Jumaat, 30 Oktober 2020

Nasib mu Najib!…


DATUK Seri Najib Tun Razak sudah jelaskan apa yang berlaku pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi (26 Oktober 2020).

Beliau kata, kerjasama dengan Anwar Ibrahim tanpa DAP itu hanya sekadar cadangan, bukan keputusan. Bila ada cadangan, itu tugas ahli jawatankuasa untuk berbincang cari kata putus.

Kata putus pada mesyuarat itu ialah MT sepakat menolak cadangan itu. Bila keputusan dah dibuat, maka selesailah di situ.

Tetapi, lain pula berlaku di luar. Bila perkara itu sampai ke telinga di luar sana, lain pula jadinya. Najib dituduh mahu bekerjasama dengan Presiden PKR. Najib dikatakan tikam kawan-kawan dalam parti. Macam-macam tuduhan dan gelaran dilontarkan kepada Najib.

Maka portal-portal mesra pembangkang pun ambil kesempatan untuk menghangatkan situasi. Inilah masanya nak memburuk-burukkan nama Najib. Rakyat pasti akan percaya dengan laporan-laporan berbaur fitnah ini.

Tidak sampai 12 jam selepas mesyuarat MT selesai, sudah heboh seantero Malaysia mendakwa Najib tolak kerajaan Perikatan Nasional (PN), Najib nak naikkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan bentuk kerajaan baharu.

Ramai mengiyakan dan amat sedikit menafikan laporan itu. Tiba-tiba nama Najib menjadi bualan. Bukan perkara kebaikan, tetapi keburukan. Peliknya, yang dalam partinya sendiri pun percaya dengan berita itu.

Terpaksalah Najib luangkan masa memperbetulkan keadaan. Menceritakan semula dari A sampai Z apa yang berlaku pada mesyuarat itu dan berhubung cadangan-cadangannya untuk dibincangkan.

Namun, sebaran cerita sebenar dari mulut Najib tidaklah sepantas sebaran fitnah dari portal pro-pembangkang atau dari mulut orang parti sendiri. Terpaksalah Najib akur dengan perkara itu.

Yang penting Najib sudah menjelaskan hal sebenar, supaya orang ramai atau netizen dapat hadam dan tapis semula yang telah mereka telan itu.

Kata Najib, dalam mesyuarat malam tadi, dia kemukakan tiga cadangan. Pertama, kerjasama bersyarat UMNO dengan Anwar tanpa DAP sehingga PRU 15 diadakan.

Cadangan kedua, adakan PRU 15 pada suatu tarikh yang tetap pada masa depan selepas pandemik Covid-19 terkawal.

Cadangan ketiga pula, UMNO teruskan kerjasama dengan PN dengan syarat UMNO diberikan lebih peranan dalam kerajaan untuk menentukan halatuju ekonomi.

Selepas tiga cadangan itu dikemukakan, terserah kepada MT yang hadir mesyuarat untuk bincang dan capai kata putus. Kalau setuju kata setuju, kalau tidak setuju kata tidak setuju.

Cadangan yang tidak setuju dikira habis di situ, tutup buku. Bukan dijadikan isu atau point untuk menghangatkan keadaan. Nama lagi cadangan. Dan cadangan pula bukan bersifat arahan atau perintah atau keputusan.

Kerana ramai yang bebal dengan maksud cadangan ini, maka ia menjadi isu. Maka, betullah kata Najib, buat apa adakan mesyuarat kalau tidak ada cadangan. Selalunya dengan cadangan itulah ahli-ahli mesyuarat bermesyuarat.

Cadangan yang dicapai kata sepakat untuk bersetuju baru dinamakan keputusan. Selagi ditolak, ia hanya sekadar cadangan yang tidak lagi digunapakai. Umpama wang kertas yang koyak rabak, hancur sehingga hilang nombor sirinya. Tidak bernilai lagi.

Tetapi perangai manusia, tidak seronok kalau tidak diapi-apikan. Hilang seri berpolitik kalau keluar mesyuarat tidak ada benda nak dihebohkan kepada media. Maka, jalan terbaik perbesarkan cadangan yang sudah tidak digunapakaikan lagi itu kepada media.

Media yang mereka pilih pula yang mesra pembangkang. Baru ada umphh!, Kalau setakat beri maklumat kepada media arus perdana, berita itu tidak ke mana. Tidak hangat.

Sehari semalam Najib dimaki hamun, dicerca, dikeji dan dihina dengan pelbagai tuduhan, hanya kerana cadangan yang tidak digunapakai oleh MT itu diperbesarkan.

Namun, dia masih tenang. Dia masih mampu tersenyum, walaupun dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.

Bab bekerjasama dengan Anwar ini bukan Najib seorang. Sebelum ini pun Tun Dr. Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Anwar. Muhyiddin bekerjasama dengan Anwar. Azmin Ali bekerjasama dengan Anwar. Pas pun bekerjasama dengan Anwar. Tetapi tidak bising.

Tidak pula portal mesra pembangkang memperbesarkan isu kerjasama pemimpin dari Bersatu dan Pas itu bekerjasama dengan Anwar. Najib juga yang mereka pilih untuk direbahkan.

Kalau direbahkan musuh politik, itu biasa, tetapi Najib direbahkan oleh orang-orangnya sendiri. Orang-orang yang bertindak bukan dari arahan, tapi dari mata hati mereka yang buta.

Mereka tidak pernah mahu ambil pengajaran dari apa yang berlaku kepada parti mereka selepas PRU 14. Mereka tidak nampak kifarah yang menimpa parti mereka. Masih juga mahu berseronok dengan tikam menikam sesama sendiri. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: