Selasa, 16 Julai 2024

Sampai masa muka lama pemimpin dalam persatuan sukan disalin tukar baharu

MEMANG terkejut baca laporan media semalam, MFL iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan entiti perlawanan dalam bola sepak Malaysia telah mengenakan hukuman ke atas pasukan Selangor FC (SFC). Hukuman itu pada Pak Dee bukan saja tak masuk akal, malah boleh dikatakan sebagai nak ‘membunuh’ terus pasukan atau Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari beraksi. MFL ialah Liga Bolasepak Malaysia. Tugasnya selain mengurus, ia juga mengatur dan mengendalikan perlawanan. MFL bukan badan penghukum atau membuat duit atas angin dengan kutipan denda dari pasukan yang melakukan kesalahan. Oleh itu, apabila MFL mengenakan denda atau hukuman ke atas pasukan SFC, Pak Dee terkejut dan marah membara. Takkan begitu zalim MFL bertindak ke atas SFC? Selain dikenakan denda RM100,000, MFL turut mengenakan beberapa syarat lagi kepada FAS sebagai balasan kerana tidak turun padang berlawan pasukan JDT. Ketidakhadiran SFC ada sebabnya dan sudah dimaklumkan lebih awal sebaik pemainnya Faisal Halim ditimpa insiden simbahan asid oleh individu tak dikenali. Sebanyak 40 peratus badan Halim terbakar akibat asid itu dan dirawat di sebuah hospital. Tidak kesiankah MFL akan keadaan yang menimpa Faisal? Mana hilang sifat kemanusiaan? Itu puncanya FAS tidak menurunkan pasukannya. Tak apalah tak ada mata pun, asalkan semangat persatuan dan pasukan bersama Faisal yang bertarung nyawa di hospital. Hanya manusia jenis mata duitan yang tak akan ada rasa empati atau belas kasihan dalam dirinya terhadap pemain yang ditimpa musibah. Sebagai tanda solidariti terhadap Faisal, maka SFC tak akan turun bermain. Jika Pak Dee di tempat MFL dan terima berita seperti ini, apa Pak Dee buat? Dah tentulah Pak Dee panggil semua AJK, adakan mesyuarat tergempar, cari jalan terbaik untuk beri peluang kepada SFC menjalani pemulihan semangat. Takkan dalam ramai-ramai AJK MFL tak ada seorang yang kreatif dan boleh memberikan pandangan di luar kotak ketika MFL berdepan dengan situasi luar biasa seperti itu. Pak Dee tak akan guna kuasa veto, iaitu hanya keputusan dari Pak Dee saja boleh diputuskan, suara pihak lain tak boleh diambil, atau tak boleh didengar langsung. Itu kalau berlaku keadaan seperti sekarang, tapi kalau tak berlaku apa-apa insiden, dah lama Pak Dee letak jawatan beri laluan kepada pelapis muda untuk terajui MFL atau persatuan-persatuan apa sekalipun. Sama kata pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli. Nak hukum boleh, tapi jatuhkanlah hukuman yang berbentuk pengajaran, bukan hukuman berat berunsur dendam atau nak ‘bunuh’ karier pasukan bola sepak. Beliau juga sependapat dengan Pak Dee, empat hukuman dikenakan kepada pasukan The Red Giants itu satu hukuman yang agak berat dan zalim. Dahlah pasukan itu ditimpa malang pemainkan diserang dengan asid, MFL lipatgandakan lagi kesakitan yang menimpa SFC. SFC tarik diri bukan suka-suka, tetapi alasan mereka sangat kuat dan relevan. Malah, Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut merestui tindakan itu dan ia dibuat berdasarkan pertimbangan teliti. Jadi, memang patutlah semalam, Tuanku baginda murka dalam kenyataan titah berhubung keputusan atau hukuman MFL ke atas SFC dan FAS. Dalam kenyataan titah, baginda antara lain murka dan kecewa dengan keputusan MFL yang mengenakan denda terhadap pasukan SFC serta baginda menganggap hukuman itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak tidak bertanggungjawab. Baginda juga menyatakan hukuman denda RM100,000 bayaran pampasan, pemotongan tiga mata, dan perlawanan tanpa penonton sebagai tidak masuk akal dan berlebihan, apatah lagi kemenangan telah diberikan kepada pasukan lawan. Sultan Sharafuddin menekankan pentingnya sukan bola sepak sebagai platform perpaduan dan menegur MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tidak serius menangani keganasan dan kezaliman dalam sukan serta mengingatkan mereka agar membuat keputusan dengan berhati-hati demi menjaga imej dan semangat kesukanan bola sepak tempatan. Pak Dee harap akan ada perubahan dalam arena pengurusan bola sepak Malaysia. Bukan lagi kekal dengan muka-muka lama yang sepatutnya sudah pencen dan bawa anak cucu main bola di taman. Selagi muka-muka lama yang menyemak ini ada dalam persatuan-persatuan bola sepak, selagi itu sukan bola sepak negara nampak mundur dan malap, semalap baju sukan pasukan kita ke olimpik. Pudar, gelap yang melambangkan kemuraman. – NasionalDaily siaran 27 Jun 2024 Telegram: https://t.me/nasionaldaily TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1 Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Tiada ulasan: