 pada 8.20 pagi semalam.

Pada Isnin lepas, Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di KLIA 2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita dikatakan menghampiri mangsa sebelum menyerkup kepalanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam yang hidup terasing daripada adiknya itu dan menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Selepas penahanan dua suspek wanita itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, lebih banyak tangkapan dijangkakan.

Difahamkan, polis sedang memburu empat lagi lelaki bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, dua pegawai polis Malaysia melakukan kunjungan singkat ke Kedutaan Korea Utara di sini, dikatakan untuk berjumpa Duta Kang Chol bagi membincangkan mengenai Kim Jong-nam, yang dibunuh di KLIA 2 pada hari Isnin.

Mereka masuk ke pekarangan kedutaan itu pada kira-kira jam 12.50 tengah hari dan beredar kira-kira 15 minit kemudian.

Mereka enggan mengulas mengenai kunjungan itu semasa ditemui pemberita. Seorang daripada mereka, Asisten Superintenden, berkata: "Anda patut tanya ketua saya. Anda mungkin boleh tunggu sehingga ketua saya berikan kenyataan."

Mereka melakukan kunjungan itu kira-kira sejam sebelum Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pada sidang media bahawa lelaki menggunakan nama Kim Chol yang dibunuh di KLIA 2 ialah Kim Jong-nam, yang hidup terasing daripada adiknya, pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Selain beberapa kereta menggunakan nombor pendaftaran kedutaan yang keluar masuk premis itu, keadaan di kawasan itu adalah sunyi. Duta tidak kelihatan dan pemberita tidak dibenarkan masuk.

Pagi ini, kedutaan menerima kira-kira 40 pelawat, beberapa daripada mereka memakai busana tradisional Korea. Ketika dihampiri, tiada daripada mereka bersedia untuk bercakap.

Sedikit kekecohan berlaku apabila seorang pemberita asing masuk ke pekarangan dan merakamkan gambar di dalam rumah itu dari pintu depan yang terbuka menggunakan telefon pintarnya.

Seorang pegawai kedutaan merampas telefon daripada lelaki itu, memadamkan semua gambar dan pulangkannya semula kepada pemberita itu. Mereka berjabat tangan sebelum pemberita itu beredar meninggalkan pekarangan itu.

Jabatan Kimia terima sampel kes Jong-nam

KUALA LUMPUR: Jabatan Kimia Malaysia hari ini menerima beberapa sampel daripada polis yang menyiasat kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, untuk tujuan analisis.

Pengarah Bahagian Forensik jabatan itu, Dr Cornelia Charito Siricord berkata, sampel berkenaan diterima petang ini dan akan dianalisis secepat mungkin.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jenis dan bilangan sebenar sampel berkenaan atau mengesahkan sama ada ia berbentuk cecair mahupun racun.

“Kami memang ada menerima beberapa sampel daripada polis untuk dianalisis dan mengikut prosedur terutama berkaitan kes penting, kami akan menjalankan analisis secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan lelaki Korea Utara yang mati pada Isnin itu ialah Kim Jong-nam.

Dr Cornelia berkata, analisis sampel akan dilakukan dua bahagian di jabatan itu dan keputusannya akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Jong-nam dilaporkan berada di KLIA 2 pada 8 pagi pada hari kejadian untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita dikatakan menghampirinya sebelum menyerkup muka dengan kain mengandungi cecair beracun.

Jong-nam dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Isteri ke-2 Jong-nam minta bantuan China tuntut mayat

KUALA LUMPUR: Maklumat baru yang diterima, isteri kedua Kim Jong-nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, meminta bantuan kerajaan China menuntut mayat suaminya, kata seorang pegawai kerajaan.

Sumber itu berkata, permintaan itu dibuat melalui Kedutaan China di sini.

Tiada maklumat lanjut diperoleh kecuali mayat berkenaan tidak akan dilepaskan sehingga pihak berkuasa menerima laporan penuh bedah siasat.

Laporan dijangka keluar dalam masa seminggu.

Jong-nam, 46, adalah anak sulung pemimpin Korea Utara Kim Jong Il.

Jong-nam menjadikan Macau kediamannya sejak sekian lama sebagaimana dilaporkan di mana isteri kedua dan anaknya berada.

Bagaimanapun, mendiang juga selalu ke Beijing menemui isteri pertama dan anaknya yang tinggal di sana.

Jong-nam memasuki Malaysia pada 6 Februari, mendapatkan bantuan perubatan di kaunter perkhidmatan Kuala Lumpur Interational Airport 2 pada 13 Februari, beberapa jam sebelum penerbangan ke Macau.

Beliau meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
 

Bedah siasat dijalankan di Hospital Kuala Lumpur bagi menentukan punca kematian.

Korea Utara sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kematian meminta mayat berkenaan diserahkan tanpa bedah siasat. Bagaimanapun, permintaan itu ditolak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim memberitahu FMT semalam, mayat hanya akan diserahkan kepada pihak yang sah selepas semua prosedur bedah siasat dijalankan.

“Kejadian itu berlaku di sini dan kami perlu menjalankan siasatan terperinci dan bedah siasat itu sebahagian daripada prosedur.”
 

Beliau berkata, anggota keluarga terdekat si mati adalah pihak yang sah untuk menuntut mayat.

Siasatan awal mendapati Jong-nam disembur cecair beracun dan mukanya ditekup kain oleh dua wanita sebelum kematiannya.

Berikutan kejadian itu, polis Malaysia menahan tiga suspek berkaitan kes itu.

Dua daripada mereka, seorang wanita berusia 28 tahun dengan dokumen perjalanan Vietnam dan seorang wanita berusia 25 dari Indonesia, yang dikenalpasti melalui rakaman kamera litar tertutup.

Mereka ditangkap dan ditahan reman selama seminggu bagi mendapatkan keterangan ke atas penyiasatan.

Kedua-duanya berseorangan semasa ditahan pihak polis.

Warga Vietnam ditahan di KLIA 2 ketika menunggu penerbangan ke Vietnam semalam, manakala seorang lagi wanita, warga Indonesia ditahan di lokasi tidak didedahkan pada jam 2 pagi hari ini.

Sementara itu, polis mengeluarkan kenyataan berkenaan individu ketiga yang merupakan teman lelaki kepada suspek wanita kedua.
 

Muhammad Farid Jalaluddin, 26, ditahan di Ampang semalam dan kini dalam tahanan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis masih menyiasat sama ada lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan kes itu.

Sementara itu, polis mengetatkan tahap keselamatan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur, di mana mayat Jong-nam disimpan.

Media asing dan penduduk tempatan berkhemah di depan rumah mayat sejak semalam selepas berita kematian Jong-nam tersebar.

Polis tahan suspek ketiga terlibat pembunuhan Jong-nam

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menahan suspek ketiga berhubung dengan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

“Beliau ditahan bagi membantu siasatan kerana beliau adalah teman lelaki suspek kedua,” kata Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Abu Samah Mat memberitahu Reuters.

Beliau merujuk kepada seorang wanita yang ditangkap awal hari ini. Beliau memegang pasport Indonesia. Pada Rabu, seorang suspek wanita yang mempunyai dokumen perjalanan Vietnam ditahan.

Rabu, 15 Februari 2017

Polis sahkan tahan dua suspek bunuh abang tiri Presiden Korea Utara



KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang wanita warga asing telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pagi tadi, bagi membantu siasatan pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek didapati menggunakan dokumen perjalanan Republik Sosialis Vietnam dengan nama Doan Thi Huong. 

Catatan di pasportnya menunjukkan beliau berusia 29 tahun.

"Siasatan diteruskan dan tindakan lanjut ke atas suspek akan dibuat mengikut undang-undang yang diperuntukkan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Bukit Aman.

Menurutnya, suspek yang ditahan kira-kira jam 8.20 pagi itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang berkenaan yang dirakam pada hari kejadian.

Sementara itu, beberapa media dan agensi berita memberi pelbagai versi berhubung suspek yang disyaki pembunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un itu.

Portal Berita Harian Online yang memetik Ketua Biro ABC News, Joohee Cho, di Kuala Lumpur sebagai melaporkan dua wanita yang disyaki pembunuh itu didakwa ditemui mati.

Turut melaporkan demikian adalah wakil Channel News Asia, Michiyo Ishida yang memetik laman berita Kyodo News dari Jepun sebagai berkata, mayat kedua-dua wanita itu telah ditemui.

Rakaman CCTV turut menunjukkan imej seorang suspek di lokasi kejadian di KLIA 2 yang tersebar meluas.

Wanita itu berambut panjang sehingga ke bahu dan memakai skirt dengan baju berwarna cerah dengan perkataan 'LOL' di bahagian depan dan sedang membawa satu beg tangan.

Portal itu melaporkan, sebelum ini, amalan ejen khas Korea Utara membunuh diri selepas menamatkan misi mereka sudah pernah dilihat beberapa kali.

Contohnya, Kim Hyun-hee, pengebom pesawat Korea Selatan pada 1987 yang mengikut arahan rejim Korea Utara.

Selepas melakukan tugasan yang menyebabkan 115 penumpang maut, Hyun-hee cuba membunuh diri, tetapi gagal.

Ia juga memetik jurucakap polis Malaysia, Fadzil Ahmat beranggapan Jong-nam mungkin diracun menggunakan sehelai kain.

"Mangsa merasakan seseorang memegang muka beliau dari belakang. Beliau kemudian merasa pening," kata pegawai polis itu.

"Selepas diserang, beliau meminta bantuan di kaunter KLIA. Kami tidak pasti ia kain atau jarum," katanya.

Sementara itu, AFP melaporkan Jong-nam pernah merayu kepada adiknya, Jong-un agar tidak membunuhnya dan mengganggu keluarganya selepas cubaan membunuhnya pada 2012 gagal.

Jong-nam, 46, dikatakan pernah menghantar surat kepada adik tirinya itu dan merayu tidak diganggu.

“Tolong jangan ganggu saya dan keluarga. Kami tidak mempunyai tempat untuk dituju.. kami tahu satu-satunya jalan untuk melepaskan diri ialah dengan membunuh diri," petik kandungan surat itu.

Isi kandungan surat itu dimaklumkan oleh Ahli Jawatankuasa Perisikan Parlimen Korea Selatan, Kim Byung-Kee kepada para wartawan selepas taklimat tertutup Ahli Parlimen Seoul dengan Ketua Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan, Lee Byung-Ho.

Menurut Byung-Ho, Jong-nam menghantar surat itu pada April 2012 selepas cubaan membunuhnya pada tahun yang sama.

Katanya, mangsa bukanlah ancaman terhadap Jong-un memandangkan dia tidak mempunyai sokongan kuat di negara asalnya.


Sumber AS: Korea Utara disyaki di belakang pembunuhan

Kerajaan Amerika (AS) percaya ejen Korea Utara membunuh abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-un di Malaysia, kata sumber kerajaan AS semalam.

Pihak berkuasa Amerika masih belum pasti bagaimana Kim Jong-nam dibunuh, demikian menurut dua sumber, yang tidak menyediakan bukti khusus yang menyokong pandangan kerajaan Amerika itu.

Satu sumber kerajaan Korea Selatan juga berkata, bahawa Kim Jong-nam telah dibunuh di Malaysia. 

Sumber itu tidak memberikan butiran lanjut.

Kementerian Luar Korea Selatan berkata, ia tidak dapat mengesahkan laporan itu dan agensi perisikan negara itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Di Washington, tidak ada reaksi segera terhadap permintaan untuk mendapat komen dari pihak pentadbiran Trump, yang berdepan cabaran sengit dari Korea Utara yang berdegil berkaitan program senjata nuklearnya dan ujian peluru berpandu balistik hujung minggu lalu.

Kim Jong-nam diketahui menghabiskan sejumlah besar masanya di luar Korea Utara dan telah bercakap secara terbuka terhadap kawalan dinasti keluarganya.

Salah satu sumber AS yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, jika disahkan sebagai satu pembunuhan, maka ia merupakan rentetan pembunuhan terbaru sejak beberapa dekad di dalam dan di luar negara itu yang bertujuan untuk menutup mulut mereka yang dianggap oleh pemimpin Korea Utara sebagai ancaman kepada kuasa mereka.

Dalam satu kenyataan, polis Malaysia berkata, lelaki yang berusia 46 itu dikenal pasti berdasarkan dokumen perjalanannya sebagai Kim Chol.

Kim Jong-nam pernah ditangkap pada masa lalu menggunakan dokumen perjalanan palsu.

Sumber-sumber Amerika berkata, ada kemungkinan Kim Jong-nam telah diracun. 

Mereka berkata, tidak boleh ditolak kemungkinan pembunuh menggunakan sejenis peranti "pen beracun".

Rangkaian TV Kabel Korea Selatan, Chosun, pula melaporkan, dengan memetik pelbagai sumber kerajaan Korea Selatan, bahawa Kim telah diracun dengan jarum oleh dua wanita dipercayai operatif Korea Utara yang melarikan diri dengan teksi.

Reuters tidak dapat mengesahkan butiran tersebut.
 

2 wanita bunuh Kim Jong Nam ditemui mati


 
SEOUL: Dua wanita disyaki pembunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un didakwa ditemui mati, menurut laporan ketua biro ABC News, Joohee Cho, di sini. 

Wakil Channel News Asia, Michiyo Ishida turut melaporkan mayat kedua-dua yang membunuh Kim Jong Nam itu ditemui dengan memetik laman berita Kyodo News dari Jepun.

Rakaman CCTV turut menunjukkan salah seorang pembunuh di lokasi kejadian di KLIA 2 yang tersebar meluas.

Dia mempunyai rambut panjang sehingga ke bahu dan memakai skirt dengan baju berwarna cerah dengan perkataan 'LOL' di bahagian depan dan sedang membawa satu beg tangan.

Sebelum ini, amalan oleh ejen khas Korea Utara untuk membunuh diri selepas menamatkan misi mereka sudah pernah dilihat beberapa kali.

Sementara itu, jurucakap polis Malaysia, Fadzil Ahmat beranggapan Jong Nam mungkin diracun menggunakan sehelai kain.

"Mangsa merasakan seseorang memegang muka beliau dari belakang. Beliau kemudian merasa pening," kata pegawai polis itu.

"Selepas diserang, beliau meminta bantuan di kaunter KLIA. Kami tidak pasti ia kain atau jarum." - ABC News/Kyodo News


2 pembunuh upahan bunuh Jong-Nam - Sumber AS

 
SEOUL: Agensi risikan Korea Selatan mengesyaki dua ejen wanita Korea Utara membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un di Malaysia.

Perkara itu didedahkan beberapa Ahli Parlimen Seoul hari ini, ketika pihak berkuasa perubatan Malaysia menyiasat punca kematian mendiang.

Beberapa sumber kerajaan Amerika Syarikat memaklumkan Reuters bahawa mereka percaya pembunuh upahan Korea Utara membunuh Kim Jong-Nam.

Polis Malaysia berkata, beliau diserang hari ini di KLIA 2 dan mati ketika dihantar ke hospital.

"Agensi risikan, Korea Selatan percaya Jong-Nam diracun," kata beberapa pembuat undang-undang negara itu selepas diberi taklimat risikan tertutup.

Mereka berkata, agensi risikan itu memaklumkan pemimpin muda dan di luar jangkaan Korea Utara itu mengeluarkan satu arahan pembunuhan abang tirinya dan ada satu cubaan membunuh Jong-Nam gagal pada 2012.

Seorang pegawai polis Malaysia, Fadzil Ahmat memaklumkan Jong-Nam berada di terminal tambang murah lapangan terbang itu untuk penerbangan ke Macau, namun seorang individu menyerkup kepala mangsa dengan kain dari belakang secara tiba-tiba dan beliau merasa pening kemudian meminta bantuan.

Menurut agensi Korea Selatan lagi, Jong-Nam tinggal di bawah perlindungan Beijing dengan isteri keduanya di Macau, China. 

Salah seorang daripada mereka memaklumkan, Jong-Nam turut mempunyai seorang isteri dan anak lelaki di Beijing. - Reuters




Kim Jong-Nam pernah rayu tidak dibunuh

 
SEOUL: Ketua agensi risikan Korea Selatan memaklumkan, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang dibunuh di Malaysia pernah merayu supaya tidak dibunuh selepas satu cubaan pembunuhan Kim Jong-Nam gagal pada 2012.

Jong-Nam maut selepas dilaporkan diserang dua wanita dipercayai ejen Korea Utara di KLIA 2 pada Isnin lalu.

Beliau adalah anak sulung mendiang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il.

Beliau sebelum ini dilihat sebagai waris pemerintahan, namun terkeluar daripada senarai selepas satu percubaan gagal untuk masuk ke Jepun menggunakan satu pasport palsu melawat Disneyland.

Sejak itu, beliau hidup dalam buangan, kebanyakannya di Macau, China sementara Jong-Un mengambil alih pemerintahan negara kuasa nuklear terasing itu selepas kematian bapanya pada Disember 2011.

Susulan satu taklimat tertutup oleh ketua Perkhidmatan Risikan Nasional, Lee Byung-Ho, pembuat undang-undang Korea Selatan berkata, Pyongyang pernah cuba membunuh Jong-Nam, pada 2012.

Difahamkan, beliau dikenali sebagai penyokong kuat reformasi di negara itu.

"Menurut Byung-Ho, ada cubaan pembunuhan pada 2012 dan pada April 2012. Jong-Nam menghantar satu surat kepada Jong-Un menyatakan, 'Tolong lepaskan saya dan keluarga'," kata ahli jawatankuasa risikan parlimen, Kim Byung-Kee.

"Surat itu turut menyatakan 'Kami tiada tempat untuk pergi, kami tahu satu-satunya cara adalah dengan membunuh diri," katanya, sambil menambah Jong-Nam tidak mempunyai banyak sokongan politik di negara itu dan bukan satu ancaman besar untuk Joun-Un. AFP