Jumaat, 18 November 2022
“UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia…”
By Manzaidi Mohd Amin - 5 December 2017
HARI ini bermulanya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 yang ke-71. Jumlah perhimpunan ini sama umur dengan kelahiran parti keramat orang Melayu ini pada tahun 1946.
Perhimpunan pertama parti ini tidak dinamakan PAU. Ia dinamakan Kongres Melayu Se-Malaya. Kongres atau perhimpunan pertama orang Melayu ini diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur selama lima hari dari 1 Mac hingga 4 Mac 1946.
Perwakilan yang hadir pada kongres itu tidaklah seramai hari ini. Mereka juga bukan mewakili sayap-sayap parti seperti Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda mahupun Pergerakan Puteri. Mereka adalah wakil dari 41 pertubuhan-pertubuhan Melayu yang ada pada masa itu.
Hari ini, UMNO sudah jauh berubah. Tidak ada lagi panggilan khusus kaum lelaki, kaum wanita. Begitu juga panggilan golongan bapa atau golongan ibu. Semua jantina telah diasingkan mengikut kategori masing-masing.
Bagi wanita berusia 30 tahun ke atas diletakkan dalam sayap Pergerakan Wanita. Lelaki berusia 20 tahun ke atas dan bawah 40 tahun diserapkan dalam Pergerakan Pemuda, manakala perempuan berumur dari 20 tahun hingga 30 tahun akan ditempatkan dalam Pergerakan Puteri.
Maka, jadilah UMNO sebuah parti yang kuat, teguh dan mantap dalam menakhodai parti untuk kepentingan masa depan orang Melayu, agama dan negara Malaysia yang berdaulat.
Selepas UMNO, muncul pula parti-parti kaum seperti The Malaysian Chinese Association (MCA) yang mewakili kaum Cina dan The Malaysian Indian Congress (MIC) untuk kaum India. Kedua parti ini bersama UMNO menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen.
Tidak lama selepas itu muncul pula The Malaysian Islamic Parti atau Parti Islam Se-Malaysia (Pas) yang ditubuhkan atas nama kononnya memperjuangkan Islam dan parti cauvinis Cina, The Democratic Action Party (DAP). Kedua-duanya menjadi pembangkang sehingga kini.
Apa yang menarik mengenai parti-parti politik ini ialah kaedah perjuangan dan matlamat penubuhannya jauh berbeza dan terpesong berbanding dahulu.
Kalau dahulu, pemimpin dipilih oleh rakyat berjuang habis-habisan dan bermati-matian untuk menjaga kebajikan masyarakat.
Ada yang bersembunyi dan terpaksa melarikan diri dari rakyat kerana takut dipilih sebagai pemimpin. Bagi mereka, tanggungjawab sebagai pemimpin atau wakil rakyat amatlah besar dan berat. Mereka takut akan pembalasan Allah jika tidak dapat memimpin dengan baik dan sempurna.
Pengorbanan besar pemimpin terdahulu juga sanggup bergolok-gadai harta sendiri untuk menuntut kemerdekaan. Bagi mereka, jika mahu rakyat hidup selesa, tidak dijajah, kemerdekaanlah perlu dituntut.
Malangnya, nak tuntut kemerdekaan dari British, pemimpin dahulu kena ada cukup duit untuk tambang kapal terbang hendak ke London.
Sebab itu, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman ketika hayatnya pernah menangis memberitahu kepada rakyatnya, “Saya ni nak pi London bersama-sama Raja-Raja Melayu, (tapi) UMNO tak dak duit. Saya pun tak dak duit. Saya jual istana ayahanda duk murka. Ayahanda suruh saya jadi raja, saya tak mau. Saya nak jadi Presiden UMNO, nak bagi Malaya merdeka”.
Diceritakan oleh pejuang terdahulu, ketika Almarhum sebut “UMNO tak dak duit…saya pun tak dak duit,” Almarhum menangis tersedu sedan. Sedih sebab nak berjuang untuk rakyat, tapi tidak ada wang.
Dengan semangat dan sokongan rakyat pada masa itu, Almarhum Tunku akhirnya dapat juga terbang ke London menuntut kemerdekaan. Dan apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil pemimpin serta pengorbanan datuk nenek moyang kita terdahulu.
Begitu juga rakyat. Mereka sanggup berkorban untuk pemimpin pada waktu itu kerana pemimpin mereka dalam keadaan daif. Ada yang sanggup gadai rantai emas, gelang tangan emas dan apa sahaja barang berharga untuk pemimpin mereka. Pengorbanan mereka amat bernilai.
Tetapi hari ini, walaupun pemimpin dan wakil rakyat sudah kaya raya sehingga mampu dimakan tujuh keturunan, rakyat masih tetap berkorban. Rakyat dipaksa berderma, bersedekah melalui pelbagai jenis cukai.
Nak kata miskin, pemimpin hidup mewah. Rumah besar, kenderaan besar, selera pun besar. Kehidupan mereka dengan rakyat dan masyarakat makin renggang dan jauh. Berbeza dengan pemimpin terdahulu sanggup tidur berlapikkan tikar atau daun kelapa bersama rakyat.
Mereka sama-sama menepuk tampar nyamuk dan menggaru gatal digigit semut. Tidur berkelambukan langit, bertilamkan tanah. Berpanas berhujan adalah perkara biasa dalam perjuangan mereka menjaga kebajikan rakyat.
Pemimpin hari ini, nyamuk dan semut pun tidak kenal. Tidur dalam bilik lima bintang. Makan minum dihidangkan. Semuanya mewah. Sebab itu mereka tidak pernah merasai perit jerih yang dirasai rakan mereka terdahulu.
Segala percakapan pemimpin hari ini mengenai pengorbanan, semangat juang adalah palsu. Mereka umpama burung kakak tua, suka mengajuk. Setiap patah perkataan yang diucap tidak pernah dihayati maknanya, kerana teksnya disediakan pegawai khas mereka.
Namun, tidak dinafikan juga pemimpin zaman ini juga ada banyak jasanya kepada rakyat dan orang Melayu. Bohonglah kalau dikatakan tidak ada jasa. Tanpa mereka, kita tidak merasai pembangunan yang ada, lebuh raya yang selesa dan sistem pengangkutan yang baik.
Cuma seperti yang saya katakan tadi, kaedah perjuangan pemimpin hari ini sangat jauh berbeza. Mereka jarang mendekati rakyat cara bersendirian, melainkan majlis atau program yang dianjurkan oleh jabatan mahupun agensi kerajaan.
Mereka kurang mendengar denyut nadi rakyat. Kalau mereka benar-benar dekati dan dengar, rakyat tidak berada dalam keadaan sekarang, tersepit, terhimpit dengan pelbagai permasalahan berkaitan sosio-ekonomi.
Menteri-menteri yang dilantik Perdana Menteri pula bukan dari jenis berjiwa rakyat. Mereka kebanyakannya adalah dalam kalangan ahli perniagaan. Sebab itu, dasar yang diperkenalkan mereka lebih menjurus kepada memaksa rakyat membeli, bukan kepada rakyat merasa atau menikmati.
Diharapkan selepas PAU ini yang akan berakhir 9 Disember ini dan selepas itu diadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)… dan jika ditakdirkan BN masih kekal berkuasa dan Datuk Seri Najib kekal Perdana Menteri, beliau hendaklah melakukan rombakan besar-besaran kabinet baharunya.
Ketika inilah perwakilan UMNO dari tiga sayap dan dewasa mengemukakan idea bernas untuk meletakkan kembali UMNO pada landasan sebenar atas nama perjuangan untuk orang Melayu.
Pada merekalah imej UMNO yang sekian tercalar dapat dipulihkan. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan