Ahad, 13 November 2022

Tambah koc pun tren tetap lewat, penumpang penuh sesak

By Manzaidi Mohd Amin - 21 April 2017
DATUK Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini kata ada peningkatan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Pada masa sama, Datuk Ir. Nawawi Ahmad pula kata, KTMB kehilangan kira-kira 15,000 penumpang sehari. Daripada 140,000 kepada 125,000 penumpang. Agak-agak yang mana satu betul dan mana satu nak diguna pakai? Yang kata penumpang makin bertambah itu adalah daripada mulut Menteri Pengangkutan sendiri dan yang kata penumpang semakin berkurangan pula adalah Pengerusi KTMB. Nawawi buat kenyataan itu pada 29 Disember 2016 manakala Tiong Lai keluarkan kenyataan itu pada 15 April lalu. Jarak kedua-dua kenyataan dalam tempoh hampir empat bulan. Secara logiknya, mustahil dalam tempoh itu jumlah penumpang tiba-tiba meningkat secara mendadak sehingga kerajaan terpaksa menambah koc baharu. Walhal, mutu perkhidmatan komuter masih ditahap paling teruk sehingga hari ini. Mungkin Tiong Lai tidak sedar apa yang dicakapkan itu atau pegawainya di kementerian gagal buat kajian mengenai prestasi komuter KTMB, sebelum membenarkan bos mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian? Atau pegawai Tiong Lai menerima bulat-bulat laporan itu daripada pihak pengurusan KTMB tanpa mahu membebankan otak mereka untuk menyemak fakta berkenaan? Soal tambah tren bukan perkara baharu. Ia berlaku sekitar awal tahun 2000 selepas lebih lima tahun KTMB memulakan perkhidmatan komuter tren tiga gerabak. Tren buatan India itu digunakan KTMB sebagai pengangkutan alternatif kepada orang ramai yang nak lari dari kesibukan trafik di lebuh raya. Pada masa itu, tunggu satu trip ke satu trip selama satu jam pun tak mengapa. Berpadat-padat dalam gerabak pun kira selesa sebpada tekanan dan menjimatkan kos. Apa tidaknya, tiket dari Shah Alam ke KL Sentral hanya RM2.50, bayar tempat letak kereta RM3 sehari, berhabisan dalam RM5.50, berbanding belanja RM30 sehari untuk minyak, tol dan bayaran tempat letak kereta di ibu kota yang cecah sehingga RM10. Ketika itulah komuter mendapat sambutan orang ramai sehingga ‘memaksa’ KTMB merancang untuk menambah koc baharu bagi memberi keselesaan kepada penumpang mereka, selain berangan mahu menjadi antara pengangkutan awam paling baik di Malaysia. Pada tahun 2012, KTMB menerima beberapa unit koc dari kerajaan Jepun. Koc yang diterima itu adalah yang sudah digunapakai oleh kerajaan negara itu. Tak apalah, yang terpakai pun yang terpakailah. Janji, KTMB dapat gerabak ‘baharu’ untuk meringankan operasi koc tiga gerabak yang sedia ada. Secara sifirnya, kalau berlaku pertambahan koc, sudah tentulah masa dari satu trip ke satu trip dapat dipendekkan, iaitu daripada satu jam bagi setiap trip kepada sekurang-kurangnya 45 minit satu trip. Kalau tambah tren lagi, maka pendeklah lagi masa penumpang menunggu tren. Begitulah seterusnya kalau ada pertambahan koc lagi dan lagi dan lagi, maka gembiralah penumpang kerana mereka dapat sampai ke pejabat atau destinasi mengikut waktu ditetapkan. Itulah kiraan matematik saya. Tapi malangnya, bila dapat tren baharu, KTMB hentikan operasi tren lama. Dapat yang baharu lagi, yang lama dibuang. Kalau begini kaedah digunapakai pihak pengurusan KTMB, sampai kiamat pun perkhidmatan komuter terkebelakang. Pendek kata, pi mai pi mai duk tang tu juga. Penumpang kekal dengan keluhan menunggu lama untuk menaiki satu tren ke satu tren ke destinasi. Bukan setakat kematu punggung kerana terlalu lama duduk bersila atas lantai platform, tren pula bergerak macam siput. Anehnya, walaupun aduan demi aduan mengenai masalah perkhidmatan tren ini diajukan, pihak KTMB boleh pekak telinga, butakan mata daripada mendengar dan mencari kaedah mengatasi permasalahan berkenaan. Saya sendiri pun, banyak kali mengadu kelembapan perkhidmatan ini. Bayangkan, dari stesen komuter Shah Alam hendak ke Stesen Putra di Kuala Lumpur ada kalanya mengambil masa dua jam. Menunggu ketibaan tren satu hal. Paling cepat tibanya 45 minit menunggu atau paling lewat tibanya lebih sejam menunggu. Masa perjalanan dari Shah Alam ke Stesen Subang Jaya yang sepatutnya 12 minit mengambil masa lebih 20 minit. Bila ditanya, KTMB jawab, ada kerja menyelenggara landasan antara Batu Tiga ke Subang Jaya. Hal ini berlarutan sejak dua tahun lalu dan sehingga hari ini pun masih ‘diselenggara’? Saya pun tak tahu apa nak jadi dengan pihak KTMB. Saya pernah mengeluh dan tertanya-tanya, “bilalah agaknya kerajaan hendak buat rombakan besar-besaran struktur pengurusan KTMB”. Kadang-kadang sakit kepala memikirkan hal perkhidmatan komuter ini. Untuk pastikan saya sampai ke destinasi, contohnya di Stesen Bank Negara pada jam 11 pagi, saya kena bertolak turun dari rumah jam 8.30 pagi. Dari situ, saya sudah membazir dua setengah jam iaitu 15 minit perjalanan dari rumah ke stesen Shah Alam. Menunggu tren tiba di stesen Shah Alam antara 45 minit hingga satu jam dan perjalanan ke stesen Bank Negara mengambil masa satu jam. Bukan setakat membazir dua setengah jam, saya kerugian masa setengah jam lagi untuk berada di stesen Bank Negara tepat pada masanya. Betapa seksanya menggunakan perkhidmatan komuter. Tapi apa boleh buat, saya tidak ada pilihan lain. Sepanjang menggunakan pengangkutan awam paling lembab ini, saya tidak pernah dapat tempat duduk. Penumpang sentiasa penuh sesak di mana-mana stesen kerana trip tren yang lewat. Bahkan, keadaan lebih teruk bagi penumpang dari Batu Caves ke Seremban atau Tampin. Sepanjang perjalanan itu, ada penumpang warga emas, ibu mengandung terpaksa bergayut pada tali dalam tren kerana tempat duduk sudah penuh dan ruang berdiri juga sesak. Inilah perkhidmatan awam yang ‘terbaik’ bagi penduduk Shah Alam dan Klang dan Serembang ke Batu Caves. Namun pihak KTMB masih gagal mengatasi perkara ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: