Rabu, 23 November 2022

Akhirnya hari yang mendebarkan terjawab

By Manzaidi Mohd Amin - 16 August 2021
SEMALAM seluruh rakyat tertanya-tanya apa akan berlaku pada hari ini, Isnin 16 Ogos 2021. Semuanya terjawab, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Peletakan jawatan itu juga bermakna seluruh ahli Jemaah Menteri turut meletakkan jawatan, tak tertinggal seorang menteri dan timbalan menteri pun dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN). Kerajaan ini dibentuk pada 1 Mac 2020, serentak dengan angkat sumpah Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, sebaik sahaja Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dari mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari 2020. Pada tarikh itu juga Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim untuk tempoh satu minggu, sebelum melepaskan baton pentadbiran kerajaan baharu kepada Muhyiddin. Dalam perutusan akhir Muhyiddin pada jam 3.30 petang ini, beliau menyatakan, keputusan yang dibuatnya itu selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu disebabkan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Sungguhpun berat hati berbuat demikian kerana memikirkan masalah rakyat yang terhimpit dengan pandemik Covid-19 dan ekonomi negara yang merudum, namun beliau tidak dapat meneruskan tugas itu lagi kerana hilang sokongan majoriti. Beliau juga pada mulanya ada mencadangkan supaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada September ini, namun tindakan 15 Ahli Parlimen dari UMNO telah menarik sokongan kepadanya menyebabkan beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri lagi. Justeru, Muhyiddin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadap mempersembahkan warkah peletakan jawatan dan pada jam 12.30 tengah hari tadi, beliau melunaskan janjinya. Dengan itu, berakhirlah kerajaan PN yang diterajuinya selama 17 bulan 15 hari dari 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021. Tempoh pentadbirannya kurang lima bulan untuk menyamai kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020. Muhyiddin mentadbir dengan baik. Beliau melantik 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri untuk memperkukuhkan Kabinetnya, yang masing-masing berfungsi mengikut perancangan. Tugas utama dan mencabar seluruh Kabinet Muhyiddin ialah menangani penularan wabak Covid-19. Dari hari ke hari kes positif menunjukkan peningkatan sehingga mencecah lebih 20,000 kes sehari akibat kemunculan varian baharu, Delta namanya. Pelbagai usaha dilakukan Muhyiddin bagi mengekang penularan itu, termasuk membelanjakan lebih RM500 bilion sepanjang 17 bulan memerintah bagi menamatkan perang ke atas Covid-19. Namun, sehingga kini usaha itu belum menampakkan kejayaan walaupun pada dasarnya program vaksinasi hampir mencapai imuniti kelompok yang dijangka penghujung Oktober ini. Sekarang, Malaysia tidak mempunyai kerajaan. Semua pentadbirannya diurus oleh caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. Susulan daripada peletakan jawatan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri untuk tempoh tertentu. Ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri. Inilah yang berlaku pada hari ini, hari yang mendebarkan bagi seluruh rakyat dan ahli-ahli politik untuk melihat apa kesudahan kepada kemelut politik yang berlaku sejak wujud ketidaksefahaman rakan-rakan parti gabungan dalam PN. Dalam hal ini, tidak boleh menuding jari mencari salah siapa. Ada asbab kenapa berlaku kekucahan dalam pentadbiran PN. Mungkin kelemahan itu berpunca dari Muhyiddin dan mungkin juga ada kemaslahatan yang hanya mereka sahaja tahu. Politik memungkinkan segala-galanya. Hari ini musuh, esok menjadi kawan. Kemudian yang berkawan baik pula jangan sangka persahabatan itu kekal selama-lamanya, kerana selagi mereka terlibat dalam politik, boleh bertukar menjadi musuh dalam sekelip mata. – MalaysiaGazette

Esok yang mendebarkan

By Manzaidi Mohd Amin - 15 August 2021
ESOK, Isnin 16 Ogos 2021 adalah tarikh dan hari yang mendebarkan bagi seluruh lapisan masyarakat, rakyat jelata dan pemimpin parti-parti politik Malaysia. Tanda tanya adakah benar Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempersembahkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya bakal diketahui sebelum jam 12 tengah hari, esok. Pelbagai andaian dan persepsi bermain di media sosial termasuk di media-media arus perdana dengan desas-desus peletakan jawatan oleh Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiddin. Ianya bermula dengan perutusan khas Perdana Menteri pada petang Jumaat lalu, yang menjelaskan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar kerajaan untuk meluluskan usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat pada 7 September ini. Ketetapan itu, kata Muhyiddin, dibuat selepas tidak ada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baharu. Kenyataan ini secara tidak langsung telah memakan dirinya, apabila secara secara terang-terangan di hadapan jutaan rakyat yang dipancarkan secara langsung menerusi televisyen, beliau telah mengaku Kerajaan PN tidak mempunyai majoriti. Selepas itu, serangan datang bertubi-tubi. Majoriti dari desakan itu ialah meminta beliau meletakkan jawatan dengan alasan Kerajaan PN tidak lagi mempunyai majoriti. Berikutan itu, pelbagai perjumpaan diadakan bagi membincangkan situasi berkenaan sehingga kemuncaknya petang semalam, media menerima makluman atas angin, kononnya Muhyiddin akan meletakkan jawatan, tetapi Isnin ini. Tidak diketahui sama ada perutusan khas itu menjadi penyebab kepada kedudukan Muhyiddin yang ibarat telur di hujung tanduk ketika ini, atau memang beliau telah merancang untuk melepaskan jawatan itu lebih awal sebelum ini. Namun, beberapa laporan polis telah dibuat individu tertentu kerana beranggapan keseluruhan perutusan khas yang disampaikan Muhyiddin itu bersifat rasuah secara nyata, rasuah secara terbuka. Beberapa menteri PN telah menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar kerajaan itu. Kita serahkan kepada polis untuk meneliti laporan yang dibuat. Sekarang ini, yang perlu difikirkan ialah sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan, siapa bakal penggantinya? Ini terletak pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk melantik Perdana Menteri kesembilan atau Perdana Menteri Interim. Pada pandangan penulis, seeloknya dilantik Perdana Menteri Interim, kerana tidak akan ada campur tangan dari mana-mana parti politik soal cukup majoriti atau tidak cukup majoriti. Perdana Menteri Interim lebih berperanan sebagai orang tengah yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik sama ada UMNO, Bersatu, PKR, DAP, Amanah, Pas mahupun Warisan. Beliau berhak membentuk Kabinetnya sendiri dan melantik sesiapa sahaja yang dikehendakinya untuk menerajui negara yang kini dalam keadaan kritikal akibat pandemik Covid-19. Tempoh Perdana Menteri Interim ini sebolehnya berfungsi sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, tidak kira pada Julai tahun depan atau April 2023. Keistimewaan Perdana Menteri Interim ini tidak terikat dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Ia terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Dengan cara ini sahaja, pentadbiran kerajaan baharu dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan suara-suara yang mendakwa cukup nombor dan sebagainya. Tetapi, siapakah bakal Perdana Menteri Interim? Tengku Razaleigh Hamzah? Datuk Seri Najib Tun Razak? Datuk Seri Anwar Ibrahim? Atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob? Nama-nama ini hanya boleh dicalonkan, untuk menentukan siapa terletak pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Siapa sahaja yang dilantik, semua pihak kena akur. Tambahan pula Perdana Menteri Interim bukan bersifat kekal. Ia sebagai pihak yang boleh mententeramkan keadaan dan suhu politik yang semakin panas. Muhyiddin hanya sempat memegang jawatan Perdana Menteri kelapan selama 18 bulan 14 hari, jika benar-benar beliau meletakkan jawatannya esok. Sepatutnya, tempoh beliau berakhir sehingga tamat penggal PRU14 iaitu pada April 2023, tetapi disebabkan beberapa kelemahan yang berlaku sepanjang pentadbirannya, beliau juga kena akur dengan tempoh yang pendek itu. Sehingga artikel ini ditulis, pihak-pihak yang mewakili parti politik masih sibuk mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan masing-masing. Bersatu mengadakan perjumpaan pagi tadi, PKR dikatakan malam ini, manakala Pas akan bermesyuarat pagi esok. UMNO pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, DAP, Amanah belum ada berita lagi mengenainya. Mengikut laporan beberapa portal politik, Muhyiddin dikatakan telah membuat keputusan akan meletakkan jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong esok. Sumbernya dikatakan dari Ahli Majlis Tertinggi Bersatu sendiri. Itu yang menyebabkan semua parti terlibat mula berkumpul untuk menentukan keputusan dan hala tuju parti masing-masing. Setakat ini, Pas, UMNO yang menyokong PN, MCA, MIC dan parti dari Sabah telah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, manakala PKR, DAP dan Amanah mahu mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri. UMNO pimpinan Ahmad Zahid masih menyepi daripada menyenaraikan nama calon Perdana Menteri. Namun, Tengku Razaleigh tentu menjadi pilihan utamanya, selain Najib. Pencalonan atau pemilihan Ku Li boleh meredakan keadaan, kerana Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak mempunyai musuh, baik dari parti PKR, DAP, Amanah mahupun UMNO sendiri. Tetapi, beliau juga tidak terlepas dari serangan pihak-pihak tertentu yang barang kali tidak puas hati dengan kemelut yang berlaku sehingga Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan dan kerajaan PN terbubar. Apapun, peranan ini terletak pada Yang di-Pertuan Agong. Umpama seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. – MalaysiaGazette

Buat kebajikan untuk kejar populariti atau pahala?

By Manzaidi Mohd Amin - 19 July 2021
BAWAH KOLONG (BK) tak tahu apa cerita sebenar di sebalik serang menyerang ahli agamawan dengan ahli agamawan dan ahli agamawan dengan selebriti. Tiba-tiba kes meletup sampai mengalahkan isu Covid-19 yang semakin naik, isu sidang Parlimen pada 26 Julai ini dan isu perebutan kuasa di kalangan ahli-ahli politik. Ada kawan media kata, mereka ini nak cari publisiti murahan. Kalau ada isu, ada konflik, mudah sikit masuk surat khabar, TV dan media internet. Nama akan tersohor. Lepas tu banyak dapat ‘Like’ dan ‘Follower’ dalam media sosial mereka. Sebagai orang buta teknologi maklumat (IT), BK tak tahu apa istimewanya dapat ‘Like’ banyak, dapat ‘Follower’ banyak. Sebab BK pun ada media sosial Facebook juga, dapat ‘Like’ juga, banyak ‘Follower’ juga, tapi tak ada apa pun yang BK dapat daripada itu semua. Nak kata BK akan jadi lebih tersohor kerana dapat banyak ‘Like’, dapat banyak ‘Follower’, rasanya macam biasa juga, akaun bank tak bertambah-tambah pun kalau BK tak buat ‘overtime’ atau kerja lebih masa. Jadi, BK buat kesimpulan, dia orang ‘bergaduh’ dalam media sosial ini kerana nak tunjuk sikap tidak matang mereka kepada masyarakat. Selama ini mereka disanjung atas keperibadian baik yang ditunjukkan mereka. Dengar orang susah, mereka yang pertama sampai, hulur macam-macam bantuan. Dari wang tunai, tilam, kipas angin, makanan asas sampai kepada cari rumah sewa untuk keselesaan golongan ini. Betapa sucinya jiwa mereka. Belanjakan harta ke jalan yang diredhai Allah. Masyarakat melihat dan mendengar pun rasa terharu dengan kebaikan mereka, sikap murah hati mereka. Sampai ada individu dalam diam-diam meniru cara ahli dermawan ini, turun menderma walaupun sumbangan tak banyak, tapi menjadi ikutan yang baik. Namun, perbuatan baik ini selalunya tak lama. Mula timbul hasad dengki, tuduh menuduh, kata mengata, salah menyalahkan antara satu sama lain. Mereka gunakan media sosial. Muat turun status yang bukan-bukan memburukkan kawan. Masyarakat yang memerhati tingkah laku mereka selama ini terkejut. Maka banyaklah komen pro dan kontra dari netizen. Keadaan menjadi lebih teruk dan buruk. Pandangan masyarakat yang positif selama ini bertukar jadi negatif. Tanpa usul periksa, dengan hanya merujuk kepada status itu, yang tak bersalah dijatuhkan hukuman bersalah oleh masyarakat. Maka hilanglah rasa hormat orang ramai kepada agamawan berkenaan mahupun selebriti itu. Kepada siapa lagi rakyat mahu jadikan contoh dan ikutan? Kepada ahli-ahli politik sekarang? Memang hancur. Mereka mengajar kepada rakyat bagaimana untuk jadi pemimpin yang tidak baik, degil, keras kepala dan suka bercakap belit-belit. Atau kepada ahli agamawan yang dermawan, yang pemurah dan yang zuhud? Nampaknya sifat-sifat itu sudah terhakis dalam diri masyakarat dek kerana sikap mereka sendiri. Mereka boleh dengan sekelip mata menunjukkan tauladan tidak baik kepada rakyat. Begitu juga nak jadikan contoh dan ikutan para selebriti? Apa kebaikan yang mereka buat? Tunjuk pakaian mencolok mata atau mencucuk mata, tunjuk aksi yang tidak baik kepada masyarakat di luar? Nak tak nak, ibu bapa juga kena mainkan peranan perbetulkan minda anak-anak jangan diikut, jangan diambil tahu sangat krisis yang berlaku dalam dunia politik, dalam dunia agamawan dan dalam dunia selebriti. BK bukan berniat nak memburuk-burukkan atau nak merendah-rendahkan mereka. Jelas terpampang di depan mata, mereka sendiri yang mempamerkan sikap sedemikian di depan rakyat. Berbalik kepada krisis agamawan dengan selebriti. Ia hanya berpunca daripada misi kemanusiaan yang dilakukan secara peribadi oleh masing-masing pihak. Mereka ada duit, mereka ada pengaruh, mereka layak untuk melakukan misi itu. Baguslah kalau berebut untuk berbuat kebajikan. BK sokong, BK terharu dengan sikap murah hati. Terpulang pada diri masing-masing, tak nak tolong rakyat susah di dalam negeri, tapi nak tolong rakyat susah di luar negara, itu hak mereka sebab duit mereka. Tetapi, janganlah sampai cetuskan rasa dengki dan iri hati antara satu sama lain. Tunjuk sikap kurang baik kepada masyarakat dengan menyalah kawan baik kononnya begitu begini. Dah kita ada kemampuan dari segi kewangan dan pengaruh, gunalah kemudahan itu untuk berkebajikan. Jangan melihat kesalahan atau kelemahan kawan kita. Bumi ini luas, berpuluh negara yang rakyatnya perlukan bantuan, pelan dan rancanglah untuk bawa ke mana bantuan itu. Kenapa perlu tumpu pada satu tempat? Kenapa perlu cemburu kalau kawan kita dapat masuk ke negara itu, sedangkan kita tak dapat? Kalau kita tak boleh masuk, maknanya kita tidak ada keistimewaan yang dimiliki oleh kawan kita itu. Jadi, kita lupakan negara itu, kita carilah negara lain untuk hulurkan bantuan kita. Tak dapat masuk ke Palestin contohnya, masyarakat tak akan marah atau cemuh pun dengan kegagalan itu. Tidak jatuh maruah pun kalau misi kemanusiaan itu tidak tercapai. Masyarakat tahu bukan mudah nak masuk ke negara bergolak. Di Malaysia pun, bukan sedikit rakyat susah, daif dan miskin. Kenapa tak ubah saja pelan, daripada hantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat di luar negara, baik agih-agihkan bantuan itu kepada rakyat dalam negara. Mereka inilah sebenarnya yang ‘Like’ dan jadi ‘Follower’ media sosial kita, bukan rakyat di luar negara sana. Mereka pun tak kenal anda, apatah lagi ada masa nak ikuti perjalanan hidup anda. Pada BK, inilah cara para agamawan dan selebriti nak ucapkan terima kasih atau berbalas budi kepada rakyat Malaysia, yang banyak beri sokongan moral kepada mereka sehingga Allah meletakkan mereka di kayangan. Tapi, setelah semua masyarakat tahu perangai buruk kita, mula pandang negatif pada kita, baru hari ni nak minta maaf? Sudah terlambat. – MalaysiaGazette

Kibar bendera putih atau angkat tangan berdoa?

By Manzaidi Mohd Amin - 5 July 2021
TIBA-TIBA kalut pula isu kibar bendera putih. Ada yang setuju, ada yang tak setuju. Yang tak setuju kebanyakannya wakil rakyat sebelah sana. Yang setuju pula wakil rakyat sebelah sini. Kes kibar bendera putih pun boleh jadi isu. Mereka berdebat pertahankan hak masing-masing. Ada yang kata, rakyat tak sepatutnya diajar menghadapi kekalahan, sebaliknya ajar rakyat berdoa supaya mendapat pertolongan daripada Allah. Ada pula yang kata, tidak salah membantu rakyat yang dalam kesempitan hidup agar mereka dapat makan minum untuk teruskan kesinambungan hidup. Macam-macam pro dan kontra perdebatan isu bendera putih ini. Banyak dalil-dalil berkaitan makna dan erti bendera putih. Kisah-kisah sejarah yang terkait dengan bendera putih serta peristiwa angkat bendera putih di medan peperangan. Jauh mereka lencongkan isu ini. Padahal, dalam kata mudah, kibar bendera putih di depan rumah supaya mudah bantuan sampai kepada keluarga atau individu yang memerlukan itu. Itu saja tujuan dan niat asalnya. Tetapi, biasalah. Negara kita ini tak pernah sunyi dari politik dan berpolitik. Semua isu, termasuk yang berniat baik, jujur pun nak dipolitikkan. Kalau rakyat terbela dan kenyang dengan mainan politik mereka, tak mengapa. Ini, rakyat makin susah. Bila rakyat susah, mereka salahkan pihak lain. Yang jadi mangsa adalah rakyat. Ini memang hakikat yang berlaku. Musim pandemik Covid-19 menyebabkan ramai rakyat hidup susah. Yang bekerja gaji RM5,000 ke atas dulu pun mula merasa kesempitan hidup. Mereka hilang pekerjaan, mereka hilang sumber pendapatan. Duit simpanan makin hari makin susut. Bekalan makanan dan minuman mula berkurangan. Ini menyebabkan mak ayah kita dan kita sendiri tertekan. Membantu orang miskin menjadi tanggungjawab semua pihak dalam musim pandemik Covid-19. Tiap saat fikirkan macam mana nak cari duit, nak beli susu anak, nak beli barangan dapur untuk isi perut. Nak keluar rumah tak boleh sebab SOP PKP dan SOP PKPD melarang rakyat keluar rumah. Nak cari kerja, semua majikan tutup. Tidak sedikit gulung tikar. Habis, apa perlu dibuat? Semua usaha sudah ikhtiar. Tiap kali selesai solat, tadah tangan mohon pertolongan dari Allah. Allah berikan pertolongan kepada hamba-Nya melalui asbab. Tahu apa itu asbab? Allah telah jadikan dunia ini dengan asbab. Bila kita nak panaskan sesuatu kena ada api. Bila kita nak sejuk, kena ambil air atau ais. Maka yang jadikan asbab panas dan sejuk ini adalah Allah. Allah jadikan asbab untuk uji iman kita, sama ada kita yakin pada asbab itu ataupun yakin pada yang menjadikan asbab itu. Jadi, setelah individu atau keluarga itu tidak tahu lagi macam mana nak ikhtiar dan usaha, mereka sahut untuk kibar bendera putih. Bendera putih ini adalah usaha dan ikhtiar. Asbabnya ialah Allah mengutuskan seseorang untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban atau tanggungan yang ditanggung individu atau keluarga berkenaan. Bukan kata yang kibar bendera putih tidak tahu bersyukur kepada Allah. Bukan kata, orang miskin itu tidak berdoa kepada Allah. Entah-entah mereka lebih banyak bersolat, berdoa dan mengucapkan syukur kepada Allah setiap hari berbanding dengan daripada kita, mana kita tahu. Oleh itu, jangan cepat melatah menuduh kempen kibar bendera putih ini mainan politik. Kalau betul mainan politik sekalipun, kita orang politik lawanlah secara politik. Tengok nanti siapa untung dengan mainan ini. Bawah Kolong (BK) pada dasarnya setuju dengan kempen kibar bendera putih. Kalau mereka tak kibar, kita tak tahu jiran sebelah kita hidup dalam kesusahan dan kesempitan. Kita tak tahu mereka tak ada duit nak beli makan minum untuk anak isteri dan untuk diri sendiri. Kalau kita gaji puluh ribu sebulan, ribu-ribu sebulan. Pekerjaan tak terjejas di musim pandemik Covid-19 ini, kita jangan pandang remeh pada usaha orang lain nak membantu. Musim sekarang, kita tak boleh nak kata pada siapa-siapa. Kerana yang kaya raya sebelum ini pun tiba-tiba sudah jatuh miskin. Mereka miskin kerana hilang pekerjaan. Majikan mereka terpaksa gulung tikar kerana tidak boleh beroperasi untuk jana keuntungan. Jadi, tidak salah untuk kita sama-sama membantu dan tolong menolong antara satu sama lain. Dengan cara mana kita nak bantu, nak tolong, terpulang pada kemampuan dan kaedah masing-masing. Ada dalam kes tertentu, orang bantu dengan tawarkan peluang pekerjaan, ada juga bantu dengan salurkan duit dan tidak sedikit hulurkan makanan dan minuman. Waima apa sekalipun, bantulah orang yang dalam kesusahan. Mungkin hari ini kita bantu orang susah dan mana tahu suatu hari nanti tiba-tiba kita pula hidup susah dan perlukan bantuan. Apa kita nak buat? Nak kibar bendera putih, malu, sebab sebelum ini kita yang lantang bantah. Kesimpulannya, apa saja cadangan pihak lawan kita kaedah untuk bantu orang susah, kita terima saja. Jangan cepat membuat tuduhan yang bukan-bukan. Isu kemiskinan segera ini tidak boleh dijadikan bahan gurauan atau mainan politik. Kita yang kaya raya kena insaf. Kenapa Allah tidak bolak balikkan hati kita untuk membantu. Kenapa Allah tidak tarik rezeki kita. Kita kena bersyukur dan tambahlah pahala akhirat dengan menderma. – MalaysiaGazette

Suntikan vaksin, lalui pengalaman mendebarkan

By Manzaidi Mohd Amin - 20 May 2021
DUA hari lepas Bawah Kolong (BK) terima panggilan dari majikan memaklumkan nama BK sudah naik dalam senarai untuk suntikan dos pertama vaksin. Selepas itu BK jadi murung tiba-tiba. Otak asyik melayan pada berita-berita dalam media dan kisah-kisah tertentu yang diceritakan oleh kawan mahu pun netizen. Adakah ini hari-hari terakhir aku selepas disuntik nanti? Atau adakah aku antara ‘mangsa’ seterusnya selepas menerima suntikan ini? Macam-macam perkara yang bukan-bukan datang melayang dalam fikiran. Sementara itu, masa terus bergerak. Tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk tiba giliran BK beratur menunggu giliran untuk disuntik. Tengah malam tu juga BK bangun untuk solat tengah malam. Ya lah, berdoa minta ampun kepada Allah supaya hapuskan dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar BK sepanjang Allah beri pinjam nyawa selama ini. Kalau boleh, biarlah BK meninggal secara syahid, melawan wabak Covid-19, kan. Itulah yang bermain dalam minda BK sebaik terima berita BK kena suntik vaksin. Tambahan pula, kawan-kawan sekerja pada malam itu, ‘bergurau biawak’. Ada yang hantar mesej kata, kawannya lepas suntik terus… dia tamatkan di situ, dia tinggalkan persoalan di situ. Adakah terus meninggal dunia? Atau terus sihat daripada sebelumnya? Memang tak guna punya kawan. Ketika kita gundah gulana, bukan nak memberi semangat, malah makin mematahkan semangat dan mood. Tiba hari suntikan, hari Rabu 19 Mei 2021. BK pagi-pagi lagi bergerak dari rumah menuju ke Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Subang. Dalam janji temu jam 10 pagi tetapi sengaja BK bertolak awal dengan harapan selesai awal. Sampai di Sunway sebelum jam 10 pagi, sudah beratus manusia beratur. Ada yang muda, warga emas, yang uzur berkerusi roda, masing-masing menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan. BK beratur hampir satu jam sebelum tiba giliran dan terus ke kaunter 1, tempat menyemak nama. Di sini, ambil masa dua hingga tiga minit dan ada yang mencecah sampai 10 minit. BK tidak tahu apa masalah dan kenapa begitu lama untuk pihak kesihatan mengesahkan nama orang berkenaan. Mungkin namanya tidak terdapat dalam sistem untuk menerima suntikan vaksin pada hari itu, atau bagaimana, BK tidak tahu. Tetapi sistemnya amat sistematik. BK tidak boleh takwil. Kerajaan cuba melakukan yang terbaik untuk rakyatnya dan inilah sistem yang diperkenalkan. Sebaik selesai nama disemak, BK diarah menunggu di ruangan Kaunter 2. Di sini, petugas akan menyemak sekali lagi nama kita dan diluluskan tanpa dibangkang untuk ke kaunter seterusnya, iaitu Kaunter 3. Di Kaunter 3 inilah, penama-penama yang hendak terima suntikan akan dikaunseling oleh doktor pakar. Mereka akan beritahu risiko suntikan vaksin ini dan kesan sampingan yang bakal berlaku. Kalau penerima vaksin ini bersetuju, mereka dibenarkan ke Kaunter 4 untuk menunggu nama dipanggil bagi giliran seterusnya, iaitu suntikan. Di Kaunter 4 ini BK menunggu dalam 15 minit, sebelum nama dipanggil untuk ke bilik yang menempatkan doktor yang akan memberi suntikan. Kami bergerak dalam berkumpulan, iaitu seramai enam orang. Tidak sampai satu minit, BK terus disuntik di bahu kiri. Selepas itu BK diarah ke Kaunter 5 untuk urusan seterusnya, sehinggalah BK dinasihatkan berehat selama 15 minit selepas disuntik, untuk melihat kesan sampingan yang bakal berlaku. Namun, bersyukur BK dalam keadaan amat baik dan selepas 20 minit berehat, BK ke Kaunter 6 untuk mendapatkan kad suntikan dan di situ turut dicatatkan janji temu seterusnya, iaitu suntikan dos kedua pada 9 Jun 2021. Selesai melalui enam lapisan itu, akhirnya BK boleh pulang dan memandu kereta berseorangan dengan selamat, tanpa ada rasa pening-pening, loya atau tanda-tanda mengantuk. Saranan BK, seeloknya perlu ada peneman terutama bagi yang tidak sihat sebelum ini dan mempunyai risiko penyakit. Ini untuk keselamatan mereka selepas kena suntikan. Hari ini hari kedua BK selepas disuntik. Hanya rasa sakit di bahu tempat disuntik yang masih terasa. Keadaan lain semuanya okey. Kesimpulan kepada cerita ini ialah BK hendak nyatakan ‘kehebatan’ para petugas yang terdiri daripada doktor pakar, doktor, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan awam dari Kementerian Kesihatan. Mereka bertugas dari jam 8 pagi hingga mungkin ke larut malam tanpa henti-henti bagi memastikan perjalanan lancar dan tidak membantutkan masa orang ramai yang menunggu giliran. Pada BK, susun atur dan sistem yang dilaksanakan itu sangat baik. Mereka asingkan kumpulan warga emas, kumpulan berisiko, kumpulan berkerusi roda dan kumpulan normal. Kumpulan-kumpulan ini sedikit pun tidak mengganggu atau mencuri masa kumpulan normal. Sebabnya, KKM sediakan khusus petugas untuk kumpulan masing-masing, tanpa perlu petugas yang sepatutnya menjaga kumpulan normal, menghabiskan masa untuk mengurus kumpulan berisiko. BK pun puas hati dengan sistem ini, walaupun proses keseluruhannya mengambil masa antara dua hingga tiga jam. Itu adalah normal kerana KKM perlu menjalankan tugas dengan penuh hati-hati, cermat dan smart. KKM sebolehnya tidak mahu sebarang risiko berlaku ke atas penerima suntikan. Sebab itu, mereka perlu menjalankan tugas dengan teliti dan berhati-hati. BK ucapkan tahniah dan syabas kepada semua petugas KKM. BK tahu anda letih, penat dan tidak cukup tidur. Tetapi, anda memang seorang yang tahan lasak. – MalaysiaGazette

UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia

By Manzaidi Mohd Amin - 25 March 2021
BERSATU kita bersatu Dengan setia berganding bahu Jiwa teguh berpadu Kita rumpun Melayu Bersama kita bersama Mendukung hasrat semua Berjasa pada bangsa Agama dan negara Lambang kita yang gagah Dipandang mulia dan indah Bersatu, bersetia, berkhidmat Cogan katanya UMNO terus mara Untuk rakyat Malaysia Itulah rangkap lagu rasmi UMNO, “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” yang akan berkumandang di Dewan Tun Dr. Ismail, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada pagi Sabtu, 27 Mac ini. Bezanya kali ini, lagu itu bukan lagi dilaungkan oleh 5,603 perwakilan UMNO termasuk 2,694 perwakilan Bahagian, 976 perwakilan Wanita, 973 Pemuda dan 960 Puteri. Sebaliknya, ia hanya sekadar dinyanyikan oleh sebahagian kecil Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-ketua sayap parti yang dibenarkan hadir mengikut ketetapan serta kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja. Benar seperti kata seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 ini tidak semeriah PAU 2019, PAU 2018, PAU 2017 dan PAU sebelumnya. Bahkan, kami di kalangan media pun akui kelesuan yang akan berlaku. Kami dapat rasakan suasana perhimpunan kali ini agak suram dan muram. Ini tidak lain, kerana pihak penganjur terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat akibat pandemik Covid-19. Kalau tahun-tahun sebelumnya, jika hendak membuat liputan PAU di PWTC, Bawah Kolong (BK) memilih untuk menggunakan pengangkutan awam, iaitu komuter atau LRT. Semuanya kerana nak elak dari kesesakan jalan raya yang teruk di sekitar bangunan bersejarah bagi orang Melayu itu, selain kesukaran untuk park motosikal atau kereta. Bagaimanapun, Sabtu dan Ahad (28 Mac) ini, kesesakan jalan raya tidak seteruk sebelum ini kerana lebih 4,000 perwakilan bahagian dan sayap parti serta ahli dan penyokong akan berada di negeri masing-masing untuk mengikuti perhimpunan secara maya. Selain media dan orang awam, pemimpin UMNO juga merindui suasana terdahulu, dengan suara gegak gempita peniaga-peniaga melaungkan produk jualan masing-masing seperti pesta ekspo. Suasana lebih bingit pada hari akhir PAU kerana semua peniaga akan melelong barang dengan harga murah dan menjadi rebutan kebanyakan golongan wanita. Ini berlaku setahun sekali, mengalahkan suasana Hari Raya. Setiap tahun pemimpin dan ahli akar umbi menunggu-nunggu untuk menghadiri PAU. Inilah medan penting tempat pucuk pimpinan mendengar perbincangan, perbahasan, isu dan kucapan perwakilan di bahagian. Ada yang menyampaikan secara kelakar, tidak kurang juga yang serius dan mahukan suara mereka didengar serta diambil tindakan oleh pucuk pimpinan demi masa depan umat Melayu. BK difahamkan, beberapa pemimpin kanan Pas yang dijemput telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada perhimpunan itu. Sudah tentu yang ditunggu-tunggu ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinannya. Kali pertama mereka datang pada PAU 2019, beberapa bulan selepas Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas dimeteraikan. Kedatangan mereka disambut dengan deraian air mata terharu dan gembira orang Melayu serta umat Islam. Sebabnya, sudah lama kedua parti Melayu ini bermusuh dan baru kali ini mereka bersatu, duduk sepentas berpimpin tangan, berpelukan sebagai tanda persaudaraan. Ibarat biduk berlalu, kiambang bertaut, sebenarnya ada hikmah dengan kekalahan UMNO dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke 14 Mei 2018. Kekalahan itu menyaksikan Pas dan UMNO bertaut, sebelum rakan baharu dari kumpulan ‘Langkah Sheraton’ menyertai mereka, sekali gus menafikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 22 bulan itu. Namun, berlaku sedikit konflik antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan tiga serangkai itu, sama ada mahu mengekalkan hubungan dalam MN atau Perikatan Nasional (PN). Bersatu dan sesetengah pemimpin Pas mengharapkan PN kekal dengan gabungan bersama UMNO. Bagaimanapun, UMNO bersama sesetengah pemimpin Pas lagi mahu MN dikekalkan, tanpa Bersatu. Asalnya cinta tiga segi, tetapi bertukar kepada main kayu tiga, apabila ada dalam UMNO dan Pas yang dianggap ‘pembelot’ cuba memujuk parti masing-masing supaya kekal bersama PN menghadapi PH dalam PRU15. Pas pula dalam konflik ini dilihat seperti mahu bermadu tiga. Dengan PN pun nak, dengan UMNO pun nak, selain bergabung dengan Parti Ikatan Rakyat (Ikatan) dalam Gagasan Sejahtera (GS). Kepada pemimpin dan ahli akar umbi UMNO, selamat bersidang dengan norma baharu. – MalaysiaGazette

Vaksin dah sampai, kenapa nak takut

By Manzaidi Mohd Amin - 22 February 2021
ALHAMDULILLAH, vaksin Covid-19 pertama sebanyak 312,390 dos selamat tiba di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia pagi Ahad, 21 Februari 2021. Walaupun Bawah Kolong (BK) bukanlah antara yang tersenarai akan disuntikkan vaksin itu dalam kategori pertama, tetapi dengar bekalan itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.07 pagi pun, hati dah rasa lega dan terharu. Lagi terharu, pilot yang terbangkan pesawat Airbus 330-300 itu adalah warganegara Malaysia, anak kelahiran Tumpat, Kelantan, Kapten Hamdan Che Ismail. Sungguhpun BK kelahiran Pasir Mas, tapi kiranya kami berjiranlah. Hanya rentas daerah saja. Jadi, apa yang BK nak bincangkan di sini, ialah kegunaan vaksin ini. Ianya dihasilkan secara bersama oleh firma farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer dan syarikat Jerman BioNTech. Awalnya, banyak pro dan kontra mengenai vaksin ini. Ada yang beri pandangan negatif, tak sedikit beri pandangan positif. Itu sudah lumrah, lebih lagi dicampur adukkan dengan politik oleh pihak tertentu. Yang penting, kerajaan dah berusaha untuk selamatkan lebih 33 juta rakyatnya. Berbilion ringgit kerajaan belanjakan untuk dapatkan bekalan vaksin ini, bagi pastikan rakyat Malaysia diberi imunisasi. Berkesan atau tidak. Berjaya atau tidak vaksin ini. Kita saksikan pada 26 Februari ini. Tanpa berahsia, tanpa berlindung, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rela hati untuk menerima suntikan pertama vaksin berkenaan. Kenapa dia sanggup jadi sukarelawan? Sebab, untuk tunjuk dan buktikan kepada rakyat, jika vaksin itu bahaya, dialah yang pertama akan terima akibatnya, dan, jika vaksin itu berkesan, maknanya rakyat akan selamat dari penyakit berjangkit wabak Covid-19. Ini kiranya pengorbanan besar seorang pemimpin negara, yang siang malam memikirkan dan merencanakan bagaimana nak selamatkan nyawa rakyat. Kita patut bersyukur dan berterima kasih. Terima kasih PM. Selepas Perdana Menteri menerima suntikan pertama itu, maka suntikan kedua dan seterusnya diberikan kepada para petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan, petugas dalam perkhidmatan penting dan keselamatan. Kenapa mereka ini didahulukan, bukan orang lain? Sebab dari awal mula serangan Covid-19, golongan inilah yang diarahkan ke depan untuk memberi rawatan, untuk menjaga pintu masuk dan keluar negara dan menjadi benteng dari serangan wabak itu. Tidak sedikit dari mereka dijangkiti dan jatuh sakit. Bahkan, ramai dari mereka meninggal dunia akibat dijangkiti virus yang paling bahaya itu. Jadi, sangat wajarlah mereka diberikan suntikan vaksin itu. Sihat mereka, sihatlah kita. Sakit mereka, sakitlah kita. Itulah yang harus kita pegang, selain anggap mereka adalah dahan tempat kita bergantung, rumah tempat kita berlindung. Bayangkan, kalau dahan itu reput, rumah itu dalam keadaan daif. Dapatkah kita bergantung dan berlindung? Oleh itu, kita jangan bimbang, kerana akan tiba juga giliran untuk kita diberikan suntikan vaksin itu. Kalau tidak fasa kedua, fasa ketiga kita akan terima juga. Kalau mengikut perkiraan kerajaan, suntikan vaksin fasa kedua akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi bermula April hingga Ogos ini, manakala fasa ketiga melibatkan orang dewasa yang berusia 18 tahun ke atas bermula Mei ini hingga Februari 2022. Lebih terperinci, jadualnya seperti ini: Fasa pertama bermula 26 Februari hingga April 2021; Fasa kedua bermula April hingga Ogos 2021; dan Fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2022. Fasa kedua untuk 9.4 juta penduduk. Mereka ialah petugas dalam perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan penting dan keselamatan serta yang berumur 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko menghidap penyakit kronik seperti jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta orang kurang upaya (OKU). Fasa ketiga pula untuk 13.7 juta penduduk yang berumur 18 ke atas dan keutamaan diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan zon merah, kuning dan hijau Covid-19. Kita patut bersyukur, dengan adanya vaksin ini, kita tidak lagi mudah diserang virus Covid-19. Sekurang-kurangnya vaksin ini bertindak sebagai benteng yang akan mempertahankan tubuh badan kita dari diserang virus itu. Sebab itu, bila negara kita diserang pandemik Covid-19, ramai dalam kalangan kita terutama warga emas, yang berpenyakit kronik atau lebih tepat yang bertubuh lemah, mudah diserang. Macam mana doktor, jururawat, polis yang kuat tubuh badan terkena pun boleh juga terkena jangkitan dan ada yang meninggal? Mereka itu hari-hari berdepan dengan wabak dan virus, mana boleh tahan. Dalam keadaan macam ni, sesiapa saja yang sihat dan sasa kalau diserang bertalu-talu oleh virus itu, boleh lemah dan tewas. Sebab itu, apabila ada negara berjaya hasilkan vaksin, kerajaan Malaysia bersetuju untuk membelinya. Persetujuan ini pula bukan dibuat secara membabi buta. Sudah tentu kerajaan hantar pakar-pakarnya untuk buat ujian dan kajian terlebih dahulu. Jika vaksin itu berkesan, barulah kerajaan capai persetujuan untuk beli. Bukan setuju tanpa usul periksa. Kerajaan lebih arif daripada kita. Bahkan, kerajaan juga mendapatkan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menentukan vaksin ini halal atau haram. Harus atau makruh jika digunakan untuk orang Islam. Majlis Fatwa Kebangsaan pula ada pakarnya sendiri. Uji terlebih dahulu kandungan vaksin itu dan jika semua bahan digunakan dipastikan baik untuk kegunaan umat Islam, barulah Majlis Fatwa Kebangsaan keluarkan fatwa. Dan hukumnya harus. Apa lagi yang kita nak ragu-ragukan status vaksin itu. Majlis Fatwa lebih arif pasal ilmu agama dan ilmu hukum hakamnya dari kita, maka kita kena berlapang dada. – MalaysiaGazette

Wawasan 2020 terkubur bersama kapsul masa?

By Manzaidi Mohd Amin - 31 December 2020
Kapsul masa yang popular di kalangan rakyat Malaysia terletak di Taman Putra Perdana, yang dijadualkan dibuka pada tahun 2020. TENGAH malam ini, tepat jam 12 malam, masuklah kita semua ke tahun baru 2021, dan selamat tinggal tahun 2020 yang penuh kenangan, ujian, dugaan, peristiwa manis dan pahit. Yang paling ditunggu-tunggu kita sejak 29 tahun lalu ketika itu ialah apa itu Wawasan 2020. Mungkin sesetengah dari kita, termasuk Bawah Kolong (BK) sendiri ternanti-nanti perubahan yang berlaku kepada negara dalam tahun 2020. Namun, 2020 sudah berakhir sahaja. Perancangan yang disebutkan sebagai Wawasan 2020 tidak berlaku di depan mata kita, melainkan tahun ini adalah tahun negara serta dunia diserang wabak Coronavirus yang dipanggil Covid-19. Sepanjang tahun 2020, rakyat diselubungi ketakutan dengan penyebaran wabak penyakit itu. Kes positif meningkat dari satu kes kepada 110,485 kes dan 463 kematian sehingga 30 Disember 2020. Begitu juga dengan kapsul masa. Perdana Menteri (sekarang mantan) Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991 ada menanam satu kapsul masa yang dinamakan Kapsul Masa 2020 di Taman Putra Perdana, Putrajaya. Rakyat ketika itu dimaklumkan kapsul berkenaan akan dibuka pada tahun 2020. Selepas 29 tahun, dan usia rakyat dah bertukar warga emas, Kapsul Masa 2020 yang ditanam di Taman Putra Perdana dan dibina sebuah monumen, tidak dibuka. Mungkin kapsul masa itu tidak dibuka kerana Wawasan 2020 gagal. Atau disebabkan kekangan pandemik Covid. Atau tarikh ditetapkan tidak menjadi kenyataan kerana Tun Mahathir yang memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua hanya sempat 22 bulan sahaja. Untuk makluman, sekurang-kurang lima kapsul masa ditanam oleh pemimpin terdahulu. Tahun 1987, kapsul masa ditanam di Kompleks Beli Belah The Mall di ibu negara. Kapsul ini dijangka dibuka sebaik mencapai usia 100 tahun, iaitu tahun 2087. Tahun 1994, kapsul masa ditanam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, yang jangkaan dibuka pada 2018. Tahun 1991, satu lagi kapsul masa ditanam di Taman Putra Perdana yang akan dibuka tahun ini, 2020. Kapsul keempat ditanam di Menara Kuala Lumpur pada tahun 1996 dan dijadualkan dibuka tahun 2018. Terakhir sekali, dua kapsul ditanam oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin ketika mereka dalam kabinet kerajaan tahun 1987. Bahkan, tahun 2020 juga menyaksikan kecelaruan pentadbiran kerajaan dan keseluruhan parti politik, selain darurat wabak coronavirus. Apapun, mulai esok, 1 Januari 2021, rakyat tidak lagi kisah dengan Wawasan 2020 dan Kapsul Masa 2020. Rakyat ketika ini memikirkan kehidupan masa depan mereka. Ini yang perlu diperjuangkan selepas ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan akibat Covid-19. Umum tahu, ekonomi boleh pulih dengan adanya sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. Selagi kerajaan kekal dengan majoriti tipis, suasana politik tidak akan stabil. Ini akan menakutkan pelabur. Dalam banyak-banyak tahun, tahun 2020 akan kekal dalam ingatan. Umat Islam yang merantau tidak dapat balik kampung menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama keluarga, dan keluarga di kampung juga tidak dapat mengadakan rumah terbuka. Rentas daerah dan negeri disekat. Lebuh raya dan semua rangkaian jalan raya lengang. Sunyi sepi dari deruan kenderaan. Bahkan, ribuan individu ditahan dan dikenakan denda kerana ingkar arahan atau SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekolah berehat panjang, murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, penuntut IPT tidak lagi belajar di kelas. Guru, penjawat awam diarah bekerja dari rumah, iaitu suatu langkah yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Paling seksa, orang ramai diarah ‘mengurungkan’ diri dari berpelesaran tak tentu arah di luar bagi mengurangkan ‘pembiakan’ atau penularan wabak berjangkit itu berpindah randah dari manusia ke manusia. Namun, selepas setahun wabak itu melanda, dan bertambah meningkat kes positif sejak akhir tahun ini, rakyat mula menerima kehidupan normal baharu. Memakai pelitup muka sepanjang masa dan scan MySejahtera sebagai rekod pergerakan dari tempat ke tempat dituju. Kedai-kedai makan, premis perniagaan juga singkatkan tempoh operasi masing-masing. Tidak ada lagi restoran atau premis 24 jam. Selain Wawasan 2020 dan Covid-19, situasi politik negara juga bercelaru. Ini bahana dari sikap penting diri pemimpin tertentu. Lompat sana, lompat sini sehingga menyaksikan sesebuah pentadbiran kerajaan bertukar tangan dan hampir bertukar lagi. BK beranggapan, selagi pemimpin “lompat katak” ini ada dalam parti politik dan tidak dijatuhkan oleh rakyat, selagi itu keadaan politik tidak akan stabil. Malah, lebih keruan lagi pada tahun baharu, 2021. Sebaiknya, jika berlaku PRU15 nanti, rakyat perlu lebih bijak memilih calon. Mana-mana penyandang jenis “lompat katak” bertanding, seeloknya disingkirkan terus. Jika dibiarkan, mereka mungkin akan lompat lagi. Kerajaan bertukar lagi. Ekonomi merudum lagi. Yang terjejas adalah kita, rakyat. – MalaysiaGazette

Apa beza Undi Percaya dengan Undi Tidak Percaya?

By Manzaidi Mohd Amin - 4 December 2020
BAWAH Kolong hari ni terima banyak pertanyaan dari kawan-kawan di luar sana, yang nak tahu apa bezanya Undi Percaya (UP) dengan Undi Tidak Percaya (UTP)? Biasanya dua perkara ini adalah mainan orang politik dan digunapakai di peringkat Dewan Rakyat (Parlimen) serta Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam kehidupan seharian masyarakat marhaen seperti kita, tidak ada istilah UP dan UTP. Kalau kita tidak mahu pada seseorang, kita terus terang beritahu, “aku tak mahu kamu lagi”. Jadi, terpulanglah pada orang yang kita tak mahu berkawan tu nak dengar atau tidak. Berbalik kepada pertanyaan perbezaan UP dan UTP, Bawah Kolong hanya boleh jawab, dua-duanya mempunyai maksud yang sama, cuma tajuknya sahaja lain. UP atau UTP matlamatnya untuk pastikan orang politik yang pegang jawatan Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri letak jawatan. Itu saja motifnya. Kenapa kedua-dua usul itu perlu dilakukan? Sebab budaya politik di Malaysia berbeza dengan budaya politik di negara luar. Di negara lain, kalau pemimpinnya tidak lagi mendapat kepercayaan parti politik ataupun rakyatnya, mereka segera letak jawatan atau mengaku kesalahan. Di Malaysia lain, kamu desak, buat demonstrasi, buat bantahan sekalipun, pemimpin tetap di kerusi jawatannya. Liat sungguh bab letak jawatan, apatah lagi nak mengaku kesalahan. Jadi, jalan terbaik untuk nyahkan seseorang pemimpin itu ialah dengan membawa usul UP atau usul UTP ke Parlimen atau ke sidang DUN. Di situ, biar Ahli Dewan Rakyat atau ADUN buat keputusan secara undian suara teramai atau undian belah bahagi. Undian suara ramai ialah Speaker Dewan Rakyat atau Speaker DUN akan tanya kepada ahli dewan, “yang setuju kata setuju”, “yang tidak setuju kata tidak setuju”. Di sini, Ahli Parlimen atau ADUN yang setuju akan jawab “setuju” dengan suara seramai mungkin. Manakala Ahli Parlimen atau ADUN yang tidak setuju akan jawab “tidak setuju” dengan nada tinggi dan teramai. Bila mendengar kedua-dua jawapan itu, Speaker akan buat sama ada “lebih suara yang bersetuju”, atau “lebih suara yang tidak bersetuju”. Itu kaedah undian suara ramai. Undian belah bahagi pula, untuk membolehkan undi secara ini dilakukan, kalau di Parlimen, memerlukan sokongan 15 ahli dewan sama ada pembangkang atau kerajaan untuk berdiri sebagai tanda membolehkan undi itu diadakan. Di DUN hanya 10 ADUN sahaja perlu bangun. Kalau jumlah pembangkang yang bangun kurang dari ditetapkan, maka undi belah bahagi tidak dapat dilakukan. Speaker terpaksa mengumumkan pihak kerajaan mendapat sokongan majoriti. Begitu sebaliknya, jika pihak kerajaan tidak cukup korum untuk bangun, maka Speaker akan umumkan pembangkang yang dapat suara majoriti atau menang. Kalau yang bangun itu cukup syarat, maka undi belah bahagi akan diadakan. Kertas undi akan diberikan kepada setiap Ahli Parlimen atau ADUN untuk mereka mengundi. Sama ada usul UP atau usul UTP memihak kepada pencadang atau pemimpin yang diminta letak jawatan itu, tunggulah sehingga bilangan undi dibilang. Kalau ditanya apa beza keputusan untuk usul UP dengan usul UTP? Di Dewan Rakyat atau di DUN, kalau undian dibuat untuk usul UP, Speaker memerlukan jumlah “tidak setuju” atau “tidak menyokong” lebih banyak dari jumlah “setuju” atau “sokong”. Jika jumlah “tidak setuju” atau “tidak menyokong” majoriti dari jumlah “setuju” atau “sokong”, maka Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak lagi mendapat mandat Ahli Dewan. Dengan itu, secara automatik mereka perlu letak jawatan. Secara Perlembagaan, jawatan yang disandangnya tidak lagi berfungsi. Dia bukan lagi Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri. Bagaimana dengan usul UTP? Yang ini Speaker hanya memerlukan jumlah “setuju” atau “sokong” lebih banyak dari jumlah “tidak setuju” atau “tidak sokong”. Kalau jumlah “setuju” atau “sokong” lebih banyak, maka Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri kena lepaskan jawatan itu. Mereka boleh segera mengadap Yang di-Pertuan Agong jika seseorang itu Perdana Menteri dan Sultan negeri masing-masing jika seseorang itu Menteri Besar dan Yang Dipertuan Negeri jika seseorang itu Ketua Menteri. Tujuan mengadap ini untuk memaklumkan situasi yang berlaku kepada baginda berhubung sesi persidangan pada pagi, tengah hari atau petang itu. Terpulang kepada Tuanku untuk menentukan penggantinya dengan memanggil setiap ahli dewan atau membubarkan Parlimen atau DUN untuk diadakan pilihan raya negeri atau pilihan raya umum. Itulah yang berlaku di Perak hari ini, Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak lagi mendapat mandat ahli dewan menerusi usul UP yang dikemukakan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim. Dalam usul itu, berlaku undi belah bahagi, yang mana 48 ADUN mengundi “tidak setuju”, iaitu mereka tidak setuju Ahmad Faizal terus kekal sebagai Menteri Besar Perak. Manakala 10 ADUN mengundi “setuju”. Maknanya 10 orang ini setuju supaya Ahmad Faizal kekal sebagai Menteri Besar. Dan seorang ADUN tidak mengundi, atau dengan kata lain, berkecuali. Dengan keputusan majoriti yang tidak setuju Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar, maka Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM) itu kena beralah. Namun, selagi Sultan Perak belum menitahkan apa-apa, atau baginda belum mendapat pengganti, Ahmad Faizal masih Menteri Besar. Itulah ceritanya. – MalaysiaGazette

Kenapa khemah, tidak kontena?

By Manzaidi Mohd Amin - 16 November 2020
SEDIH dengan laporan berita seorang anggota polis cedera akibat ditimpa khemah ketika sedang berteduh dari hujan dan ribut. Kejadian itu berlaku di sekatan jalan raya (SJR) Tol Jalan Duta, menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur, semalam (15 November 2020). Mangsa yang cedera ialah Koperal Nazmi Abdullah dari Bahagian Kawalan Lalulintas, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT). Ketika kejadian, mangsa dikatakan berteduh di bawah khemah yang disediakan untuk anggota keselamatan berteduh dan berehat ketika bertugas mengawal pergerakan keluar masuk orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Betapa besarnya pengorbanan anggota polis, tentera, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Rela. Mereka diamanahkan menjaga keselamatan pergerakan orang ramai, di samping mengekang wabak Covid-19 yang semakin mengganas. Bertugas 24 jam sehari semalam di SJR, yang keadaannya hanya Allah sahaja yang tahu. Ada kalanya berpeluh akibat panas terik matahari dan ada tikanya basah kuyup kerana hujan lebat dan ribut petir. Walaupun berdepan dengan cuaca yang tidak menentu, mereka tidak pernah lari. Mereka tetap kekal di tengah jalan raya atau lebuh raya membuat SJR. Semuanya untuk memastikan Covid-19 tidak merebak sewenang-wenangnya oleh pembawa yang tidak bertanggungjawab. Kalaulah semua rakyat Malaysia bertanggungjawab, tidaklah anggota polis, tentera dan Rela terpacak di SJR dalam cuaca panas dan hujan. Mereka juga manusia seperti kita, perlu rehat, perlu bersama keluarga. Tapi disebabkan sikap tidak bertanggungawab segelintir dari kita, membawa virus corona ke sana ke sini, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa bertugas walaupun dalam keadaan panas, hujan lebat dan ribut petir. Kejadian yang menimpa Koperal Nazmi itu sungguh menginsafkan kita. Bayangkan, khemah yang didirikan untuk mereka berehat, tiba-tiba diterbangkan angin kencang dan besi khemah itu menimpa anggota polis yang bertugas. Nasib baiklah tidak berlaku kecederaan parah, namun kita doakan semoga Koperal Nazmi yang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, segera sembuh. Kejadian ini bagaimanapun, patut membuka mata kerajaan. Satu kaedah atau alternatif lain patut difikirkan untuk mengantikan khemah. Lebih lagi sekarang musim cuaca tidak menentu. Mungkin kerajaan boleh menukarkan khemah kepada Balai Bergerak sebagai langkah keselamatan dan keselesaan anggota bertugas. Atau jika Balai Bergerak tidak mencukupi, kerajaan boleh menyewa kontena yang telah diubah suai dan tempatkan di setiap SJR yang berjumlah lebih 250 lokasi di seluruh negara. Adanya kontena, sekurang-kurangnya anggota yang bertugas boleh berteduh dengan selamat sekiranya hujan lebat, ribut atau kilat. Tempoh SJR bukan seminggu dua, ia mengambil masa kadang-kadang satu bulan hingga dua bulan bergantung kepada PKPB. Jadi, sesuai sangat kerajaan menempatkan kontena di setiap SJR, kerana ia juga mudah diangkut pindah. Khemah pula terlalu ringan, walaupun ia mudah alih. Tetapi dalam situasi tertentu, khemah juga merbahaya kepada orang yang berteduh di bawahnya, kerana mudah diterbangkan angin, selain cepat rosak. Lain dengan kontena, strukturnya kuat, kukuh, selamat dan selesa untuk anggota bertugas berehat. Kerajaan tidak perlu sangat memikirkan apa nanti orang ramai akan kata kalau menempatkan kontena kepada anggota keselamatan. Mereka juga pada satu-satu ketika, terutama musim tengkujuh perlukan tempat berteduh yang selesa dan selamat. Tidak basah terkena tempias hujan, tidak sejuk ditiup angin. Lagi pun sewa kontena bukan besar sangat. Kerajaan mampu untuk menanggung kosnya. Atau mungkin ada syarikat swasta bersedia membiayainya sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada pasukan keselamatan yang berkorban untuk keselamatan semua. Fikir-fikirlah. Selain menitik beratkan keselamatan rakyat, nyawa anggota keselamatan juga perlu diambil berat. – MalaysiaGazette

Nasib mu Najib!…

By Manzaidi Mohd Amin - 27 October 2020
DATUK Seri Najib Tun Razak sudah jelaskan apa yang berlaku pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi (26 Oktober 2020). Beliau kata, kerjasama dengan Anwar Ibrahim tanpa DAP itu hanya sekadar cadangan, bukan keputusan. Bila ada cadangan, itu tugas ahli jawatankuasa untuk berbincang cari kata putus. Kata putus pada mesyuarat itu ialah MT sepakat menolak cadangan itu. Bila keputusan dah dibuat, maka selesailah di situ. Tetapi, lain pula berlaku di luar. Bila perkara itu sampai ke telinga di luar sana, lain pula jadinya. Najib dituduh mahu bekerjasama dengan Presiden PKR. Najib dikatakan tikam kawan-kawan dalam parti. Macam-macam tuduhan dan gelaran dilontarkan kepada Najib. Maka portal-portal mesra pembangkang pun ambil kesempatan untuk menghangatkan situasi. Inilah masanya nak memburuk-burukkan nama Najib. Rakyat pasti akan percaya dengan laporan-laporan berbaur fitnah ini. Tidak sampai 12 jam selepas mesyuarat MT selesai, sudah heboh seantero Malaysia mendakwa Najib tolak kerajaan Perikatan Nasional (PN), Najib nak naikkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan bentuk kerajaan baharu. Ramai mengiyakan dan amat sedikit menafikan laporan itu. Tiba-tiba nama Najib menjadi bualan. Bukan perkara kebaikan, tetapi keburukan. Peliknya, yang dalam partinya sendiri pun percaya dengan berita itu. Terpaksalah Najib luangkan masa memperbetulkan keadaan. Menceritakan semula dari A sampai Z apa yang berlaku pada mesyuarat itu dan berhubung cadangan-cadangannya untuk dibincangkan. Namun, sebaran cerita sebenar dari mulut Najib tidaklah sepantas sebaran fitnah dari portal pro-pembangkang atau dari mulut orang parti sendiri. Terpaksalah Najib akur dengan perkara itu. Yang penting Najib sudah menjelaskan hal sebenar, supaya orang ramai atau netizen dapat hadam dan tapis semula yang telah mereka telan itu. Kata Najib, dalam mesyuarat malam tadi, dia kemukakan tiga cadangan. Pertama, kerjasama bersyarat UMNO dengan Anwar tanpa DAP sehingga PRU 15 diadakan. Cadangan kedua, adakan PRU 15 pada suatu tarikh yang tetap pada masa depan selepas pandemik Covid-19 terkawal. Cadangan ketiga pula, UMNO teruskan kerjasama dengan PN dengan syarat UMNO diberikan lebih peranan dalam kerajaan untuk menentukan halatuju ekonomi. Selepas tiga cadangan itu dikemukakan, terserah kepada MT yang hadir mesyuarat untuk bincang dan capai kata putus. Kalau setuju kata setuju, kalau tidak setuju kata tidak setuju. Cadangan yang tidak setuju dikira habis di situ, tutup buku. Bukan dijadikan isu atau point untuk menghangatkan keadaan. Nama lagi cadangan. Dan cadangan pula bukan bersifat arahan atau perintah atau keputusan. Kerana ramai yang bebal dengan maksud cadangan ini, maka ia menjadi isu. Maka, betullah kata Najib, buat apa adakan mesyuarat kalau tidak ada cadangan. Selalunya dengan cadangan itulah ahli-ahli mesyuarat bermesyuarat. Cadangan yang dicapai kata sepakat untuk bersetuju baru dinamakan keputusan. Selagi ditolak, ia hanya sekadar cadangan yang tidak lagi digunapakai. Umpama wang kertas yang koyak rabak, hancur sehingga hilang nombor sirinya. Tidak bernilai lagi. Tetapi perangai manusia, tidak seronok kalau tidak diapi-apikan. Hilang seri berpolitik kalau keluar mesyuarat tidak ada benda nak dihebohkan kepada media. Maka, jalan terbaik perbesarkan cadangan yang sudah tidak digunapakaikan lagi itu kepada media. Media yang mereka pilih pula yang mesra pembangkang. Baru ada umphh!, Kalau setakat beri maklumat kepada media arus perdana, berita itu tidak ke mana. Tidak hangat. Sehari semalam Najib dimaki hamun, dicerca, dikeji dan dihina dengan pelbagai tuduhan, hanya kerana cadangan yang tidak digunapakai oleh MT itu diperbesarkan. Namun, dia masih tenang. Dia masih mampu tersenyum, walaupun dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Bab bekerjasama dengan Anwar ini bukan Najib seorang. Sebelum ini pun Tun Dr. Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Anwar. Muhyiddin bekerjasama dengan Anwar. Azmin Ali bekerjasama dengan Anwar. Pas pun bekerjasama dengan Anwar. Tetapi tidak bising. Tidak pula portal mesra pembangkang memperbesarkan isu kerjasama pemimpin dari Bersatu dan Pas itu bekerjasama dengan Anwar. Najib juga yang mereka pilih untuk direbahkan. Kalau direbahkan musuh politik, itu biasa, tetapi Najib direbahkan oleh orang-orangnya sendiri. Orang-orang yang bertindak bukan dari arahan, tapi dari mata hati mereka yang buta. Mereka tidak pernah mahu ambil pengajaran dari apa yang berlaku kepada parti mereka selepas PRU 14. Mereka tidak nampak kifarah yang menimpa parti mereka. Masih juga mahu berseronok dengan tikam menikam sesama sendiri. – MalaysiaGazette

Anwar dan pintu belakang

By Manzaidi Mohd Amin - 29 September 2020
SEMALAM, 28 September 2020, aku terima arahan dari Ketua Pengarang aku supaya bergegas ke ibupejabat PKR di Bangunan Merchant Square, Petaling Jaya, kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) ada mesyuarat. Tanpa berlengah, aku siapkan segala alat kerja aku, bungkus sumbat dalam beg dan terus menunggang motosikal meredah kesesakan jalan di Sungai Besi menuju ke Petaling Jaya. Aku tiba di ibupejabat PKR lebih kurang jam 4 petang. Sudah ada dalam 10 ke 15 rakan media, iaitu wartawan dan jurugambar berkumpul di kaki lima pejabat PKR. Sebaik aku tiba, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil keluar dari pejabat menuju ke kereta. Kami mengerumuninya bertanya pelbagai soalan, dia hanya senyum tanpa menjawab sambil masuk ke kereta. Kami berlari pula berkumpul ke kaki lima pejabat PKR. Di situ pintu keluar masuk pemimpin PH untuk ke bilik mesyuarat di tingkat tiga bangunan itu. Selain itu, ada sebuah pintu belakang, tetapi mengikut makcik tukang cuci, pintu itu jarang digunakan, kecuali kalau ada hal ‘besar’. Kami, media tidak ambil tahu sangat pasal pintu depan, pintu belakang kerana selama ini pun Anwar yang kami tahu, tidak pernah lari dari kami. Dia akan rempuh dan berdepan dengan gerombolan kami walau apa keadaan sekali pun. Paling tidak pun, kalau beliau tidak mahu menjawab soalan wartawan, beliau sekadar senyum atau mengangkat tangan sambil berlalu menuju ke kereta. Itu yang kami kenal pasal Anwar. Kenapa nak lari dari media? Kami bukan makan orang. Kami hanya nak tanya. Dan soalan kami bukan wajib dijawab pun. Kalau jawab, itu bonus bagi kami. Kalau tidak jawab pun sekurang-kurang kami buat berita beliau enggan mengulas. Itu saja. Kami buat kerja kami. Dia buat kerja dia. Antara kami dan dia, saling memerlukan. Selang lima minit selepas Fahmi keluar, keluar pula Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad. Pun enggan mengulas apa-apa pasal mesyuarat petang itu. Dia juga berjalan menuju ke kereta dan terus meninggalkan bangunan ibupejabat PKR. MGF28092020_MESYUARAT-PH_08-1 Mat Sabu juga enggan bercakap kepada media hasil mesyuarat PH di ibupejabat PKR, semalam. Kami menunggu lagi sambil berbual sesama sendiri. Kemudian dalam jam 4.30 petang, Presiden Amanah, Mohamad Sabu keluar dari bilik mesyuarat. Kami cuba kerumun dia, dia hanya buat tidak tahu menuju ke kereta. Abang Mat nampak ‘smart’, kacak dan segak bergaya. Dia pakai kot, baju-T oren, pelitup muka oren dan berkaca mata hitam. Rambut disikat rapi. Masuk ke kereta terus meninggalkan kami, yang sehingga hampir sejam belum mendapat apa-apa maklumat mengenai kandungan mesyuarat. Kami tidak berputus asa. Kami menunggu dan terus menunggu sehingga seorang demi seorang pemimpin PH keluar dan tidak ada seorang pun mahu memberi komen, termasuk Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd. Samad; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; dan Ketua Pengarah Pilihanraya Amanah Nasional, Datuk Dr. Hatta Ramli. Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga enggan bercakap kepada media, walaupun wartawan Cina mengerumuninya mengajukan pelbagai soalan. Kenapa semua mahu menutup mulut? Apa yang rahsia sangat sehingga tidak ada seorang pun pemimpin kanan PH mahu menjawab, walaupun sepatah? Semua sepakat mengunci mulut dan seboleh-bolehnya mahu mengelak dari bertemu media. “Tak apalah kalau mereka tak mahu jawab, kita tunggu Anwar saja. Mesti Anwar akan jawab soalan kita. Pendek (jawab) pun jadilah,” kata seorang wartawan dari sebuah portal berita. Jam menunjukkan 6 petang. Kereta VVIP yang diletak ditempat letak kereta sudah tinggal tidak banyak lagi. Ada dalam tiga empat buah, termasuk kereta yang dinaiki Anwar. Tidak lama, dalam 10 minit selepas itu, kami lihat pemandu kereta Anwar meninggalkan bangunan pejabat PKR tanpa Anwar di dalamnya. Dan memang ketika itu pun Anwar belum ‘turun’ dari bilik mesyuarat. Kami berfikiran positif. Kami buat andaian, mungkin pemandu Anwar keluar ke kedai membeli makanan atau minuman. Jam 6.30 petang lebih kurang, seorang jurugambar dari sebuah portal rasa ragu-ragu dengan ‘kehilangan’ kereta Anwar, lalu membisikkan kepada kawannya, mungkin Anwar sudah keluar ikut pintu belakang pejabat itu. Kami buat pecahan, sekumpulan tunggu di pintu masuk ke tingkat satu bangunan itu, satu kumpulan lagi ke bahagian belakang. Sampai kami di belakang bangunan, tidak ada sebarang pergerakan. Kosong. Sunyi dan sepi. Kami berpatah balik ke pintu depan. Anwar belum juga ‘turun’. Jam sudah 7 malam. Cuaca makin gelap. Aku buat kesimpulan, Anwar sudah balik. Kata seorang kawan, kalau Anwar balik? Dia balik ikut (laluan) mana? Aku kata, mungkin ikut pintu belakang. Mustahil, jawab kawan. Anwar tak akan buat begitu. Dia tahu media menunggu dia sejak jam 3 petang lagi. Tentu, dia akan jumpa kita. Aku kata, secara logiknya, Mat Sabu sudah keluar. Saifuddin Nasutin sudah keluar. Fahmi, Khalid, Dr. Dzulkefly, Dr. Hatta pun sudah keluar. Anwar nak bermesyuarat dengan siapa lagi, kalau semua sudah keluar? Anwar seorang pemimpin yang sibuk. Takkan dia masih terperap di bilik mesyuarat seorang diri sehingga jam 7 malam? Tentu dia sudah balik. Dia tidak mahu jumpa kita sebab dia tidak ada alasan untuk jawab soalan kita, aku buat konklusi. Jam 7.30 malam, seorang lelaki keluar dari pejabat PKR. Kami bertanya. Dia kata, pejabat sudah kosong. Tidak ada seorang pun lagi. Kami kata, Anwar? Dia jawab, Anwar sudah pulang jam 5.30 petang lagi. Anwar sudah pulang? Dia keluar ikut laluan mana? Lelaki itu mengangkat bahu tanda tidak tahu. Kami berpandangan sesama sendiri. Rupanya kami menunggu ‘hantu’ di pejabat itu. Anwar sudah lama pulang dan mungkin sedang bergembira bermain bola dengan cucu. Kita pula masih berpeluh di kaki lima pejabat PKR menunggu orang yang tidak ada. Aku bertanya lagi seorang diri. Kenapa Anwar lari ikut pintu belakang? Diakan seorang pemimpin yang berdarjat tinggi, mustahil dia takut kepada media sehingga terpaksa melarikan diri dari pintu belakang? Kenapa dia nak melarikan diri dari media? Sedangkan dia seorang yang sangat peramah dengan media? Kenapa dia tak mahu jumpa media? Sedangkan, sebelum ini pun kalau beliau tidak mahu jawab soalan wartawan, beliau hanya berdiam diri? Apa yang tidak kena dengan Anwar semalam? Mungkinkah dia tidak mahu menjawab soalan mengenai jumlah kerusi yang dimilikinya? Sebelum ini, dia boleh menjawab pun ketika dia gagal menjadi perdana menteri kelapan. Tidak ada masalah pun. Akhirnya, kami akur. Kami pulang dengan tangan kosong. Penat boleh, letih boleh. Ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Tidak gugur tak mengapa lagi, ini kami berdepan dengan pejabat yang kosong, tetapi kami berprasangka masih berpenghuni. Aku pun menuju ke motosikal dan meredah kesesakan jalan di Lebuh Raya Persekutuan pulang ke rumah. Anwar oh Anwar. Hari-hari cakap kerajaan PN kerajaan pintu belakang, rupanya kau pun lari dari kami ikut pintu belakang. – MalaysiaGazette

Tiru macam Annuar, tak sombong, tak berat tulang

By Manzaidi Mohd Amin - 11 August 2020
SIKAP cakna Tan Sri Annuar Musa dan kes Asri Janggut sepatutnya menjadi iktibar atau pengajaran kepada Datuk-Datuk Bandar, Ketua-Ketua Jajahan dan Ketua-Ketua Polis Daerah di seluruh negara. Kemanusiaan, keadilan adalah dua sifat yang dituntut oleh Allah dan amat disenangi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Annuar, selaku Menteri Wilayah Persekutuan, apabila sampai ke telinganya ada masalah di akar umbi, tanpa berlengah, tanpa berat tulang, terus turun melihat dan mendengar apa permasalahan dihadapi masyarakat. Setelah membuat pertimbangan, beliau dapati masyarakat itu, dari golongan marhean dan memerlukan pertolongan untuk meneruskan kehidupan, maka dengan kuasa yang ada, beliau membantunya. Walaupun tidak dapat memberi bantuan secara kekal, sekurang-kurangnya beliau meminta agensi bawah kementeriannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan lesen sementara kepada pihak berkenaan, iaitu peniaga kecil. Tidak rugi dan tidak salah, malah tidak berdosa pun untuk DBKL mengeluarkan lesen kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Dengan pemberian lesen sementara, sekurang-kurangnya membangkitkan semangat peniaga kecil itu untuk berusaha mendapatkan lesen kekal dan mematuhi peraturan serta peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika berniaga. Selama ini, ramai peniaga tidak patuhi undang-undang. Mereka gunakan petak parking sewenang-wenangnya untuk berniaga. Sekarang, setelah mendapat penjelasan dari menteri, mereka sedar perbuatan itu salah dan mereka cuba memperbaiki kesalahan itu. Itu sepatutnya berlaku. Kita sesama manusia, tahu hidup di dunia fana ini sementara, pandai-pandailah berkongsi rezeki yang Allah bahagikan. Ini baru dikatakan fair and square atau adil dan saksama. Peniaga boleh cari makan, penguatkuasa boleh buat kerja dengan senang. Tidak salah untuk Datuk-Datuk Bandaraya, Ketua-Ketua Jajahan dan Ketua-Ketua Polis Daerah mengikut contoh Annuar. Tidak jatuh imej pun jika mereka ringan tulang turun berjumpa masyarakat, terutama peniaga kecil. Malah, mereka akan dihormati dan disanjungi oleh masyarakat. Kita sama-sama nak hidup. Kita sama-sama nak kongsi bumi Allah, apa salahnya mempunyai sikap bertimbang rasa. Mati esok-esok pun, terbaring dalam liang lahad seorang diri juga. Kuasa yang kita miliki sebelum ini pun sudah jadi milik orang lain. Jika kita tidak berlaku adil dan hanya sekadar mendapat jawapan dari anak buah, tanpa turun padang untuk mendapatkan jawapan dari akar umbi, perkara seperti didedahkan oleh Asri Janggut lah yang akan berlaku. Asri Janggut adalah pengasas Hot Burger Malaysia. Dia telah membantu lebih 100 anak muda menganggur mencari sumber pendapatan halal dengan menjual burger. Tambahan pula musim Covid-19, puluhan ribu hilang pekerjaan, menanggung hutang sewa rumah, hutang kenderaan, hutang susu bayi, beras, minyak dan gula di kedai runcit. Apa salahnya mereka berniaga burger. Dahlah perniagaan ini tidak mempunyai premis kekal, tidak juga mempunyai tapak kekal. Hanya menumpangkan ‘stall’ di tepi jalan milik PBT. Yang penting, mereka tidak pun mencuri kawasan itu, mereka hanya meletak stall sementara saja untuk berniaga mencari sesuap nasi anak, isteri. Kalau penguasa jenis sombong, ego, perkara yang mudah jadi payah. Elok peniaga menjalankan perniagaan tanpa mengganggu lalu lintas, dilaporkan kepada pihak atasan, peniaga ini mengganggu lalu lintas. Ini banyak berlaku di kawasan yang penguasanya jenis suka memandang langit, tidak pernah walau sesaat memandang rumput. Penguasa jenis ini hanya melihat kapal terbang di udara, mereka tidak tahu pun nasib semut, lipas, cacing yang mendiami rumput. Namun, kehadiran insan bernama Asri Janggut telah membuka mata semua pihak. Dari Datuk Bandaraya, Ketua Jajahan, Ketua Polis Daerah, Pengarah Bahagian Jenayah, Ketua Polis Negara sehingga Menteri. Ianya berpunca dari satu sikap, iaitu ketidakadilan pihak penguatkuasa, yang sengaja mencetuskan rasa tidakpuas hati Asri Janggut. Sesiapa sahaja yang berada ditempat Asri Janggut akan sakit hati, tetapi tidak ramai akan bertindak sejauh Asri Janggut lakukan. Mereka hanya sekadar memendam rasa, tapi untuk bertindak jauh sekali, tidak berani, selain tidak ada saluran. Asri Janggut tidak akan bertindak agresif sekiranya penguatkuasa berlaku adil. Stall miliknya disita dan dirampas dengan alasan mengganggu lalu lintas, sedangkan kedai Acheh yang dibuka oleh warganegara asing sejak sekian tahun, tidak diusik. Premis yang menjalankan aktiviti judi tidak diambil tindakan. Malah, dibiarkan beroperasi sebebas-bebasnya. Siapa suruh usik harimau sedang tidur? Sekarang harimau sudah bangun. Semua pihak berkuasa dan penguatkuasaan dalam kebimbangan. Majikan masing-masing sudah bersuara dan bertindak, termasuklah Kabinet Menteri. Ada yang tidak dapat tidur sejak dua tiga malam ini kerana bimbang akan menerima notis tindakan atau pertukaran 24 jam. Jika berlaku, mereka tidak boleh salahkan Asri Janggut. Mereka telah diberi peringatan awal-awal lagi, tetapi mereka cuai dan alpa. Mereka diulik dengan wang perlindungan setiap bulan. Hidup mereka kini gelabah dan tentunya hati tidak tenang. Lebih lagi apabila SPRM sudah turun ke kawasan memasang jerat. Tidak sampai 12 jam pasang jerat, SPRM pun sudah mengesahkan ada penangkapan ke atas beberapa pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Apa yang penguatkuasa itu lakukan? Mereka meminta dan menerima wang suapan dari peniaga warga asing. – MalaysiaGazette

Ismail Sabri dan 100 hari PKP

By Manzaidi Mohd Amin - 16 June 2020
TARIKH 25 Jun 2020 bersamaan Khamis ini genap 100 hari rakyat Malaysia hidup dalam situasi normal baharu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berikutan tercetusnya penularan wabak koronavirus, yang mulanya melanda sebuah daerah di China. PKP dikuatkuasa pada 18 Mac 2020, iaitu hari ke-18 kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Persekutuan dari Pakatan Harapan (PH), yang hanya sempat memerintah selama 22 bulan dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020. Bawah kabinet baharu, Muhyiddin melantik empat Menteri Kanan untuk membantunya, iaitu Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Menteri Kanan (Menteri Pertahanan), Menteri Kanan (Menteri Kerja Raya), dan Menteri Kanan (Menteri Pendidikan). Dari empat Menteri Kanan itu, seorang daripadanya adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau diberi jawatan paling berat dan mencabar, Menteri Pertahanan (Kluster Keselamatan). Sebagai pemimpin senior dalam parti dan berpengalaman luas dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, dengan memegang beberapa jawatan menteri, beliau dapat menjalankan segala tugas dengan baik dan berkesan. Sungguhpun begitu, pengalaman berperang dengan pandemik Covid-19 cukup mencabar baginya, berbanding berdepan dengan ragam rakyat dan pengguna selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar. Begitu juga, tidak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya ketika menerajui dua kementerian itu, perlu membuat sidang media setiap hari membentangkan hal berkaitan harga barangan keperluan dan bantuan kepada rakyat di luar bandar. Kali ini beliau betul-betul berdepan dengan kehidupan normal baharu, iaitu PKP. Seawal jam 8 pagi, setiap hari, sudah memasuki pejabat di Putrajaya untuk bermesyuarat dengan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri lain. ADVERTISEMENT Isu utama dibincangkan mengenai wabak dan penularan virus Covid-19. Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk menyelamatkan nyawa rakyat dari diserang dan dijangkiti virus bahaya yang boleh menyebabkan kematian. Selaku Menteri Kanan Kluster Keselamatan, beliau bertanggungjawab penuh memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), anggota Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Maritim dan agensi penguatkuasa lain berada di barisan hadapan memerangi wabak itu. Sekatan jalan raya, kawalan sempadan negara, operasi pemantauan premis, kawalan pergerakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dijalankan secara tegas dan telus, tanpa sebarang kompromi mahupun pertimbangan. Mana-mana individu yang berada di jalan raya mahupun lebuh raya, jika gagal memberi alasan munasabah tujuan pergerakan mereka, akan diarah berpatah balik. Bayangkan, situasi ketika itu. Kemarahan rakyat memuncak kerana normal hidup biasa mereka telah dinafikan dalam sekelip mata. Ini semua dilakukan dengan arahan kerajaan, yang keluar dari mulut Ismail Sabri demi untuk keselamatan rakyat. Baginya, nyawa rakyat harus diselamatkan walaupun teramat pahit dan berat untuk dikuatkuasakan. Bab kecaman, makian, cacian, kata nista tidak usah dikatakan lagi. Setiap hari dihamburkan kepadanya dengan pelbagai tohmahan hanya kerana mengeluarkan arahan menyekat normal hidup biasa rakyat kepada normal hidup baharu. Beliau tahu dan sedar. Tetapi, apa boleh buat. Beliau juga terpaksa menjaga nyawa orang lain yang tidak berdosa, yang mematuhi arahan PKP agar penularan wabak Covid-19 tidak merebak menjangkiti mereka akibat kedegilan segelintir daripadanya. Tiada siapa tahu betapa besarnya pengorbanan beliau lakukan. Setiap pagi, menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri dan Menteri-Menteri yang terlibat seperti Menteri Kesihatan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Hal Ehwal Undang-Undang) dan Menteri Pendidikan serta Menteri Wilayah Persekutuan. Mereka berbincang, membentangkan cadangan, saranan, nasihat, pandangan dan SOP masing-masing dengan satu perintah, iaitu rakyat patuh PKP, supaya wabak Covid-19 dapat diperangi. Barisan hadapan pula siang malam bertugas di jalan raya, di lebuh raya, di hospital, di pusat kuarantin, di lapangan terbang, di sempadan negara memerangi Covid-19. Ada yang terkorban dalam menyelamatkan nyawa orang lain. Suami kehilangan isteri. Isteri kehilangan suami. Ayah kehilangan anak dan ibu akibat daripada bahaya wabak koronavirus. Namun, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menghadapi dengan tabah dan semangat yang kuat. Walaupun beliau tahu apa saja pengumuman harian yang dibuatnya tidak disukai rakyat. Tetapi, itulah yang terbaik untuk menyelamatkan negara ini dari menjadi seperti Amerika Syarikat, Itali dan China, yang menyaksikan ratusan ribu rakyatnya terkorban diserang virus Covid-19. Bukan mudah baginya untuk mengumumkan perkembangan yang berlaku semalam, hari ini dan esok. Beliau tahu, apa yang diumumkannya terutama untuk memberitahu tempoh PKP akan dilanjutkan lagi dua minggu atau sebulan bukan suatu berita yang baik. Sebab itu, beliau sering kali ‘diserang’, sama ada oleh netizen mahupun blogger yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya. Beliau juga tidak dapat lari dari difitnah dengan berita-berita palsu. Beliau tempuhnya dengan tabah. Beliau terpaksa menunjukkan wajah yang tenang, walaupun dalam fikirannya berserabut dan berselirat dengan maki hamun pelbagai pihak di luar sana. Semestinya ubat yang mujarab adalah pahit. Itu yang dipegangnya. Bukan senang untuk mengarahkan orang ramai tinggal di rumah. Tidak keluar dari rumah. Duduk berkurung pada mulanya 24 jam kemudian berminggu sehingga mencecah tiga bulan, tanpa dapat melakukan sebarang aktiviti sosial. Dia tetap lalui hari-hari itu dengan tenang dan sabar. Sebab itu, ada kalanya kita melihat beliau tampil dengan baju berwarna warni. Itu semua dilakukan untuk mengundang keceriaan dalam dirinya, dan ternyata trend pakaiannya dijadikan bahan lawak oleh sesetengah pihak yang kreatif. Ada yang menyamakan baju bercorak yang dipakainya dengan kuih muih. Reaksi beliau ialah “seronok”. “Saya seronok, ada orang menyamakan baju saya dengan kuih muih, kerana pada bulan puasa, saya faham semua orang fikir pasal kuih,” katanya dalam wawancara dengan sebuah akhbar. Itulah cara beliau menghiburkan hatinya dan rakyat, ketika di luar sana masih ada pihak tertentu menuding jadi menyalahkannya kerana tidak dapat menyambut puasa seperti biasa. Tiada bazar Ramadan, tiada gerai menjual juadah berbuka. Paling menyedihkan, Hari Raya Aidilfitri disambut dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pun orang ramai menyalahkan beliau. Kononnya, kerana pengumumannya, golongan perantau tidak dapat merentas negeri pulang menyambut hari raya bersama keluarga di kampung. Seperti kata orang tua-tua, sejauhmana perjalanan, akhirnya sampai ke destinasi juga. Begitulah halnya dengan pelaksanaan PKP. Akhirnya, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula dari 10 Jun hingga 31 Ogos ini. Dalam tempoh PKPP ini, walaupun SOPnya tetap perlu dipatuhi, banyak sekatan dan larangan telah dilonggarkan. Antaranya kilang-kilang, restoran dan kedai makan boleh beroperasi sepenuhnya. Sekolah bakal dibuka 24 Jun ini. Prasekolah, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Pusat Asuhan Kanak-Kanak (Taska) mula boleh beroperasi sejak semalam. Ini semua berita menggembirakan rakyat Malaysia, tetapi, Ismail Sabri tetap akan bersiaran di kaca televisyen untuk menyampaikan maklumat semasa mengenai wabak itu. Setiap hari, bermula jam 2 petang, ramai juga menunggu untuk mendengar perkembangan yang akan dikhabarkan oleh beliau. Kini, sudah ada wajah-wajah ceria di kalangan rakyat. Mula ada kesedaran berputik dalam hati mereka. Sudah ada yang insaf. Mereka mula menerima dan sayang beliau. Rasa rindu rakyat diubati dengan menontonnya di kaca televisyen setiap hari. Namun, mulai semalam, beliau akan ke udara tiga hari seminggu. Ada yang telah bersuara, menyifatkan apa yang dilakukan kerajaan selama PKP ini demi kebaikan mereka dan negara. Hasil ketegasan itu, Malaysia merekodkan kes kematian terendah iaitu 121 orang, dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,505 dan jumlah kes sembuh seramai 7,733 orang. Dalam senarai dunia pula, Malaysia berada di tangga ke-66 dari 187 negara yang terlibat dengan penularan pandemik Covid-19. Terima kasih kerajaan Malaysia. Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri; Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan semua barisan hadapan yang terlibat. – MalaysiaGazette

Politik dan virus boleh cetuskan darurat

By Manzaidi Mohd Amin - 23 March 2020
KALI pertama aku berdepan dengan perintah berkurung dalam rumah pada tahun 1977. Ketika itu, aku baru berusia 14 tahun, baru merangkak ke alam remaja. Kalau tanya aku pengalaman masa itu, aku tidak dapat jawab dengan tepat kerana banyak yang aku tidak tahu apa yang berlaku sepanjang perintah berkurung, atau lebih tepat Majlis Gerakan Negara (Mageran). Cuma, masih kuat dalam ingatan aku ketika itu, aku tak dapat pergi ke sekolah. Aku difahamkan semua sekolah ditutup. Ada anggota tentera dan polis berkawal berjaga sepanjang jalan dan kampung-kampung. Ayah aku juga diberi cuti, tidak boleh masuk pejabat sepanjang perintah berkurung. Dia kerja di Jabatan Parit dan Tali air (JPT), sekarang ditukar kepada nama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Perintah berkurung di Kelantan masa itu bukan kerana serangan wabak penyakit berjangkit seperti sekarang, Covid-19 atau koronavirus. Perintah berkurung di Kelantan berlaku kerana krisis politik. Masa itu Pas memerintah Kelantan. Menteri Besarnya pun dari Pas juga, Datuk Mohamad Nasir (Allahyarham). Ada pemimpin Pas sendiri tidak puas hati dengan menteri besarnya, maka dalam sidang DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977, 20 ADUN Pas mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Datuk Mohamad Nasir. ADUN UMNO seramai 13 orang ketika itu tidak menyatakan apa-apa keputusan. Menyokong tidak, tidak menyokong pun tidak. Mereka hanya keluar dewan. Keadaan di akar umbi menjadi tidak keruan. Majoriti ahli Pas akar umbi sukakan Datuk Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar. Yang tidak suka hanya ADUN Pas sahaja. Keputusan menjatuhkan Datuk Mohamad Nasir menyebabkan rakyat marah dan hilang sabar, maka berlakulah himpunan dan bantahan besar-besaran. Tidak cukup dengan himpunan, rakyat memberontak dan membuat rusuhan. Rakyat membakar tayar, menutup jalan masuk ke kampung-kampung dan mengancam keselamatan orang ramai. Justeru, pada 8 November 1977, Parlimen Persekutuan meluluskan Rang Undang-Undang Darurat Kelantan. Dengan itu Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat. Politik Pas lumpuh apabila pentadbiran Kelantan yang asalnya gabungan Pas-UMNO bukan lagi di bawah menteri besar dan kerajaan negeri. Kelantan diletakkan bawah jagaan Kerajaan Persekutuan, yang ketika itu Perdana Menterinya Tun Hussein Onn (Allahyarham). Sekali lagi aku katanya, aku tidak ingat apa yang berlaku. Aku langsung tidak mengerti apa itu politik dan apa itu parti politik. Aku tidak belajar, dan aku tidak mahu ambil tahu hal politik. Yang aku tahu, aku sekeluarga, dan jiran-jiran di kampung aku tidak boleh keluar dari rumah walaupun untuk membeli barangan keperluan. Kami diarah berada dalam rumah. Kawalan ketika itu cukup ketat. Aku pernah dengar khabar-khabar angin menyatakan, “siapa keluar dari rumah, nampak oleh askar, kena tembak”. Hanya itu yang aku dengar. Tapi, tidak pernah dengar ada penduduk mati kena tembak. Soal berapa lama perintah berkurung masa itu, aku pun tak ingat. Tika zaman meningkat remaja, aku lebih seronok bermain dengan kawan-kawan. Aku tidak peduli dengan parti politik, dengan pentadbiran kerajaan negeri. Parti mana memerintah pun aku tidak peduli. Pas ke, UMNO dari Barisan Nasional (BN) ke, aku tidak ambil tahu. Kemudian, selepas 43 tahun berlalu, ketika umur aku mencecah 56 tahun, aku sekali lagi berdepan dengan perintah kawalan pergerakan, yang membawa maksud lebih sama dengan perintah berkurung. Bezanya, perintah berkurung atau darurat, semua penghuni diwajib berada dalam rumah, dilarang sama sekali keluar dari rumah. Manakala Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai masih boleh keluar, tapi mereka akan disoal siasat. Hanya jika ada hal penting seperti mahu ke pasar sahaja dibenarkan. Itu pun dihadkan. Kerajaan bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Empat hari pertama hanya anggota polis yang dikerah berjaya, masuk hari kelima anggota tentera dikerah untuk membantu polis kerana masih ramai rakyat Malaysia berdegil. Mereka tidak boleh duduk diam dalam rumah. Mereka curi-curi berkumpul dan berhimpun di laman rumah dan di kedai makan. Tindakan itu menyebabkan anggota polis dan tentera marah, terpaksa tinggikan suara, terpaksa guna bahasa kesat. Barisan hadapan seperti kakitangan kesihatan bertungkus lumus memeriksa kesihatan orang ramai, sampaikan ada doktor dan kakitangannya turut dijangkiti virus Covid-19. Ini berpunca dari kedegilan rakyat kita. Pihak berkuasa suruh duduk dalam rumah, mereka bersiar-siar mencari penyakit, kemudian virus yang ada pada mereka berjangkit pula pada orang lain yang tidak berdosa. Aku sendiri geram dengan perangai dan sikap degil ini. Aku pernah bayangkan untuk ambil tindakan tegas dan keras ke atas mereka, kerana sengaja mengundang penyakit. Walaupun tempoh 14 hari itu dianggap lama oleh kebanyakan rakyat Malaysia yang berkurung tetapi tempoh itu sebenarnya suatu jangka masa agak pendek dan singkat oleh kerajaan yang bertungkus lumus berusaha mencari penawar. Setakat ini, belum ada penawar lagi untuk sembuhkan sepenuhnya mangsa yang dijangkiti virus Covid-19. Itu yang aku tahu dari pemerhatian semua jenis info oleh Kementerian Kesihatan. Kalau ada pesakit yang dah sembuh pun, itu kerana daya tahan mereka kuat, bukan kerana vaksin penawar. Jadi, berhati-hatilah wahai rakyat Malaysia. Jangan degil. Jangan tunjuk keras kepala. Kalau pihak berkuasa kata duduk dalam rumah, duduklah dalam rumah hingga tempoh kuarantin tamat. Tidak rugi pun berkurung dalam rumah. Inilah masa dan tika nak bersama-sama ahli keluarga. Sebelum ni sibuk dengan urusan kerja, sampaikan tak dapat tengok wajah anak. Aku, dengan pengalaman darurat tahun 1977 dulu cukup perit. Sebab itu, bila ada perintah berkurung sekarang ini, aku manfaatkan sepenuhnya mengurungkan diri dalam rumah. – MalaysiaGazette

Apa sebenarnya berlaku?

By Manzaidi Mohd Amin - 2 March 2020
SEBENARNYA tidak ada apa-apa yang berlaku. Pentadbiran kerajaan PH berjalan seperti biasa. Menteri dan timbalan menteri ke hulu ke hilir menghadiri program yang telah dijadualkan, yang sudah diatur sekian lama. Cuma, kalau ada masalah pun, desakan dari beberapa pihak yang diketahui umum, mereka adalah dari kumpulan yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka, dalam jumlah ahli yang kecil berulang kali mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. Itu sahaja. Mahathir pula, dengan persetujuan ketua-ketua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) minta peralihan kuasa yang dijadualkan Mei ini ditangguhkan selepas APEC yang berlangsung pada November ini. Ketua-ketua parti gabungan PH iaitu Anwar, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng bersetuju tanpa bantahan. Bagi mereka, tidak ada hal kalau itu yang Mahathir mahu. Itu sahaja situasinya. Sebab itu, saya kata tidak ada apa-apa yang berlaku. Namun, pada 24 Februari lalu bersamaan Isnin, ribut tidak, hujan tidak, tiba-tiba Mahathir umum peletakan jawatannya sebagai perdana menteri. Surat peletakan jawatan secara rasmi diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada hari itu, kira-kira jam 1 tengah hari. Semua terkejut dengan tindakan Mahathir. Rakyat dan pemimpin parti politik termasuk Anwar tertanya-tanya kenapa tiba-tiba Mahathir letak jawatan? Apa yang tak kena? Nak kata Mahathir terasa hati dengannya, tidak mungkin. Sebab selama ini, dalam waktu terdekat ini, Anwar sentiasa menjaga hati Mahathir. Ibarat kata, bagai menatang minyak yang penuh. Bimbang kalau tak buat macam itu, takut Mahathir serahkan jawatan perdana menteri kepada orang lain. Aniaya. Jam 5 petang itu juga, Mahathir ke Istana Negara mengadap YDPA. Tidak lama kemudian, Mahathir mengumumkan dia dilantik sebagai perdana menteri interim. Interim? Semua garu kepala. Apa itu Perdana Menteri interim? Tidak pernah berlaku dan tidak pernah wujud jawatan seumpama itu. Mengikut google translate, kalau diterjemahkan perkataan interim dalam Bahasa Malaysia, ia memberi makna ‘sementara’. Maknanya, Mahathir adalah perdana menteri sementara. Ini yang pelik. Letak jawatan perdana menteri kekal, terima jawatan perdana menteri interim atau sementara. Di sini bertukarnya situasi dari “tidak ada apa-apa”, kepada “ada apa-apa”. Timbul persoalan, apa yang Mahathir mahu? Apa yang ada dalam mindanya? Letak jawatan yang kekal, terima jawatan yang sementara. Pada masa sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan partinya keluar PH – sekali gus secara automatik juga kerajaan PH ‘jatuh’. Malaysia tidak ada kerajaan lagi. Mahathir sebagai perdana menteri interim jaga negara ini seorang diri. Pada 27 Februari, beliau berucap melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 seorang diri, tanpa ada menteri dan kerajaan. Tindakan Mahathir itu menyebabkan semua ketua-ketua parti politik gelabah. UMNO dan Pas yang ketika itu mengadakan retreat di Janda Baik, Pahang, bergegas pulang ke ibu kota untuk bermesyuarat. Parti Muafakat Nasional (MN) yang terdiri dari UMNO, Pas, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masing-masing mengadakan mesyuarat tergempar. Mereka, termasuk sekumpulan ahli parlimen Bersatu dan geng Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah membuat rumusan menyiapkan Surat Akuan Sumpah (SD) untuk dipersembahkan kepada YDPA. Akhirnya, mereka mendapat 114 kerusi atau sokongan, manakala baki daripada 222 kerusi itu milik PH dan Mahathir. Pada malam itu, semua mereka mengadakan perjumpaan di Hotel Sheriton, Kuala Lumpur. Mahathir yang dijadual hadir, tidak hadir. Ramai tertanya-tanya kenapa dia tidak hadir. Selepas selesai perjumpaan, keesokan hari, mereka mempersembahkan SD kepada Yang di-Pertuan Agong. SD itu asalnya menyatakan sokongan kepada perdana menteri interim. Namun, pada 25 Februari 2020, hari Selasa, Mahathir mengadap YDPA sekali lagi menyatakan dia tidak setuju bersama UMNO dan tidak mahu Perikatan Nasional membentuk kerajaan. Dia mahu bersama PH. Ahli Parlimen MN kemudian dipanggil mengadap YDPA untuk menyatakan sama ada menyokong Mahathir atau tidak. Mahathir pada masa itu mahu menubuhkan kerajaan perpaduan. Iaitu kerajaan tanpa parti. Semua ahli parlimen MN tidak sokong dan menarik balik SD yang dipersembahkan kepada YDPA sebelum ini. Mereka lebih rela parlimen dibubarkan asalkan tidak bersengkokol dengan DAP, Amanah dan PKR yang menyokong Anwar.. PH merasakan mereka mempunyai sokongan majoriti dan mahu membentuk kerajaan PH semula, tidak diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dengan alasan, jumlah diperoleh masih samar-samar kerana sebahagian MP PKR sudah keluar dari PKR. Pada 26 Februari 2020, hari Rabu, tiba giliran ahli parlimen PH pula dipanggil mengadap YDPA untuk mengundi atau menyatakan sokongan mereka kepada siapa. Di situ, PH mendakwa mereka mendapat lebih 130 sokongan, tetapi YDPA masih belum perkenan untuk membentuk kerajaan, kerana SD Muafakat Nasional sebelum ini juga mendapat jumlah lebih 130 kerusi atau sokongan. Masing-masing parti gabungan dari PH dan MN bermesyuarat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Namun, masih gagal mencapai kata sepakat. Bagi MN, asalkan bukan DAP, mereka akan sokong. Bagi PH pula, asalkan bukan UMNO dan Pas, mereka akan bentuk kerajaan. Sangat memeningkan! 27 Februari 2020 hari Khamis, Mahathir mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan tetapi beberapa jam kemudian menarik balik sokongannya dan mencalonkan dirinya manakala MN kekal dengan pencalonannya, Muhyiddin. Parti Warisan dan beberapa kerat MP PPBM berpaling tadah dari MN untuk menyatakan sokongan kepada Mahathir serta mahu bersama PH. Ketika itu, kedengaran pemimpin dari MN mahu YDPA membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 dan serahkan mandat memilih pemimpin dan kerajaan kepada rakyat. Mahathir juga mengumumkan akan memanggil sidang Dewan Rakyat pada 2 Mac ini untuk semua ahli parlimen memilih Perdana Menteri kelapan, jika sekiranya YDPA tidak membubarkan parlimen. Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof tidak bersetuju. Katanya, persidangan akan berlangsung seperti dijadualkan pada 9 Mac ini. Pada 28 Februari 2020, hari Jumaat, Muhyiddin dikatakan mendapat jumlah sokongan terbanyak iaitu 114 kerusi MP, menyebabkan Mahathir, Anwar dan ketua-ketua parti gabungan PH tidak berpuas hati. Kumpulan PH kemukakan bantahan kerana mendakwa Mahathir dan PH mendapat jumlah kerusi mengatasi jumlah kerusi yang diperolehi MN. Ketika ini YDPA kekal dengan keputusan baginda untuk mengumumkan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan. Pada 29 Februari 2020, hari Sabtu, MN dan PH masing-masing membuat kenyataan media kononnya, mereka mendapat sokongan majoriti. Pihak istana sudah tidak campur tangan lagi. Bagi Istana Negara, baginda sudah melaksanakan sistem demokrasi berparlimen dengan sebaiknya. Sama ada MN atau PH tidak bersetuju, itu lain cerita. Istana Negara menetapkan 1 Mac 2020, hari Ahad sebagai tarikh Muhyiddin mengangkat sumpah memegang jawatan Perdana Menteri. PH bermesyuarat dan sepakat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat 9 Mac ini. Pada 1 Mac 2020 hari Ahad, kira-kira 10 pagi, pemimpin MN diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengadakan solat hajat sempena upacara angkat sumpah Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Turut hadir dari pihak UMNO ialah Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Ahmad Maslan, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Noh Omar. Mahathir memberitahu, beliau memohon untuk mengadap YDPA, tetapi tidak mendapat perkenan Seri Paduka kerana tidak mahu mengganggu upacara mengangkat sumpah perdana menteri kelapan. Jam 11 pagi, Muhyiddin mengangkat sumpah dan secara rasminya sebagai Perdana Menteri dan hari ini, kira-kira jam 8 pagi, Muhyiddin masuk pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Apapun, drama ini belum berakhir, malah baharu bermula. – MalaysiaGazette