Ahad, 26 Mei 2024

Tergamak bunuh anggota keselamatan

ITULAH perangai manusia, pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan negara pun sanggup dibunuh. Kalau anggota keselamatan mahu dibunuhnya, apatah sangat kita yang kerja biasa-biasa ini. Terlebih dahulu, Pak Dee nak sedekahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada dua anggota polis yang terkorban akibat kerakusan manusia yang tidak dididik dengan ilmu agama. Dalam kejadian awal pagi Jumaat (17 Mei 2024), Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said terbunuh diserang seorang lelaki yang disyaki pengikut Jemaah Islamiyah (JI) di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru. Seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan, iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Bagaimanapun, penyerang yang tidak berperikemanusiaan itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian pada awal pagi itu juga. Alhamdulillah. Agak sedih dan terharu, dua anggota polis yang terkorban itu masih muda. Terlalu muda. Umur baharu awal 20-an. Jika Allah pinjamkan nyawa lebih lama kepada arwah, sudah tentu kehidupannya berubah menjadi yang lebih baik dari sebelumnya dengan izin Allah. Namun, nyawa mereka diragut dengan asbab kewujudan manusia yang dikurniakan akal, tetapi tidak digunakan. Manusia yang konon berilmu Islam, tetapi menyeleweng dari ajaran asal dibawa dan dianjurkan Nabi Muhammad SAW. Manusia beramalkan ajaran sesat tidak boleh diiktiraf sebagai penganut Islam yang menjalani kehidupan berasaskan al-Quran dan Hadis. Manusia seperti ini wajar disisihkan kerana bagi mereka semua pihak termasuk anggota keselamatan adalah musuh. Perjuangan mereka tidak jelas. Matlamat kehidupan mereka kabur. Kita tidak tahu apa yang mereka mahu perjuangkan dan apa yang mereka matlamatkan. Sedangkan, al-Quran dan Hadis sudah menyatakan dari awal, Islam adalah agama keamanan, kedamaian dan persaudaraan. Amallah agama secara sederhana, bukan secara ekstrem, keterlaluan dan berlebihan yang mendatangkan ‘kecederaan’ kepada akal kita. Inilah yang berlaku kepada pengikut JI. Pak Dee cuba nak singkapkan serba sedikit siapa dan apa JI ini. Mengikut carian Pak Dee, JI adalah kumpulan berkaitan Al-Qaeda di rantau ini dan diasaskan di Indonesia. Ia mula masuk ke Malaysia pada pertengahan tahun 1990-an menerusi penubuhan sekolah pondok dan matlamatnya untuk mewujudkan apa yang dinamakan sebagai Daulah Islamiyah Nusantara, yang merangkumi Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan selatan Filipina. Kumpulan tersebut telah diharamkan di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Pengasasnya ialah Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar pada 1993, yang berakar daripada jaringan sekolah Pondok Ngruki sejak 1971. Mereka mengasaskan JI susulan pertembungan ideologi dengan gerakan Negara Islam Indonesia yang lebih lama yang diketuai Ajengan Masduki. Namun, Abdullah Sungkar meninggal dunia tahun 1999 pada usia 62 tahun. Kajian oleh Fletcher School of Law and Diplomacy di Amerika Syarikat pada 2004 menyatakan Abdullah mendapat inspirasi daripada pemikir yang mengangkat tafsiran agama secara literal, seperti pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb dengan doktrin membenarkan jihad bersenjata terhadap regim yang tidak Islamik. Sementara itu, Abu Bakar, 85, didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di Bali pada 12 Oktober 2002. Namun, tiada bukti secara langsung yang mengaitkannya dengan insiden itu yang dilaporkan meragut 202 nyawa. Pada 2011, dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan membuat latihan separa tentera untuk militan di Aceh. Namun, hukuman penjaranya dikurangkan dan dia dibebaskan pada Januari 2021. Sebelum penangkapannya, Abu Bakar menghabiskan masa lebih sedekad di Malaysia bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa Indonesia. Dia kembali ke Indonesia pada 1999 – selepas era reformasi republik itu – untuk menubuhkan Majlis Mujahidin Indonesia yang bertujuan melaksanakan undang-undang Islam di Indonesia. Gerakan JI di Indonesia menjadi begitu lemah sepanjang dekad lalu, menurut Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi Indonesia Adhe Bhakti. “Tiada serangan berkaitan JI di Indonesia sejak 15 tahun lalu,” katanya sepertimana Pak Dee petik laporan dari portal Malaysiakini. Dia berpandangan ia berikutan tindakan yang diambil Indonesia terhadap pemimpin JI, termasuk pengganti terakhir Abu Bakar, Para Wijayanto pada 2019. Adhe turut yakin yang sebarang anggota atau kumpulan berkaitan JI di Malaysia tiada pertalian dan saki-baki gerakan itu di Indonesia, berdasarkan bukti dokumen daripada perbicaraan dan temu bual dengan anggota dan bekas anggota JI sejak 2014. Abu Bakar dan Abdullah adalah pengasas Madrasah At-Tarbiyyah Al-Islamiyah Luqmanul Hakiem yang terletak di Ulu Tiram di Johor. Madrasah itu tidak lagi beroperasi pada awal 2000-an. Antara bekas pelajarnya adalah pengganas yang paling dikehendaki di Malaysia, Noordin Mohd Top yang lahir di Kluang, Johor. Noordin terbunuh ketika serbuan pihak berkuasa Indonesia pada 17 September 2009, atas peranannya di belakang banyak serangan bom di Indonesia pada awal 2000-an. Turut pernah belajar di sana adalah dua lelaki yang kini ditahan di Guantanamo Bay – warga Indonesia Riduan Isamuddin, yang lebih dikenali dengan nama Hambali, Nazir Lep yang berasal dari Johor. Kedua-duanya ada pengalaman perang di Afghanistan dan ada pertalian dengan Al-Qaeda. “Abu Bakar dan Abdullah bersembunyi di Johor. Dari Malaysia, Abu Bakar mengaturkan penghantaran rekrut untuk menyertai perang di Afghanistan,” kata Adhe. Buat sekian lama, pihak berkuasa di Malaysia menggunakan undang-undang penahanan tanpa bicara, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), terhadap individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas. Kesalahan-kesalahan berkaitan turut disentuh bawah Kanun Keseksaan, iaitu Seksyen 130B hingga Seksyen 130Z, antaranya bagi kesalahan “melakukan, merekrut, menghasut, menggalak, memberi sokongan dan mengarahkan” kegiatan keganasan. Felo pelawat di S Rajaratnam School of International Studies Singapura, Noor Huda Ismail berkata, serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat itu menunjukkan betapa ideologi mampu bertahan. “Ia menekankan keperluan pendekatan peringkat masyarakat secara menyeluruh untuk integrasi anggota kumpulan seperti JI dan keluarga mereka,” kata warga Indonesia itu. Katanya lagi, serangan itu seperti sangat dipengerahui perkembangan peringkat global dan serantau, terutama menerusi kaedah serangan berteknologi rendah yang pernah dilihat di tempat lain sebelum ini. Itulah serba sedikit info mengenai JI. Namun, Pak Dee harap, satu hari nanti mereka sedar mereka telah terjerumus dalam ajaran yang salah dan kembali ke pangkal jalan. Aamiin. – NasionalDaily siaran 19 Mei 2024

