Rabu, 23 November 2022
Wawasan 2020 terkubur bersama kapsul masa?
By Manzaidi Mohd Amin - 31 December 2020
Kapsul masa yang popular di kalangan rakyat Malaysia terletak di Taman Putra Perdana, yang dijadualkan dibuka pada tahun 2020.
TENGAH malam ini, tepat jam 12 malam, masuklah kita semua ke tahun baru 2021, dan selamat tinggal tahun 2020 yang penuh kenangan, ujian, dugaan, peristiwa manis dan pahit.
Yang paling ditunggu-tunggu kita sejak 29 tahun lalu ketika itu ialah apa itu Wawasan 2020. Mungkin sesetengah dari kita, termasuk Bawah Kolong (BK) sendiri ternanti-nanti perubahan yang berlaku kepada negara dalam tahun 2020.
Namun, 2020 sudah berakhir sahaja. Perancangan yang disebutkan sebagai Wawasan 2020 tidak berlaku di depan mata kita, melainkan tahun ini adalah tahun negara serta dunia diserang wabak Coronavirus yang dipanggil Covid-19.
Sepanjang tahun 2020, rakyat diselubungi ketakutan dengan penyebaran wabak penyakit itu. Kes positif meningkat dari satu kes kepada 110,485 kes dan 463 kematian sehingga 30 Disember 2020.
Begitu juga dengan kapsul masa. Perdana Menteri (sekarang mantan) Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991 ada menanam satu kapsul masa yang dinamakan Kapsul Masa 2020 di Taman Putra Perdana, Putrajaya. Rakyat ketika itu dimaklumkan kapsul berkenaan akan dibuka pada tahun 2020.
Selepas 29 tahun, dan usia rakyat dah bertukar warga emas, Kapsul Masa 2020 yang ditanam di Taman Putra Perdana dan dibina sebuah monumen, tidak dibuka.
Mungkin kapsul masa itu tidak dibuka kerana Wawasan 2020 gagal. Atau disebabkan kekangan pandemik Covid. Atau tarikh ditetapkan tidak menjadi kenyataan kerana Tun Mahathir yang memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua hanya sempat 22 bulan sahaja.
Untuk makluman, sekurang-kurang lima kapsul masa ditanam oleh pemimpin terdahulu.
Tahun 1987, kapsul masa ditanam di Kompleks Beli Belah The Mall di ibu negara. Kapsul ini dijangka dibuka sebaik mencapai usia 100 tahun, iaitu tahun 2087.
Tahun 1994, kapsul masa ditanam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, yang jangkaan dibuka pada 2018.
Tahun 1991, satu lagi kapsul masa ditanam di Taman Putra Perdana yang akan dibuka tahun ini, 2020.
Kapsul keempat ditanam di Menara Kuala Lumpur pada tahun 1996 dan dijadualkan dibuka tahun 2018.
Terakhir sekali, dua kapsul ditanam oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin ketika mereka dalam kabinet kerajaan tahun 1987.
Bahkan, tahun 2020 juga menyaksikan kecelaruan pentadbiran kerajaan dan keseluruhan parti politik, selain darurat wabak coronavirus.
Apapun, mulai esok, 1 Januari 2021, rakyat tidak lagi kisah dengan Wawasan 2020 dan Kapsul Masa 2020. Rakyat ketika ini memikirkan kehidupan masa depan mereka. Ini yang perlu diperjuangkan selepas ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan akibat Covid-19.
Umum tahu, ekonomi boleh pulih dengan adanya sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. Selagi kerajaan kekal dengan majoriti tipis, suasana politik tidak akan stabil. Ini akan menakutkan pelabur.
Dalam banyak-banyak tahun, tahun 2020 akan kekal dalam ingatan. Umat Islam yang merantau tidak dapat balik kampung menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama keluarga, dan keluarga di kampung juga tidak dapat mengadakan rumah terbuka.
Rentas daerah dan negeri disekat. Lebuh raya dan semua rangkaian jalan raya lengang. Sunyi sepi dari deruan kenderaan. Bahkan, ribuan individu ditahan dan dikenakan denda kerana ingkar arahan atau SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sekolah berehat panjang, murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, penuntut IPT tidak lagi belajar di kelas. Guru, penjawat awam diarah bekerja dari rumah, iaitu suatu langkah yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Paling seksa, orang ramai diarah ‘mengurungkan’ diri dari berpelesaran tak tentu arah di luar bagi mengurangkan ‘pembiakan’ atau penularan wabak berjangkit itu berpindah randah dari manusia ke manusia.
Namun, selepas setahun wabak itu melanda, dan bertambah meningkat kes positif sejak akhir tahun ini, rakyat mula menerima kehidupan normal baharu. Memakai pelitup muka sepanjang masa dan scan MySejahtera sebagai rekod pergerakan dari tempat ke tempat dituju.
Kedai-kedai makan, premis perniagaan juga singkatkan tempoh operasi masing-masing. Tidak ada lagi restoran atau premis 24 jam.
Selain Wawasan 2020 dan Covid-19, situasi politik negara juga bercelaru. Ini bahana dari sikap penting diri pemimpin tertentu. Lompat sana, lompat sini sehingga menyaksikan sesebuah pentadbiran kerajaan bertukar tangan dan hampir bertukar lagi.
BK beranggapan, selagi pemimpin “lompat katak” ini ada dalam parti politik dan tidak dijatuhkan oleh rakyat, selagi itu keadaan politik tidak akan stabil. Malah, lebih keruan lagi pada tahun baharu, 2021.
Sebaiknya, jika berlaku PRU15 nanti, rakyat perlu lebih bijak memilih calon. Mana-mana penyandang jenis “lompat katak” bertanding, seeloknya disingkirkan terus. Jika dibiarkan, mereka mungkin akan lompat lagi. Kerajaan bertukar lagi. Ekonomi merudum lagi. Yang terjejas adalah kita, rakyat. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan