Isnin, 22 Mei 2023
Kenapa wakil rakyat sekarang tak lagi dipandang mulia?
By Manzaidi Mohd Amin - 8 May 2023
KITA lupakan dulu pasal isu penyanyi Hattan dengan seorang pembaca berita. Isu pun dah lama berlalu dan macam biasa ia akan hilang begitu saja.
Kali ini Bawah Kolong nak bincang isu politik. Sehari dua baru ni timbul isu pembangkang dakwa mereka sudah dapat nombor. Angkanya 126.
Jumlah ini, kalau era sebelumnya, pembangkang sudah boleh bertukar jadi kerajaan, manakala kerajaan pula bertukar menjadi pembangkang.
Tetapi, era sekarang, ia tak akan berlaku lagi sebab negara sudah ada Akta Lompat Parti.
Kalau dulu, sebelum ada akta ini, mana-mana Ahli Parlimen yang rasa nak lompat parti kerana rasakan parti baharu itu boleh jadi kerajaan, mereka akan lompat. Parlimen membenarkan, Istana Negara mengizinkan.
Tapi sekarang, sorry to say. Akta ini menyekat mereka bentuk kerajaan, walaupun tak larang mereka lompat parti.
Dalam akta ini kata, kalau sesiapa rasa nak lompat parti, parti boleh isytiharkan kerusi Ahli Parlimen katak itu kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu.
Jadi, untuk lompat parti sekarang, mereka kena fikir banyak kali, walaupun mereka yakin boleh menang dengan adanya PRK. Hari ini, rakyat dah makin matang dan sedar, buat apa lagi nak pilih calon katak kalau asyik melompat sana sini. Rugikan masa, rugikan duit rakyat.
Pegangan pengundi ini menyebabkan Ahli Parlimen yang ada rancangan nak lompat akan fikir panjang. Dulu tak apalah, lompat saja mereka akan diraikan oleh parti baharu. Malah, diberi jawatan lagi dalam kerajaan sebagai tanda terima kasih.
Kali ini, tak boleh dah. Sesiapa lompat, rakyat atau pengundi akan tolak. Rakyat pilih dulu pun bukan untuk suka-suka lompat. Rakyat pilih supaya mereka bela rakyat. Bila mereka tak bela rakyat dan asyik lompat, rakyat akan tendang.
Sekali fikir, elok juga ada Akta Lompat Parti. Sekurang-kurangnya kerajaan dapat bertahan sehingga habis penggal kalau nak bertukar pun, bukan macam penggal PRU14, tiga kali tukar kerajaan. Kalahkan Thailand.
Berbalik kepada angka 126. Bawah Kolong sendiri pun pening fikir darimana mereka dapat jumlah ini. Selepas PRU15 pada 19 November 2022 dan keputusan rasmi keluar 20 November 2022, Perikatan Nasional (PN) hanya dapat 73 kerusi.
Kalau 74 kerusi nak capai 126 kerusi, maknanya mereka dapat ‘curi’ seramai 53 Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH-BN), yang kini ada 148 kerusi.
Siapakah 53 Ahli Parlimen itu? Dan dari parti manakah mereka ini? Kalau diadakan PRK, bolehkah 53 kerusi yang kosong ini dimenangi semula oleh calon yang lompat parti? Bagaimana kalau separuh saja menang?
Separuh menang bermakna 26 atau 27 orang. Campur dengan 74 yang sedia ada, baru dapat 100 atau 101 orang. Mana nak dapat 26 atau 25 orang lagi?
UMNO yang ada 30 kerusi pun dah beri jaminan tak akan ada seorang pun Ahli Parlimennya akan lompat.
Begitu juga parti Gabungan Rakyat Sabah dan Sarawak, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). Mereka tak mungkin akan belakangkan keputusan rakyat pada PRU15.
Maknanya, yang kata dah ada angka 126 itu mungkin mengigau. Mungkin juga mimpi di siang hari. Atau mungkin alat kira-kira atau kalkulatornya rosak. Tekan satu campur satu keluar lima. Itulah gamaknya jadi 126.
Bawah Kolong nak nasihat sikit kepada mereka yang tengah pasang angan-angan nak tukar kerajaan. Nak tukar tak salah, tapi tunggulah PRU16 empat tahun lebih lagi. Nak menang majoriti pula kenalah kerja kuat dari sekarang.
Nak ubah minda rakyat supaya undi kita, tak susah pun. Kalau acap dan kerap turun padang jumpa mereka, selesaikan masalah mereka, bantu mereka yang kesempitan hidup walau sekadar pembangkang, rakyat akan kenang budi dan beri sokongan.
Rakyat tak pernah jasa wakil rakyat kepada mereka. Rakyat rasa wakil rakyat itu seorang yang baik dan cakna, rakyat tak teragak-agak nak beri undi atau sokongan lagi walaupun dalam PRK sekali pun.
Lainlah kalau yang menang itu walaupun sekadar pembangkang tak pernah turun jumpa rakyat. Kalau turun pun hanya sekali ketika kempen PRU15. Yang ni dah tentu rakyat akan tolak mentah-metah pada PRU16 nanti.
Cubalah jadi pembangkang yang gentleman atau pembangkang budiman. Pembangkang yang terima hakikat mereka jadi pembangkang. Cukup-cukuplah langkah itu langkah ini. Tak ke mana pun.
Hidup ini ibarat roda. Hari ini kita jatuhkan orang, esok orang jatuhkan kita balik. Jadi, kalau tak nak kita dijatuhkan suatu hari nanti, terimalah hakikat kita adalah pembangkang.
Rakyat akan menilai siapa pembangkang budiman, siapa pembangkang suka makan kawan. Tak rugi pun jadi pembangkang seperti sebelum PRU14. Sabar menunggu penggal demi penggal untuk jadi kerajaan.
Tapi, kalau jadi kerajaan kerana curi angka dan lompat parti, ia bukan wakil rakyat yang gentlemen atau wakil rakyat budiman. Ia adalah wakil rakyat yang jilake kata ayahnda Rani Kulup.
Suatu ketika dulu seseorang wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan dipandang mulia oleh rakyat kerana mereka seorang yang berprinsip. Sekarang, mereka dipandang hina, malah jadi bahan ketawa rakyat.
Wakil rakyat tidak boleh salahkan rakyat kalau mereka tidak lagi dipandang mulia atau darjatnya diangkat tinggi seperti dulu. Mereka sendiri yang meletakkan maruah diri berada di tahap paling rendah.
Bawah Kolong bukan nak hina, Bawah Kolong hanya nak sedarkan mereka bahawa maruah mereka bukan lagi semahal emas tulen, tetapi semurah emas tiruan. – MalaysiaGazette
Sabtu, 6 Mei 2023
Aduhai Hattan, sombong benor kamu ya!
By Manzaidi Mohd Amin - 30 April 2023
MULANYA Bawah Kolong malas nak ambil kisah isu seorang penyanyi telah memalukan seorang penyampai berita berhubung kematian seorang penyanyi era 80an, Mael XPDC.
Bawah Kolong malas nak panjangkan kisah ini sebab Bawah Kolong tak pernah anggap bidang hiburan ni sebagai suatu yang perlu diikuti atau ditaksubkan.
Tidak ada yang menarik dengan hiburan ini, lebih lagi perangai artis yang langsung tidak mencerminkan seorang yang boleh dijadikan ikutan, panduan, apatah lagi idola.
Ini ditambah pula dengan kesombongan seorang penyanyi lama seperti berlaku dan disaksikan secara langsung oleh seluruh masyarakat baru-baru ini.
Beginikah perangai seorang artis? Wajarkah Bawah Kolong kata dunia hiburan tidak menjadi ketaksuban untuk diikuti?
Saudara Hattan telah membuktikannya. Kesombongannya ketika menjawab pertanyaan daripada seorang wartawan penyiaran amat keterlaluan. Siapalah sangat Hattan ni. Lagu-lagunya pun bukan popular sangat.
Hanya gimik saja lebih dan tidak keterlaluan kalau Bawah Kolong kata, media telah memberi publisiti secara keterlaluan kepadanya sehingga menutup ego dirinya yang sebenar.
Kita tengok penyanyi Mawi. Siapalah dia kalau tidak kerana media yang terlebih promosi sehingga namanya dalam sekelip mata naik kemuncak. Begitu juga Hattan, masyarakat sekarang tidak mengenalinya kalau tidak kerana publisiti dari media.
Namun, kesombongannya tidak dapat disembunyikan apabila dia sendiri menampailkan sifatnya itu di khalayak, walaupun secara alam maya.
Jadi, tidak hairanlah kalau Bawah Kolong katakan, tak ada apa sebenarnya dunia hiburan ini. Namun, bukan semua ya. Ianya hanya segelintir artis yang suka buat taik.
Sepanjang hampir 40 tahun Bawah Kolong bekerja sebagai pengamal media, baru hari ini Bawah Kolong terkejut dengan tindakan Hattan mempersoalkan wartawan penyiaran itu tidak buat kajian terlebih dahulu sebelum hubunginya untuk mendapatkan komen pasal kematian rakan artisnya.
Inilah pertama kali dalam sejarah, seorang artis minta wartawan buat kajian dahulu untuk dapatkan komen daripadanya.
Siapakah artis untuk wartawan buat pencarian mengenai dirinya? Adakah artis lebih mahal atau penting daripada seorang ahli politik, seorang ahli sejarah, seorang pengkaji, seorang angkasawan dan seorang ahli konglomerat?
Siapalah Hattan untuk wartawan penyiaran itu buat kajian mengenainya. Lagi pun, wartawan penyiaran tu hubunginya untuk dapatkan komen mengenai kematian Mael sahaja.
Bukan pun nak korek sejarah hidupnya yang entah apa-apa itu. Lagunya pun bukan meniti di bibir anak muda dan amat jarang lagu-lagunya diputarkan di radio atau televisyen.
Jadi, tidak perlulah nak tunjuk ego atau jaguh. Wartawan hanya nak kau jawab atau ceritakan kisah kau dengan arwah sahaja. Kalau itu pun kau telah malukan wartawan, tunggu dan lihatlah tindakan media nanti.
Kita orang media, senang dan mudah saja. Kalau sombong-sombong dan ego, kita tak perlu beri promosi percuma. Wartawan tidak sekali-kali akan hipokrit dengan penyanyi yang sombong.
Bawah Kolong masih ingat dengan penghibur terkenal Allahyarham Sudirman Arshad, Allahyarham Sharifah Aini, Allahyarham Dahlan Zainuddin, Allahyarham Salem dan lain-lain.
Bawah Kolong membesar dengan lagu-lagu mereka dan layanan mereka yang baik, peramah, mesra dan sopan santun.
Begitu juga dengan penyanyi Black Dog Bone, Slam, Lefthanded. Penyanyi berkumpulan ini lebih santun daripada Hattan dalam memberi kerjasama kepada media.
Kepada Hattan, tak mahu minta maaf atas keegoan mu kepada wartawan itu pun tak apalah. Cuma nasihat Bawah Kolong, sedar-sedarlah diri. Kamu bukan di era kepopulariti lagi.
Kemasyhuran kamu sudah jatuh. Nama mu pun sudah malap dalam industri muzik dan hiburan. Tetapi, atas sikap keprihatinan media, nak selamatkan nama kamu, terpaksa juga bagi publisiti, walaupun kami meluat dengan keegoan kamu. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...