Rabu, 31 Ogos 2011

Populariti Najib terus susut - kajian Merdeka Center

KUALA LUMPUR — Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjunam ke paras 59 peratus — penurunan dari 72 peratus, paras paling tinggi, yang direkodkan pada Mei tahun lalu, dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan awal Julai.

Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan arah aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Kadar populariti Najib (gambar) pernah turun sehingga 56 peratus pada September 2009 — lima bulan selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam.

“Seramai 59 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam kajian (kali) ini enam peratus lebih rendah berbanding 65 peratus direkodkan pada Mei tahun ini,” kata firma kajian pandangan umum ini dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini.

Kajian terbaru ini dikendalikan sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Pada Mei 2009, iaitu sebulan selepas menjadi perdana menteri, populariti Najib adalah 45 peratus dan ia melonjak kepada 65 peratus pada Jun 2009 sebelum menjunam ke aparas 56 peratus pada September tahun yang sama.

Pada Mac 2010, populariti meningkat semula kepada 66 peratus, 66 peratus pada Disember 2009, 69 peratus (Mac 2010) dan 72 peratus (Mei 2010).

Dari segi pecahan kaum, katanya, kajian menunjukkan 69 peratus responden masing-masing orang Melayu dan India dan 38 peratus kaum Cina melahirkan rasa puas hati dengan prestasi Najib, yang mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kajian kali ini, menurut Merdeka Center dikendalikan melibatkan 1,027 respoden, membabitkan pengundi berdaftar, antara 11 hingga 27 Ogos lalu.

Jumaat, 26 Ogos 2011

Asri: Janda Muslim ditahan Jais tak murtad, rujuk gereja kerana ‘desakan hidup’

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Salah seorang daripada 12 hadirin beragama Islam pada majlis makan malam di sebuah gereja yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal bulan ini menegaskan, dia tidak pernah murtad.

Sebaliknya, dia seorang janda mendapatkan bantuan dihulurkan dengan ikhlas oleh gereja ekoran “desakan hidup.”

Gereja Methodist Damansara Utara diserbu Jais pada malam 3 Ogos lalu ketika mengadakan majlis makan malam muhibah anjuran pertubuhan bukan kerajaan Harapan Komuniti.

Dalam pengakuan kepada bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, wanita tersebut dipetik berkata semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan pada 3 Ogos lalu, dia berada bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya.

Katanya, walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad.

“Cuma ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad,” katanya dipetik Asri dalam tulisannya dihantar kepada media hari ini.

Kata Asri lagi, “alhamdulillah dia masih kekal dengan keIslamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup.”

Asri menambah, terus-terang dia sebut “semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya.”

Dia mempunyai tiga orang anak.

“Semasa saya menziarahinya — tanpa notis awal — dia baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih.

“Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru Muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit Aids dan juga Muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan,” kata beliau lagi.

Beliau mengadakan pertemuan dengan salah seorang daripada 12 hadirin itu, yang telah disoal siasat oleh Jais baru-baru ini dan diberikan kaunseling, minggu lalu. Tetapi nama wanita itu tidak diberikan.

Sambil berkata apa yang hendak dipelikkan, Asri menulis lagi, “begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan.”

“Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.

“Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai PhD dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam,” kata ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia ini.

Malah dalam tulisannya, Asri berkata, menurut wanita tersebut lagi dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya.

“Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup.

“Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja,” katanya.

Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja, kata Asri lagi sambi berkata, menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja.

“Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi,” kata beliau lagi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, kata Asri, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar.

“Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat.

“Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu.

“Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu,” katanya.

Akhirnya menurut Asri lagi, maklumat yang diperoleh daripadanya menunjukkan pihak gereja juga yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut.

“Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang.

“Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini,” katanya lagi.

Kata Asri lagi, wanita tersebut pernah mengunjungi pusat zakat dan Jabatan Kebajikan untuk mendapatkan bantuan sebaik ditinggalkan suaminya.

“Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

“Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama Kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan.

“Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan,” kata Asri sambil menambah, “pihak gereja membantu keperluan hidupnya.”

Katanya, diberikan wang dan menziarahi keluarganya, malah mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan “mesra dan saying”.

“Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya,” tulis beliau lagi.

Harussani nasihatkan Najib

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Tan Sri Harussani Zakaria menjelaskan beliau hanya memberi nasihat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyatukan kembali orang Melayu dan langkahnya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk dari dalam Umno sendiri.

Mufti Perak ini berkata, teguran terhadap pentadbiran Najib berhubung perpecahan orang Melayu dibuat berdasarkan realiti dan persekitaran politik semasa.

“Saya hanya beri nasihat kepada Najib supaya perbetulkan semula perkara ini, sebab perpecahan Melayu memang berlaku sekarang.

“Kita mesti pertahankan bangsa kita dan Najib perlu cari jalan untuk satukan semula orang Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beberapa blog pro-Najib dan mesej-mesej menerusi Twitter mempersoalkan kenyataan terbuka beliau semalam. Ada yang mendakwa kenyataan beliau itu seolah-olah cenderung dan memihak kepada timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam komennya kepada The Malaysian Insider hari ini, Harussani (gambar) juga mengakui ada menerima teguran dan kritikan mengenai kenyataannya itu.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan pihak yang membuat teguran.

Apabila ditanya sama ada kenyataan beliau ada kaitan dengan Umno atau memihak Muhyiddin, Harussani berkata: “Itulah bila saya bercakap, orang hentam saya.”

“Perpecahan Melayu memang berlaku, anda sendiri boleh tengok sendiri. Saya tidak akan berhenti daripada memberikan nasihat kepada sesiapa termasuk perdana menteri, apa yang perlu saya akan sampaikan,” katanya.

Justeru jelas Harussani, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang bertindak menghentam apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak menyokong kerajaan.

Semalam dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti, Harussani berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Ditanya kembali mengenai pendedahan itu, Harussani berkata perpecahan Melayu berlaku disebabkan tiga faktor itu.

“Najib tanya kepada saya mengapa jadi macam ini (perpecahan Melayu), saya kata ia berlaku sebab kerajaan sekarang cukup lemah, tidak amanah dan rasuah.

“Sebab itu saya minta Najib perbetulkan, cari jalan... bukan hanya Najib, kerajaan dan rakyat juga perlu cari jalan untuk bersatu,” katanya.

Justeru beliau meminta Najib supaya mencari jalan untuk menyatukan semula perpaduan orang Melayu yang semakin parah.

Tegas Harussani, perpecahan Melayu yang berlaku sejak sekian lama berpunca dari pentadbiran negara yang lemah selain terlalu banyak penyelewengan yang berlaku.

Justeru beliau menasihatkan Presiden Umno itu agar melaksanakan pentadbiran negara mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan jadi lemah kerana tak jaga Perlembagaan Persekutuan dengan betul, kalau jaga insya-Allah rakyat akan jadi kuat.

“Kerajaan yang lemah, tidak jujur berlaku sebab tidak ikut Perlembagaan dan rasuah itu kita tak perlu sebutlah, dari dulu heboh orang kata... perlembagaan ada tapi kerajaan tak laksanakan dengan betul,” katanya.

Kata beliau, sekiranya pentadbiran Najib melaksanakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan orang Melayu akan kembali bersatu.

“Kalau ikut Perlembagaan, orang Melayu tidak akan berpecah, keistimewaan Perlembagaan perlu dijaga.

“Jadi Najib kena fikirkan jalan untuk satukan semula orang Melayu, kalau orang India, orang Cina boleh bersatu, mengapa tidak orang Melayu,” katanya.

Sebelum ini isu perpecahan Melayu acap kali dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali.

Rabu, 17 Ogos 2011

NUZUL AL-QURAN

Sejarah al-Quran:
Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.

Ia dirakamkan dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadan di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi SAW. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran adalah salah satu dalam Rukun Iman.

Erti Nuzul al-Quran: ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.

‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Nama-Nama Lain:
Selain disebut al-Quran, ia juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain.

Proses Penurunan al-Quran:
Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.

Kehebatan al-Quran:
1. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)

2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.

3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

4. Tidak ada sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).

5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi SAW.

6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.

7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)

8. Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

Tuntutan al-Quran:
Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya.

* Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
* Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
* Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.

Peringatan:
* Al-Quran untuk dibaca, bukan dijadikan perhiasan.
* Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
* Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
* Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
* Pesan Nabi SAW: "Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).

Sabtu, 13 Ogos 2011

Saya cuma nak tegur PM, kata penulis buku ‘Najib Perdana Menteri Terakhir’

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Penulis buku “Najib Perdana Menteri Terakhir” berkata, beliau menghasilkan buku setebal lebih 300 halaman hanya untuk menegur agar Datuk Seri Najib membetulkan segala kelemahannya selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum keadaan menjadi parah.

Buku 25 bab ini dikeluarkan ketika kepimpinan Najib masuk tahun ketiga dan spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 akan diadakan bila-bila masa.

Petang ini, Najib mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn.

Malah buku ini berada di pasaran ketika timbul desas-desus Umno berhadapan dengan masalah dalaman, yang telah pun dinafikan oleh beberapa pemimpin kanan parti itu.

Minggu lalu, Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) juga menafikan laporan blog bahawa pihaknya telah memutuskan untuk meminta Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Saya hanya menulis untuk menegur Datuk Seri Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri. Saya tidak mengkritik parti.

“Apa yang saya sampaikan cuma pandangan dan suara akar umbi dan rakyat.. saya cuma menyampaikan demi kepentingan parti,” kata Shahbudin Husin ketika ditanya mengapa menghasilkan buku yang dilihat sebagai tindakan mengkritik presiden parti sendiri.

Pemerhati melihat kritikan dalam bentuk buku ini muncul dalam tempoh singkat berbanding ketika kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi memimpin Umno dari 2003 hingga 2009.

Shahbudin, bekas naib ketua Pemuda Umno Wangsa Maju bertanya, “apa ruang yang saya ada untuk memberikan pandangan?”

“Dulu saya pernah memegang jawatan dalam bahagian, kami boleh sampaikan fikiran. Saya fikir ini cara untuk membawa pandangan dan suara rakyat kepada kepimpinan, kepada Datuk Seri Najib... saya tidak mengkritik Datuk Seri Najib, cuma menegur beliau,” kata beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa Umno Wangsa Maju.

Shahbudin juga mengakui bahawa beliau bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan disiplin jika parti memutuskan demikian.

“Saya cuma nak selamatkan parti. Ini penting,” katanya yang berusia awal 40-an.
Shahbudin Husin

Buku ini dengan tajuk penuh “Tak berubah, faktor Rosmah & pola Sarawak petanda BN The End, Najib Perdana Menteri Terakhir...” dua tahun selepas Najib menjadi perdana menteri keenam.

Shahbudin merupakan memegang jawatan naib ketua Pemuda Umno dari 2004 hingga 2008.

“Sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib melakukan banyak kelemahan, disebabkan oleh kepimpinan, masalah yang disebabkan oleh isterinya (Datin Seri Rosmah)... ini orang bercakap, orang di bawah bercakap.

“Harapan saya ialah Datuk Seri Najib akan melakukan perubahan, membawa perubahan... jika tidak berubah, rakyat akan mengubah. Kata-kata ini beliau gunakan sebelum ini, saya harap beliau akan berubah, ini yang saya cuba sampaikan dalam buku saya,” kata beliau sambil menambah, “saya lebih sayangkan parti, bukannya individu.”

Di bahagian Bingkisan Penerbit, Shahbudin yang merupakan wartawan sebelum aktif dalam Umno berkata, “sudah lebih dua tahun Najib menjadi Perdana Menteri, namun Umno dan kerajaan yang dipimpinnya belum lagi menunjukkan tanda-tanda positif dari segi penerimaan rakyat.”

“Jika dihitung, luahan rasa kecewa, tidak yakin malah keraguan lebih banyak kedengaran berbanding sanjungan dan keyakinan,” kata Shahbudin.

“Umno dan kerajaan yang diterajui Najib dipertikai hampir dari semua sudut sebenarnya,” kata beliau lagi sambil menggariskan alasan-alasan atas perkembangan itu.

“Dari kepimpinan yang terlalu bertolak ansur dan tidak tegas, Melayu rasa dipinggirkan, barisan Kabinet yang diragui, pentadbiran dibayangi skandal dan rasuah, ekonomi yang lembab, pelabur menjauhkan diri, harga minyak, gula dan barang naik, cenderung kepada dasar kronisme dan nepotisme sehinggalah kepada isu campur tangan isteri dan penglibatan beberapa pegawainya yang didakwa rasuah dan salah guna kuasa, semuanya menjurus kepada semakin meningkatnya ketidakyakinan rakyat terhadap beliau,” kata penulis.

Beliau menambah, “tidak pernah dalam sejarah Malaysia, seorang Perdana Menteri diragui rakyat sebegini rupa,” kata Shahbudin yang turut menolak andaian bahawa beliau dipengaruhi pihak-pihak tertentu dalam Umno agar menghasilkan buku politik ini.

“Tidak, tidak. Saya jumpa orang, hanya merangkumkan pandangan orang dalam bentuk analisis, malah ada yang berkata ‘mengapa tidak beritahu awal, ada lagi input boleh diberikan’,” katanya lagi.

“Ini menunjukkan ramai hendak memberi pandangan. Saya simpan untuk buku kedua saya,” katanya lagi.

Shahbudin berkata, setelah lebih dua tahun menjadi Perdana Menteri dan pilihan raya umum ke-13 pula semakin menghampiri ambang pintu, “buku ini lahir dikira tepat waktunya untuk dijadikan sedikit pedoman buat rakyat negara ini.”

Buku ini terdiri daripada 25 bab, termasuk yang bertajuk Sarawak Pemangkin Kejatuhan BN, Jangan Bimbang Jika Umno Tumbang, Menteri-menteri Yang Gagal, 1Malaysia Jadikan Melayu Kelas Kedua?, Juara Rakyat Program Syok Sendiri, Pengundi Muda-KJ Perlu Jadi Menteri, Rosmah Punca Rakyat Tolak Umno, Tun Siti Tak Menyibuk, Melayu Hilang Kuasa Atau Umno Hilang Kuasa, dan Najib Bukan ‘Fighter’.

Shahbudin yang sedang menghasilkan buku kedua bertajuk “Kesilapan-kesilapan Najib” juga berkata, buku pertamanya bukan bertujuan memperlekeh Umno dan pemimpinnya dan bukan juga berupa pemberoan dividen percuma kepada pembangkang.

“Buku ini lahir tidak lain atas inisiatif sebagai rakyat Malaysia dan juga sebagai pembayar cukai yang sentiasa inginkan perubahan dan kebaikan untuk rakyat dan negara ini.

“Rakyat adalah keutamaan buku ini,” katanya lagi.

Isnin, 8 Ogos 2011

TAZKIRAH RAMADAN: Roh di bulan puasa

Apabila tiba bulan Ramadhan, semua roh berkumpul di Luh Mahfuz memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke bumi.

Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan. Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka.

Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang mereka lakukan adalah pergi ke tanah perkuburan untuk melihat jasad mereka.

Kemudian mereka akan pergi ke rumah anak-anak mereka, orang yang mendapat harta pusaka mereka dan ke rumah orang yang mendoakan mereka dengan harapan orang yang mereka lawati itu memberi hadiah untuk bekalan mereka.

Perkara ini akan berlarutan sehinggalah tibanya Hari Raya Aidilfitri. Pada saat ini mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada jasad dan pulang semula ke Luh Mahfuz dengan bekalan yang diberikan oleh mereka-mereka yang masih hidup.

Di sini hikmah adanya alam kubur. Alam kubur membuktikan bahawa Allah itu Maha Penyayang. Orang yang melakukan kesalahan semasa hayatnya boleh dibantu dengan doa orang-orang yang masih hidup.

Alangkah bahagianya jika seseorang yang telah meninggal dunia masih mendapat bekalan dari orang-orang yang masih hidup.

Oleh itu jangan biarkan orang-orang yang kita sayang, yang menghadap Allah terlebih dulu daripada kita sepi tanpa doa dan sedekah daripada kita.

Sesungguhnya apabila mati seseorang anak Adam itu, terputus ia semua hal kecuali tiga perkara iaitu doa anak-anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah amal jariah.

Sabtu, 6 Ogos 2011

Sogok wang gadai akidah

Pertubuhan berselindung di sebalik kebajikan

KUALA LUMPUR: Ada pertubuhan di negara ini berselindung di sebalik kegiatan kebajikan dengan menawarkan wang tunai, tempat tinggal dan makan minum percuma kepada golongan miskin dan menghadapi masalah kewangan yang beragama Islam sebelum memesongkan akidah mereka hingga sanggup menukar agama akibat desakan hidup.

Difahamkan, ada individu Islam menerima elaun tetap sehingga RM1,000 sebulan dengan hanya mengikuti program pertubuhan itu dua kali seminggu. Malah segelintir peserta turut mengakui menerima bantuan menyelesaikan beban hutang, termasuk ansuran kenderaan, rumah dan kad kredit.

Ia dipercayai taktik pertubuhan terbabit bagi menarik orang ramai mengikut program mereka dengan sebahagian besar sasaran adalah golongan gelandangan dan ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap serta dibebani masalah kewangan.

Setiap peserta turut dijanjikan `kehidupan baru’ oleh pemimpin pertubuhan terbabit yang menggambarkan dirinya seolah-olah `penyelamat’ jika mengikuti segala program diatur, termasuk kesediaan menukar agama.

Bekas pengikut pertubuhan itu yang mahu dikenali sebagai Adazhan, 30-an, mengakui pernah dilatih menjadi paderi sepanjang 10 tahun menjadi pengikut program berkenaan, termasuk menukar agama isteri dan anak-anaknya sebelum kembali ke pangkal jalan.

Ketika ‘diselamatkan’ daripada kesempitan hidup, Adazhan mengakui menerima tawaran bantuan pertubuhan itu adalah pilihan hidup untuk menyelamatkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.

Malah, kesungguhannya mengikut program membolehkannya menghadiri kursus menjadi paderi dan dijanjikan Rumah Doa sendiri dengan pembiayaan penuh pertubuhan untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

“Dulu saya terima bantuan kewangan RM500 sebulan. Bagi yang ada isteri, mereka diberi tambahan RM300 dan RM100 bagi seorang anak. Bagi saya yang hidup merempat ketika itu, cuma itu pilihan terbaik. Sekarang, jumlah bantuan bertambah dan difahamkan, ada yang dapat lebih RM1,000 sebulan.

“Saya percaya ramai sudah terpedaya selepas termakan pujukan dan terhutang budi dengan bantuan diterima. Cuma, mereka takut menukar status agama dalam MyKad,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mencadangkan supaya mereka yang terpedaya, tidak dikenakan hukuman atau ditangkap kerana bimbang menyebabkan keadaan lebih teruk, sebaliknya didekati secara lembut dengan membetulkan semula akidah dan diberi bantuan sepatutnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kelmarin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu majlis makan malam anjuran sebuah komuniti gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya, susulan laporan terdapat unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Difahamkan, 50 orang Islam menghadiri majlis itu ketika serbuan dibuat, namun hanya 12 daripada mereka termasuk lapan wanita berjaya ditahan dan diarahkan memberi keterangan di Ibu Pejabat JAIS di Shah Alam, 9 Ogos ini kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Sementara itu, salah seorang peserta wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan mendedahkan peserta Islam ditegah mempercayai Nabi Muhammad SAW, tetapi diminta mengikut suruhan Nabi Isa melalui ceramah dan nyanyian sepanjang majlis berlangsung.

Hanya mahu dikenali sebagai Jasmine, wanita itu berkata, pertubuhan terbabit mensasarkan individu yang menghadapi masalah kewangan seperti kumpulan mualaf dan golongan yang kecewa dengan kerajaan sebagai ahli sebelum ejen berperwatakan alim seperti haji dan imam dihantar mendekati mangsa.

“Mereka menabur janji mampu menyelesaikan masalah dihadapi sebelum sasaran dibawa menghadiri majlis suai kenal dan sesi ceramah secara sulit. Biasanya, minat menyertai pertubuhan ini timbul selepas mendengar syarahan ketua agama dari Sabah, Sarawak dan Indonesia,” katanya yang menyertai pertubuhan itu bersama suami dua tahun lalu.

Jasmine yang dijanjikan bantuan kewangan untuk menyelesaikan hutang dan keperluan harian, berkata dalam setiap program dianjurkan, peserta diberikan kitab Injil berbahasa Melayu seterusnya diajar menyanyi lagu dakwah Kristian, disusuli diberikan ‘minuman istimewa’ diikuti upacara pembaptisan.

PERBICARAAN KES SOSILAWATI: Tiga kesan cap jari ditemui dalam kereta BMW milik Ahmad Kamil

SHAH ALAM: Seorang pegawai forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat bahawa tiga kesan cap jari ditemui di dalam kereta jenis BMW milik Ahmad Kamil Abdul Karim, peguam yang mati dibunuh bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang ditinggalkan di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, Subang Jaya pada tahun lepas.

Pegawai Turus Siasatan Tempat Kejadian (CSI), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur DSP Sheikh Zainal Abidin Sheikh Omar, 55, berkata, dua kesan cap jari diperoleh pada sekeping kad Touch N Go yang ditemui dalam ruangan pintu sebelah kiri pemandu, manakala satu kesan cap jari diperoleh pada sebotol pewangi yang ditemui sebelah pintu pemandu.

Saksi ke-34 pendakwaan itu berkata, beliau dan pasukannya juga menemui 'Smart Tag' yang juga berada bersama kad Touch N Go itu, sebuah diari dalam bonet, sekeping iklan sebuah syarikat komunikasi di bahagian luar cermin kereta dan senaskhah surat khabar berbahasa Inggeris di bahagian belakang kereta berkenaan.

Sheikh Zainal Abidin berkata, pada pemeriksaan kira-kira pukul 10.55 malam 6 September tahun lalu itu, pasukannya turut membuat calitan pada stereng dan tombol gear kereta bernombor pendaftaran AAJ 5 itu bagi mengesan kehadiran Asid Deoksiribonukleik (DNA).

"Semua eksibit saya bungkus dalam sampul surat dan seal sampul surat itu menggunakan seal Forensik serta saya tandakan dengan nombor tag masing-masing, nombor kes, tarikh dan IO (pegawai penyiasat) kes.

“Semua eksibit kemudian diserahkan kepada IO ASP Mohd Ishak Yaakob untuk siasatan lanjut," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Sebelum ini, isteri Ahmad Kamil, Sabrina Adnan dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa suaminya meninggalkan rumah dengan menaiki sebuahkereta BMW hitam bernombor pendaftaran AAJ 5.

Sheikh Zainal Abidin berkata, beliau dan pasukannya kemudian diarahkan membantu siasatan di sebuah sungai di Kampung Kelanang, Banting pada 14 September 2010.

"Sampai di sana, saya jumpa Cif Insp N.Govindan dari Bukit Aman yang berada di tebing sungai bersama dua suspek dan dia (Govindan) tunjuk pada saya bahawa tiga anggota penyelam Marin berada dalam sungai cari zink yang dibuang.

“Dia (Govindan) kemudian beritahu saya bila jumpa zink saya akan ambil alihtugas. Selepas itu saya nampak tiga anggota penyelam cari sesuatu dalam sungai dan mereka dapat keluarkan satu persatu zink dari sungai dan tiap-tiap satu diletakkan di tebing sungai sehingga berjumlah enam keping," katanya.

Saksi itu berkata, beliau mengarahkan anggota-anggota pasukannya menyusun serta membuat label di atas zink-zink tersebut dan beliau kemudian membuat tandaan di atasnya sebelum mengarahkan empat anggota pasukannya membalut semua zink menggunakan kertas minyak.

Sheikh Zainal Abidin berkata, keenam-enam keping zink itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan bahawa tiada keputusan positif diperoleh daripada calitan DNA pada kad Touch N Go yang diambil dari kereta BMW itu.

Pada suatu ketika, Sheikh Zainal Abidin kelihatan kurang senang apabila diasak bertubi-tubi oleh Manjeet Singh sehingga meminta peguam itu tidak menekannya dengan soalan-soalan yang tidak relevan.

"Saya cadang pada you, you tengok rancangan televisyen CSI, jadi you boleh belajar dengan lebih baik," kata Manjeet dan saksi itu kelihatan keliru sambil meminta peguam tersebut menjelaskan soalannya semula.

Permintaan Sheikh Zainal Abidin menyebabkan Manjeet tergelak dan menarik balik kenyatannya itu.

Peguam tersebut kemudian meminta maaf kepada Sheikh Zainal Abidin sambil menjelaskan bahawa beliau hanya menjalankan tugasnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung Isnin ini. - BERNAMA

Jumaat, 5 Ogos 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI: Saksi dakwa orang Indonesia buang barang

Pembunuhan Banting: Saksi Dakwa Orang Indonesia Buang Barang

Oleh SALWA SHA'ARI

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang telah dihukum penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya mendakwa, dia melihat empat orang lelaki termasuk seorang warga Indonesia membuang pelbagai barangan di sekitar Banting, dekat sini.

U. Suresh, 27, menambah, kejadian itu berlaku pada waktu pagi 4 September 2010, dan lelaki-lelaki tersebut telah menahan lorinya di hadapan sebuah kuil berhampiran simpang ladang tempat dia bekerja, semasa dia dalam perjalanan hendak ke Puchong.

"Saya nampak mereka naik kereta pacuan empat roda. Dua lelaki turun dan tanya jika mereka boleh sewa lori saya untuk digunakan bagi membuang barang-barang sembahyang selama sejam," katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Saksi pendakwaan ke-29 itu seterusnya menambah, dua lelaki itu kembali semula ke kenderaan mereka manakala seorang lelaki Indonesia pula keluar lalu duduk di tempat duduk penumpang lori dan mengarahkan dia untuk mengekori kenderaan di hadapan.

Katanya lagi, mereka kemudiannya berhenti di sebatang sungai yang tidak diketahui namanya dan seorang lelaki dari pacuan empat roda itu telah membuang satu karung putih ke dalam sungai berkenaan sebelum meneruskan perjalanan.

Suresh juga memberitahu, perjalanan mereka selepas itu agak perlahan dan apabila sampai di sebuah jambatan, seseorang dalam kenderaan tersebut sekali lagi membuang sesuatu ke dalam sungai.

"Selepas itu, saya masih ikut kenderaan itu dan apabila sampai di kawasan hutan berhampiran Jalan Kelanang, kenderaan itu berhenti dan saya nampak sebuah kereta hitam berada dalam jarak yang jauh di hadapan.

"Saya tidak nampak sesiapa keluar daripada kereta hitam manakala cermin kereta pula agak gelap," katanya pada pemeriksaan balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon.

Dia yang begitu lancar memberi keterangan dalam Bahasa Tamil juga memberitahu, lelaki Indonesia itu memaklumkan bahawa mereka akan meletakkan barang di bahagian belakang lori, namun dia tidak dibenarkan untuk turun daripada tempat pemandu.

Selepas 10 minit, tambah saksi, kereta hitam itu bergerak diikuti pacuan empat roda dan lori yang dipandunya sebelum berhenti semula di sebuah sungai.

"Dari cermin sisi, saya nampak dua lelaki dan lelaki Indonesia itu buka bahagian belakang lori dan keluarkan semua barang-barang lalu dibuang ke dalam sungai. Saya tidak nampak apa yang dibuang, tapi saya ada dengar bunyi zink dipijak.

"Semua barang dibuang dalam masa tidak kurang lima minit, cepat sekali," tambah lelaki yang sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Undang, Melaka.

Selepas semua barang dibuang, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu dilihat menuju ke kereta hitam untuk mendapatkan bayaran sewa lori.

"Pemandu kenderaan itu datang ke arah saya dan memberi wang RM300 sedangkan sewa adalah RM250. Saya beritahu pada lelaki itu, tetapi dia kata tidak mengapa dan menyuruh saya untuk menyimpan bakinya.

"Orang Indonesia itu kemudian memaklumkan saya bahawa dia mahu ke Subang Jaya, dan beritahu tempat itu dekat dengan Puchong. Dia kata boleh bayar seperti bayaran teksi," katanya dan menambah, dia bersetuju untuk menumpangkan lelaki berkenaan.

Suresh juga memberitahu, lelaki Indonesia itu menunjukkan arah ke Subang Jaya dan mereka berhenti di sebuah kawasan yang mempunyai kilang dan berhadapan dengan rumah flat.

Orang Indonesia itu, kata saksi telah keluar kerana mahu berjumpa dengan rakannya dan dilihat membuang satu kotak rokok ke dalam satu alur semasa sedang berjalan untuk kembali ke lori.