Kita doakan Akhyar dan Faisal diberi kesembuhan

PAK DEE masih lagi dalam keadaan terkejut. Terkejut dengan insiden yang tak disangka-sangka boleh berlaku ke atas dua pemain bola sepak kebangsaan. Kes pertama, pemain bola sepak kebangsaan dan Terengganu FC, Akhyar Rashid disamun berhampiran kediamannya di kawasan Kuala Terengganu pada malam 2 Mei lalu. Akibat serangan itu, beliau yang baharu berusia 25 tahun, mengalami kecederaan di kepala, luka di kaki kiri dan lengan kiri, dipercayai dipukul dengan besi boleh laras. Malangnya, penyamun itu memakai ‘mask’ bagi mengelakkan diri dan identiti terdedah. Mereka berjaya membawa lari beg bimbit milik Akhyar yang mengandungi wang tunai hampir RM5,000. Akibat serangan itu, pemain berusia 25 tahun itu cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri, dipercayai dengan besi yang boleh laras. Belum reda dengan insiden itu, bumi Malaysia digegarkan pula dengan kes, juga pemain kebangsaan, Faisal Halim disimbah asid di kompleks beli belah. Alangkah terkejutnya Pak Dee, dalam tempoh tiga hari, dua kes melibatkan dua pemain bola sepak, yang mengharumkan nama negara di persada arena sukan bola sepak Asia dan Asean. Apa motif penyamun dan penyimbah asid ini sanggup mencederakan pemain kesayangan peminat bola sepak ini, tidak diketahui. Kalau samun, dah tentu penyamun perlukan duit untuk beli barang keperluannya, dadah. Tetapi, kalau simbah asid ini, bukan duit keutamaan penjenayah ini, sebaliknya nampak seperti ada unsur dendam. Umum tahu, malah dunia sekalipun tahu, pemain bola sepak ini tidak pernah ada isu atau kontroversi. Mereka bukan artis yang sanggup mencemarkan nama sendiri semata-mata kejar populariti. Pemain bola sepak tak pernah nak kejar populariti. Kerjaya mereka ialah menaikkan nama pasukan, nama negeri dan nama negara dengan corak permainan di padang ketika bertemu pasukan lawan. Mereka tidak bercakap banyak sebagaimana artis. Jadi, tidak ada sebab individu terbabit menyimpan dendam dengan pemain bola sepak ini. Ini yang mengejutkan Pak Dee, sehingga sehari dua ini masih dalam keadaan tertanya-tanya. Pak Dee tertanya-tanya, apa dosa Akhyar dan Faisal hingga sanggup mencederakan tubuh badan mereka. Dan, paling berat sekali Faisal. Kecederaan ditanggungnya di tahap empat. Dan, hari ini pula, doktor menyatakan, keadaan Faisal kritikal. Allahuakhbar! Sedihnya Pak Dee dengar berita sebegini. Lebih lagi menimpa kepada orang yang tidak berdosa. Pak Dee, sebagaimana rakyat Malaysia juga, berharap sangat polis dapat tangkap penjenayah yang mencederakan Akhyar dan Faisal. Bawa mereka ke muka pengadilan, bicara dan jika didapati bersalah, jatuhkan hukuman setimpal. Walaupun luka atau kecederaan dialami Akhyar tidak seserius Faisal, tetapi apabila satu-satu anggota badan terluka, ia akan memberi kesan kepada stamina Akhyar di padang nanti. Begitu juga Faisal. Kemelecuran anggota tubuhnya yang dimamah asid itu mengambil masa agak lama untuk sembuh sepenuhnya. Ini secara tidak langsung menjejaskan moral dan semangat mereka dalam meneruskan kehidupan. Namun, Pak Dee mengharapkan akan ada kementerian berkaitan menyediakan khidmat kaunseling kepada Akhyar dan Faisal. Pulih dan kembalikan semangat mereka yang luntur akibat insiden yang menimpa diri mereka. Dan, kita di luar sana, sebagai rakyat Malaysia, sebagai peminat bola sepak, sebagai penyokong Akhyar dan Faisal, marilah sama-sama kita menadah tangan mendoakan semoga kedua mereka diberi kesembuhan dan dikembalikan semangat yang hilang oleh Allah SWT. Mari kita berdoa, semoga Akhyar dan Faisal cepat sembuh dan kembali beraksi di padang. Misi dan visi mereka adalah untuk menaikkan nama negara. Mereka bukan kejar populariti. Kepada penjenayah yang terlibat. Ke mana kamu nak lari atau menyembunyikan diri. Hidup kamu tidak sebebas sebelum ini. Siang malam diri kamu dalam buruan, dalam perhatian pihak berkuasa. Satu saja Pak Dee nak pesan kepada penjenayah terbabit. Ingat! Polis Diraja Malaysia adalah pasukan keselamatan yang terbaik dunia. – Nasionaldaily siaran 7hb Mei 2024

Ahad, 5 Mei 2024

Taktik bawa keluarga borong minyak masak peket

NI satu lagi Pak Dee nak bagitau pasal taktik pembelian minyak masak peket di pasar-pasar raya runcit mahupun pasar raya borong. Tengah hari semalam, Pak Dee ambil masa rehat waktu bekerja untuk ke pasar raya borong di belakang rumah. Pasar raya ni terletak kira-kira 700 meter saja dari rumah Pak Dee. Tujuan Pak Dee ke pasar raya ni sebab nak beli minyak masak. Kebetulan stok kat rumah dah hampir habis. Jadi, Pak Dee rasa perlu beli untuk simpanan. Selalunya, Pak Dee beli minyak masak peket ni satu atau dua peket saja. Tu pun dah bertahan sebulan lebih. Pak Dee tak beli banyak sebab minyak ni kalau lama tak guna, dia punya rasa akan berubah. Jadi, Pak Dee beli sekadar untuk keperluan dalam dua minggu ke sebulan saja. Maka, cukuplah dua peket. Sebaik sampai di pasar raya tu, Pak Dee menuju ke lokasi minyak masak. Kebetulan ada enam orang sedang mengelilingi rak tempat letak minyak masak peket sedang memasukkan minyak masak dalam plastik. Pak Dee beratur, tunggu belakang salah seorang dari mereka, sebab cara mereka mengelilingi rak menyukarkan Pak Dee nak mencelah ambil minyak. Pak Dee tunggu dalam tiga ke lima minit, semua mereka selesai ambil minyak untuk bahagian masing-masing. Situ ada notis tertulis: “Tiga peket seorang sahaja”. Bila tiba giliran Pak Dee, tengok minyak dah habis. Tak ada satu peket pun ditinggalkan oleh kumpulan enam orang tadi. Pak Dee cari penyelia pasar raya nak tanya kot-kot ada lagikah stok minyak masak peket, sebab yang di rak sudah habis. Jumpa dan tanya, penyelia tu jawab, dah habis. Pak Dee rasa hampa. Pak Dee keliling kelalang dalam pasar raya tu, dan Pak Dee perasan, acap kali terserempak dengan enam orang yang tadi sedang keliling rak minyak masak peket. Pak Dee tengok dan perhati keenam-enam orang tu sambil menolak troli masing-masing dan berjalan pula beriringan antara satu sama lain. Pak Dee lihat ada kejanggalan di situ. Kalau mereka tidak ada hubungan persaudaraan sudah tentu mereka sudah lama berpecah arah. Ini macam belangkas. Pak Dee dapat rasa ada kepelikan. Pelik sebab bila Pak Dee perhatikan, enam orang ini macam bukan orang lain-lain. Mereka ni nampak macam satu keluarga. Seorang lelaki dah agak tua sikit dan seorang wanita pun hampir sebaya dengan lelaki yang dah agak tua tu. Kalau dikatakan suami isteri pun memang sesuai. Jalan beriringan. Manakala empat orang lagi yang sentiasa berjalan rapat-rapat dengan lelaki dan wanita yang dah agak tua itu macam budak-budak remaja. Kalau dikatakan mereka adik beradik pun memang sesuai. Muka, iras pun hampir-hampir ada kesamaan. Yang mata sepet tu kira wajib dah. Entah-entah mereka ini satu keluarga? Datang ke pasar raya semata-mata nak borong minyak masak peket. Tak boleh jadi ni. Bayangkan, kalau mereka betul-betul satu keluarga, enam beranak, masuk ke pasar raya dengan menolak enam troli dan tiap seorang ambil tiga peket minyak masak, dah 18 peket atau 18 kilogram mereka dapat. Ini kira main taktik kotor ni. Orang lain nak dapatkan satu peket minyak pun susah. Mereka senang-senang datang satu keluarga, borong minyak masak. Cara atau taktik yang keluarga ini guna adalah paling jahat dan terpaling kurang ajar. Cara mereka sama jahat dan sama kurang ajar dengan taktik warga asing yang datang beli minyak masak peket, beras dan barang bersubsidi dengan membawa seramai mungkin kawan-kawan serumah. Pihak pasar raya kena pantau perkara macam ni. Jangan fikirkan keuntungan semata-mata. Kena juga fikirkan keperluan pelanggan. Bukan pelanggan tamak dan jahat macam keluarga tu. Takkan pekerja pasar raya tak dapat beza orang yang beli minyak masak peket ini adalah orang perseorangan atau keluarga atau serombongan kawan serumah. Kalau kaedah ini digunakan seharian dan dibiarkan begitu saja, kesianlah orang lain yang lebih memerlukan minyak masak tu. Entah berapa kali dalam sehari keluarga ini masuk ke pasar raya beli minyak masak peket. Dan, entah banyak mana minyak masak peket disimpan di rumah mereka. Perkara-perkara seumpama ini pihak pasar raya perlu pantau, ambil tahu dan sentiasa perhatikan gerak geri pembeli, terutama di rak minyak masak peket. Tak susah pun nak buat. Daripada pekerja pasar raya berkumpul di satu tempat, contohnya bahagian barang basah, tak salah letak seorang dua pekerja sebagai pemerhati, sambil-sambil buat kerja rutin di bahagian minyak masak. Atau juruwang kena main peranan, berani dan tegas. Jadi, tengah hari semalam Pak Dee balik rumah dengan tangan kosong. Tak dapat beli satu peket pun minyak masak. Tapi, esok Pak Dee nak cuba pergi lagi. Mana tahu ada rezeki! – Nasionaldaily siaran 27 April 2024

Hari mendukacitakan, kita kehilangan 10 perwira negara

PAGI semalam (23 April 2024/Selasa) adalah hari yang paling mengejutkan, mendukacitakan dan menyedihkan. Kita digemparkan dengan insiden dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung di udara dan mengorbankan 10 wira serta wirawati negara. Semua yang terkorban adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang khidmat mereka selama ini amat diharga seluruh rakyat Malaysia kerana tanpa mengira waktu, mereka menjaga keselamatan negara. Pak Dee ambil masa satu minit untuk menyedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa yang beragama Islam dan bertafakur untuk mangsa yang bukan beragama Islam. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh wira dan wirawati negara ini. Aamiin. Pak Dee dapat tahu insiden ini berlaku kira-kira jam 11.30 pagi. Pak Dee terputus dengan kejadian di luar sebab Pak Dee berada dalam Mahkamah Majistret Shah Alam mengikuti kes perbicaraan adik kepada seorang artis popular yang berdepan tuduhan pecah amanah tuntutan palsu. Kerana otak menumpukan pada kes ini, Pak Dee tak ambil tahu hal luar. Bukan Pak Dee tak ada telefon. Pak Dee ada telefon, tapi malas nak tengok. Lagi pun duduk dalam mahkamah, tak seronok tengok telefon. Baik tumpu pada kes-kes yang berlaku melibatkan Orang Kena Tuduh (OKT). Yang menyeronokkan buat liputan mahkamah ni, sementara tunggu kes perbicaraan, mahkamah diteruskan dengan kes-kes kanun keseksaan seperti dadah, menipu pelaburan, pecah amanah, bergaduh dan macam-macam lagi. Sebab seronoklah mengikuti kes-kes yang macam-macam inilah Pak Dee terlepas dengar insiden yang mengorbankan nyawa perwira negara. Sehinggalah Pak Dee dibisikkan oleh orang sebelah, menunjukkan video kejadian dalam telefon bimbitnya. Pak Dee terkejut. Pak Dee hilang kata-kata. Fikiran Pak Dee berbelah bahagi. Mengharapkan kejadian itu tidak berlaku di Malaysia dan bukan rakyat Malaysia yang terlibat. Pak Dee lupakan kes yang sedang berjalan. Pak Dee buka telefon bimbit dan buat carian insiden yang berlaku. Masya-Allah, terpaku seketika Pak Dee selepas melihat rakaman video yang dikongsi dalam aplikasi Telegram, dalam portal-portal berita dan dalam media sosial. Pak Dee terfikir dan tak boleh bayangkan, bagaimanakah perwira-perwira kita yang berada dalam dua helikopter itu berdepan dengan suasana sedemikian. Pak Dee doakan semoga Allah meringankan kesakitan mereka ketika berdepan dengan sakaratulmaut. Ya, Allah. Pak Dee hilang pedoman seketika. Pak Dee tak ambil peduli dah kes yang sedang berlangsung depan mata di mahkamah ketika itu. Beberapa minit kemudian Pak Dee kembali normal. Pak Dee tutup telefon dan beri tumpuan pada kes mahkamah. Tapi, dalam tumpuan itu, fikiran Pak Dee melayang-layang mengenangkan insiden berkenaan. Ketika mahkamah tangguh untuk satu jam, Pak Dee bergegas ke kantin mahkamah. Pekena teh tarik. Lega sikit. Fikiran pun dah mula tenang memikirkan insiden di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak itu. Pak Dee cuba kuatkan semangat, buka media sosial Facebook. Majoriti status ketika itu berkisar insiden perlanggaran dua pesawat itu. Satu pesawat, jenis Agusta WestlandHOM (M503 3) dinaiki tujuh kru, manakala satu lagi pesawat, jenis Fennec (M502 6) dinaiki tiga kru. Kru yang berada dalam dua pesawat itu bukan calang-calang anggota. Mereka adalah yang berpangkat Komander, Leftenan Komander, Leftenan, Pegawai Waran II, Bintara Muda dan Laskar Kelas I. Negara kehilangan perwira yang tangkas, berani dan tegas. Mereka bertugas dan berkhidmat tanpa mengira bahaya dan cabaran. Semuanya demi menjamin keselamatan 33 juta rakyat Malaysia dan tanah air dari diceroboh musuh-musuh. Cuma Allah lebih sayangkan mereka dan Allah mengambil mereka, mendahului kita yang masih bernafas ini. Kepada keluarga dan ahli keluarga wira dan wirawati yang terkorban demi negara, sabar dan tabahlah hadapi ujian Allah. Takziah kepada mereka. Aamiin. - Nasionaldaily 24 April 2024