Sabtu, 4 Februari 2023

Beri masa Nurul buat kerja, jangan cepat latah

By Manzaidi Mohd Amin - 31 January 2023
NURUL Izzah Anwar adalah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh. Dia menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal, sebelum tewas dalam PRU15 November tahun lalu. Sepanjang menjadi Ahli Parlimen, tidak ada cerita-cerita menarik mengenai peranannya di kawasan itu, melainkan dia menjadi masyhur kerana dia anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Dalam parti, dia dilantik sebagai Naib Presiden PKR. Peranannya dalam parti juga tidak menonjol, melainkan namanya sahaja yang menjadi sebutan dan idola kaum wanita yang sebaya dengannya. Dia mendapat jolokan Puteri Reformasi kerana mempertahan dan membela ayahnya yang didakwa atas kesalahan jenayah di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat. Selebihnya mengenai Nurul tidak ada dalam kamus politik mahupun pentadbiran kerajaan ketika Pakatan Harapan (PH) pertama kali berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 tahun 2018. Dalam parti, dia didapati ‘menghilangkan’ diri bersama seorang lagi pemimpin PKR, Rafizi Ramli. Tidak diketahui dengan jelas apa alasan mereka berdua berdiam diri dan membiarkan parti diurus oleh ayah dan ibunya bersama pemimpin lain. Dia hanya muncul ketika musim pemilihan pimpinan parti dan bila menang jawatan dipertandingkan, dia diam semula. Tiba-tiba, Ahad lalu dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, dia mengesahkan dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dia kata, yang melantiknya ke jawatan itu adalah Perdana Menteri ke-10 yang juga Menteri Kewangan. Namun, tak ada gaji, tak ada elaun, katanya. Maknanya Nurul Izzah bekerja secara sukarelawan dan pejabatnya di Pejabat Perdana Menteri, berdekatan dengan ayahnya. Inilah keajaiban seorang anak kepada pemimpin tertinggi parti dan kerajaan. Dengan secara mengejut, baru orang ramai tahu Nurul yang dilihat gitu-gitu rupanya seorang yang pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan. Selama ini tidak ada siapa pun tahu dia pakar dalam dua bidang itu, kerana selama ini pun Nurul tidak pernah tunjuk kelebihan yang ada pada dirinya itu kepada umum. Nurul juga bukan calang-calang orang. Dia mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam bidang dasar awam dan sosial dari University Johns Hopkins, Amerika Syarikat. Tak ramai anak Melayu belajar di universiti ini dan tak ramai yang ada kepakaran sebagaimana dimiliki Nurul. Tahniah Bawah Kolong ucapkan. Semoga pelantikan Nurul ini dapat meletakkan ekonomi dan kewangan negara pada tempat yang betul. Bawah Kolong yakin dan percaya, kebimbangan Perdana Menteri dengan kesuraman ekonomi dunia yang diramalkan akan berlaku tahun ini, mendorongnya melantik orang yang ada kepakaran dan pengalaman untuk menasihatinya bagaimana untuk berdepan dengan suasana itu. Ini selaras dengan ramalan penganalisis ekonomi yang menjangkakan 2023 adalah tahun getir dari segi ekonomi. Malah, ada ura-ura mendakwa akan berlaku kemelesetan ekonomi dunia terutama kepada negara besar di Eropah, China, Amerika Syarikat dan Rusia. Sudah tentu kemelesetan itu turut memberi kesan kepada Malaysia. Jadi, sebagai langkah persediaan kerajaan berdepan dengan situasi itu, bertepatan sekalilah dengan pelantikan Nurul. Walaupun ramai orang-orang politik tidak berpuas hati dengan pelantikan yang disifatkan mereka sebagai amalan nepotisme itu, Nurul tidak boleh lemah semangat. Nurul perlu abaikan kritikan itu dan terus bekerja untuk memastikan ekonomi dan kewangan negara tidak merudum. Rakyat perlukan ekonomi dan kerajaan yang stabil untuk meneruskan kehidupan. Cukuplah lebih dua tahun rakyat kehilangan mata pencarian, keadaan ekonomi merosot akibat pandemik Covid-19. Sekaranglah masanya untuk Nurul buktikan kepada suara-suara kritikan di luar sana bahawa Nurul akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara. Suara yang memekak di luar sana, biarkan mereka dengan labu-labunya. Mereka pun dua kali lima juga, cakap tak serupa bikin. Nepotisme wujud di mana-mana saja sepanjang mereka memerintah. Cuma Bawah Kolong nak nasihatkan Nurul, selepas ini kena lebih aktiflah sama ada dalam parti mahupun dalam kerajaan. Jangan berdiam diri sehingga orang ramai tertanya-tanya, Nurul ni ada ke tidak? Nurul ni buat kerja ke tidak? Jangan sampai orang ramai jadikan isu ‘berdiam diri’ Nurul sebagai modal debat dan bahas di kedai-kedai kopi. Jaga nama baik ayah yang lantik kita ke jawatan penting itu. Untuk membantu Nurul nanti, carilah rakan yang boleh bekerja, jangan diambil rakan yang pandai bodek untuk menolong kita. Tugasan sebagai penasihat ini penting. Nurullah yang akan mencorakkan pentadbiran ayah nanti. – MalaysiaGazette