"Orang itu beritahu saya boleh pergi kerana kawannya ada. Sebelum beredar, lelaki itu beri dua telefon bimbit tapi saya menolak. Orang itu paksa dan saya ambil kerana mahu keluar untuk mengambil barang di tempat lain," katanya.

Semasa ditanya di mana telefon itu, Suresh menjawab ia dibuang di alur kecil berhampiran sungai Pasar Besar Banting pada 5 September 2010 kerana R. Kathavarayan (tertuduh keempat yang lebih dikenali sebagai Ravi) telah memarahinya kerana mengambilnya.

Pada keterangan lain, Suresh mengakui bahawa dia tidak boleh mengenal pasti lelaki Indonesia itu, tetapi ada mendengar lelaki-lelaki itu menyebut nama 'Syed' semasa berbual.

Dia seterusnya mendakwa, segala keterangan itu telah diberikan kepada pegawai polis, Cif Inspektor N. Govindan dan dia tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung jenayah itu, mahupun membunuh.

"Semasa dalam tahanan, saya dipukul, diugut bunuh dan diugut akan ditembak oleh ramai polis dari kumpulan Govindan. Saya disuruh untuk mengaitkan N. Pathmanabhan (tertuduh pertama) dengan semua perkara itu," tambahnya.Semasa memberi keterangan pada hari ke17 perbicaraan, Suresh juga memberitahu, dia tidak pernah mengenali Pathmanabhan yang merupakan seorang peguam sehinggalah dia ditangkap pada 9 September 2010.

Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladangnya, Kathavarayan, 31, T.Thilaiyalagan, 20, dan R.Matan, 21, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antar pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan pihak pendakwaan untuk menggunakan rakaman percakapan Suresh bagi mencabar kebolehpercayaan saksi yang didakwa telah berpaling tadah dan memberikan 22 keterangan yang bercanggah di mahkamah.

Perbicaraan akan bersambung pada Jumaat.

Rabu, 3 Ogos 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI: Saksi dengar wanita menjerit malam Sosilawati dibunuh

SHAH ALAM: Seorang bekas pembantu rumah kepada bekas peguam, N. Pathmanabahan memberitahu bahawa, dia mendengar suara wanita menjerit pada malam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakanya dilaporkan dibunuh di sebuah ladang, tahun lalu.

Siti Hamidah Karnax, 18, menambah, jeritan tersebut didengar pada pukul 9 malam, 30 Ogos lalu, semasa dia sedang mengisar tepung untuk dibuat tosai di salah sebuah rumah yang terdapat di Ladang Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

"Saya mendengar bunyi perempuan teriak sebanyak dua kali yang berselang antara satu dan dua saat," katanya semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-33 di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani apa reaksi saksi apabila mendengar jeritan itu, saksi menjawab, dia hanya 'buat seperti biasa' manakala individu lain yang berada di dalam rumah sama menonton televisyen.

Siti Hamidah yang berasal dari Sunda, Indonesia adalah bekas pembantu rumah kepada bekas peguam, N.Pathmanabhan, 42, dan R.Kathavarayan, 31, yang sedang dibicarakan bersama T.Thilaiyalagan, 20, dan R. Matan, 21, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dalam kejadian yang berlaku antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Kesalahan itu didakwa berlaku di ladang Lot 2001, Ladang Tanjung Layang, Banting.

Pada keterangan lain, saksi yang diletakkan di bawah program perlindungan saksi memberitahu, Kathavarayan atau lebih dikenali sebagai Ravi memintanya untuk mengambil dua bilah parang dan sebilah pisau yang diletakkan ke dalam kereta jenis Isuzu D-Max.

Mengimbas kejadian itu lagi, Siti Hamidah berkata, dia melihat Pathmanabhan yang dipanggil sebagai 'Datuk Pathma' datang ke ladang dan keluar semula dengan menaiki kereta bersama Ravi dalam keadaan cemas.

Tidak lama selepas itu, tambah saksi, isteri kepada Ravi, Jacintha mendapat panggilan telefon dan dalam keadaan cemas telah mengarahkan semua orang yang ada di ladang itu untuk masuk ke dalam rumah, dan tingkap serta pintu rumah ditutup.

"Kira-kira pukul 7 malam, saya nampak seorang wanita dan tiga lelaki. Saya tidak biasa melihat mereka. Saya lihat dari arah belakang semasa saya intai menerusi tingkap," tambahnya.

Wanita bertubuh kecil molek itu seterusnya menambah, Jacintha sekali lagi mendapat panggilan telefon dan mengarahkan dia untuk menyediakan baldi, baju, seluar sukan, syampu, tuala, kunyit dan bedak untuk ditinggalkan di belakang pintu rumah.

Pada tengah malamnya pula, Siti Hamidah menambah, dia melihat api besar sebesar pokok kelapa sawit di bahagian belakang ladang berhampiran dengan rumah Thilaiyalagan.

Idham: Itu kali pertama kamu melihat api seperti itu?

Siti Hamidah: Tidak.

Idham: Sebelum ini, kamu pernah lihat api?

Siti Hamidah: Ya, saya pernah lihat waktu ada orang bernama Raja dari India datang. Jika datang, dia akan tinggal di rumah Datuk Pathma. Waktu itu, api tidak sebesar itu.

Idham: Kali kedua?

Siti Hamidah: Kali kedua waktu saya nampak waktu Shafik. Dia kawan Ravi, selalu datang bersarapan...

Saksi bagaimanapun tidak dapat meneruskan jawapannya kerana dipotong oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mengatakan perkara tersebut tidak berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan.

Idham membalas dengan mengatakan jawapan saksi adalah kesinambungan daripada soalan yang diajukan, namun Hakim Datuk Akhtar Tahir mengingatkan bahawa pihak pendakwaan seharusnya mengawal saksi.

Selain itu, Siti Hamidah juga memberitahu bahawa dia ada melihat sebuah lori dengan muatan kayu yang banyak telah datang ke ladang itu pada petang 29 Ogos 2010, iaitu sehari sebelum kehadiran wanita dan lelaki-lelaki berkenaan.

Pada keterangan lain, saksi memberitahu dia mula bekerja dengan Pathmanabhan selepas diperkenalkan oleh seorang lelaki bernama 'Tengku' yang membawanya ke Kuala Lumpur, selepas dia melarikan diri dari majikan lama di Kelantan.

Saksi menambah, dia datang ke Malaysia pada Mac 2008 dan mula bekerja dengan Pathmanabhan pada Mac 2009 selama sembilan bulan sebelum dihantar ke ladang pada akhir Disember 2009.

"Bila saya mula bekerja, saya diberi arahan untuk tidak memandang muka orang yang datang dan jika hantar air juga perlu tunduk. Saya juga perlu beri salam pada Pahthmanabhan, jika tidak kena hentam," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Manjeet, saksi menafikan bahawa dia dihantar ke ladang kerana ditangkap telah membenarkan seorang lelaki Indonesia masuk ke rumah.

"Itu semua fitnah, saya difitnah," katanya tegas, tetapi mengakui bahawa telah berbohong usianya 23 tahun semasa membuat permohonan untuk bekerja di Malaysia.

Dia menambah, telah dipukul oleh majikan lama menyebabkan dia melarikan diri dan juga mendakwa dirinya dipukul oleh isteri Pathmanabhan, Ravi dan Jacintha.

"Isteri Pathmanabhan memukul saya di ladang dengan menggunakan pelepah kelapa sawit di bahagian kepala. Ravi pukul guna rotan, tangan, pelepah dan ada juga tumbuk. Jacintha pukul guna rotan dan tangan," katanya.

Walaupun dipukul, Siti Hamidah memberitahu, dia sayang akan Jacintha dan hormat kepada Ravi serta tidak berani untuk melarikan diri kerana dimaklumkan bahawa sesiapa yang melarikan diri akan dipukul dengan teruk jika ditangkap.

Peguam Ravi Nekoo pula mencadangkan bahawa Ravi sentiasa mengamalkan mandi air kunyit, yang dinafikan oleh saksi.

"Kalau ada kebakaran, dia akan mandi kunyit," tambahnya.

Dia juga menafikan bahawa dia mempunyai motif untuk memberi keterangan di mahkamah dan juga tidak bersetuju bahawa telah dilatih dan diajar cara-cara untuk memberi keterangan di mahkamah.

Perbicaraan akan bersambung Khamis.

PERBICARAAN KES SOSILAWATI: Saksi terdengar jeritan perempuan

SHAH ALAM 3 Ogos – Seorang gadis warganegara Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia terdengar suara perempuan menjerit sebanyak dua kali di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting pada malam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa dibunuh pada 30 Ogos 2010.

Siti Hamidah Karnas, 18, yang merupakan saksi pendakwaan ke-33 juga berkata, dia ternampak api setinggi pokok kelapa sawit di dalam ladang itu pada pukul 1 pagi semasa keluar untuk mengambil barang-barang yang telah digunakan oleh majikannya, R. Kathavarayan seperti parang, pisau, air kunyit, sabun dan lain-lain.

Menurut saksi itu, dia turut melihat bekas peguam, N. Pathmanabhan berada di ladang itu pada keesokan hari serta masih berpakaian yang sama sebagaimana yang dilihat pada pukul 5 petang, 30 Ogos 2010. - Utusan

Selasa, 2 Ogos 2011

Bicara al-Quran mengenai kurma

Oleh DR. MOHD. ASMADI YAKOB
BULAN Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.

Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.

Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.

Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.

Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.

Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.

Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan ‘ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.

Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.

Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An’am: 99)

Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.

Nikmat yang wajib disyukuri

Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An’am: 141)

Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.

Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum ‘Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.

Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun’aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).

Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.

Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.

Golongan yang ingkar

Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.

Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.

Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.

Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.

Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.

Kisah Maryam

Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.

Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.

Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.

Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.

Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.

Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.

Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.

Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.

Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.