Khamis, 22 April 2021

PN kerajaan paling teruk!

 Kalau tanya aku kerajaan mana paling teruk; Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN)? Aku kata, kerajaan PN paling teruk. 

Kenapa? Sebabnya dalam kerajaan PN, menteri dan timbalan menteri paling ramai banding dalam kabinet BN dan PH, tetapi 99 peratus tidak berfungsi.

Kes Covid-19 melibatkan Kluster Pendidikan makin tinggi, mana menterinya? Sepatah haram tak pernah keluarkan kenyataan. Ibu bapa risau pasal keselamatan anak-anak mereka, menteri langsung tak ambil hirau.

Kes harga ayam naik mendadak, mana menterinya? Rakyat dicengkam dan ditekan dengan harga barangan yang agak tinggi pada musim Ramadan, menterinya senyap. Tidak ada sebarang tindakan segera diambil. Kalau ada pun timbalan menterinya, itu pun selepas seminggu rakyat berperang dengan kenaikan harga barangan.

Kes masjid dan surau tidak boleh solat sepanjang PKP dan PKPB, mana menterinya? Rakyat mempersoalkan kenapa pasar raya boleh bersesak-sesak, sedangkan masjid dan surau tidak boleh digunakan untuk ibadat?

Sekurang-kurangnya menteri kena muncul menjawab kemusykilan, bagi mengelakkan timbul fitnah. Tetapi menteri mengambil sikap berdiam diri.

Kes kaum bukan Islam menghina Islam, mana menteri perpaduan? Menteri ini tidak pernah muncul dalam media, melainkan ketika Parlimen bersidang sahaja, itu pun sekali dua.

Kes pelabur lari, mana menteri MITI? 

Kes ekonomi negara merudum, mana menteri ekonomi?

Jadi, tidak salah kalau rakyat kata, kerajaan PN antara kerajaan paling teruk dalam sejarah Malaysia.


Khamis, 8 April 2021

Malas ulas, buat sakit hati saja...

Oleh ROSALINDA MD SAID (Utusan Malaysia 6 April 2021)















MUKADIMAH

MANA-mana pemimpin Melayu yang bercakap tidak serupa bikin, hipokrit dan munafik, wajib ditolak oleh rakyat.

Penegasan itu dinyatakan oleh Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), DATUK IBRAHIM ALI berikutan ramai dalam kalangan mereka didakwa hanya mempergunakan agenda bangsa dan Islam untuk kepentingan sendiri hingga menyebabkan Melayu terus berpecah-belah.

Malah katanya, pemimpin sedemikian turut dilihat tiada kehendak politik untuk membela nasib Melayu sekali gus menyebabkan kedudukan kaum majoriti di negara ini kini di hujung tanduk.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan jurufoto, PUQTRA HAIRRY ROSLI, Ibrahim berkongsi kebimbangannya tentang masa depan orang Melayu di samping perkembangan semasa politik.

Ikuti temu bual itu yang diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.

MELAYU

Orang Melayu dahulu dan sekarang banyak perbezaannya. Anak-anak Melayu yang lahir selepas tahun 2000 berbeza dengan mereka yang lahir pada tahun-tahun sebelumnya. Saya beri contoh mudah, kebanyakan yang menentang UMNO merupakan anak-anak orang UMNO walaupun mereka mendapat pinjaman kerajaan dan biasiswa, namun tetap tidak menyokong parti itu.

Mereka melihat pemimpin dahulu dan kini yang hanya lagak sahaja lebih. Jenis pemimpin menang sorak, kampung tergadai di samping cakap tidak serupa bikin. Jadi, akibat rasa kecewa, malu dan benci dengan sikap hipokrit golongan itu maka anak muda memilih masuk DAP. Trend ini amat berbahaya dan sebab itulah kita menubuhkan Putra untuk memberi alternatif kepada rakyat.

APA NASIB ORANG MELAYU?

Masa depan orang Melayu amat-amat membimbangkan dan sebenarnya menakutkan kalau trend sebegini terus berlaku. Dahulu kita berpendapat, walaupun ekonomi orang Melayu lemah tetapi kita menguasai politik. Namun, kini bukan sahaja ekonomi tidak terbela, malah politik juga terhakis. Jadi, tentulah ia amat menakutkan.

Ini semua berlaku bukan disebabkan perpecahan orang Melayu tetapi kerana pemimpin Melayu yang tiada political will dan semangat bangsa yang kuat. Mereka semua bercakap tidak serupa bikin, hipokrit, munafik dan apabila Melayu berpecah, mereka minta janganlah berpecah-belah kerana merugikan bangsa.

Sedangkan yang berpecah-belah itu adalah mereka yang duduk di atas dan bukan orang Melayu yang duduk di bawah. Orang Melayu gagal kerana pemimpin di atas tidak boleh dijadikan contoh kepada rakyat dan yang tidak mendorong rakyat. Mereka suruh rakyat berjimat-cermat tetapi rumah mereka seperti mahligai dan macam-macam lagi. Malas saya hendak ulas, buat sakit hati sahaja.

MEMPERGUNAKAN ISLAM-MELAYU

Ramai sebenarnya golongan pemimpin seperti ini, mereka hanya mempergunakan Islam dan Melayu. Tetapi hendak buat macam mana sebab kini pemimpin yang menjual Melayu dan Islam sudah bercantum.

Bagi saya, pemimpin daripada golongan sedemikian wajib ditolak oleh rakyat kalau mahu bangsa kita selamat. Apa yang kita hendak rimas atau rasa serba salah? Bagi saya, pergi mampuslah dengan pemimpin sebegitu.

MELAYU DI ZAMAN PH-PN

Orang Melayu masih ketinggalan. Sebelum Pakatan Harapan (PH), semasa zaman PH dan hingga sekarang Perikatan Nasional (PN), tiada apa yang berubah.

Walaupun kini kerajaan Melayu-Islam sudah memerintah tetapi isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 senyap di samping kalimah Allah dan murtad.

ISA, AKTA ANTI ISLAM

Saya sudah lama cadangkan supaya bawa balik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan buat Akta Anti Islam untuk menghalang penghinaan terhadap agama dan bangsa.

Nama sahaja ada hak istimewa Melayu dalam Perlembagaan tetapi di mana haknya? Tanah rizab Melayu habis hilang tidak diganti. Kalau pemimpin Melayu ada kehendak politik, kuasa sekejap sahaja, a stroke of pen. Nak jadi apa, jadilah. Orang memberontak, kita buat darurat. Baharu betul kaedahnya. Sepatutnya darurat dibuat untuk mengembalikan rizab Melayu.

PARTI MELAYU PECAHKAN UNDI?

Isu perpecahan Melayu merupakan persepsi yang sengaja dicipta. Contohnya, UMNO. Apabila Putra ditubuhkan dan mereka mendakwa kita memecah-belahkan Melayu, sebenarnya mereka cakap begitu sebab takutkan kekalahan dan untuk kepentingan mereka. Apa susahnya, kalau kita bertanding misalnya di Terengganu yang majoriti pengundi Melayu dan calon semua daripada parti Melayu. Siapa yang menang pun tetap orang Melayu. Jadi, di mana yang ruginya? Kita mahukan orang Melayu yang terbaik, tetapi balik-balik dikatakan memecahkan Melayu, maka tiada persaingan dan calon Melayu haprak diletakkan sebagai wakil hingga menang dalam pilihan raya umum.

Hakikatnya, lagi banyak parti Melayu ditubuhkan, lebih baik untuk orang Melayu dalam konteks perpaduan bangsa. Apabila Melayu belaka yang menang dalam pilihan raya umum, semua parti perlu berpakat untuk menubuhkan kerajaan dan itu secara tidak langsung menggambarkan penyatuan. Di samping itu, kita juga dapat melahirkan lebih ramai pemimpin Melayu, bukan hanya daripada satu parti, malah banyak sekali gus dapat bersaing secara sihat.

RAKYAT TAK KELIRU MEIMILIH?

Kalau kata begitu bermaksud kita menghina kewibawaan pengundi sebab kita di zaman abad ke-21 dan semua orang boleh berfikir. Jadi, tak timbul soal seolah-olah kita merendahkan rakyat.

MELAYU BERPECAH KELEBIHAN KEPADA PH?

Ada yang bagi alasan seperti itu, tetapi kita tak boleh konklusif dan kalau ada orang Melayu nak pergi ke DAP sekali pun, mana tahu entah-entah sehingga boleh menyebabkan parti itu bergolak atau mengambil alih kepemimpinan DAP, why not. Saya berfikiran positif sebab DAP mendakwanya parti pelbagai kaum dan orang Melayu boleh masuk. Walaupun saya tak suka kepada DAP, tetapi saya tidak cepat mengecam mereka yang masuk parti itu.

UMNO

Melayu kukuh sejak UMNO-Pas bekerjasama?

Apabila ada usaha untuk bersatu tentunya bagus. Dalam Islam pun disebut, berpegang teguh kamu di tali Allah, jangan bercerai-berai dan itu arahan Allah SWT, tetapi kalau bersatu atas dasar kepentingan diri dan bukan kerana Allah, tiada gunanya dan tidak akan membawa manfaat serta berkat.

USAH BERCAKAP PERPADUAN UMMAH DENGAN UMNO

Betul apa yang Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) katakan tetapi dia kena fikir UMNO itu sendiri yang perlu dibetulkan dahulu sebelum mahu memperbetulkan orang kerana kerosakan yang berlaku adalah kerana UMNO.

The ultimate kepada semua masalah ini bukan disebabkan parti tetapi masalah pemimpin Melayu dalam mana-mana parti. Yang penting kena ada kehendak politik. Kalau saya jadi perdana menteri misalnya, saya akan menyelaraskaan sekolah satu aliran dan tiada bahasa lain boleh digunakan. Kalau orang memberontak, saya bawa turun askar letak di tengah jalan. Maksudnya, kena ada keazaman untuk melaksanakan agenda Perlembagaan dan perkara itu usah dibuat main. Hendak selesaikan kes murtad dan kalimah Allah pun riuh-rendah.

PUTRA

Keahlian pendaftaran Putra diluluskan pada 8 Mei 2019 dan pelancarannya dibuat pada 28 September 2019. Kita mempunyai 106 bahagian yang berfungsi dengan kepemimpinan lengkap mengikut Perlembagaan parti. Setakat ini keahlian sudah hampir 50,000 orang.

Kalangan ahli kita merupakan golongan pertengahan dan anak muda. Yang paling saya teruja, mereka yang masuk Putra adalah tokoh-tokoh akademik, bekas-bekas pegawai tinggi tentera, pegawai tinggi polis dan penjawat awam. Ini sesuatu yang agak luar biasa dan kita sedang membuat kajian kenapa golongan ini memilih Putra dan bukan parti lain.

Majoriti ahli kita ada di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan. Cuma di Sarawak kita belum pergi lagi.

PRU-15

Kita sudah mengenal pasti 49 kerusi Parlimen untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan daripada jumlah itu, yang sudah dimuktamadkan setakat ini 30 kerusi. Kita nak bertanding perlu mengambil kira banyak sebab. Pertama, peluang 50-50 untuk menang di samping calon yang berkaliber dan infrastruktur yang lengkap. Jadi, berdasarkan pertimbangan itu, kita dapati 30 kerusi Parlimen sudah bersedia untuk lawan.

CALON

Untuk 30 kerusi Parlimen itu, kita sudah kenal pasti dan muktamad, malah mereka telah diberitahu dan bersedia dengan kebanyakannya merupakan tokoh akademik dan profesional. Kita menampilkan kombinasi calon berusia dan anak muda. Yang paling mustahak, calon Putra berilmu, berpengalaman, bermoral dan bersih. Kita tidak mahu jadi macam parti Melayu lain yang jatuh kerana pemimpinnya tidak bermoral dan bersih.

KEYAKINAN MENANG

Terlalu awal untuk menjangka kerana keadaan politik pun berubah-ubah. Cuma kalau diambil kira daripada suasana sekarang, Putra menyasarkan menang di 10 kerusi Parlimen. It’s good enough already kerana kita mahu menjadi kuasa ketiga dan penentu sepertimana Pas dalam kerajaan PN hari ini.

PAS PARTI CARI MAKAN?

Tetapi kita lagi bermaruah sebagai kuasa penentu sebab kita bukan parti cari makan. Kita dapat tengok jelas tindak-tanduk mereka yang menjurus kepada kepentingan diri, main dua, tiga kolam. Macam orang poligami, apabila berkahwin dua atau tiga, mana ada kesetiaan tentunya sudah berbelah-bahagi. Pas boleh menafikan tetapi rakyat nampak kerana orang sekarang tidak lagi menilai buku pada kulitnya, mereka tengok isi di dalam.

SERTAI BLOK POLITIK?

Kita bergerak solo dan tidak akan menyertai mana-mana blok politik sebab kita nak jadi kuasa ketiga untuk semak dan imbang. Agenda kita Melayu-Islam, tiada kompromi, tiada segan-silu, tiada inferior complex dan siapa suka atau tidak suka, lantaklah.

KEKAL BERTANDING PASIR MAS?

Saya ada empat, lima kawasan yang ditawarkan Putra bahagian tetapi saya belum buat keputusan muktamad. Mungkin saya akan bertanding di kerusi Parlimen Kelantan atau Selangor manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.

Kecuali kalau mereka kata di kawasan Parlimen A adalah kerusi untuk Perdana Menteri dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding di situ di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka saya juga akan bertanding di situ

PN kerajaan paling teruk!

 Kalau tanya aku kerajaan mana paling teruk; Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN)? Aku kata, kerajaan PN pal...