Selasa, 16 Julai 2024
Perlukah setiap kali kalah, nak post mortem?
PERASAN tak, setiap kali sesebuah parti kalah dalam pertandingan, sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil, mereka akan adakan post mortem?
Setiap kali kalah juga mereka beri jawapan, akan bedah siasat. Cari punca kenapa calon mereka kalah atau kenapa parti mereka tidak diterima oleh pengundi yang juga rakyat.
Sebenarnya, Pak Dee dah bosan dengan alasan mahu post mortem atau bedah siasat nak cari punca kekalahan. Pada Pak Dee, kalau calon atau parti itu kalah, mudah saja jawapannya, tak perlu nak post mortem atau bedah siasat lagi.
Mereka kalah ada banyak sebab. Pertama, janji bohong. Kedua, cakap tak serupa bikin. Ketiga, muncul hanya hari kempen, selepas pilihan raya menghilangkan diri. Keempat, isu nasional seperti penyasaran diesel (sebenarnya penarikan balik subsidi).
Kelima, kos sara hidup yang semakin hari makin tinggi, makin mahal kesan daripada kenaikan harga diesel dan petrol. Tetapi pihak kerajaan tetap mengatakan harga terkawal. Ini satu pembohongan yang tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat.
Jadi, faktor-faktor semua ini antara sebab rakyat hilang selera untuk menyokong calon-calon yang mewakili kerajaan, seperti yang berlaku pada PRK DUN Sungai Bakap Sabtu lalu.
Kekalahan calon kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan kerana DUN Sungai Bakap kubu kuat pembangkang. Ia juga bukan disebabkan rakyat atau pengundi sukakan calon pembangkang, tetapi kerana kemeluatan (meluat) yang berbuku dalam hati rakyat atau pengundi.
Bila mereka sudah meluat dengan faktor-faktor yang Pak Dee nyatakan di atas tadi, mereka yang sebelum ini menyokong PH pun akan beralih selera memberi sokongan kepada pembangkang. Ini dipanggil protes.
Mereka protes sebab meluat, benci dan marah kepada kerajaan. Kerajaan pula diwakili PKR, DAP, Amanah dan UMNO. Empat parti yang tiap pemimpinnya tidak pernah bercakap benar. Tidak pernah menepati janji dan tidak pernah mengotakan kata.
Antaranya, rakyat masih ingat kata-kata Perdana Menteri ketika menjadi pembangkang dulu… hari ini saya jadi Perdana Menteri, esok minyak turun. Apabila Allah makbulkan doanya untuk jadi Perdana Menteri, bukan minyak diturunkan, tapi dinaikkan. Kan bohong namanya. Rakyat pegang ini semua.
Begitu juga ketika jadi pembangkang, janji nak hapuskan PTPTN sebab kononnya duit kerajaan banyak dan boleh bagi pendidikan percuma. Tup tup, bila jadi kerajaan, PTPTN tetap kena bayar. Kan bohong namanya tu. Rakyat pegang kata-kata ini.
Bila dah hampir dua tahun jadi kerajaan, dan satu janji ketika jadi pembangkang dulu tidak ditunaikan, rakyat pun terjemahkah kemarahan dan kemeluatan mereka dalam pilihan raya kecil.
Akhirnya, calon dari kerajaan kalah dan keluarlah kenyataan pemimpin-pemimpin dari parti gabungan ini, nak post mortem. Post mortem apa kebendanya lagi. Dah jelas, terang lagi bersuluh kekalahan itu kerana rakyat kecewa dengan janji yang tidak dikota.
Kehidupan rakyat terutama golongan B40 dan M40 makin hari makin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Kerajaan pula kata, mereka ada RAHMAH. Rakyat boleh beli barang keperluan RAHMAH. Harga murah dan mampu beli. Tapi, kalau nak beli barangan RAHMAH kena pergi ke satu tempat yang dianjurkan.
Ini menyusahkan rakyat namanya. Kena keluarkan duit isi minyak motosikal, minyak kereta, kena bayar tambang pengangkutan awam lagi nak sampai ke tempat RAHMAH. Rakyat mengharapkan harga RAHMAH ini berada di depan rumah, di sebelah rumah atau berhampiran rumah. Bukan ditempatkan di lokasi yang jauh dari mereka.
Jadi, semua ini kerajaan kena kaji semula. Susun semula sistem pentadbiran. Jaga harga, kawal harga betul-betul, bukan sekadar sedap cakap saja, sedangkan rakyat tidak dapat menikmati cakap-cakap itu. Yang rakyat hadapi ialah lain dari yang dicakap.
Mulut menteri kata harga turun, rakyat ke kedai harganya makin tinggi. Jadi, yang mana satu betul? Yang menteri cakap atau yang rakyat berhabiskan duit? Menteri kena berjiwa rakyat, bukan sekadar cakap mendengar denyut nadi rakyat saja.
Kalau ketua-ketua parti faham maksud yang Pak Dee dedahkan ini, masalah kalah dalam pilihan raya tak akan berlaku. Mana-mana menteri yang cakap besar, sombong, bongkak, ego dan walau kalah pun masih nak menyalahkan rakyat, bukan diri sendiri, patut dipecat saja, dibuang ke laut.
Menteri atau pemimpin seperti ini tidak diperlukan. Ia Bagai melukut tepi gantang. Ada tak bertambah, tak ada tak berkurangan. Tapi, kalau dikekalkan ia macam anai-anai, merosakkan struktur bangunan rumah. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan