Blog Manzaidi
Selasa, 28 Mac 2023
Kenapa perlekeh lawatan Anwar ke Arab Saudi?
By Manzaidi Mohd Amin - 27 March 2023
SELEPAS pulang dari lawatan rasmi ke Arab Saudi dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan misinya mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dengan Kemboja.
Anwar berada di negara yang sebelum ini pernah memakai nama Kampuchea itu hanya satu hari sahaja.
Menurut kenyataan dari Wisma Putra, lawatan sulung Anwar sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan empat bulan lalu, adalah atas jemputan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Nama penuh Perdana Menteri Kemboja ialah Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, tetapi dipanggil Hun Sen sahaja untuk memudahkan urusan rasmi atau diplomatik dengan negara-negara luar.
Namun, begitu, sebagai antara 33 juta rakyat Malaysia, Bawah Kolong menaruh harapan agar lawatan Anwar ke Kemboja kali ini dapat menutup mulut pembangkang yang mempersendakan lawatan Anwar ke Arab Saudi sebelum ini.
Memang dasar pembangkang, mereka bukan melihat hal positif di sebalik lawatan pemimpin kerajaan, sebaliknya mencari dan menyelak hal-hal negatif yang berlaku.
Bagi mereka, itulah point penting untuk menjatuhkan maruah pemimpin negara. Sebolehnya, mereka mahu rakyat benci dan marah kepada Perdana Menteri. Mereka mahu tanam dalam minda rakyat bahawa Anwar gagal menjadi Perdana Menteri.
Seolah pada mereka, orang yang paling layak dan berjaya menjadi Perdana Menteri adalah pemimpin mereka, dan pemimpin itu pula kini sedang berdepan dengan tuduhan salahguna kuasa bagi projek yang kononnya untuk bumiputera, tetapi diberikan kepada bukan bumiputera.
Inilah pemimpin yang mereka sanjung dan puja. Lebih lagi, dengan sombong dan angkuhnya mereka mendakwa, bekas perdana menteri mereka menerima layanan istimewa daripada kerajaan Arab Saudi ketika melawat negara itu dahulu.
Mereka mendabik dada, bekas perdana menteri mereka dibawa masuk ke dalam Kaabah, sedangkan Anwar sekadar tawaf di luar Kaabah. Memalukan kata mereka.
Itulah layanan antara dua darjah yang cuba diungkit dan dibangkitkan oleh pembangkang. Tanpa mereka sedar, tindakan dan perbuatan itu sebenarnya telah memburuk-burukkan pemimpin Arab Saudi.
Mereka puji kerajaan Arab Saudi kerana memberi layanan istimewa kepada bekas perdana menteri mereka, tetapi pada masa sama, mereka menjadikan kerajaan Arab Saudi sebagai papan sasar untuk kecaman rakyat.
Wajarkah pembangkang buat demikian kepada kerajaan Arab Saudi? Nak perlekehkan perdana menteri sendiri, tetapi meletakkan Arab Saudi sebagai sebuah negara yang tidak baik pada kaca mata rakyat Malaysia.
Dalam lawatan mana-mana pemimpin ke luar negara, memang tidak dinafikan perlu menerima sambutan daripada pimpinan tertinggi negara berkenaan. Dalam kes, Anwar, Arab Saudi sudah memaklumkan Raja Salman dan Putera Mahkota sibuk dengan urusan lain yang telah diatur terlebih dahulu.
Namun, kedua pemimpin tertinggi Arab Saudi itu ada meminta Anwar supaya menyambung tempoh keberadaannya di situ untuk membolehkan mereka bersama dengan Perdana Menteri ke-10 itu.
Tetapi, kerana jadual padat Perdana Menteri dalam negara, yang sudah dari awal berjanji akan hadir ke majlis berbuka puasa dengan Yang di-Pertuan Agong, maka Anwar terpaksa menolak pelawaan itu.
Anwar pulang ke Malaysia mengikut jadual yang diatur. Sepanjang tiga hari itu, beliau bukan menunggu jemputan kerajaan Arab Saudi untuk masuk ke Kaabah, sebaliknya sebaik mungkin memenuhi setiap aturcara yang 99 peratus adalah berkaitan dengan dagangan dua hala.
Ini menunjukkan Anwar ke Arab Saudi bukan untuk mengumpul pahala untuk dirinya, tetapi mencari peluang ekonomi yang ada untuk mulut dan perut 33 juta rakyatnya.
Kepada pemimpin muda dari pembangkang, mana lebih penting, mencari pahala untuk diri sendiri atau menyelamatkan 33 juta rakyatnya? Kalau dihitung, Anwar mendapat lebih banyak pahala kerana rakyatnya.
Ini samalah seperti pahala solat bersendirian dengan pahala solat berjemaah. Allah mengurniakan jumlah atau ganjaran pahala yang berbeza.
Walhal pemimpin muda pembangkang ini dikelilingi rakan ulamak dari parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, mustahil beliau tidak mendapat nasihat mengenai hukum ini.
Bawah Kolong untuk pertama kalinya bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam hal ini.
Beliau menyatakan, perbuatan melanggar protokol diplomatik oleh kerajaan dan keluarga raja Arab Saudi terhadap Anwar tidak wajar dijadikan bahan sindiran oleh parti politik pembangkang.
Malah, katanya, Anwar wajar dipertahankan kerana ia melibatkan maruah negara.
Memang betul dan tepat sekali pandangan YB Hassan ini. Kenapa kita perlu perlekehkan Perdana Menteri kita? Walaupun kita orang politik dan berperanan sebagai pembangkang, kita tidak boleh lupa yang kita adalah rakyat Malaysia.
Walau kita orang politik pembangkang sekali pun, Anwar adalah Perdana Menteri kita. Anwar bertanggungjawab meluluskan peruntukan kepada setiap wakil rakyat termasuk pembangkang.
Bawah Kolong sudah 59 tahun hidup dan lebih separuh dari usia dihabiskan dengan jiwa politik Malaysia. Hanya kebelakangan ini Bawah Kolong dapat rasakan jiwa politik Malaysia sudah jauh berbeza dengan jiwa politik sebelum ini.
Dahulu, ada tikanya pembangkang bersetuju dengan dasar kerajaan, tetapi hari ini, kerajaan buat baik pun pembangkang nampak negatif. Jadi, tidak mustahillah kalau Bawah Kolong katakan, politik sekarang macam politaik. – MalaysiaGazette
Kenapa kes mahkamah ambil masa lama nak selesai?
By Manzaidi Mohd Amin - 14 March 2023
KENAPA satu-satu kes yang dituduh di mahkamah lambat selesai? Persoalan ini sering kali bermain di kotak minda rakyat Malaysia, lebih lagi tertuduh dan mereka yang rapat dengan tertuduh.
Biar Bawah Kolong terangkan. Setiap kes akan bermula dengan dihadapkan ke mahkamah untuk dibaca pertuduhan. Jika tertuduh mengaku bersalah, maka kesnya dianggap selesai.
Keputusan hukuman bagi yang mengaku bersalah dibuat tertakluk kepada kes yang dituduh di bawah seksyen apa. Kalau bunuh, tertuduh terus dimasukkan ke penjara untuk menunggu tarikh hukuman gantung sampai mati atau menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Kalau kes rasuah, bergaduh, mencuri, dadah dan jenayah lain yang tidak melibatkan bunuh, kalau tertuduh mengaku bersalah, mahkamah akan menjatuhkan hukuman penjara atau denda. Kes pun dianggap selesai. Jimatkan kos dan masa mahkamah.
Tetapi, sekiranya tertuduh dalam semua kes itu mengaku tidak bersalah, mahkamah terpaksa menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes, tarikh untuk penyerahan dokumen dan tarikh untuk macam-macam prosedur lagi sebelum tiba kepada hari mahkamah menetapkan tarikh seterusnya.
Berdasarkan pengalaman Bawah Kolong membuat liputan pelbagai jenis kes di mahkamah, prosedurnya hampir sama, iaitu bagi yang mahu dibicarakan, mahkamah akan kenakan ikat jamin dan tetapkan tarikh berikutnya.
Di sinilah bermulanya lambat atau cepat sesuatu kes akan diketahui, kerana jurubahasa mahkamah akan melihat tarikh yang tidak banyak kes atau tarikh yang tidak ada kes untuk ditetapkan kepada tertuduh yang tidak mengaku bersalah.
Sebagai contoh, tertuduh dihadapkan pertama kali ke mahkamah pada hari ini 14 Mac 2023, selepas tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah, mahkamah kena ikat jamin dan jurubahasa mahkamah akan meneliti tarikh yang sesuai untuk ditetapkan bagi sebutan semula kes.
Dalam penelitian itu, jurubahasa mahkamah jumpa satu tarikh yang dianggap sesuai untuk ditetapkan hari berikutnya, seperti 14 Ogos 2023. Tarikh ini dimaklumkan kepada peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya.
Kedua pihak ini pula akan merujuk dairi masing-masing, apakah mereka tidak ada kes lain pada tarikh 14 Ogos 2023. Katakan, peguam bela setuju dengan tarikh itu, tetapi Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya pula tidak dapat hadir pada tarikh berkenaan kerana ada kes lain.
Lalu, mahkamah teliti lagi tarikh seterusnya dan dikatakan tarikh 1 Disember 2023 sesuai untuk mahkamah, maka peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya akan rujuk tarikh berkenaan sama ada mereka ada kes lain atau tidak.
Jika peguam bela tertuduh pula ada kes lain pada 1 Disember 2023, sedangkan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya sesuai dengan tarikh itu, maka tarikh lain yang masuk tahun 2024 akan dipilih dan ditetapkan.
Inilah punca kenapa satu-satu kes menjadi lambat. Selain, ada juga faktor peguam bela memerlukan masa untuk mendapatkan bahan bukti bagi mengukuhkan hujahan membela anak guamnya atau minta tarikh pertuduhan atau perbicaraan ditangguhkan kerana anak guam sakit, uzur atau perlukan bukti yang lebih kukuh.
Ada yang tanya, bagaimana pula jika tertuduh yang tidak dikenakan ikat jamin kerana kesnya amat berat atau ada tertuduh tidak dapat membayar ikat jamin kerana tidak mampu? Jawabnya, mereka akan dimasukkan ke penjara dahulu sehingga tarikh sebutan semula kes ditetapkan.
Selama mana mereka perlu berada dalam penjara? Selama tarikh baharu ditetapkan. Tidak kiralah sebulan, enam bulan atau satu tahun. Itu memang prosedurnya.
Tetapi, kebanyakan yang dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan dan keputusan mahkamah, jika tertuduh didapati bersalah dan dihukum penjara satu atau dua tahun, selalunya mahkamah menggunakan budi bicara, menjatuhkan hukuman pada tarikh tertuduh dipenjarakan atau ada juga hukuman dijatuhkan pada hari keputusan dibuat. Mahkamah ada perkiraannya.
Maknanya, kalau tertuduh yang gagal membayar ikat jamin di awal pertuduhan dan dimasukkan ke penjara sementara menunggu kesnya selesai, tertuduh sudah dianggap menjalani hukumannya, kerana tertuduh sudah merasai nikmat berada dalam penjara, tetapi ada juga sebaliknya.
Dan jika, tempoh hukuman itu berbaki tiga bulan lagi dengan tempoh tertuduh dipenjarakan sebelum ini, tertuduh hanya perlu berada dalam penjara sepanjang baki yang ditetapkan.
Jika tertuduh berada dalam penjara hampir satu setengah tahun dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah atas kesalahannya selama satu tahun, selalunya, dia akan dimasukkan ke penjara untuk sehari dua lagi bagi proses pembebasannya.
Tidak adillah tertuduh sudah berada satu setengah tahun dalam penjara, sedangkan hakim mengenakan hukuman satu tahun penjara. Itu kira nasiblah. Kita tidak boleh salahkan mahkamah dan tidak boleh salahkan pihak penjara.
Dalam hal ini, tertuduh adalah mangsa kepada tarikh atau masa yang diperlukan oleh peguam mereka. Mahkamah cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan kes. Mahkamah turut mengambil kira azab tertuduh berada dalam penjara sementara menunggu tarikh perbicaraan sehingga kes selesai, tetapi tarikh dan faktor-faktor lain tidak menyebelahi tertuduh.
Sebab itu, dalam kebanyakan kes, kalau melibatkan orang berada atau orang pertengahan atau orang miskin sekali pun, mereka akan usaha cari ahli keluarga atau sahabat untuk membantu sumber kewangan bagi membolehkan tertuduh membayar ikat jamin.
Kalau wang ikat jamin dibayar, tertuduh bebas berada di luar, tetapi tidak boleh pergi jauh melangkaui negara kerana pasport antarabangsanya telah dipegang oleh mahkamah.
Untuk yang dikenakan ikat jamin, mahkamah selalunya dengan tegas memperingatkan kepada orang yang membayar ikat jamin, terutama tugasannya kena pastikan tertuduh hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.
Kalau tertuduh tidak hadir, mahkamah boleh keluarkan waran tangkap ke atas tertuduh dan wang ikat jamin itu hangus, dirampas oleh mahkamah dan menjadi sebahagian harta kerajaan.
Di sini, bukan saja pembayar ikat jamin berputih mata hilang duit berpuluh atau ratusan ribu ringgit, tertuduh juga akan menerima nasib bagai jatuh ditimpa tangga. Selepas ini, tertuduh tidak lagi dibenarkan ikat jamin, sebaliknya dihantarkan ke penjara sementara menunggu kesnya selesai.
Bagaimana pula tertuduh yang tidak dapat bayar ikat jamin, berada dalam penjara sementara menunggu perbicaraan serta keputusannya, dan selepas beberapa tahun kemudian tertuduh didapati tidak bersalah? Sedangkan tertuduh sudah begitu lama berada dalam penjara? Jawapannya, anggap sahajalah itu sebagai pengalaman dan pengajaran.
Kesimpulannya, kenapa kes lambat selesai sehingga ada yang mengambil masa dua tahun, tiga tahun, malah tujuh tahun pun ada? Sebabnya tarikh dan faktor peguam bela ada kes lain menyebabkan kesnya ditangguh dan tertangguh.
Sebab, untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya bersama pada hari ditetapkan bukannya senang.
Mereka perlu mengendalikan puluhan kes setiap bulan. Ada kes di mahkamah Kelantan, ada kes di mahkamah Johor, malah kes yang dikendalikan melibatkan mahkamah di seluruh negara, bukan tertumpu pada satu mahkamah sahaja.
Itulah ceritanya. – MalaysiaGazette
Jumaat, 3 Mac 2023
Apa dalil Pejuang, Berjasa mahu sertai PN?
By Manzaidi Mohd Amin - 2 March 2023
PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) khabarnya telah menghantar surat memohon untuk menjadi rakan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Dua parti ini, sebelum ini adalah rakan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dicetuskan penubuhannya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengetuai Pejuang.
Sebelum PRU15 pada November 2022, Pejuang dan Berjasa melaungkan kesetiaannya bersama GTA. Kononnya GTA sahaja yang memperjuangkan nasib orang Melayu. Seolah tidak ada parti lain selain mereka dan GTA lah yang benar-benar mendengar denyut nadi orang Melayu.
GTA ini juga disertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang kononnya tidak boleh menerima perjuangan parti lain seperti UMNO, Pas, PKR dan Amanah.
Bila tiba tarikh PRU15, masing-masing meletakkan calon untuk bertanding melawan calon dari tiga gabungan gergasi, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN.
Ada yang konfiden menang. Ada yang konfiden dapat bentuk kerajaan atas alasan rakyat sudah tolak BN, PH dan PN.
Mereka buat andaian itu bersandarkan kepada corak pentadbiran Kerajaan PH selama 22 bulan, Kerajaan Prihatin 17 bulan dan Kerajaan Keluarga Malaysia 15 bulan. Tiga kerajaan sepanjang tempoh penggal PRU14.
Bila keputusan diumumkan malam 19 November dan berlarutan sehingga dinihari 20 November, satu kerusi pun tak dimenangi oleh calon-calon GTA. Apatah lagi, penyandang dari Pejuang, Dr. Mahathir dan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz pun gagal pertahan kerusi.
Keputusan undi dan kehendak pengundi ternyata memihak kepada PH yang menang 82 kerusi, PN 74 kerusi. Paling teruk BN yang dikatakan bakal membentuk kerajaan baharu pun hanya menang 30 kerusi.
Inikan pula Pejuang, Berjasa dan Putra, yang merupakan parti-parti kecil yang tidak bergabung dengan parti-parti besar.
Mungkin disebabkan kekalahan itu, maka Pejuang dan Berjasa melihat parti mereka tidak ada harapan lagi untuk menang pada PRU akan datang, lalu membuat keputusan keluar dari GTA.
Tinggallah Putra satu-satunya parti tunggal dalam GTA. Syabas kepada Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, yang tidak tamak dalam mengejar kepentingan diri. Masih kekal setia menerajui dan menakhoda partinya menempuh badai dan ombak berseorangan.
Yang lain semua hipokrit. Kalah dalam gabungan ini, lompat ke gabungan yang lebih kuat. Entah apa yang mereka cari sebenarnya. Tetapi, pakar politik berpandangan, mereka mahukan kerusi.
Memang logik akal pandangan pakar politik ini. Kalau Pejuang dan Berjasa menyatakan penyertaan mereka dalam PN untuk bela nasib Melayu, adakah suara mereka akan didengar oleh Pas, Bersatu dan Gerakan?
Adakah mereka yakin, dengan menyertai PN, setiap mereka akan mendapat sekurang-kurangnya 10 kerusi? Pas, Bersatu dan Gerakan tidak sedangkal itu untuk berikan mereka masing-masing 10 kerusi.
Pada PN, satu kerusi pun sangat penting untuk mereka menang pada PRN ini dan PRU16 akan datang. Inikan pula nak korbankan 20 kerusi yang belum tentu akan dimenangi oleh Pejuang dan Berjasa.
Kalau sekadar untuk memeriahkan gabungan, mungkin PN boleh terima penyertaan mereka, tapi kalau mereka tuntut beberapa kerusi untuk bertanding, walaupun menggunakan logo PN, mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr. Domonic Lau berfikir sepuluh kali.
Jadi, jawapan kepada permohonan mereka berdua untuk menyertai PN adalah kerana mereka tersangat yakin PN akan dapat menawan enam negeri pada PRN ini.
Mereka sudah nampak gelombang sokongan rakyat dalam PRN ini adalah pada PN, bukan pada PH. Sebab itu, mereka buat keputusan sekarang untuk menyertai PN, bukan PH, walaupun PH adalah kerajaan.
Bermain politik mesti kena cerdik, selain ada strategi. Soal perjuangan, slogan, pendirian, buang ke tepi. Yang penting cita-cita peribadi mesti kesampaian, walaupun mereka sebenarnya kecapaian.
Setakat coretan ini ditulis, PN belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menerima borang penyertaan mereka atau sebaliknya.
PN pun ada agenda tersendiri juga. Mereka mesti mengadakan mesyuarat terlebih dahulu untuk dapatkan pandangan daripada ketua parti masing-masing, bukan main terima begitu sahaja.
Kalau sebelum PRU15, mungkin kedua mereka ini diterima bagai menatang minyak yang penuh, tetapi sekarang selepas PN menang besar, walaupun tidak dapat bentuk kerajaan, mereka pun tahu jual mahal. – MalaysiaGazette
Urus jenazah pun boleh kaut untung
By Manzaidi Mohd Amin - 15 February 2023
RUPANYA mengurus jenazah yang selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital (UFH) adalah satu perniagaan bagi sesetengah pihak.
Bawah Kolong (BK) langsung tidak tahu mengenai perniagaan ini sehinggalah BK ikuti kes empat Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) yang menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam (Selasa).
Dari kertas pertuduhan itu baharulah BK tahu, jenazah atau mayat yang diserahkan polis ke UFH untuk urusan selanjutnya dan setelah selesai menjalani proses tertentu, ada syarikat yang akan menguruskannya untuk pengebumian atau sebagainya.
Selama ini, BK ingat semua itu percuma atau ditanggung oleh kerajaan atau keluarga. Rupanya tidak.
Jenazah atau mayat itu mempunyai nilai tertentu sehingga ada syarikat yang mungkin berebut dengan pesaing untuk mengendalikannya.
Tetapi bagaimana pula boleh libatkan unsur rasuah? Sini yang mulanya BK tertanya-tanya. Namun, apabila kertas pertuduhan dibaca dan disoal jawab oleh Yang Arif Hakim, baharulah BK tahu sedikit daripadanya.
Tertuduh bercerita, setiap mayat atau jenazah yang diserahkan polis ke UFH akan melalui beberapa proses oleh mereka yang berjawatan PPK. Selesai proses itu, jenazah atau mayat berkenaan akan diserahkan kepada syarikat untuk urusan seterusnya. Mungkin pengebumian.
Di sinilah, PPK akan menetapkan harga tertentu sebagai suapan jika syarikat berkenaan nak mendapatkan hak milik ke atas mayat atau jenazah itu untuk diuruskan. Seperti yang BK kata, mungkin pengebumian, mungkin pembakaran atau sebagainya.
Dan, unsur rasuah berlaku selepas ada proses tawar menawar antara PPK dengan syarikat. Kalau syarikat mahukan mayat atau jenazah itu, mesti kena bagi ‘duit kopi’. Kalau tak bagi, mungkin mayat atau jenazah itu diberikan kepada pihak lain. Mungkin begitu gamaknya.
Sebab kalau bukan itu kaedahnya, masakan boleh berlaku rasuah antara syarikat dengan PPK. Sudah tentulah mayat atau jenazah itu berharga hingga jadi rebutan syarikat.
Kisah realiti ini mengingatkan BK pada filem Tiga Abdul arahan Allahyarham P. Ramlee yang mana babak seorang saudagar unta gembira kerana dua hamba abdi yang dibelinya di pasar Isketambola dengan harga 2,000 pound dibayar dua kali ganda pula oleh seorang pembeli lain.
Selepas dua beradik hamba abdi itu, iaitu Abdul Wahab dan Abdul Wahib dibeli oleh adiknya Abdul Wahub dengan harga 4,000 pound sterling, Husin Lempoyang suka bukan kepalang.
“Hehehehehe… dunia! dunia, berniaga manusia lagi bagus daripada unta…wow!”
Rupanya di zaman P. Ramlee yang filemnya itu sudah berusia hampir 60 tahun menjadi realiti di zaman sekarang, yang mana berniaga manusia, sama ada hidup atau mati boleh buat keuntungan besar.
Dalam kes empat PPK yang dituduh itu, BK tidak tahu berapa harga untuk satu mayat atau jenazah yang akan diperoleh oleh syarikat berkenaan. Tetapi, setiap seorang PPK yang dituduh itu didakwa menerima lebih RM1,000 tiap seorang.
Ada yang terima RM6,500 sepanjang berurusan. Ada yang dapat RM3,500 dan ada yang peroleh RM1,100. Jumlah yang diterima untuk beberapa kali bagi penyerahan mayat atau jenazah kepada syarikat.
Pendek kata, rasuah berlaku di mana-mana tempat dan dalam apa keadaan sekalipun. Ia berlaku dan dilakukan dari setinggi-tinggi penjawat hingga serendah-rendah jawatan. Asalkan duit.
Jenuh Yang Arif Hakim memberi nasihat, rasuah ini haram. Perbuatan memberi dan menerima rasuah ini serius dan boleh mengakibatkan kehilangan kerja jika disabitkan kesalahan.
Yang Arif Hakim juga mengingatkan tertuduh. “Walau gaji kecil, kerja ini sangat mulia dan kalau kerja kerana Allah Taala, duit gaji yang kecil mendapat keberkatan Allah”.
“Malangnya, kamu pilih jalan yang salah. Kamu guna duit haram itu beri makan minum kepada anak, isteri dan keluarga kamu. Astagfirullah…” ucap Yang Arif Hakim.
Tertuduh di kandang OKT menangis teresak-esak, menyesal atas perbuatannya. Ada yang bertaubat di depan Yang Arif Hakim. Bertaubat tidak akan melakukan lagi perbuatan rasuah.
Moral ceritanya, menangislah sekuat mana pun, insaflah seikhlas dan setulus mana sekali pun, mereka tetap menerima hukuman penjara dan kehilangan pekerjaan.
Bayangkan, disebabkan terima rasuah berjumlah RM1,000, mereka hilang kerja tetap dan berpencen untuk selama-lamanya.
Sedangkan, dalam hal ini, jabatan tidak rugi apa-apa dengan kehilangan mereka. Jabatan boleh ambil sesiapa sahaja di luar sana yang ada kelayakan sebagai ganti.
Bagi jabatan, patah tumbuh hilang berganti. Bagi pesalah, patah hilang selama-lamanya. Siapa yang salah? – MalaysiaGazette
Sabtu, 4 Februari 2023
Beri masa Nurul buat kerja, jangan cepat latah
By Manzaidi Mohd Amin - 31 January 2023
NURUL Izzah Anwar adalah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh. Dia menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal, sebelum tewas dalam PRU15 November tahun lalu.
Sepanjang menjadi Ahli Parlimen, tidak ada cerita-cerita menarik mengenai peranannya di kawasan itu, melainkan dia menjadi masyhur kerana dia anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam parti, dia dilantik sebagai Naib Presiden PKR. Peranannya dalam parti juga tidak menonjol, melainkan namanya sahaja yang menjadi sebutan dan idola kaum wanita yang sebaya dengannya.
Dia mendapat jolokan Puteri Reformasi kerana mempertahan dan membela ayahnya yang didakwa atas kesalahan jenayah di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat.
Selebihnya mengenai Nurul tidak ada dalam kamus politik mahupun pentadbiran kerajaan ketika Pakatan Harapan (PH) pertama kali berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 tahun 2018.
Dalam parti, dia didapati ‘menghilangkan’ diri bersama seorang lagi pemimpin PKR, Rafizi Ramli.
Tidak diketahui dengan jelas apa alasan mereka berdua berdiam diri dan membiarkan parti diurus oleh ayah dan ibunya bersama pemimpin lain.
Dia hanya muncul ketika musim pemilihan pimpinan parti dan bila menang jawatan dipertandingkan, dia diam semula.
Tiba-tiba, Ahad lalu dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, dia mengesahkan dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dia kata, yang melantiknya ke jawatan itu adalah Perdana Menteri ke-10 yang juga Menteri Kewangan. Namun, tak ada gaji, tak ada elaun, katanya.
Maknanya Nurul Izzah bekerja secara sukarelawan dan pejabatnya di Pejabat Perdana Menteri, berdekatan dengan ayahnya.
Inilah keajaiban seorang anak kepada pemimpin tertinggi parti dan kerajaan. Dengan secara mengejut, baru orang ramai tahu Nurul yang dilihat gitu-gitu rupanya seorang yang pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan.
Selama ini tidak ada siapa pun tahu dia pakar dalam dua bidang itu, kerana selama ini pun Nurul tidak pernah tunjuk kelebihan yang ada pada dirinya itu kepada umum.
Nurul juga bukan calang-calang orang. Dia mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam bidang dasar awam dan sosial dari University Johns Hopkins, Amerika Syarikat.
Tak ramai anak Melayu belajar di universiti ini dan tak ramai yang ada kepakaran sebagaimana dimiliki Nurul. Tahniah Bawah Kolong ucapkan. Semoga pelantikan Nurul ini dapat meletakkan ekonomi dan kewangan negara pada tempat yang betul.
Bawah Kolong yakin dan percaya, kebimbangan Perdana Menteri dengan kesuraman ekonomi dunia yang diramalkan akan berlaku tahun ini, mendorongnya melantik orang yang ada kepakaran dan pengalaman untuk menasihatinya bagaimana untuk berdepan dengan suasana itu.
Ini selaras dengan ramalan penganalisis ekonomi yang menjangkakan 2023 adalah tahun getir dari segi ekonomi. Malah, ada ura-ura mendakwa akan berlaku kemelesetan ekonomi dunia terutama kepada negara besar di Eropah, China, Amerika Syarikat dan Rusia.
Sudah tentu kemelesetan itu turut memberi kesan kepada Malaysia. Jadi, sebagai langkah persediaan kerajaan berdepan dengan situasi itu, bertepatan sekalilah dengan pelantikan Nurul.
Walaupun ramai orang-orang politik tidak berpuas hati dengan pelantikan yang disifatkan mereka sebagai amalan nepotisme itu, Nurul tidak boleh lemah semangat. Nurul perlu abaikan kritikan itu dan terus bekerja untuk memastikan ekonomi dan kewangan negara tidak merudum.
Rakyat perlukan ekonomi dan kerajaan yang stabil untuk meneruskan kehidupan. Cukuplah lebih dua tahun rakyat kehilangan mata pencarian, keadaan ekonomi merosot akibat pandemik Covid-19.
Sekaranglah masanya untuk Nurul buktikan kepada suara-suara kritikan di luar sana bahawa Nurul akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.
Suara yang memekak di luar sana, biarkan mereka dengan labu-labunya. Mereka pun dua kali lima juga, cakap tak serupa bikin. Nepotisme wujud di mana-mana saja sepanjang mereka memerintah.
Cuma Bawah Kolong nak nasihatkan Nurul, selepas ini kena lebih aktiflah sama ada dalam parti mahupun dalam kerajaan. Jangan berdiam diri sehingga orang ramai tertanya-tanya, Nurul ni ada ke tidak? Nurul ni buat kerja ke tidak?
Jangan sampai orang ramai jadikan isu ‘berdiam diri’ Nurul sebagai modal debat dan bahas di kedai-kedai kopi. Jaga nama baik ayah yang lantik kita ke jawatan penting itu.
Untuk membantu Nurul nanti, carilah rakan yang boleh bekerja, jangan diambil rakan yang pandai bodek untuk menolong kita. Tugasan sebagai penasihat ini penting. Nurullah yang akan mencorakkan pentadbiran ayah nanti. – MalaysiaGazette
Jumaat, 27 Januari 2023
Warga asing bebas minum arak di Pantai Teluk Kemang
By Manzaidi Mohd Amin - 26 January 2023
TAHUN Baru Cina baru-baru ini Bawah Kolong (BK) tak balik kampung. BK pilih untuk habiskan cuti sedut angin laut di Teluk Kemang, Negeri Sembilan.
Orang kata pantai Teluk Kemang, best. Pesisirnya bersih, ombaknya tidak seganas Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kelantan. Selain itu, banyak kemudahan disediakan di situ.
Awal pagi Sabtu lalu, BK bertolak dari rumah di Shah Alam ke Teluk Kemang. Niat nak bersantai di situ dalam dua hari dan sewa hotel bajet yang berdekatan.
Perjalanan dari Shah Alam di Dataran Pantai Teluk Kemang agak lancar. Jalan raya dan lebuh raya tak sesak sebab dua hari sebelum tu dah berjuta warga perantau di ibu kota bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing.
Jadi, kelibat kenderaan sepanjang lebuh raya agak lengang. Susah nak jumpa lebuh raya sunyi macam ni, kalau tidak musim perayaan.
BK sampai di pantai Teluk Kemang dalam kira-kira satu setengah jam. Masa itu jam 7.30 pagi. Kebetulan air laut pasang, maka pengunjung tak dapat sentuh pasir pantai. Kena tunggu sehingga jam 9 pagi baru boleh mandi air laut.
Sampai di situ, ada perkhidmatan sewa khemah disediakan. RM50 satu hari untuk khemah berukuran 8×8 dan RM30 untuk payung dengan masing-masing disediakan empat kerusi dan satu meja.
BK pilih khemah sebab ia lebih selesa dan luas. Boleh tidur dan santai atas kerusi sandar sambil lihat anak-anak bermain pasir dan mandi.
Cuma BK rasa rugi sewa hotel. Sebab khemah yang disewa ini boleh check-out jam 7 malam. Makin tengah hari dan petang, pengunjung makin ramai menjadikan suasana di pantai itu meriah dengan orang ramai bermain banana bot, parasailing dan jet ski.
Acara bakar-bakar BBQ pun ada. Selain makanan berat dan ringan yang disediakan gerai di sepanjang kawasan dataran itu. Pendek kata seronok.
Selepas balik ke hotel petang tu, BK rancang nak check-out pagi-pagi lagi kerana nak sambung bersantai di pantai. Orang kata, hari minggu lagi meriah dan kena sampai seawal jam 7 pagi kalau mahu parking kereta dekat dengan pantai.
Memang betul, BK sampai jam 7.30 pagi pun kenderaan dah penuh. Tapi BK bernasib baik kerana ada satu parking kosong dan terus menyewa khemah.
Memang betul, hari minggu pengunjung lagi ramai daripada hari Sabtu. Ada yang datang dari Johor dan tidak sedikit warga tempatan.
Dalam jam 10 pagi ke atas, BK dah mula rasa tak selesa. Khemah makin banyak dipasang atas permintaan pengunjung. Pengunjung yang ramai datang bukan warganegara, tetapi warga asing.
Mereka juga ambil peluang kilang tutup cuti Tahun Baru Cina datang berkelah dengan rakan-rakan sekerja dan senegara.
Paling ramai adalah warga Nepal dan Bangladesh. Kedatangan mereka menenggelamkan warga tempatan. BK tak kisahlah seberapa ramai mereka nak datang berkelah. Mereka pun macam BK juga, nak habiskan cuti dengan bersantai.
Tetapi, yang BK tak puas hati, mereka bawa minuman keras. Mereka letak atas meja bawah khemah yang disewa sewenang-wenangnya, tanpa rasa hormat kepada pengunjung beragama Islam.
Mereka juga bawa makanan. BK tak tahulah makanan yang dibawa itu halal atau tidak, itu hak mereka. Tapi, bab minuman keras ni BK tak boleh terima.
Mereka mula berseronok, ketawa hilai sambil bersorak lagakan tin arak dan terus teguk. Mereka ketawa lagi, mereka hilai lagi. Ada yang kunyah-kunyah buah pinang, ada yang kunyah sireh. Air ludahan mereka buang ke pasir pantai.
Pasir pantai bertukar jadi merah. Datang ombak bersihkan pasir dan bawa air ludahan ke laut, tempat anak-anak warga tempatan mandi manda. Sungguh meloyakan.
BK nak mundar mandir pun takut. Takut terpijak air ludahan mereka. Lagipun BK dan semua pengunjung di situ berkaki ayam.
Peliknya, tidak ada pihak berkuasa memantau keadaan ini. Tidak ada notis ditampal di mana-mana tempat sebagai peringatan kepada warga asing atau bukan Islam agar minuman keras dilarang. Notis jaga kebersihan pun tidak ada.
Hasrat BK nak bersantai sampai ke petang jadi terbantut. Sakit hati tengok warga pati ini minum minuman keras dan ludah air sireh.
BK juga ada dengar keluhan warga tempatan dengan situasi itu. Mereka pendatang asing, yang datang bekerja di negara ini. Tetapi, mereka bebas bawa budaya mereka ke sini, tanpa larangan atau teguran.
Selama ini, kalau baca maklumat mengenai Pantai Teluk Kemang ini dikatakan bersih, sekali bila datang sendiri, rupanya tidak bersih. Ada tin arak terapung terolang aling dibawa ombak.
Maknanya, mereka tidak hormat budaya warga tempatan. Mereka tidak diberi motivasi mengenai adab budaya negara ini oleh majikan masing-masing. Mereka bersantai dengan biadab.
Mana pihak berkuasa tempatan? Tidak dipantaukah aktiviti pengunjung sehingga warga asing berani jadikan kawasan ini macam negara mereka sendiri.
Sekurang-kurangnya ada pemantauan. Larang mana-mana individu bukan beragama Islam bawa minuman keras. Tapi, tak ada. Mereka bebas berpesta arak.
Jangan pula nanti ada yang cuba nak tegakkan benang basah menafikan coretan BK ini. – MalaysiaGazette
Kenapa Ahmad Zahid perlu diberi peluang, bukan dijatuhkan?
By Manzaidi Mohd Amin - 14 January 2023
KENAPA perwakilan UMNO perlu beri peluang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus menerajui parti?
Kenapa UMNO perlu beri peluang kepada presiden ini untuk membuat pembaharuan kepada parti?
Jawapannya ada kepada perwakilan semua, terutama kepada mereka yang menghayati perjuangan dan peranannya ketika berseorangan membawa kapal UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sebelum PRU14, ramai yang mengelilingi presiden sebelumnya, Datuk Seri Najib Razak. UMNO nampak cukup kuat. Kalau dilihat kekuatan ketika itu, mustahil UMNO dan BN akan kalah.
Rupanya, kekuatan ketika itu hanya palsu semata-mata sehingga Najib pun kelabu mata dengan mainan golongan yang rupanya memiliki semangat kepura-puraan ini.
Bawah Kolong (BK) bukan nak puji Ahmad Zahid dan Najib selaku mantan presiden. Jauh sekali nak ‘jek’ tinggi-tinggi sampai ke awangan. Bua tapa nak ‘pum’ mereka, sedangkan berdua pun tidak pernah kenal BK.
Tulisan BK pun entah mereka baca atau tidak, tetapi BK tidak kisah. BK beri pandangan kenapa jawatan presiden ini tidak perlu dipertandingkan pun sebab BK dapat nilai perjuangan pemimpin yang ikhlas dan jujur dengan pemimpin yang tidak ikhlas dan tidak jujur.
Paling sedih apabila Najib ditinggalkan bersendirian dengan pendakwaan berpilih. Selepas ‘makan kenyang-kenyang’, mantan Perdana Menteri itu dibiarkan mempertahankan diri seorang diri tanpa ada yang hadir untuk memberi semangat dan sokongan.
Ke mana golongan yang makan di tangan ini pergi? Ke mana lagi kalau tidak mengalihkan sokongan kepada member mereka yang dilihat makin kuat yang menubuhkan parti Bersatu. Dalam sekelip mata sokongan berpindah tangan.
Inilah politik. Hanya tinggal sekerat saja yang turut turun naik ke mahkamah sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada Najib. Yang lain semuanya pakat mendoakan semoga Najib cepat-cepat diputuskan bersalah dan dipenjarakan.
Masuklah Najib dalam penjara. Pelbagai usaha dilakukan untuk membelanya hanya sia-sia, tidak meninggalkan bekas. Takdir menentukan Najib dipenjarakan, maka dipenjaralah Najib kesudahannya.
Ramai yang suka dan hanya segelintir yang menangis dan sedih dengan nasib diterima Najib. Tetapi, itulah politik.
Begitu juga dengan nasib Ahmad Zahid, terima amanah untuk pikul tanggungjawab membawa UMNO yang sakit.
Sakit UMNO ketika itu boleh dikatakan sangat tenat sebab ramai sudah tinggalkannya hanya kerana orang yang mereka ikut dan jadi barua itu mahu pastikan UMNO dibubar.
Tetapi, Ahmad Zahid tetap dengan pendirian mahu UMNO kekal hidup dan relevan. Beliau bersama beberapa kerat pemimpin tanpa menghiraukan ugutan dan ancaman pihak tertentu teruskan juga menggerakkan parti.
Sehinggalah parti dilihat makin kukuh sehingga sekarang, dan inilah yang dicemburui oleh kumpulan yang ‘lari’ sebelum ini. Mereka ‘kembali’ berada dalam UMNO dengan kepura-puraan semata-mata untuk mengambilalih parti keramat ini dan mahu serahkan kepada musuh.
Itu senario yang berlaku sekarang. Sebab itu, apabila tiba musim pemilihan, kumpulan ini yang membuat propaganda kononnya kepimpinan Ahmad Zahid mahu sekat demokrasi dalam parti.
Jawatan presiden dan timbalan presiden yang biasanya dibuka untuk dipertandingkan, direka-cipta oleh kumpulan ini kononnya dua jawatan itu tidak boleh dipertandingkan.
Kemudian, anak-anak buah di bawah bawa isu tidak dipertandingkan ini ke akar umbi sehingga semua tangan menuding dan marahkan kepada Ahmad Zahid, kononnya tamak jawatan.
Apabila Ahmad Zahid menjelaskan parti tidak pernah sekat atau halang siapa pun nak bertanding, tetap juga kumpulan ini ‘spin’ mendakwa kenyataan itu sekadar hipokrit.
Mereka tetap mencanangkan di luar bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden tidak boleh ditandingi.
Pada BK, kalau benarpun tidak boleh dipertandingkan, memang wajarlah. Sebab ketika UMNO lemah dulu, kamu lari. Bila UMNO dah dilihat makin kuat, kamu menyibuk. Kumpulan seperti ini memang tidak diperlukan dalam parti.
Biarlah Ahmad Zahid bersama yang setia membawa obor perjuangan parti membela orang Melayu, agama dan negara.
Kalau kumpulan ini ambil alih UMNO, percayalah UMNO akan hancur dalam sekelip mata. Sebab rakan baik mereka yang disepakatinya adalah mereka yang dari awal merancang nak jatuh dan haramkan parti ini.
Maka, tidak keterlaluanlah kalau Ahmad Zahid diberi kesempatan penggal ini untuk membawa UMNO dengan coraknya. Kekalahan dalam dua PRU tidak boleh dipersalahkan serratus peritus atas bahu Najib dan Ahmad Zahid.
Sebaliknya, kekalahan ini harus dipikul bersama, bukan jika kalah, semua pakat tuding jari pada ketua, bila menang masing-masing mengaku kemenangan itu kerana mereka.
Buanglah perangai buruk ini. UMNO bukan hak peribadi, tetapi hak ahli dan rakyat. UMNO hanya dijadikan ‘jabatan’ untuk kaut kekayaan.
Lagipun, sepanjang Najib dipenjarakan, hanya Ahmad Zahid yang tidak pernah lekang menyebut nama sahabatnya itu. Beliau sentiasa mengenangkan nasib Najib yang keseorangan dalam pagar besi.
Yang lain seperti meraikan. Seolah gembira apabila Najib disumbat dalam penjara. Menyedihkan. – MalaysiaGazette
Rabu, 4 Januari 2023
Anwar lepasi tempoh 40 hari tanpa kekecohan
By Manzaidi Mohd Amin - 3 January 2023
KERAJAAN Perpaduan ditubuhkan pada 24 November 2022 iaitu selepas empat hari selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang jatuh pada 19 November 2022.
Kerajaan yang dibentuk ini melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti-parti gabungan dari Sabah dan Sarawak.
Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 74 kerusi Parlimen telah menolak rezeki untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan PH atas sebab-sebab tertentu.
Dengan penolakan PN itu, maka BN yang mendapat 30 kerusi terpaksa menerima cadangan Yang di-Pertuan Agong supaya bergabung dengan PH yang memperoleh 82 kerusi.
Dengan persetujuan BN dan rakan gabungan dari Sabah dan Sarawak, tertubuhlah sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Perpaduan, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Hari ini, adalah hari ke-40 Kerajaan Perpaduan mentadbir Malaysia dan sepanjang tempoh itu, tidak kedengaran daripada rakyat akan ketidakpuasan hati mereka dengan pentadbiran ini.
Walaupun, berlaku beberapa peristiwa atau kejadian dalam tempoh 40 hari ini, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet dapat tanganinya dengan baik.
Antara peristiwa atau kejadian yang berlaku ialah banjir di negeri Pantai Timur, runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang mengorbankan seramai 31 orang.
Semua tempat kejadian itu telah didahului dengan kehadiran Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet sehingga peruntukan segera diluluskan bagi meringankan beban ahli keluarga mangsa.
Tidak seperti sebelumnya, jika berlaku banjir, akan berlaku tuding menuding jari antara satu sama lain sehingga rakyat yang sudah menjadi mangsa banjir menjadi mangsa kegagalan kerajaan.
Hal ini tidak berlaku dalam era Kerajaan Perpaduan.
Tindakan segera barisan menteri bawah pimpinan Anwar telah berjaya mengatasi atau sekurang-kurangnya meredakan kemaslahatan yang dihadapi oleh rakyat dan masyarakat.
Inilah antara kejayaan di awal pemerintahan Kerajaan Perpaduan. Kurang berpolitik, tidak ada tuding menuding jari. Semua turun ke lapangan dan menyelesaikan mengikut kuasa serta portfolio masing-masing.
Kalau ada pun, suara-suara dari pembangkang. Itu adalah biasa. Suara mereka menceriakan lagi suasana politik tanah air, walaupun keseluruhan mangsa banjir mahu pun mangsa tanah runtuh telah mendapat perhatian sewajarnya.
Ini boleh dikatakan sebagai salah satu kejayaan Anwar dalam mengendalikan pentadbiran kerajaannya, yang disokong pula oleh BN yang mempunyai banyak pengalaman dalam mentadbir kerajaan sebelum ini.
Rakyat kelihatan gembira dengan pentadbiran baharu ini. Tidak banyak kerenah, tidak banyak auta, tidak banyak cakap melainkan banyak aksi dan banyak tindakan ke arah menyelesaikan masalah.
Walaupun terlalu awal untuk memberi kejayaan kepada Kerajaan Perpaduan kerana belum sampai 100 hari memerintah lagi tetapi jika usaha mendaki tangga pertama, kedua, ketiga dan keempat dapat melepasi rintangan, tidak mustahil pendakian seterusnya berjalan dengan mudah dan lancar.
Jika Kerajaan Perpaduan mahu terus berjaya dengan matlamat pentadbirannya, mereka tidak perlu melayan suara-suara tidak berpuas hati daripada pembangkang.
Memang adat pembangkang, kerjanya adalah mengkritik dan menegur. Sedangkan, mereka tidak ada idea pun untuk sama-sama dikongsi bagi memacu kepada usaha membawa dan meletakkan negara di landasan yang betul.
Ada lagi sesetengah pihak cuba menakut-nakutkan rakyat dengan mendakwa, Anwar akan berdepan dengan beberapa halangan lagi walaupun berjaya melepasi halangan pertama, iaitu usul undi percaya kepadanya.
Walhal, undi belah bahagi di Parlimen 19 Disember lalu menunjukkan Anwar mendapat sokongan lebih dua pertiga iaitu 147 undi.
Sepatutnya Anwar mendapat 148 undi tetapi seorang ahli Parlimen telah memohon maaf kerana sampai lewat di Dewan Rakyat. Maaf itu bagaimanapun diterima kerana tidak disengajakan.
Tetapi jumlah 147 atau 148 itu sudah membuktikan Kerajaan Perpaduan mempunyai dua pertiga majoriti. Celah mana pula ada yang kata Anwar akan berdepan dengan halangan pada masa akan datang?
Selepas ini, tidak kira undian untuk bajet atau untuk mendapatkan kelulusan akta, kalau 148 sudah menyokong, maka jumlah itulah yang akan memberi undian.
Berbanding pembangkang hanya 74 undi dan jumlah inilah yang akan diperolehinya jika ada usul yang memerlukan undian. Ini adalah normal walau parti mana jadi kerajaan atau pembangkang sekali pun. – MalaysiaGazette
DAP sudah jadi budak baik?
By Manzaidi Mohd Amin - 30 December 2022
DAP sudah jadi budak baik? Itulah yang Bawah Kolong (BK) dengar dan perhatikan dalam tempoh 40 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini.
Mereka tidak nampak gelojoh dan tak nampak tamak seperti mana mula-mula menjadi kerajaan pada PRU14 tahun 2018 dahulu.
DAP sekarang nampak lebih matang dari sebelumnya. Adakah ini kerana watak atau karakter seseorang pemimpin yang menjadikan corak kepimpinan parti itu berubah?
Atau ketika dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu mereka tidak ditarbiahkan oleh Perdana Menterinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Kali ini dalam Kerajaan Perpaduan mereka sudah ditarbiahkan oleh Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Tidak dinafikan pada awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, ada suara-suara dari NGO pro DAP menuntut Perdana Menteri ke-10 meneliti dan mengiktiraf Sijil UAE tetapi, isu itu tidak panjang.
Mungkin selepas kenyataan mahu UAE diiktiraf, mereka dipanggil dan diminta supaya tidak membangkitkan isu itu secara terbuka kerana boleh merisau dan meresahkan rakyat atau orang Melayu khususnya.
Mujurlah mereka dengar nasihat atau teguran itu. Nampak mereka boleh dijinakkan. Tidak seperti tahun 2018, walau ditegur, dilarang sekalipun mereka tidak hirau malah makin besar kepala.
Itulah perbezaan DAP zaman Dr. Mahathir dengan DAP zaman Anwar. Portfolio yang diberikan kepada pemimpin DAP zaman Kerajaan Perpaduan pun tidak sekanan zaman kerajaan PH dahulu.
Zaman Kerajaan Perpaduan, masing-masing tumpu pada kerja, mereka tidak berpolitik. Tambahan pula, di era Anwar, jumlah menteri dari DAP dikurangkan. Kabinet 2018 seramai enam menteri, di zaman 2022 hanya empat menteri.
Namun jumlah timbalan menteri dari DAP dikekalkan kepada enam. Enam dalam kerajaan PH dan enam dalam Kerajaan Perpaduan dengan menukarkan muka lama kepada muka baharu.
Muka baharu nampak lebih matang daripada muka lama yang digugurkan. Mungkin sebab itu negara sekarang dilihat lebih aman daripada sebelumnya. Itu pandangan BK lah. Pandangan orang lain, tak tahu.
Mana ada kita dengar menteri dan timbalan menteri dari DAP buat perangai di awal-awal pentadbiran Kerajaan Perpaduan?
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook selaku Menteri Pengangkutan; Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan Sivakumar (Menteri Sumber Manusia) mengambil sikap untuk tumpu pada kerja.
Begitu juga Steven Sim selaku Timbalan Menteri Kewangan; Ram Karpal Singh (Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Chang Foong Hin (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan); Liew Chin Tong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi Digital) dan Lim Hui Ying (Timbalan Menteri Pendidikan). Mereka juga lebih menumpukan pada amanah yang dipertanggungjawabkan masing-masing.
Nampak sekarang DAP sudah jadi budak baik, kan?
Ini jauh berbeza kalau dibandingkan dengan zaman Kerajaan PH dahulu. BR1M dihapuskan, beberapa aset negara dijual digadai. Pendek kata dari hari pertama hingga 22 bulan mentadbir, negara tidak pernah lekang dari isu panas dan rakyat sepanjang hari dalam kemarahan.
Namun dalam tempoh lima tahun ini, BK nasihatkan DAP lebih baik kekalkan momentum sekarang. Rakyat pun mula seronok dan suka kepada kerajaan baharu ini kerana nampak mereka buat kerja.
Sikap baik yang ditunjukkan DAP hari ini sekurang-kurangnya dapat memadamkan ‘dosa’ yang dilakukan oleh Guan Eng ketika memegang jawatan Menteri Kewangan selama 22 bulan dan pentadbiran yang agak kucar-kacir.
Banyak aset kerajaan telah dijual dengan alasan untuk menampung kewangan kerajaan untuk membayar hutang 1MDB, tetapi apabila Muhyiddin ambil alih, tiba-tiba duit yang dikatakan tidak ada oleh kerajaan PH, molek-molek digunakan dalam jumlah yang besar dan banyak oleh Muhyiddin.
RM600 bilion bukan jumlah yang kecil, tapi digunakan Muhyiddin dalam tempoh 17 bulan sahaja. Sedangkan, jumlah ini disembunyikan dari pengetahuan rakyat oleh menteri DAP sebelumnya dengan menguar-uarkan kerajaan tiada duit.
Pada mereka, duit kerajaan kononnya dihabiskan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan cara ‘dicuri’, ‘disanggak’ dan ‘disamun’.
Inilah cara menteri DAP dulu buat kerja. Nak tanam dalam minda rakyat, kononnya pemimpin UMNO ini ‘jahat’.
Alhamdulillah, bawah Anwar, rakyat tidak dihidangkan kisah-kisah silam kerajaan terdahulu. Malah, ada menteri dari PKR, Amanah, BN, DAP buat kenyataan ada nak teruskan kesinambungan kerajaan terdahulu.
Ini suatu yang baik dan wajar diteruskan sepanjang penggal PRU15 ini. – MalaysiaGazette
Sabtu, 31 Disember 2022
Wahai pemimpin buatlah perangai macam seorang pemimpin
By Manzaidi Mohd Amin - 25 December 2022
ADA yang tanya Bawah Kolong (BK) kenapa sesetengah pemimpin buat perangai bukan macam seorang pemimpin?
BK tanya balik, apa maksud yang dikatakan pemimpin buat perangai bukan macam seorang pemimpin itu?
Dia jelaskan, rakyat harapkan pemimpin itu dapat mencari ikhtiar terbaik untuk selesaikan masalah yang dihadapi, bukan cari helah untuk melepaskan tengkok daripada terjerat dengan masalah rakyat.
BK tanya lagi, adakah anda maksudkan kepada seorang pemimpin yang hilang ketika rakyatnya berdepan dengan musibah banjir baru-baru ini?
Atau anda maksudkan seorang pemimpin yang memberi jawapan mudah sebagai formula menyelesaikan harga ayam mahal di pasaran?
Dia kata, dua-dua sekali. Malah, ada lagi pemimpin yang buat perangai bukan macam seorang pemimpin kalau BK saksi persidangan Parlimen yang pertama bagi penggal PRU15 pada 19 Disember lalu.
Begini, jawab BK: Dalam hal ini kita tak boleh salahkan pemimpin berkenaan jika mereka buat perangai bukan macam seorang pemimpin.
Memang dari azali lagi kita tahu itulah perangai mereka, tapi kita undi dan pilih juga. Bila mereka dah jadi pemimpin yang sah dan tunjuk perangai bukan macam seorang pemimpin, kita nak salahkan siapa?
Nak kata kita tidak diperingatkan, rakaman video penceramah bebas, ustaz Kazim Elias berulang kali diputarkan di media sosial, malah dihafal dari mulut ke mulut.
Ustaz Kazim kata, silap pilih pemimpin, kita akan dapat taik.
Jadi sekarang, rakyat rasa mereka dapat apa dengan memilih pemimpin yang bukan macam perangai seorang pemimpin?
Pendek kata, siapa saja dipilih jadi pemimpin, perangai dan sikap mereka tak dapat lari daripada mewarisi sikap dan perangai pemimpin terdahulu.
Padahal, pemimpin ini juga yang tegur dan kritik pemimpin terdahulu. Cuma bila tiba giliran mereka, perangainya saling tak tumpah dengan yang dahulu. Betullah kata orang-orang tua dulu, mengata orang kena beringat, jangan diri sendiri yang terkena pula.
Dulu, kita kata Datuk Seri Hassan Malek tak cerdik sebab beri alasan, jangan makan ayam kalau harga ayam mahal. Kemudian, kita “boo” Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana beri jawapan, jangan beli telur kalau telur mahal.
Boleh dikatakan, alasan ini menjadi trend kepada menteri, tidak kira yang mengetuai KPDNHEP mahupun menteri berkaitan dengan ekonomi. Seolah, itulah jawapan terbaik mereka untuk disampaikan kepada rakyat.
Secara logiknya memang betul, benar dan tepat sekali jawapan itu, walaupun nampak macam bodoh.
Memang logiklah, kalau kita tak mampu nak beli ayam kerana harganya agak yahudi, kita tukar kepada ikan, udang, ketam, sotong atau beli lauk yang dah masak. Tidaklah sampai perlu masuk wad kalau tak dapat makan ayam.
Begitu juga, isu pemimpin hilang pada musim banjir. Isu ini bukan baharu. Ia berlaku hampir setiap tahun. Susah nak kata dan susah nak fikir dengan sikap dan perangai pemimpin yang bukan macam seorang pemimpin ini.
Sebagai pemimpin, bukan mereka tak tahu bermula November hingga Disember dan berakhir Januari tahun baharu, negara atau negeri akan berdepan dengan musim tengkujuh dan Monsun Timur Laut.
Dalam masa tiga bulan ini, mereka sepatutnya tahu akan berlaku hujan lebat, ribut petir, banjir kilat mahupun bah. Tetapi, peliknya ada pula pemimpin boleh merancang bawa keluarga makan angin di luar negara.
Mungkin pada mereka bermain salji bersama keluarga di luar negara lebih baik daripada meredah banjir bersama rakyat di kawasan. Apa nak heran, balik ke tanah air nanti, ucap saja “minta maaf”, habis cerita.
Jadi, itulah lebih kurang jawapan BK kepada mereka yang bertanya. Walaupun jawapan itu tidaklah detail sangat, tetapi sekurang-kurangnya menggambarkan itulah perangai pemimpin kita.
Mereka ini lebih kurang dua kali lima saja dengan pemimpin-pemimpin terdahulu. Cuma mereka ini mengkritik sebab ketika itu mereka tidak berada di tempat pemimpin sebelumnya.
Sekarang, bila mereka berada di satu tempat yang pernah diduduki pemimpin terdahulu, barulah mereka merasakan sendiri ‘kebodohan’ yang menjadi sumpahan mereka selama ini.
Bila dah jadi pemimpin ni ubahlah perangai dan sikap. Jangan terlalu sangat mengatakan orang, kelak diri sendiri akan terikut-ikut dengan orang yang kita katakan itu.
Sebab itu, orang tua selalu pesan, bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar.
Nak jadi pemimpin, jadilah seorang pemimpin yang benar-benar berwibawa, berkaliber, bijaksana, prihatin dan berjiwa rakyat, bukan jadi pemimpin untuk buat sarkas.
Kalau tak malu pada rakyat, malulah pada anak cucu. Mereka akan membesar dan ada masanya mereka akan menyaksikan gelagat atuk nenek mereka yang memalukan itu. – MalaysiaGazette
Ahad, 11 Disember 2022
Maka lengkaplah Kerajaan Perpaduan
By Manzaidi Mohd Amin - 9 December 2022
SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai timbalan menteri malam ini, selesailah tanda tanya yang bermain dalam fikiran rakyat mengenai apa akan berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengumuman ini melengkapkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan 24 November 2022 dengan pembentukan barisan Kabinet yang dikecilkan daripada sebelum ini pada 2 Disember lalu.
Kerajaan Perpaduan dibentuk menerusi gabungan antara Pakatan Harapan (PH), BN, Parti Gabungan Sarawak (PGS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan selepas tidak ada mana-mana parti menang dengan majoriti mudah pada PRU15, 19 November lalu.
Justeru, gabungan PH yang mendapat 82 kerusi Parlimen dengan BN (30 kerusi), PGS (23 kerusi), GRS (enam kerusi) dan Parti Warisan (tiga kerusi) campur Parti Bangsa Malaysia (PBM), Bebas dan KDM empat kerusik melayakkan sebuah kerajaan dibentuk.
Dalam hal ini, Perikatan Nasional (PN) tidak mahu dilibatkan. Gabungan Parti Bersatu, Pas dan Gerakan ini lebih senang menjadi pembangkang agar ada semak dan imbang di Parlimen nanti.
Sepanjang penggal PRU14 dari Mei 2018 hingga pembubaran Dewan Rakyat diumumkan pada 10 Oktober lalu, rakyat hidup dalam keadaan terumbang ambing berikutan berlaku pertukaran tiga kerajaan.
Dalam tempoh itu, rakyat hidup menderita dengan pandemik Covid-19, yang menyebabkan ramai hilang kerja, putus pendapatan, ekonomi negara semakin merudum dan kos sara hidup meningkat.
Sebab itu, tidak pelik kalau rakyat mengharapkan PRU15 dipanggil awal supaya sebuah kerajaan baharu yang stabil dan makmur dapat ditubuhkan.
Bemula Ogos 2022, rakyat tertanya-tanya bila Perdana Menteri hendak membubarkan Dewan Rakyat supaya PRU ke-15 dapat diadakan.
Mendengar keluhan itu, Datuk Seri Ismail Sabri yang merupakan Perdana Menteri kesembilan ketika itu memutuskan tarikh 10 Oktober 2022 sebagai pembubaran Parlimen.
Selepas Dewan Rakyat dibubarkan, rakyat tertanya-tanya bilakah tarikh pilihan raya diadakan, kerana mereka tidak sabar untuk keluar mengundi.
Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 19 November 2022 sebagai hari mengundi, rakyat tidak sabar-sabar menunggu detik pengumuman parti mana yang menang dengan majoriti mudah.
Namun, sehingga pukul 4 pagi pada 20 November 2022, tidak ada satu parti pun mendapat 112 kerusi atau majoriti mudah.
Ini memaksa Yang di-Pertuan Agong memanggil semua ketua-ketua parti untuk menyelesaikan keputusan berkenaan.
Tuanku kemudian mencadangkan agar dibentuk sebuah Kerajaan Perpaduan antara PH dengan PN, memandangkan kedua-dua parti itu mendapat jumlah yang terbanyak, tetapi bukan dominan.
Tetapi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan itu dengan alasan tindakan membentuk Kerajaan Perpaduan ‘lari’ dari perjuangan asal gabungan itu.
Atas kebijaksanaan Tuanku, maka cadangan dikemukakan kepada BN agar bergabung saja dengan PH supaya kerajaan dapat dibentuk bagi menamatkan kegusaran dan kebimbangan rakyat.
Atas titah itu, BN bersetuju dan bersedia bersama PH untuk menubuhkan kerajaan dengan Anwar yang mendapat kerusi terbanyak sebagai Perdana Menteri, manakala BN mencadangkan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Selepas persetujuan dicapai, Tuanku memberi perkenan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan majlis angkat sumpah Perdana Menteri dilakukan pada jam 5 petang 24 November di Istana Negara.
Pada 2 Disember 2022, Anwar mengumumkan barisan Jemaah Menterinya, yang turut menamakan Datuk Seri Fadzillah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPBS) sebagai Timbalan Perdana Menteri II.
Dengan itu, maka selesailah konflik kecil pembentukan kerajaan pasca PRU15 dan Anwar serta barisan Jemaah Menterinya memulakan tugas masing-masing pada 5 Disember lalu.
Rakyat mengharapkan kerajaan ini kekal sehingga tamat penggal PRU15 pada 2027 nanti, tanpa berulang lagi ‘langkah’ atau kerajaan tebuk atap sebagaimana berlaku sepanjang penggal PRU14.
Rakyat mengharapkan kerajaan baharu ini dapat segera memulihkan ekonomi negara, sekali gus mengatasi masalah kos sara hidup tinggi yang membebankan mereka selama ini dalam meneruskan kesinambungan hidup.
Rakyat menaruh keyakinan dengan keupayaan dan kebolehan Anwar serta dibantu Jemaah Kabinetnya untuk meletakkan semula ekonomi negara pada landasan yang betul.
Mereka tidak tahan menempuhi kehidupan di sebuah negara yang tergelincir dari landasan dan cukuplah empat tahun kemelut itu berlaku untuk dimasukkan dalam sejarah kehidupan. – MalaysiaGazette/analisis
Masih ada lagikah UMNO, BN pada PRU16?
By Manzaidi Mohd Amin - 26 November 2022
JIKA diimbau atau diteliti kembali keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) dari PRU 11 hingga PRU 15, apa yang dijumpai adalah suatu yang amat menakutkan.
Rasa takut itu lebih tepat ditumpukan pada jumlah kerusi yang dimenangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam tempoh 18 tahun dari 2004 hingga 2022.
Dalam pemerhatian dan penelitian itu, sedar atau tidak, UMNO dan BN sedang melalui era kejatuhan atau dengan lebih tepat kemerosotan sokongan orang Melayu, masyarakat Cina dan kaum India kepada parti itu.
Kemerosotan itu mula dikesan pada PRU 12 tahun 2008, apabila jumlah kerusi yang dimenangi UMNO dan BN ketika itu sekadar 140 kerusi, sedangkan jumlah sebelumnya iaitu pada PRU 11, parti keramat orang Melayu itu menang lebih 200 kerusi.
Dalam PRU 12 itu, UMNO dan BN hilang sebanyak 60 kerusi, kemudian PRU 13 hilang lapan kerusi menjadikan 132 kerusi yang dimenangi pada 2013 dan hilang lagi 53 kerusi pada PRU 14 apabila UMNO dan BN hanya mendapat 79 kerusi.
Namun, daripada 79 kerusi itu, UMNO dan BN hilang lagi 39 kerusi apabila 39 ahli Parlimennya lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dengan tindakan itu, UMNO dan BN tinggal 40 kerusi sehinggalah pada PRU 15 jumlahnya makin berkurangan kepada 30 kerusi.
Sungguhpun jumlahnya berkurangan, berkat keramat yang ada pada parti itu, meletakkan UMNO dan BN masih menjadi kerajaan dengan menyatakan sokongan kepada parti gabungan terbanyak.
Sepanjang PRU 14, UMNO dan BN untuk pertama kalinya menjadi pembangkang dengan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
Di Parlimen, beliau dan 39 ahli Parlimen UMNO serta BN ‘diserang’ bertubi-tubi oleh blok kerajaan – PH yang komponennya terdiri daripada PKR, Parti Amanah, DAP, Parti Bersatu dan Warisan.
Tetapi, UMNO dan BN bersikap anak jantan, mereka menangkis segala serangan itu selama 22 bulan sehingga kerajaan PH jatuh akibat krisis dalaman parti itu yang menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Tidak cukup dengan itu, sekumpulan ahli Parlimen PKR diketuai Timbalan PKR masa itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin membuat Langkah Sheraton.
Langkah Sheraton itu menyebabkan kerajaan PH tumbang dan memberi laluan kepada Parti Bersatu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuh kerajaan ‘tebuk atap’.
Muhyiddin kemudian memikat Pas supaya menyertai parti itu dan membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN).
Kerana ghairah dengan tawaran jawatan dalam Kabinet, Pas yang ketika itu terikat dengan Muafakat Nasional (MN) memutuskan untuk berpisah dengan UMNO.
Maka, kerajaan tebuk atap iaitu PN 1.0 ditubuhkan dengan jumlah sokongan daripada ahli Parlimen Bersatu, ahli Parlimen bekas PKR dan ahli Parlimen Pas.
UMNO dan BN pula kekal untuk tidak bersama PN, tetapi menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan, dengan Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, kerajaan PN 1.0 mampu bertahan 17 bulan sahaja dan tempat Muhyiddin digantikan oleh Ismail Sabri dari UMNO sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Ismail Sabril kemudian menamakan kerajaannya sebagai kerajaan PN – Keluarga Malaysia.
Kerajaan Keluarga Malaysia ini walaupun zahir ditadbir oleh UMNO dan BN, tetapi pergerakannya dikawal oleh Bersatu.
Dengan kata lain, UMNO dan BN tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian. Setiap dasar mesti mendapatkan restu, izin atau persetujuan daripada parti Bersatu.
Maka, berjalanlah kerajaan yang tidak sempurna itu mentadbir negara sehingga Ismail Sabri memutuskan untuk mendapatkan perkenan Tuanku Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2022.
Disangkakan dengan pembubaran Dewan Rakyat lebih awal dari tamat tempoh penggal PRU 14, UMNO dan BN akan mendapat kembali nyawanya yang lebih separuh hilang itu.
Tetapi, strategi itu telah memakan diri, apabila pada 19 November lalu, UMNO dan BN hanya mampu menang 30 kerusi sahaja. Sebanyak 70 peratus muka baharu semuanya kecundang.
Jika diconggak dan dihitung, riwayat UMNO sekadar tinggal suku nyawa sahaja lagi. Jika tiada usaha dilakukan dari kepimpinan sekarang, tidak mustahil UMNO akan lenyap pada PRU 16 akan datang.
Sejarah menunjukkan sokongan kepada UMNO dan BN semakin hilang sejak 2004. Anak-anak muda yang baru pertama kali mengundi sebaik mencapai umur 18 tahun tidak lagi berminat kepada parti terbesar orang Melayu itu.
Mereka lebih cenderung kepada PH – PKR, Amanah dan DAP serta PN – Bersatu dan Pas. Mungkin kerana dua gabungan itu pandai bermain angin mereka, berbanding UMNO yang berterusan bertelagah sesama sendiri sejak sekian lama.
Kesimpulannya, UMNO adalah parti keramat. Buktinya, walaupun kalah dalam dua PRU dengan mendapat jumlah kerusi yang paling kecil, tetapi takdir Allah menetapkan parti itu berada dalam blok kerajaan. PRU 14 kerajaan Keluarga Malaysia dengan PN dan PRU 15 Kerajaan Perpaduan dengan PH.
Walaupun begitu, UMNO tidak boleh menganggap itu sebagai rezeki atau tuah untuk meletakkannya berasa selesa, sebaliknya kepimpinan UMNO perlu fikirkan bagaimana untuk mengembalikan sokongan rakyat pada PRU 16 akan datang.
Ramai ahli UMNO rindukan kegemilangan parti itu di era 70-an, 80-an dan 90-an. Mereka seronok mendengar keputusan PRU 11, UMNO dan BN menang lebih 200 kerusi.
Tetapi, kalau UMNO masih bertelagah sesama sendiri, tidak mendekati anak muda, tidak melakukan reformasi dan membiarkan musuh dalam selimut menghancurkan UMNO dari dalam, tidak mustahil dalam empat atau lima tahun akan datang, orang Melayu akan menyaksikan UMNO dimasukkan dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan.
Jika itu berlaku, amat sedih dan malanglah bagi generasi Melayu akan datang dan kepada sisa baki pejuang yang masih ada. Walaupun ada PH dan PN, tetapi semangat juang dua parti itu tidak sama dengan semangat juang UMNO.
UMNO hidup sebelum negara merdeka, sedangkan PH dan PN hidup selepas merdeka. Semangatnya jauh berbeza, bagai langit dengan bumi. – MalaysiaGazette/analisis
Kenapa PN tolak cadangan Agong untuk tubuh Kerajaan Perpaduan?
By Manzaidi Mohd Amin - 23 November 2022
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2022.
MEMANDANGKAN tiada mana-mana parti yang menang secara dominan atau dengan majoriti mudah, maka Yang di-Pertuan Agong mencadangkan agar dibentuk sebuah kerajaan perpaduan.
Kerajaan perpaduan ini bermakna kerajaan gabungan antara parti-parti yang ada jumlah kerusi tertentu, tetapi jumlahnya tidak mencecah 112 sebagaimana ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Maknanya, cadangan daripada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan perpaduan itu ialah gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN), manakala Perdana Menteri dilantik dari mana-mana gabungan yang mendapat lebih kerusi dari gabungan lain.
Dalam maksud Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri bagi kerajaan perpaduan ini ialah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab gabungan itu mendapat 82 kerusi, manakala Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana gabungannya memperoleh 73 kerusi sahaja.
Baginda telah mencadangkan nisbah yang adil bagi kedua-dua pihak kerana kerajaan Persekutuan perlu dibentuk sesegera mungkin bagi mengurus tadbir negara dan hal ehwal rakyat.
Kalau tergantung sehingga hari ini yang sudah masuk hari keempat pasca PRU15, tidak baik untuk negara dan rakyat. Negara boleh hilang berbilion ringgit sehari tanpa ada kerajaan yang stabil dan makmur.
Namun, Muhyiddin dikatakan menolak cadangan itu dengan alasan, PN pada dasarnya sudah mempunyai bilangan Ahli Parlimen melebihi 112 kerusi sebagaimana dikehendaki Perlembagaan.
“Di sini ada surat akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka, Datuk Nazim Mohamad Halim yang sahkan penerimaan dokumen yang kami serahkan atau dihantar menerusi e-mel yang merupakan bukti kami mempunyai sejumlah bilangan MP (ahli Parlimen) melebihi 112 yang dikehendaki.
“Jadi, sebab itu kami yakin sewajarnya boleh membentuk kerajaan, tetapi bila saya menghadap baginda tadi (semalam), dikatakan ia (115) tidak mencukupi dan saya tidak tahu apa sebabnya.
“Selepas itu kerana dikatakan tiada satu pun yang mempunyai jumlah bilangan yang mencukupi, Tuanku mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk Unity Government (Kerajaan Perpaduan),” kata Muhyiddin pada sidang media, semalam.
Memang benar PN mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan PH, tetapi baginda perlu meneliti sejauh mana kesahihan kedudukan 39 kerusi lagi yang dikatakan menyokong PN untuk menubukan Kerajaan Persekutuan.
Itu Yang di-Pertuan Agong ambil kira, sebab daripada 39 kerusi itu melibatkan 23 parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan enam parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sedangkan kedua parti ini terikat dengan Akuan Sumpah (SD) kepada BN sebelumnya.
Tidak boleh ada dua SD serentak untuk menyokong mana-mana parti lain yang mereka rasa perlu berbuat demikian, melainkan disertakan dengan persetujuan daripada BN.
Mengambil kira perkara ini yang mendorong Istana Negara untuk tidak menerima jumlah 112 atau 115 yang diserahkan oleh PN semalam.
Justeru, disebabkan tidak ada kata sepakat dan tiada keputusan dicapai antara Muhyiddin dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka Yang di-Pertuan Agong mencadangkan agar dibentuk kerajaan perpaduan.
Kalau melihat kepada kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad semalam, beliau antara pemimpin dari PH yang pertama mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan nasional.
Dalam kenyataannya, beliau berharap kerajaan baharu yang dinamakan perpaduan nasional dapat dibentuk secepat mungkin.
Dzulkefly bukan sekadar Ahli Parlimen, malah Pengarah Strategi Amanah yang dilaporkan berkata, pembentukan kerajaan itu perlu disebabkan tiada gabungan parti yang mendapat kemenangan majoriti.
“Disebabkan tiada gabungan yang mendapat kemenangan majoriti untuk membentuk kerajaan, justeru terdapat keperluan mendesak untuk membina kerajaan perpaduan.
“Kita patut fokus kepada national reset agenda atau agenda menetapkan semula kedudukan negara di landasan sebenar,” kata Dzulkefly menerusi ciapan Twitternya.
Kenapa perkara yang mudah menjadi susah? Adakah kerana jawatan Perdana Menteri yang diimpikan Anwar dan Muhyiddin menjadi halangan untuk bersetuju dengan cadangan dan saranan Yang di-Pertuan Agong?
Kedua pemimpin ini tidak lekang dari mulut “demi kepentingan rakyat”, “demi mengembalikan negara yang kini tidak stabil” dan macam-macam demi lagi.
Hakikatnya, biila ditanya kepada rakyat, mereka langsung tidak kisah siapa jadi kerajaan, sama ada kerajaan majoriti mudah atau kerajaan dua pertiga atau kerajaan perpaduan.
Kepada rakyat, asalkan selepas PRU15 pada 19 November lalu, keesokan hari sudah ada kerajaan baharu. Mereka tidak kisah pun siapa Perdana Menteri, sama ada Muhyiddin atau Anwar. – MalaysiaGazette/analisis/pru15
Bersandarkan hasil dapatan badan pengkaji, semua parti dapat bentuk kerajaan
By Manzaidi Mohd Amin - 18 November 2022
PELBAGAI hasil dapatan dikeluarkan pihak tertentu yang kononnya mendapat pengiktirafan badan berkuasa untuk melakukan kajian bagi mendapatkan jawapan parti mana bakal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.
Ada kajian yang mendapat keputusan Barisan Nasional (BN) mengatasi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) serta ada juga keputusan yang memihak kepada PH serta PN.
Namun, setakat ini, tiga dapatan daripada lima badan pengkaji telah mengeluarkan jawapan hampir sama iaitu BN bakal membentuk kerajaan Persekutuan, manakala PH dan PN menjadi pembangkang.
Tiga dapatan itu menyatakan, perolehan kerusi oleh BN antara 85 hingga 90 kawasan Parlimen di Semenanjung, tidak termasuk jumlah kerusi dimenangi rakan BN di Sabah dan Sarawak.
Dua dapatan lagi masing-masing mendedahkan keputusan orang ramai yang memilih PH sebagai kerajaan dan satu lagi memilih PN sebagai kerajaan.
Semua jawapan itu bagaimanapun, tidak dapat disahihkan oleh mana-mana pihak berautoriti, tetapi mereka berhak mendedahkannya kerana ia adalah hasil kajian yang dilakukan di lapangan.
Sehingga jam 7 malam ini, yang berbaki kira-kira lima jam lagi untuk tempoh berkempen tamat pada jam 11.59 malam, penulis belum menerima jawapan yang tetap parti mana akan menang majoriti.
Ini kerana, sepanjang 19 hari membuat liputan calon-calon berkempen, sokongan bagi tiga parti gabungan itu sama kuat.
Kempen oleh tiga parti ini mendapat sambutan menggalakkan. Bendera dan poster sama banyak, kempen ceramah sama hebat dan program walkabout pun mendapat sambutan
Sebab itu, kalau kita dengar kenyataan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing mendakwa mereka akan menang.
Cuba nampak ghairah sejak awal kempen ialah Anwar dan Muhyiddin. Ke mana sahaja berceramah, mereka mengangkat diri sendiri sebagai Perdana Menteri.
Dengan kata lain, tanpa segan silu mereka telah mengisytiharkan kepada rakyat bahawa merekalah Perdana Menteri ke-10 pada 20 November ini.
Di belah pihak BN pula, sudah terang lagi bersuluh, poster boy adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau turun berkempen tidak pernah mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-10.
Cuma isu Perdana Menteri dalam kalangan BN ini dimainkan oleh dua parti lawannya iaitu PH dan PN. Tuan badan tidak memikirkan soal itu, sebaliknya mahu beri tumpuan kepada soal kebajikan rakyat.
Selepas menang, baharulah BN akan buat pelantikan secara rasmi sebagaimana dijanjikan oleh Ahmad Zahid dan dipersetujui sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Berbalik kepada senario sokongan rakyat kepada tiga parti gabungan ini, setakat ini nisbahnya boleh diletakkan sebagai 50-50.
Angka itu diletakkan sama rata, sama adil kerana kita tidak dapat menjangkakan berapa peratus rakyat akan keluar mengundi esok.
Peratusan ini pula bergantung kepada keadaan cuaca, yang mana sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu, cuaca Monsun Timur Laut mula menunjukkan ketidaktentuan.
Tarikh 8 November 2022 secara tiba-tiba menyaksikan bandaraya Shah Alam banjir, kemudian diikuti 11 November dan terbaharu 17 November.
Keadaan ini memberi kesan kepada pengundi, sama ada mahu keluar mengundi atau biarkan PRU15 berlalu begitu sahaja tanpa mereka keluar mengundi.
Namun begitu, bersandarkan kepada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka baru-baru ini, boleh dikatakan BN telah sapu bersih semua kerusi ditandinginya termasuk milik PH dan PN.
Tetapi, PH dan PN bernasib baik kerana ada juga satu dua zuriatnya masih diberi nyawa sebagai pewaris yang akan meneruskan hikayat hidup parti berkenaan.
Itulah momentum yang penulis dapat gambarkan. Perangkaan 50-50 bukan berdasarkan sembang rambang orang ramai secara bersemuka, tetapi bersandarkan kepada naluri.
Malah, ini adalah jawapan yang benar-benar adil, berbanding memberi harapan kosong kepada rakyat, sedangkan kita sendiri tidak tahu jawapan yang diberikan responden itu jujur atau retorik.
Jawapan lebih tepat ialah sama-samalah tunggu pengumuman rasmi dari SPR malam esok. Tidak perlu mengharapkan jawapan yang tidak menjamin kepada kebenaran. – MalaysiaGazette/analisis/pru15
Ismail Sabri perlu satu penggal penuh jika nak menjayakan ideanya
By Manzaidi Mohd Amin - 10 November 2022
SECARA umum, skala 77.9 peratus daripada 1,211 responden yang terlibat dengan kajian selidik secara tatap muka di lapangan bersetuju Konsep Keluarga Malaysia adalah amat baik dalam menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.
Lebih separuh daripada respoden, iaitu 59.5 peratus mengakui inisiatif, bantuan dan dasar Keluarga Malaysia telah memberi manfaat kepada mereka dan ahli keluarga.
Manakala 49.9 peratus menyatakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mempunyai misi jelas dalam mengutamakan kebajikan rakyat.
Perangkaan peratusan itu terkandung dalam laporan kajian ‘Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia’ oleh Panel Penyelidikan ILHAM Centre (ILHAM).
Kajian itu dilaksanakan selama tiga minggu bermula 20 Oktober hingga 6 November lalu dengan 1,211 responden telah memberikan kerjasama mengisi borang kaji selidik proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif.
Semua responden itu melibatkan dari seluruh negara yang dipilih secara persampelan rawak berstrata dan meliputi semua segmentasi jantina, kaum, peringkat umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan dan lokaliti yang berbeza.
Menurut laporan itu, pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini telah dilaksanakan dengan semua responden yang ditemui dapat menyempurnakan borang kaji selidik dengan jayanya.
Borang kaji selidik telah dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi memudahkan penilaian kefahaman terhadap subjek atau topik yang diperbincangkan.
Sebanyak 10 domain utama dinilai dalam kajian ini meliputi Prestasi Kerajaan Keluarga Malaysia, Konsep Keluarga Malaysia, Dasar dan Inisiatif Perdana Menteri, Pengurusan Ekonomi, Pelaburan Asing, Aspirasi Masa Depan, Bajet 2023, Bajet 2023 Untuk Wanita, Bajet 2023 Untuk Belia dan Bajet 2023 Untuk Mahasiswa.
Data kuantitatif yang diperolehi melalui borang kaji selidik dan kualitatif yang dikumpulkan melalui perbincangan kumpulan sasar itu telah disusun secara sistematik bagi memudahkan kefahaman secara berstruktur dan memandu kronologi topik perbincangan.
Laporan itu hanya merujuk kepada prestasi semasa kerajaan dan pencapaian dasar Keluarga Malaysia, namun melihat kepada usaha kerajaan melalui Pasukan Jihad Tangani Inflasi mampu membendung kenaikan harga barangan hanya dipersetujui sebanyak 46.4 peratus.
“Ini menunjukkan kerajaan masih berada di peringkat awal dan sedang mengatasi isu harga barangan yang dihadapi oleh pengguna.
“Secara umum, rakyat menerima idea-idea dasar Keluarga Malaysia sebagai wadah perpaduan dan sebanyak 75.8 peratus bersetuju semangat Keluarga Malaysia mampu mengekalkan keamanan dan kerukunan.
“Malah, 58.5 peratus bersetuju Keluarga Malaysia juga mampu mencegah perpecahan rusuhan kaum di Malaysia,” kata laporan itu.
Ini menunjukkan secara asasnya, rakyat menerima polisi dan dasar kerajaan yang baik dalam konteks menjaga keharmonian kaum bersesuaian dengan kemajmukan rakyat di Malaysia.
Pencapaian tertinggi diperolehi ialah sebanyak 82.5 peratus terhadap program Jamin Kerja dan Diskaun Saman PDRM.
Ternyata dalam perkara yang melibatkan pemberian one-off, subsidi potongan harga saman, bantuan kerajaan secara mudahnya rakyat amat mengalukan kerana dapat meringankan beban mereka dalam kos sara hidup.
“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pernah menghadiri secara fizikal Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, yang berkemungkinan disebabkan faktor lokasi penganjuran yang bertumpu di kawasan utama.
“Ini menandakan program Aspirasi Keluarga Malaysia harus diteruskan dan diperluaskan hingga sampai ke seluruh peringkat akar umbi,” lapor ILHAM.
Namun, penilaian persepsi rakyat kepada Dasar Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Ismail Sabri secara umumnya disambut baik walaupun sebahagiannya masih lagi belum jelas mengenai hala tuju negara menerusi dasar itu mampu memberi manfaat kepada mereka secara spesifik.
Dengan pengesahan oleh responden memberikan peratusan memuaskan terhadap pelaksanaan Dasar Keluarga Malaysia walaupun hanya 13 bulan Perdana Menteri mentadbir negara.
Ini kerana, apabila negara melangkah masuk ke fasa endemik, trauma mereka masih lagi berbekas ketika mana berdepan dengan kehilangan punca pendapatan, hilang pekerjaan sehingga segelintir mengibar bendera putih kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilalui selama lebih dua tahun.
Selain itu, dari aspek politik pula, drama politik berebut teraju kekuasaan menyebabkan rakyat sangat letih dengan pertembungan kuasa yang berlaku.
Ini dapat dilihat dengan rendahnya peratusan penyertaan rakyat di dalam dua siri pilihan raya negeri yang berlangsung di Melaka dan Johor.
Kehadiran watak Perdana Menteri yang tidak membawa pendekatan jalur keras, kurang kontroversi serta menghargai peranan parti pembangkang menyebabkan suhu politik tempatan menjadi reda.
Maka, apabila Dasar Keluarga Malaysia diperkenalkan, rakyat terbanyak menerimanya dengan baik. Kaum Melayu, masyarakat di luar bandar dan pedalaman menerima dasar ini adalah untuk meletakkan kembali Malaysia di landasan yang tepat.
Kajian ini menyukat dasar itu selepas Parlimen dibubarkan. Ternyata, Dasar Kerajaan Keluarga Malaysia ini adalah baik, tetapi memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk direalisasikan.
Perdana Menteri memerlukan satu penggal penuh jika ingin menjayakan lagi idea beliau ini selepas Pilihan Raya Umum ini.
Pencapaian Ismail Sabri selama 13 bulan tetap harus dipuji. Ini kerana selama perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri telah menunjukkan hasil kejayaan dan membina asas bagi meletakkan semula negara pada landasan yang betul dan perlu bersedia menghadapi gelombang kesuraman ekonomi pada masa mendatang. – MalaysiaGazette/analisis.pru15
PRU15 saksikan ramai nama besar terkorban
By Manzaidi Mohd Amin - 6 November 2022
PERAMAL politik menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini adalah ibu segala pilihan raya.
Ia adalah pilihan raya yang menyaksikan nama-nama besar dalam arena politik tanah air terkorban dan berakhir karier politik masing-masing untuk tempoh lima tahun.
Sebenarnya bukan atas kehendak atau permintaan mereka untuk bertembung, apatah lagi berlawan dengan musuh yang bukan calang-calang orang, tetapi kerana perancangan yang diatur oleh parti, mereka patuh untuk ‘membunuh’ dan akur ‘dibunuh’.
Di PRU sebelum ini, strategi begini tidak pernah berlaku, melainkan secara kebetulan mereka berasal di kawasan yang sama, bukan seperti sekarang, terpaksa dipindahkan ke kerusi jauh dari tempat tinggal semata-mata untuk mematikan musuh atau diri dimatikan musuh.
Sebagai contoh, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan yang tinggal di Pandan, Kuala Lumpur ditempatkan di Parlimen Padang Besar untuk lawan calon PN, Datuk Rushdan Rusmi dan calon PH, Mohamad Saad@Yahya.
Tetapi, beliau tidak menduga, penyandang Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dari UMNO sanggup mempertahankan kerusi itu dengan bertanding atas tiket bebas.
Adakah beliau dapat ‘membunuh’ tiga calon ini atau dirinya ‘dibunuh’ oleh tiga pihak lawan ini? Tambahan pula Zahida tidak dapat turun berkempen kerana masih dalam edah kematian suami.
Jadi, karier siapa akan berakhir dalam PRU15 ini? Zahida, Zahidi, Rushdan atau Mohamad Saad?
Contoh seperti inilah para peramal mengatakan PRU15 kali ini adalah ibu kepada segala PRU, kerana ia seolah-olah pertandingan kalah mati, pertandingan yang mempertaruhkan nyawa dan masa depan diri dalam politik.
Selain Padang Besar, di kerusi Parlimen Arau juga nampak panas. Penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak disenaraikan pucuk pimpinan UMNO, BN telah membuat keputusan bertanding atas tiket PN.
Mungkin beliau boleh menang selesa atas tiket PN sebab komponen PN ialah Pas dan Bersatu, yang mana ahli, pengikut dan penyokong dua parti ini akan terjemahkan undi mereka kepada Pak Dan.
Begitu juga di Langkawi, setakat ini tidak ada mana-mana pemimpin dapat menewaskan Bapa Pemodenan Negara untuk merampas kerusi itu daripadanya, baik kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun mencabarnya.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz juga dijangka mengekalkan kerusi Jerlun sebagai Ahli Parlimen itu pada 20 November ini.
Cuma di Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berada dalam keadaan tidak selamat apabila BN meletakkan bekas ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob sebagai pencabarnya.
Di Sungai Petani, Datuk Marzuki Yahya dari parti Pejuang dicabar oleh Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dari BN. Ini pun bukan calang-calang orang yang boleh dipandang rendah oleh Marzuki.
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pula dijangka menang mudah di Baling, begitu juga Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismal akan mengekalkan kerusi Kulim Bandar Baharu kerana pencabarnya bukan daripada kalangan berpengaruh.
Jauh di Kelantan sana, bekas ADUN Demit, Datuk Mumtaz Md. Nawi dari PN diletakkan oleh pucuk pimpinan Pas di kerusi Parlimen Tumpat untuk memberi ucapan selamat tinggal kepada pengkhianat parti, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Che Abdullah menang Parlimen itu atas tiket Pas dan juga merupakan ahli Pas, tetapi kerana tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi itu, beliau berjumpa dengan Presiden UMNO meminta izin bertanding atas tiket BN.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi persetujuan tanpa memikirkan perasaan pimpinan UMNO Bahagian yang sekian lama memasang impian mahu bertanding, hanya mampu menggigit jari.
Jika ditanya bagaimana keadaan di Parlimen Pasir Mas, yang ini walaupun sukar diramal, tetapi naluri penulis menyatakan, Datuk Ab. Ghani Harun dari BN akan menang.
Kemenangannya mungkin disebabkan pertembungan undi antara penyokong penyandang, Ahmad Fadhli Shaary (PN) dengan pencabarnya, Datuk Husam Musa (PH).
Di Rantau Panjang pula, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali memperjudikan nasib berlawan dengan penyandang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dari PN/Pas. Bagi beliau, kalah itu biasa, menang itu bonus.
Di Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz akan menerima tentangan daripada bekas timbalannya ketika mereka dalam UMNO iaitu Datuk Suparadi Md. Noor yang bertanding atas tiket PH. Tetapi tidak mustahil tuah memihak kepada calon BN, Bakri @ Mohd Bakri Mustapha.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal pula diramalkan oleh para peramal sebagai seekor ikan kembung yang dijadikan umpan untuk menangkap jerung.
Beliau diletakkan di kerusi Machang untuk berlawan dengan penyandang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. Beliau boleh diibaratkan seorang tentera yang dihantar ke medan perang, pergi tidak balik-balik.
Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menarik diri daripada bertanding PRU ini menyebabkan perebutan di Jeli tidak sengit. Tempatnya diletakkan bekas pegawai khas beliau, Zahari Kechik.
Di Tambun, Perak agak sukar diramal, sebab dua calon ini masing-masing mempunyai nama besar, Mereka adalah Anwar dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Kedua-duanya sama berpengaruh dan sama-sama menjadi idola. Hanya rakyat Tambun yang akan menentukan melalui undi pada 19 November ini.
Di Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertanding atas tiket PH, dikatakan bakal jadi lauk lawannya, Khairul Azwan Harun dari BN. Begitu juga Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan menjadi makanan Ahmad Zahid Hamidi.
Di Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai dari BN tidak boleh menganggap calon lawan, Young Syefura Othman (PH/DAP) sebagai pesaing yang mudah. Young Syefura atau Rara bukan pertama kali bertanding pilihan raya.
Sudah tentu Rara menggunakan sehabis kudrat dan jentera dari DAP untuk mengalahkan veteran MCA itu.
Kerusi lain pula seperti Bera sudah terang lagi bersuluh milik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Begitu juga di Kuala Selangor, walaupun pertama kali menyertai pertandingan, tetapi nama Tengku Zafrul Abdul Aziz semakin menyerlah sejak kejayaannya sebagai Menteri Kewangan.
Cuma nasib penyandang, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agak malap sedikit kerana pencabarnya seorang nama besar, walaupun baru dalam arena politik.
Di Gombak, penyandangnya, Datuk Seri Azmin Ali tidak akan memberi laluan mudah kepada pencabarnya yang juga merupakan bekas anak buahnya, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin diletakkan di situ sebagai syarat parti tidak perlukan beliau lagi di peringkat negeri.
Datuk Zuraida Kamaruddin yang baru selesai kemelut perebutan jawatan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan berdepan dengan pencabarnya, bekas ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dari PH.
Atas nama parti baharu, sukar untuk bekas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu untuk mengekalkan kemenangan PRU14.
Di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin tiba-tiba sahaja menjadi popular dalam kalangan rakyat dan pengundi kawasan itu. Penampilannya yang segak bergaya menyebabkan ramai ‘jatuh cinta’.
Kelebihan ini yang menjadi ramalan para peramal bahawa Khairy akan menang di Sungai Buloh walaupun dengan majoriti tipis.
Satu lagi kerusi yang menjadi perhatian ialah Titiwangsa, apabila Khalid Abdul Samad yang sebenarnya lebih selesa berada di Shah Alam telah dipindahkan ke Parlimen itu untuk berlawan dengan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Demi ‘mempertahankan’ kedaulatan Kampung Baru, Khalid rela bertarung di Titiwangsa. Apa nak pelik, kalau mati, tanam. – MalaysiaGazette/analisis/pru15
Isham jadi pilihan pengundi?
By Manzaidi Mohd Amin - 4 November 2022
SHAH ALAM – Isham Jalil antara seorang daripada 22 calon Barisan Nasional (BN) Selangor yang disebut-sebut oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau akan bertembung dengan tiga calon parti lawan dalam pertandingan empat penjuru pada 19 November ini antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
PN mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya yang juga bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Dr. Afif Bahardin, manakala PH meletakkan Ketua Amanah Shah Alam, Azli Yusof dan GTA menamakan peguam parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Jika melihat kepada nama ini, hanya Dr. Afif pernah dua penggal bertanding sebagai ADUN Seberang Jaya di Pulau Pinang, tiga lagi adalah muka baharu yang pertama kali masuk gelanggang pertandingan.
Namun, Isham dan Dr. Afif adalah dua nama besar dalam parti masing-masing yang dijangka memberi saingan hebat sengit antara satu sama lain.
Bagaimanapun, kedua mereka tidak boleh memandang rendah pengaruh Azli yang merupakan Setiausaha Politik kepada Khalid Abdul Samad yang menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari Julai 2018 hingga Februari 2020.
Khalid pula adalah Ahli Parlimen Shah Alam empat penggal di Shah Alam yang dimenanginya ketika bertanding atas tiket Pas dan Amanah dari tahun 2004 hingga tamat penggal PRU14.
Jadi, dalam pertandingan kali ini, mata tertumpu kepada tiga calon ini, tetapi penganalisis politik membuat ramalan populariti Isham mengatasi Dr. Afif dan Azli.
Dr. Afif pula kemungkinan berdepan dengan kehilangan banyak undi berikutan tindakannya keluar parti PKR untuk bersama bosnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai parti Bersatu.
Ahli dan penyokong PKR kawasan itu akan mensabotajnya dan sama ada tidak keluar mengundi atau memberi undinya kepada calon lain. Ini tidak mustahil akan berlaku.
Walaupun dalam empat penggal PRU, UMNO tidak pernah menang, tetapi itu bukan kayu pengukur untuk menyatakan Isham juga akan mengikut jejak bekas calon BN sebelum ini.
Penampilan Isham yang dilihat sebagai seorang pemimpin muda yang ikhlas dan jujur, memberi banyak peluang kepadanya untuk menewaskan tiga lawan itu.
Selain itu, Isham juga antara calon paling muda daripada Dr. Afif, Azli dan Muhammad Rafique.
Sudah tentu faktor usia memberi kelebihan kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO ini untuk bergelar Yang Berhormat pada 20 November ini, yang mana beliau diramalkan mendapat undi paling banyak daripada pengundi muda berusia 18 yang secara automatik layak mengundi.
Isham yang berkelulusan Sarjana Muda Kelas Pertama (Kejuruteraan) di Universiti Bristol ini mempunyai banyak kelebihan dari segi debat dan pidato.
Beliau juga aktif bersama UMNO dan BN, sebelum dilantik Ketua Penerangan BN Selangor.
Esok, Isham akan masuk gelanggang pertandingan sebaik hadir ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Teratai MBSA, Seksyen 19, Shah Alam sebelum jam 10 pagi esok. – MalaysiaGazette/analisis/politik/pru15
PBM bergolak, satu kapal dua nakhoda
By Manzaidi Mohd Amin - 30 October 2022
KETIKA hari penamaan calon semakin menghampiri dan kebanyakan parti politik sudah menempatkan calon masing-masing, tetapi Parti Bangsa Malaysia (PBM), parti paling bongsu dalam politik Malaysia masih bertelagah sesama sendiri.
Sehingga kini, perpecahan semakin serius, apabila wujud dua watak utama dalam PBM yang masing-masing mengaku sebagai presiden yang sah dan mengikut perlembagaan.
Kalau mengikut perlembagaan dan rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), nama Datuk Larry Sng Wei Shien adalah presiden asal parti itu yang diwarisi daripada bapanya, Sng Chee Hua sejak 2013.
Namun, parti yang dilahirkan di Sarawak itu mula mendapat nama di Semenanjung selepas beberapa Ahli Parlimen (bekas) dari PKR yang menyertai ‘Langkah Sheraton’ menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 mahu tinggalkan parti Bersatu.
Untuk meneruskan kesinambungan dalam politik, sekumpulan bekas pemimpin PKR ini termasuk Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai PBM dan mahu membawa parti itu seiring dengan parti politik yang ada di negara ini.
Penyertaan Zuraida kemudian disambut baik oleh Larry Sng dan barisan kepimpinan parti waktu itu kerana sekurang-kurangnya PBM dapat melebarkan sayapnya di Semenanjung, selain menjadi teras di Sarawak.
Namun, lain yang diharap, lain pula yang berlaku, apabila tiba-tiba timbul persengketaan di peringkat dalaman, yang mana kumpulan bekas PKR mahu mengangkat Zuraida sebagai presiden menggantikan Larry Sng.
Bagaimanapun, cara kumpulan bekas PKR itu mengambil alih jawatan nombor satu yang dipegang oleh Larry Sng dibuat secara tidak teratur dan tersusun.
Sungguhpun benar Larry Sng ada menyatakan akan menyerahkan jawatan presiden kepada Zuraida, tetapi proses penyerahan itu akan dilakukan secara tertib, mengikut peraturan dan perlembagaan parti.
Tetapi, kumpulan bekas PKR ini dilihat seperti tidak sabar dengan Larry Sng yang bergerak perlahan seperti sloth, sedangkan tempoh PRU15 sudah tidak lama lagi dan parti perlu bergerak aktif dalam masa yang singkat untuk menarik sokongan rakyat.
Justeru itu, kumpulan bekas PKR ini menerusi Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi parti pada 7 Oktober lalu untuk memilih Zuraida sebagai presiden.
Dalam mesyuarat yang tidak dihadiri Larry Sng itu mendakwa majoriti Ahli Majlis Tertinggi parti bersetuju menggantikan jawatan yang dipegang Ahli parlimen Julau itu kepada Zuraida.
Tarikh 7 Oktober 2022 adalah hari pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat.
Larry Sng pula berada di Sarawak untuk mengikuti pembentangan bajet itu dan sudah tentu tidak dapat hadir. Tambahan pula, tarikh mesyuarat itu tidak dipersetujuinya.
Serentak itu juga, beliau menggunakan kuasanya sebagai Presiden, menggantung tugasan Nor Hizwan dan Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid atas alasan tidak mematuhi arahan presiden.
Malah, pada 28 Oktober di Bilik Gerakan Utama PBM di ibu kota, kumpulan bekas PKR yang diketuai Nor Hizwan telah mengadakan sidang media khas untuk menjelaskan kedudukannya dan Zakaria dalam parti.
Katanya, Larry Sng tidak berhak menggantungnya kerana Ahli Parlimen Julau itu bukan lagi presiden selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 7 Oktober 2022 memutuskan Zuraida sebagai presiden yang sah.
Larry Sng pula dalam responsnya menyifatkan mesyuarat pada 7 Oktober itu sebagai tidak sah, kerana melanggar Fasal 21 (i) iaitu Majlis Tertinggi PBM hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan atau apabila diarah oleh Presiden…
Tetapi respons Larry Sng itu disanggah oleh Nor Hizwan yang mendakwa mesyuarat 7 Oktober juga dijalankan mengikut Fasal 21 (i) iaitu… atau atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli-ahli Majlis Tertinggi.
Nor Hizwan mendakwa, mesyuarat itu dihadiri oleh separuh daripada jumlah ahli-ahli majlis itu.
Dengan itu, katanya, pelantikan Zuraida sebagai presiden pada hari itu adalah secara rasmi dan mengikut perlembagaan parti. Serentak itu, juga dakwanya, Larry Sng adalah mantan presiden.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaharu Larry Sng, satu tindakan tegas dan keras daripanya apabila menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu termasuk ‘presiden’nya Zuraida kerana didakwa melanggar disiplin parti.
Penggantungan berkuatkuasa serta-merta itu turut melibatkan Haniza Mohamad Taha, Dr. Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr. G. Sathiskumar, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage dan Abdul Aziz Abdul Kadir.
Turut digantung, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.
Larry Sng berkata, tindakan itu dibuat berhubung penglibatan berterusan kumpulan berkenaan yang menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya.
“Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum.
“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Serentak itu juga, Larry memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini (30 Oktober 2022) di Sarikei, Sarawak, jam 4 petang memandangkan perkara itu amat mendesak untuk membincang dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.
Namun, kumpulan Zuraida pula akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 3 November ini di Kuala Lumpur.
Setakat ini, bukan sahaja rakyat, media pun turut keliru dengan kemelut politik PBM. – MalaysiaGazette/analisis/politik
Langgan:
Catatan (Atom)
Kenapa perlekeh lawatan Anwar ke Arab Saudi?
By Manzaidi Mohd Amin - 27 March 2023 SELEPAS pulang dari lawatan rasmi ke Arab Saudi dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibr...

-
NEGARA menyaksikan perkahwinan selebriti yang bernilai jutaan ringgit. Terbaru, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan didakwa melan...
-
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam beberapa...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...