Sabtu, 17 Februari 2024

Beras Madani beban rakyat marhaen

ITU yang Pak Dee rasa pelik. Ribut tidak, hujan tidak, tiba-tiba diumumkan beras Madani akan ganti beras putih tempatan bermula 19 Februari ini. Awalnya bila dengar beras Madani, terbayang oleh Pak Dee pasal harganya. Tentulah Pak Dee fikir murah sikit berbanding beras putih biasa. Tapi, bila Pengerusi NACCOL, Syed Abu Hussin Hafiz kata beras Madani akan dijual pada harga RM30 bagi 10 kilogram, Pak Dee mula was-was dan ragu-ragu. Was-was dan ragu-ragu sebab ketika rakyat terutama B40 berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, tiba-tiba NACCOL bagi pihak kerajaan mengumumkan harga beras yang lebih mahal dari yang rakyat nikmati. Apa motif pak syeikh paksa rakyat beli beras mahal? Tak terfikirkah oleh pak syeikh yang rakyat ni telah dibebankan dengan kenaikan harga barang keperluan harian seperti telur, minyak masak, sayur-sayuran, makanan dan minuman di restoran? Kemudian lepas ni rakyat akan berdepan pula dengan kenaikan tarif air dan letrik. Dahlah kos penyelenggaraan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dinaikkan sekali ganda, ni pak syeikh nak rakyat beli beras harga mahal pula. Baik pak syeikh jangan guna nama Madani pada beras tu, sebab bila sebut nama Madani, rakyat ingatkan kerajaan prihatin dengan nasib mereka. Rupanya Madani ni tak lebih dari cogankata yang sedap disebut, tapi pahit dimanfaatkan. Dalam hal ini, Pak Dee nak ucapkan tahniah kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Abang Mat dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan belum membuat sebarang ketetapan atas cadangan NACCOL nak perkenalkan beras Madani. Jadi, selama ini pak syeikh buat keputusan sendirilah ya nak perkenalkan beras Madani dan pada masa sama nak hapuskan beras putih tempatan yang jauh lebih murah dari beras Madani? Sejak bila pak syeikh langgar peraturan? Iaitu segala hal berkaitan dasar dan kepentingan rakyat perlu diangkat kepada Kabinet untuk dapat kelulusan? Atau pak syeikh ingat keputusan pak syeikh mewakili keputusan Kabinet? Memang patutlah tauke Mydin melenting bila ada arahan mahu hapuskan beras putih tempatan untuk digantikan beras Madani. Mulanya Pak Dee kata dalam hati, berani tauke Mydin bantah keputusan kerajaan. Tak takut ke? Rupanya tauke Mydin tahu arahan beras Madani mulai dijual di pasaran Isnin ni bukan dari Kabinet, tapi dari sedap rasa hati pak syeikh. Memang tak patut. Dahlah berpaling tadah dari Bersatu, bila sokong kerajaan dan diberi jawatan, pak syeikh naik hantu buat keputusan sendiri pula. Apapun, Pak Dee harap dengan kenyataan abang Mat Sabu tadi, dapat membuka mata kerajaan supaya buat kajian semula pasal kenaikan harga beras Madani. Nak jenama semula boleh, tapi kekalkan harga bawah RM30 untuk 10 kilogram. Kalau semua nak dinaikkan harga, ketika semua barang keperluan dah berharga tinggi, jelaslah kerajaan Madani kerajaan tak prihatin. Layari portal wwww.nasionaldaily.com

Kerana mulut badan binasa

PAK DEE perhatikan kebelakangan ini ramai yang ambil kesempatan dengan kemudahan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Youtube untuk menghentam pihak yang tidak sebulu dengan mereka. Platform ini pula ‘memberi’ ruang sebebas-bebasnya kepada sesiapa sahaja terutama yang bergelar pempengaruh untuk meluahkan dendam kesumat dalam hatinya terhadap pihak lawan secara audio mahupun visual. Pak Dee pun rasa rimas tengok ‘keberanian’ mereka mencaci, memaki, menghamun dengan kata-kata tidak elok dalam konten yang disiarkan pula dalam Youtube, Facebook, Instagram mahupun TikTok. Juga dalam akaun-X. Sikap ‘berani’ ini sebenarnya tak lama. Bila pihak lawan buat laporan polis, maka sesegera mungkin terus padam dari posting. Dah kalau berani kenapa padam? Biarlah konten tersiar selama-lamanya, walaupun empunya badan telah dikutip pihak berkuasa untuk siasatan, pendakwaan dan penghukuman mahkamah. Ini baru dikatakan berani. Kalau setakat ‘berani’ untuk dua tiga hari, tak jadi apa. Itu pengecut namanya. Macam yang berlaku ke atas seorang pempengaruh ni. Dd Chronicle namanya. Dia gemar buat konten ‘lucu-lucu’ supaya orang ketawa dengan ‘kelucuan’ kontennya. Tetapi, dalam lucu-lucu itu dia selitkan unsur menghina. Tak kiralah menghina individu, menghina kerajaan mahupun menghina agama sendiri, dengan alasan untuk orang atau penonton ketawa. Mungkin dia rasa seronok dengan ‘kelucuan’nya itu. Makin ramai ketawa ‘pecah perut’ makin syok dia buat ‘lucu. Tetapi, betul orang-orang tua kata, suka akhirnya duka. Sekarang, apa dah jadi dengan Dd Chronicle yang suka membuat konten ‘lucu’? Dia sekarang menunggu masa untuk dikutip polis. Bukan satu dua laporan polis dibuat ke atasnya. Pak Dee difahamkan sudah cecah berpuluh laporan dibuat di seluruh negara. Apa perasaan dia ketika ini? Gembira atau dalam resah? Gembira hanya pada hari pertama konten disiarkan, kemudian sekarang dalam keresahan selepas dengan pasti tahu dirinya akan ke balai polis untuk soal siasat. Pak Dee terus terang, Pak Dee memang dari mula lagi tak suka dengan konten Dd Chronicle, kerana kandungannya lebih kepada menghentam, bukan membina minda. Apapun, Pak Dee doakan semoga Allah permudahkan segala urusan Dd Chronicle dan selepas ini menyedarkan beliau untuk membuat konten yang memberi pengajaran, bukan dendam. Layari portal www.nasionaldaily.com

Hebat sangatkah jadi tukang fitnah?

DUA tiga hari lepas Pak Dee ada terbaca pasal dua tiga orang ‘budak’ suruhan parti politik pembangkang yang cuba nak jadi hero. Kerjanya tak lain tak bukan, buat fitnah dan tabur fitnah. Dengan tujuan untuk menjatuhkan aib musuh politik tuan yang mengupahnya. Bila fitnah tersebar secara meluas di media sosial, maka gembira dan banggalah penyebar fitnah akan hasil kerjanya. Nama memuncak naik dan menjadi bualan para netizen. Si tuan badan yang menjadi mangsa fitnah pula menanggung malu dan aib atas fitnah yang tersebar. Untuk tutup fitnah itu berterusan, maka laporan polis pun dibuat. Polis yang banyak kerja lain nak dibuat, terpaksa tambah tugasan untuk siasat tukang-tukang pembuat dan penyebar fitnah ini. Biasanya dua tiga jam masa dihabiskan untuk soal siasat pemfitnah ini, sebelum kertas siasatan yang dah siap dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Kadang-kadang Pak Dee terfikir, apa untungnya jadi tukang fitnah? Betul dapat upah, tapi berbaloikah tinggal anak bini tak berteman di rumah? Tak kesiankah kepada mereka yang akan berdepan dengan saudara mara dan jiran tetangga? Kita tentu rasa bangga dicekup polis, tidur dalam lokap dan turun naik mahkamah, kononnya itulah satu perjuangan. Tetapi, bagaimana dengan ahli keluarga? Isteri dan anak-anak? Apakah mereka bangga dan gembira melihat suami dan ayah mereka memakai baju oren, tangan bergari? Sudah-sudahlah dengan kerja menabur fitnah. Tak untung pun. Orang yang mengupah senang lenang di rumah dan makan angin di luar, kita yang menabur fitnah pula berdepan dengan saman. Betullah, untuk mahkamah putuskan bersalah atau tidak, mengambil masa bertahun-tahun, tapi senangkah hidup sekiranya asyik menunggu tarikh perbicaraan dan sentiasa pula menghabiskan masa dengan peguam-peguam kita? Dan, tahukah kamu, fitnah adalah amalan keji lagi dibenci oleh seluruh umat manusia? Malah, Islam sendiri memandang berat budaya ini dalam kalangan umatnya. Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai satu bentuk ancaman daripada Allah SWT dan Rasul-Nya mengenai besarnya dosa menabur fitnah. Jika pembawa fitnah itu orang Islam, maka ketahuilah bahawa azab yang berat sedang menantinya sebaik sahaja jasad dan rohnya berpisah. Sementara akhirat pula dia akan dihumban dalam api neraka jika dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT. Sungguh menakutkan sekali azabnya. Tapi, disebabkan dosa fitnah ini tidak boleh dilihat dan tidak nampak dengan mata kasar besar kecilnya, maka kerja memfitnah ini dianggap biasa dan dijadikan pula sebagai punca pendapatan. Rasulullah SAW mengecam keras kepada pengadu domba seperti hadis daripada Huzaifah RA bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba” - (Riwayat Muslim). Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hukum fitnah adalah haram dan termasuk antara dosa yang besar kerana perbuatan ini boleh menyebabkan musibah yang besar dalam masyarakat. Jadi, fikir-fikirkanlah kalau kita makan gaji hasil daripada memfitnah. Duit pendapatan itu diberi makan pula kepada anak isteri. Allahuakbar. Bertaubatlah. Layari portal www.nasionaldaily.com

Sebenarnya Nik Elin tak mahu dua undang-undang bertembung

PAK Dee taklah pandai sangat pasal hukum hakam syariah dan sivil ni. Tapi, melihat kepada apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini, Pak Dee rasa terpanggil untuk turut mengulas dan mengupas apa sebenarnya yang berlaku. Al-kisahnya ada la seorang peguam ni, jantinanya wanita, agamanya Islam yang secara tiba-tiba telah mencabar enakmen jenayah syariah. Usaha pertamanya bermula di Selangor dalam kes Iki Putra Mubarak yang didakwa atas kes jenayah syariah iaitu liwat pada 21 Ogos 2019. Mamak ini dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii. Tetapi, ada pihak lain mahu Iki Putra ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan (KK) dengan alasan peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung kesalahan itu bertentangan dengan hukum tabii adalah tidak sah disebabkan bertentangan dengan Perlembagaan. Berikutan itu, maka pada 25 Februari 2021 Mahkamah Persekutuan membenarkan cabaran undang-undang seksyen berkenaan dibuat oleh Iki Putra. Keputusan mahkamah itu secara tidak langsung telah mengetepikan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan bahawa seks di luar tabii adalah jenayah. Pada pandangan Pak Dee sama ada hukuman dijatuhkan mengikut undang-undang syariah atau undang-undang sivil sama sahaja kerana kedua-duanya bersifat menjatuhkan hukum kepada pelaku. Cuma bezanya, kalau dilihat pada mata kasar, hukuman jenayah syariah lebih ringan dari hukuman jenayah sivil. Pak Dee nak beri contoh, katalah tertuduh didapati bersalah atas tuduhan liwat, kalau ikut KK, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum 30 tahun, manakala bawah enakmen syariah pula hukumannya maksimum tiga tahun. Begitu juga dalam kes merogol haiwan atau binatang jika disabitkan kesalahan pelaku boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahu bawah KK dan maksimum dua tahun bawah enakmen syariah. Kesalahan atas perilaku sumbang mahram pula, hukuman bawah KK ialah maksimum 30 tahun, tetapi bawah enakmen syariah pula maksimum tiga tahun. Jika ditilik dan diperhatikan hukuman bawah KK lebih setimpal berbanding hukuman bawah enakmen syariah yang dilihat terlalu ringan. Dan sebab itulah, peguam bernama Nik Elin, selepas memerhati perkara itu dan diambil kira kes Iki Putra, makanya telah memfailkan notis usul mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 untuk membatalkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen berkenaan. Pada Pak Dee, ada betulnya juga tindakan Nik Elin itu dari segi nak ‘mensetimpalkan’ hukuman kepada pelaku kerana meliwat, merogol binatang dan sumbang mahram ni perlu dikenakan hukuman yang lebih berat. Dalam bab mencabar ni kita tak boleh salahkan mahkamah. Mahkamah hanya membuat keputusan berdasar dan bersandarkan kepada hujah peguam. Mana yang didapati hujahnya kuat, dan mana hujah yang lemah maka keputusannya adalah memihak kepada yang hujahnya kuat. Dalam hal ini, selepas Mahkamah Persekutuan mendengar hujah Nik Elin yang banyak kesahihannya maka mahkamah membenarkan notis usul cabaran peguam wanita itu terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan. Itulah kisahnya kalau mengikut pemahaman sempit Pak Dee. Iaitu Nik Elin telah memfailkan petisyen berhubung cabarannya terhadap kanun jenayah itu. Dia minta dibicarakan supaya mahkamah dapat membuat keputusan yang adil. Namun, Pak Dee difahamkan pada 19 Mac 2023, seramai 200 peguam termasuk peguam bela, peguam cara dan peguam syarie telah menandatangani petisyen itu bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra. Dan, pada 17 Ogos 2023 pula, seramai sembilan hakim telah membuat keputusan bahawa peruntukan Enakmen Jenayah Syariah 1995 yang menyatakan bahawa seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan. Maka, Pak Dee difahamkan perbicaraan kes itu telah memihak kepada Iki Putra. Alasan diberikan ialah negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan jenayah liwat mengikut undang-undang syariah kerana kesalahan jenayah liwat adalah tertakluk di bawah kuasa Persekutuan serta undang-undang Persekutuan serta undang-undang Persekutuan (KK). Keputusan itu kemudiannya membangkitkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin dan penyokong Pas. Dah mula melibatkan politik. Elok-elok kes ini berjalan mengikut perundangan tanpa campur tangan politik, tiba-tiba menjadi isu politik. Nampak tak? Maka, berbondong-bondonglah pihak-pihak politik menganjurkan himpunan yang dinamakan Himpunan Selamatkan Syariah. Mereka berkumpul di depan Istana Kehakiman Putrajaya, kononnya untuk menzahirkan bantahan. Rakyat marhaen yang takt ahu menahu hukum perundangan itu telan bulat-bulat dengan menanam tuduhan kononnya ada pihak cuba mencabar dan menggugat undang-undang dan institusi Mahkamah Syariah negeri-negeri Melayu. Padahal pada pandangan Pak Dee, ia tidak ada kena mengena pun dengan usaha pihak tertentu nak mencabar, apatah lagi mengganggu-gugat undang-undang syariah. Tapi itulah, bila ada pihak nak mempolitikkan, perkara yang biasa-biasa bertukar jadi luar biasa. Isu yang kecil menjadi besar dan berbelit-belit hingga rakyat pun menuduhlah pihak pemerintah nak berpolitik dalam isu hukum syariah. Padahal tak ada apa pun. Tapi dah ada pihak sengaja nak putar belitkan, maka berbelit-belitlah. Pening Pak Dee mikir mainan politik sedekad ni. - Layari portal www.nasionaldaily.com

Sedih rakan media hilang kerja, dibebani tunggakan hutang

PAK Dee kesian dengan nasib malang menimpa kawan-kawan media Pak Dee. Selepas berbelas tahun bekerja, menyumbang keuntungan kepada syarikat, tak sangka hari ni dalam sekelip mata hak mereka dinafikan. Apa yang mengejutkan Pak Dee, kawan media beritahu mereka sebenarnya sudah empat bulan tidak dibayar gaji. Katanya, dari bulan Oktober 2023 hingga akhir bulan lalu, Januari 2024. Sepanjang tempoh tidak bergaji itu, kata mereka, kereta dan motosikal terpaksa disembunyikan dari pencarian penarik kenderaan upahan bank. Bekalan letrik dan air juga berdepan dengan pemotongan kerana gagal bayar tunggakan. Apa sudah jadi dengan majikan ini? Kenapa tidak ambil inisiatif atau usaha untuk menyelesaikan kes tunggakan gaji kepada pekerja mereka? Majikan pula dikatakan tidak berdepan langsung dengan masalah kewangan sebab keuntungan hasil mengendalikan media masih banyak. Sedangkan, anak buah gaji umpama kais pagi makan petang, kais petang makan malam. Sentiasa berjimat cermat untuk masa depan. Apapun, Pak Dee harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana memang kesian dengan nasib kawan-kawan media ini. Nak isi perut sendiri pun susah, apatah nak suap nasi untuk anak isteri. Paling tragis, seorang kawan media Pak Dee beritahu, anak sulungnya tak dapat masuk ke MRSM sebab tak dapat hantar anak ke sesi temuduga dua bulan lalu kerana tak ada duit belanja. Inilah kehidupan wahai golongan kaya raya. Bukalah pintu hati. Celiklah mata, kita yang miskin ni kalau kita kata tak ada duit, memang betul-betul tak ada duit. Orang kaya, kalau mereka kata tak ada duit, sekurang-kurangnya puluhan ribu, ratusan ribu dan jutaan ribu masih ada dalam simpanan. Orang miskin, kalau tak ada, memang tak ada sungguh. Buktinya berlaku pada kawan media Pak Dee. Dia hilang punca apabila terima surat dari MRSM minta anaknya hadir ke temuduga. Pak Dee pun tahu selepas itu, apabila kawan media Pak Dee secara tak tersengaja beritahu anaknya sudah dua kali terlepas peluang masuk ke MRSM disebabkan masalah duit. Apa tidaknya, dah majikan tak bayar gaji, berbulan-bulan lamanya, macam mana kawan media Pak Dee nak ada duit. Jadi, Pak Dee harap sangat, akan ada pihak dari kerajaan ambil berat, ambil peduli permasalahan yang menimpa kawan Pak Dee ini. Dakwa majikan yang tak bayar hasil titik peluh pekerjanya. Heret ke mahkamah majikan yang pergunakan pekerja bekerja keras untuk kaut keuntungan syarikat, tapi pada masa sama tak bayar upah. Majikan hidup senang, pekerja hidup melarat. Pak Dee harap kejadian ini jadi pengajaran kepada majikan media-media lain dan sentiasa berkongsi keuntungan dengan pekerja. Kerana tanpa pekerja, majikan tak boleh nikmati kehidupan mewah. Sila layari portal NasionalDaily di www.nasionaldaily.com untuk dapatkan berita yang lebih sahih, diyakini.

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran