Sabtu, 27 September 2008

Sekilas Pandang 27 Sept 08

Kenapa perlu berasa hina dan jijik

KETIKA dalam usia tujuh tahun (37 tahun lalu), kehidupan keluarga saya amat daif sekali. Siang, ayah bekerja sebagai buruh di Jabatan Parit dan Tali Air (sekarang Jabatan Pengairan dan Saliran), malam pula sebagai jaga (pengawal keselamatan) di Rumah Pam Kemubu.

Emak pula setiap pagi selepas solat Subuh bertandang ke rumah tauke Cina untuk mengambil pakaian kotor dan mencucinya. Cukup bulan emak dapat sedikit upah. Jika digabungkan, purata pendapatan emak dan ayah boleh dikatakan cukup makan sahaja. Cukup untuk menyara hidup saya empat beradik dan kami sekeluarga.

Sungguhpun begitu, emak dan ayah harus bijak mengurus perbelanjaan. Mereka tidak boleh boros. Belanja hari-hari perlu berjimat cermat. Makan minum seisi keluarga perlu ala kadar. Duit sekolah setiap kami tidak boleh banyak atau 'mewah'. Cukup 10 sen tiap seorang.

Hidup kami sekeluarga pada masa itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Walaupun ayah sudah bertungkus lumus mencari pekerjaan sampingan untuk menambah pendapatan. Malangnya ketika itu tidak ada banyak peluang pekerjaan seperti sekarang.

Namun, saya bersyukur dengan apa yang dinikmati. Dapat makan nasi berlaukkan ikan selayang goreng yang direbus terlebih dahulu dengan berkuah kicap cap gajah pun sudah satu rahmat. Saya adik beradik tidak pernah merungut.

Itulah makanan kami setiap hari sehingga kami membesar dan mempunyai haluan hidup masing-masing. Ketika itu, kami tidak pernah bermimpi pun untuk makan nasi berlaukkan ayam goreng, daging kerutuk, kari ikan tenggiri atau sup ikan merah. Kami lupakan itu semua. Pada kami, menu sedemikian mewah itu tidak pernah wujud dalam hidup kami.

Begitu sekali daifnya hidup keluarga saya. Tetapi sebagai keluarga Islam, kami dilatih bersabar dan bersyukur oleh kedua ibu bapa saya dengan nikmat yang dikecap. Kami tidak pernah merungut, walaupun ada sekali dua hati memberontak hendak merasai lauk ayam goreng dan makan nasi ada kuah.

Mengimbau kisah lampau - Setiap hari, ketika balik dari sekolah, dalam keadaan perut kosong dan lapar, saya nampak emak tekun menyediakan makanan tengah hari. Emak bersungguh-sungguh menanak nasi dan memasak lauk menggunakan kayu api kerana anak-anaknya tidak makan sejak dari pagi lagi ketika ke sekolah.

Buka sahaja saji, terhidang nasi putih berbau asap api, tetapi tidak ada kuah. Yang ada hanya lauk ikan goreng dan sebotol kicap. Dalam mangkuk kecil ada sedikit sos tomato dan dua biji telur goreng separuh masak (telur mata kerbau).

Memang kalau ikutkan hati, hilang selera makan ketika itu, tetapi emak pandai mainkan peranan. Emak gaulkan kepala dan isi ikan dengan nasi dan campur sedikit kicap sebagai kuah, lalu emak suapkan ke mulut saya. Em... tiba-tiba sahaja ada selera makan. sedap nasi tu.

Saya, kakak, abang dan adik makan dengan berselera sekali. Ikan yang direbus masin terlebih dahulu sebelum digoreng telah membangkitkan selera saya empat beradik, walaupun saya terpaksa menolak nasi dalam mulut itu dengan air kosong supaya jatuh ke perut.

Selesai makan, saya melihat emak mengambil cebisan kepala, ekor dan tulang ikan yang ada itu lalu digaulnya dengan sedikit nasi. Ingatkan emak hendak makan, tetapi emak berikan kepada seekor kucing peliharaan kami. Pelahap sekali kucing yang diberi nama Comel itu makan.

Saya adik beradik melihatnya dengan penuh kesyukuran. Kami tidak pernah merungut atau marahkan emak kerana memberi makanan kepada si Comel sama seperti makanan yang kami makan. Pada saya, semua jenis makanan (asalkan yang tidak beracun) adalah rezeki. Kenapa saya perlu berasa terhina hanya kerana ia menyamai makanan untuk kucing.

Sekarang pun, walaupun sudah bekerja, saya tetap merindui, malah masih menikmati menu 37 tahun lalu iaitu nasi kosong berlaukkan ikan rebus goreng dan kicap. Malah, ketika makan di restoran, jika ada kucing berkeliaran di bawah meja, saya tetap berkongsi makanan dengannya.

Kenapa saya perlu berasa jijik? Sedangkan makanan itulah yang membesarkan saya dari usia kecil sehingga masih dapat melihat dunia hari ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Isnin, 22 September 2008

Cakap mudah, hakikatnya sukar - Ku Li

Cakap memanglah mudah... tetapi hakikatnya Tengku Razaleigh Hamzah sendiri meragui bagaimana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mencapai impiannya hendak menjadi Perdana Menteri dengan ikatan rapuh DAP dan Pas yang mempunyai perbezaan ketara dalam dasar dan ideologinya.

Atas hakikat itu, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, yakin negara akan menghadapi keadaan yang buruk jika Anwar menerajui kerajaan.

"Bagaimana hendak tadbir Malaysia dengan wujudnya dua ideologi dan dasar yang berbeza.

"Saya rasa agak sukar bagi Anwar kerana DAP adalah rakan baik ketika pilihan raya, tetapi apabila dasar dan ideologi mereka diambil kira, saya rasa Anwar tidak akan berjaya," katanya.

Katanya, Anwar yang dilantik ketua pembangkang di Parlimen perlu membuktikan dakwaannya bahawa beliau mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan majoriti.

"Bila dia (Anwar) mendakwa mempunyai jumlah itu (Ahli Parlimen yang menyertai Pakatan Rakyat), dia perlu membuktikannya, tetapi dia gagal berbuat demikian, dia ini pandai buat tawaran yang dianggap popular kepada mereka yang mempercayainya," katanya pada sesi dialog dengan pengendali blog sebelum majlis berbuka puasa di rumahnya di Kuala Lumpur.

Tengku Razaleigh berkata, Anwar berharap untuk menarik sokongan orang ramai terhadap agendanya untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Sebab itu ada penyokong dalam kalangan parti Gerakan, MCA, MIC tertarik dengan tawaran dia. Ini memang menjejaskan BN. Pada pilihan raya lalu (8 Mac) BN kalah di banyak tempat. Selain dari itu, ada juga isu-isu yang lain," katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada wartawan, Tengku Razaleigh berkata, tiada jalan mudah bagi Ketua Pembangkang itu untuk mengambilalih kerajaan walaupun beliau menghadap yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk membuktikan beliau cukup majoriti dalam parlimen melalui ahli parlimen BN yang didakwanya lompat parti.

Katanya, Anwar boleh bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri dan menghadap Yang di-Pertuan Agong, tetapi jika beliau betul-betul ada jumlah ahli parlimen yang cukup menyokongnya, ianya mesti diuji di Parlimen.

Sidang parlimen sesi terdekat akan bermula 13 Oktober ini.

"Ikut Perlembagaan, jika Anwar betul-betul ada jumlah itu, dia bawalah (ahli parlimen) untuk usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen. Jika Perdana Menteri tak dapat sokongan dan Anwar ada cukup sokongan, Abdullah kena berhenti," katanya.

Menurutnya, Anwar tidak boleh buat cerita macam di kedai kopi kononnya sudah cukup ahli parlimen untuk dia menjadi Perdana Menteri tanpa membuktikannya.

"Untuk membuktikan ini, Anwar kena pergi ke Parlimen, bukan guna kuasa Yang di-Pertuan Agong. Perlembagaan sudah tentukan, kekuatan satu kumpulan ditentukan di Parlimen," katanya.

Katanya, apabila Perdana Menteri jatuh dalam Parlimen, beliau (Abdullah) mesti letak jawatan dengan menghadap Agong dan secara automatik jika ini berlaku, setiap menteri Kabinet gugur.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata mengikut perlembagaan, hanya Yang di-Pertuan Agong berkuasa menentukan dan memilih siapa Perdana Menteri.

"Ini tidak semestinya Anwar. Baginda boleh memanggil (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), Anwar atau mana-mana ahli Dewan Rakyat," katanya.

Malah, secara berseloroh, Tengku Razaleigh berkata, yang di-Pertuan Agong juga boleh melantiknya kerana beliau Ahli Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun katanya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai pilihan lain dengan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum semula.

Jumaat, 19 September 2008

Dianiayai Ketua Pemuda UMNO

Kenyataan saya (kenyataan akhbar) 10hb September 2008/Rabu

Saya, pengamal media, MOHD MANZAIDI BIN MOHD AMIN. Berikut adalah kenyataan akhbar saya :-

1. November 1997, saya membeli satu unit rumah kos sederhana beralamat Lot No. PT4061, Perumahan Lubok Jong, Pasir Mas. Rumah baru siap itu berharga RM32,000. Rumah itu dilengkapi bekalan elektrik dan air.

2. Selepas saya membayar sewa bulanan selama satu setengah tahun dengan kadar bulanan RM301.13 sebulan, saya tidak lagi mampu meneruskan bayaran itu kerana kesan daripada kegawatan ekonomi negara. Berikutan itu saya menjualnya.

3. Pertengahan tahun 1999, saya menawarkan untuk menjual rumah itu kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Ahmad Rosdi Mahmad dan beliau bersetuju membelinya. Saya minta beliau membayar RM5,000 dan seterusnya meneruskan sambung bayar rumah itu untuk tempoh dipersetujui saya dengan bank iaitu selama 15 tahun daripada tarikh/tahun 1997.

4. Saya mahu menukar nama milik, tetapi Ahmad Rosdi tidak mahu, sebaliknya minta saya mempercayainya iaitu dalam konteks dia berjanji (secara lisan) akan terus sambung bayar sehingga tamat tempoh pinjaman. Lagipun katanya, setelah jual beli dilakukan, rumah itu adalah milik dia (walaupun masih kekal nama saya).

5. Kerana mempercayainya, saya setuju proses tukar nama ditangguhkan kepada tarikh/tahun yang dipersetujuinya. Urusan jual/beli itu dibuat di pejabat Ahmad Rosdi di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu.

6. Akhir tahun 2005, setelah ekonomi pulih dan sumber pendapatan saya agak stabil, saya bercadang untuk membeli kereta. Saya mengemukakan permohonan pinjaman itu melalui Bank Bumiputera Commerce, Kota Bharu tetapi ditolak. Tidak lama kemudian saya kemukakan permohonan pinjaman di Muamalat Bank, Kota Bharu. Juga ditolak dengan alasan nama saya sudah disenaraihitamkan oleh Bank Negara Malaysia kerana kegagalan saya membayar ansuran rumah sehingga tertunggak dalam jumlah yang banyak.

7. Saya terkejut dan terus menghubungi Ahmad Rosdi untuk memaklumkan perkara itu. Beliau kemudian memaklumkan kepada saya, beliau akan memberitahu hal itu kepada adiknya. Tanpa mengesyaki apa-apa, saya menunggu sehingga sebulan untuk membuat permohonan pinjaman semula (beli kereta) dengan bank. Malangnya, nama saya masih disenaraihitamkan dan menurut pihak bank, akan mengambil masa untuk membersihkan nama saya.

8. Ogos tahun 2008, saya menerima surat saman daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas (*rujuk surat 1) meminta saya hadir ke Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk siasatan gadaian pada 10 September 2008. Dan surat saman daripada peguam RHB Islamic Bank Berhad (* rujuk surat 2), minta saya hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 15 September 2008.

9. Sebelum itu, saya memaklumkan kepada Ahmad Rosdi supaya hadir ke pejabat RHB Bank Bhd untuk membolehkan kami (saya dan Ahmad Rosdi) berbincang dengan Pengurus RHB Bank Bhd mengenai masalah tunggakan yang gagal dijelaskan oleh Rosdi. Tetapi beliau memberitahu, rumah itu diserahkan kepada adiknya yang bernama Jafri. Saya sedih dengan perbuatannya melepas tangan dalam hal ini menyebabkan saya menanggung masalah dan beban.

10. Pada 26 Ogos 2008, jam 3 petang, saya hadir ke pejabat RHB Bank Berhad Kota Bharu. Bagi pihak Ahmad Rosdi dihadiri adiknya, Jafri. Dalam perjumpaan itu, saya memaklumkan masalah itu kepada Pengurus RHB Bank Bhd, Encik Amrullah dan diakui oleh Jafri bahawa rumah itu diserahkan oleh abangnya kepada beliau.

11. Ketika itu juga Pengurus RHB Bank Bhd memaklumkan bahawa masalah itu berpunca daripada kegagalan Jafri/Ahmad Rosdi menjelaskan ansuran bulanan menyebabkan berlaku tunggakan sehingga RM12,849.18. Dalam perjumpaan itu, Pengurus RHB Bank Bhd telah meminta saya membuat surat menyerahkan urusan pembayaran ansuran bulanan rumah itu kepada Jafri (* rujuk surat 3).

12. Saya juga memaklumkan kepada Jafri supaya menyelesaikan jumlah tunggakan RM12,849.18 sebelum 5 September 2008 bagi mengelak saya hadir ke Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas serta Mahkamah Sesyen Kota Bharu. Beliau bersetuju. Persetujuan beliau itu disaksikan oleh Pengurus RHB Bank Bhd.

13. Namun sehingga tarikh ditetapkan (5 September 2008), Jafri masih tidak menjelaskan tunggakan itu, menyebabkan saya terpaksa berdepan dengan saman/siasatan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas serta saman daripada RHB Islamic Bank Berhad.

14. Pada 10hb September 2008, saya hadir di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Disoal siasat oleh MOHD KAMARULZAMAN BIN AB. WAHAB, PENOLONG PENTADBIR TANAH. Dalam keputusan soal siasat itu, saya menyatakan rumah berkenaan telah dijual kepada Ahmad Rosdi dan keengganan Ahmad Rosdi memberi kerjasama menyebabkan saya membuat keputusan untuk menyerahkan rumah itu untuk tujuan dilelong.
MOHD KAMARUZAMAN kemudian memaklumkan rumah itu akan dilelong pada 11 Januari 2009 pada harga semasa RM20,000.

15. Pada 15hb September 2008, saya hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu menghadapi saman. Dalam perbicaraan itu, saya mengaku telah berhutang dengan RHB Islamic Bank Berhad dan berjanji akan menjelaskan hutang itu.

16. Jumlah keseluruhan hutang yang terpaksa saya tanggung ialah RM38,754.96 tidak termasuk kos mahkamah. Sekarang saya terpaksa menghadirikan diri ke pejabat RHB Islamic Bank Berhad di Kuala Lumpur untuk tujuan pembayaran.

17. Moral of story ialah SAYA SEDIH TELAH DIANIAYA DAN DITIPU OLEH KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN PASIR MAS, HAJI AHMAD ROSDI BIN HAJI MAHMAD YANG KINI GIAT BERKEMPEN/MELOBI UNTUK BERTANDING JAWATAN TIMBALAN KETUA UMNO BAHAGIAN PASIR MAS.

18. Sekian, laporan saya.

Dianiayai Ketua Pemuda UMNO

* Surat 3

Rujukan Tuan

Rujukan Kami
Tarikh: 26 Ogos 2008


Tuan Pengurus
RHB Bank Berhad
Cawangan Kota Bharu


Tuan,

PER : NOMBOR AKAUAN 75301600000652


Adalah saya MOHD MANZAIDI BIN MOHD AMIN, KPT 631004-03-5595 dengan ini memberi kuasa kepada JAFRI BIN MAHMAD, KPT 730917-03-5307 untuk berurusan dengan pihak tuan bagi tujuan penyelesaian ke atas masalah di atas.

Diharap mendapat kerjasama daripada pihak tuan


Yang benar
(MOHD MANZAIDI BIN MOHD AMIN)


Disaksikan oleh:
(Pengurus RHB Bank Bhd)

Cawangan Kota Bharu.

Dianiayai Ketua Pemuda UMNO

* Surat 2

K.P.ONG, TEO & LIM
PEGUAMBELA & PEGUAMCARA
ADVOCATES & SOLICITORS

Ruj. Kami: 70/07/RHBI/cmn
[M : 15-9-2008]
Tarikh : 29-7-2008


Mohd Manzaidi bin Mohd Amin
D/a Berita Harian Sdn. Bhd.,
Lot 184, Jalan Kuala Krai,
15100 KOTA BHARU

DAN/ATAU

Mohd Manzaidi bin Mohd Amin,
Lot PT24, Batu 1 1/4, Kg. Dangar,
17000 PASIR MAS, KELANTAN


Tuan/Puan,

MS KOTA BHARU SAMAN NO : 52A - 1793 TAHUN 2007
RHB ISLAMIC BANK BERHAD


Kami merujuk kepada SAMAN bertarikh 26-11-2007 yang telah diserahkan ke atas tuan/puan.

AMBIL PERHATIAN bahawa Saman tersebut akan dipanggil semula untuk sebutan pada 15-9-2008 (ISNIN) JAM 9.00 PAGI dan tuan/puan adalah dikehendaki menghadiri MAHKAMAH SESYEN KOTA BHARU, JALAN HOSPITAL, KOTA BHARU, KELANTAN tepat pada hari dan waktu yang telah ditetapkan di atas.

DAN AMBIL PERHATIAN jika tuan/puan gagal menghadiri Mahkamah pada hari yang ditetapkan maka Mahkamah boleh menjatuhkan Penghakiman ke atas tuan/puan.


Yang benar, s.k. :-

Recovery Dept., Operations Div.,
M/s RHB ISLAMIC Bank Berhad,
Kuala Lumpur. [Ruj : 75301600000652/018]
( S. P. TEO ) [Attn : Pn.Rosnah/Cik Aerina]

Dianiayai Ketua Pemuda UMNO

* Surat 1

SAMAN
(SEKSYEN 261 (1)(C) KANUN TANAH NEGARA 1965)

Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas,
17000 Pasir Mas, Kelantan.

Ruj. Kami: PTPM 369/124/2008 (3)

DIANTARA

RHB Islamic Bank Berhad ........... Pemegang Gadaian

DAN

Mohd. Manzaidi B. Mohd Amin ...................... Penggadai
KPT: 631004-03-5595


KEPADA
Mohd. Manzaidi B. Mohd Amin
KPT: 631004-03-5595
Lot PT24, Batu 1 1/4,
Kg. Dangar,
17000 Pasir Mas, Kelantan

AMBIL PERHATIAN bahawasanya gadaian ke atas tanah/tanah * yang tersebut di dalam Jadual yang dilampirkan bersama-sama ini telah membuat permohonan di bawah Seksyen 260 (2) Kanun Tanah Negara supaya Perintah Juala dikeluarkan ke atas Tanah tersebut.

SILA AMBIL PERHATIAN bahawa siasatan berhubung dengan permohonan pemegang gadaian akan diadakan pada 10 September 2008 pukul 09.30 pagi, di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, Kelantan. Tuan/Puan adalah dikehendaki HADIR.

DAN SILA AMBIL PERHATIAN bahawa kegagalan tuan/puan menghadiri siasatan tersebut akan menyebabkan PERINTAH JUALAN DIKELUARKAN keatas tanah/tanah-tanah* tersebut dibawah Seksyen 263 (2) Kanun Tanah Negara 1965.

Bertarikh pada 30 Jun, 2008.


(MOHD KAMARULZAMAN BIN AB. WAHAB)PENOLONG PENTADBIR TANAH
b.p PENTADBIR TANAH JAJAHAN
PASIR MAS



NOTIS PEMBERITAHUAN
(SEKSYEN 261(1)(B) KANUN TANAH NEGARA 1965)


KEPADA (1) Tetuan
K.P.Ong, Teo & Lim
1st. Floor, Wisma Kam Choon,
No.101 Jalan Kampung Tiong,
20100 Kuala Terengganu.
(Ruj: 70F/07/RHB (1)/ana)

(2) Tuan Pengurus
RHB Islamic Bank Berhad
Level 11, Menara Yayasan Tun Abdul Razak,
200, Jalan Bukit Bintang,
55100 Kuala Lumpur.
(Ruj: 75301600000562/018)

AMBIL PERHATIAN BAHAWASANYA tuan/puan sebagai pemegangan gadaian ke atas tanah yang tersebut didalam jadual yang dilampirkan bersama-sama ini telah membuat permohonan kepada saya, dibawah Seksyen 260(2) Kanun Tanah Negara 1965, untuk mendapat satu Perintah Jualan.

SILA AMBIL PERHATIAN bahawa siasatan berhubung dengan permohonan tuan/puan tersebut akan diadakan pada 10 September, 2008 pukul 09.30 pagi di PEJABAT TANAH DAN JAJAHAN PASIR MAS. Tuan dikehendaki HADIR.

DAN SILA AMBIL PERHATIAN bahawa kegagalan tuan/puan menghadiri siasatan tersebut akan mengakibatkan permohonan tuan/puan DIBATALKAN DENGAN KOS.

Bertarikh pada: 30 Jun, 2008


(MOHD KAMARULZAMAN BIN AB. WAHAB)PENOLONG PENTADBIR TANAH
b.p PENTADBIR TANAH JAJAHAN
PASIR MAS

Khamis, 18 September 2008

"Ketika Kebenaran Didustakan dan Kedustaan dibenarkan

Oleh: Abu Khaulah Zainal Abidin

Di antara sebab murkanya Allah kepada bangsa Yahudi adalah kerana mereka
mendustakan nabi-nabi yang diutus. Padahal tidaklah Allah memilih utusan-utusanNya, kecuali dari orang-orang terbaik di kalangan dan pada zamannya.

Tentu saja, kerana Allah SWT mengutus mereka dalam rangka mengajak manusia beribadah hanya kepada ALLAH dan meninggalkan kesyirikan. Mereka dipilih untuk diterima, dicintai, diutamakan dan diteladani. Mereka diutus untuk didengar, dipercaya, dibenarkan, kemudian ditaati dan diikuti.

Adapun Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul akhir zaman dan penutup para nabi tentu saja memiliki keistimewaan tersendiri. Beliau diutus untuk segenap manusia yang Allah SWT tidak mengutus lagi seseorang setelah dia, baik nabi, apalagi rasul.

Yang tak ada alasan bagi orang Yahudi maupun Nashara untuk bertahan di dalam agama mereka, yang tidak ada balasan bagi mereka yang menolak ajakan Nabi Muhammad SAW kecuali dimasukkan ke dalam neraka.

"Demi Yang jiwa Muhammad di tangannya! Tidak seorang pun yang mendengar tentangku - apakah itu Yahudi atau Nasrani - kemudian dia mati dalam keadaan belum beriman kepada apa yang aku diutus dengannya, kecuali dia menjadi penduduk neraka. (HR:Muslim)

Dan semua kebaikan dari seluruh utusan ALLAH itu terkumpul pada satu peribadi
yang diutus sebagai penyempurna akhlak manusia - sejak Allah SWT menyatakan telah disempurnakannya agama ini, dilengkapkannya nikmat-Nya dan diredhaiNya Islam sebagai agama. Muhammad SAW adalah peribadi terbaik dari keturunan yang terbaik sebagaimana
yang ia sampaikan:

"Sesungguhnya dari keturunan Ismail Allah telah memilih Kinaanah dan dari
Kinaanah Ia memilih Quraisy dan dari Quraisy Ia memilih Bani Hasyim dan
dari Bani Hasyim Ia memilih aku. (HR: Muslim dari Wailah bin Al Asqa).

Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan di dalam tafsirnya mengenai hubungan antara kesempurnaan agama ini dengan diutusnya Muhammad SAW sebagai berikut:

Inilah nikmat Allah yang terbesar atas umat ini iaitu ketika Ia menyempurnakan agama mereka. Sehingga mereka tak lagi membutuhkan agama-agama lain juga tak lagi membutuhkan nabi selain dari nabi-nabi mereka sendiri.

Dan kerana Allah jadikan dia sebagai penutup para nabi yang diutus bagi segenap jin dan manusia. Maka tak ada yang halal selain yang telah dia halalkan dan tak ada yang haram selain yang dia haramkan.

Dan tak ada agama selain apa yang telah dia tetapkan. Beliau adalah sesempurna-sempurnanya akhlak manusia yang diutus antara lain untuk memperbaiki serta menyempurnakan akhlak manusia, sebagaimana yang Allah SWT tegaskan;
(Artinya: "Sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang agung) (Al-Qalam:4)

Kemudian Muhammad SAW berkata: "Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia."

Nabi Muhammad SAW diutus untuk mengajari manusia mengenai kejujuran kerananya mustahil kalau dirinya sendiri pendusta. Nabi SAW diutus untuk mengajari manusia mengenai amanah keranannya mustahil kalau dirinya sendiri khianat.

Baginda SAW diutus untuk mengajari manusia tentang Al Haq, kerananya mustahil
kalau dirinya sendiri menempuh cara-cara yang batil.

Untuk misi yang sangat mulia inilah kerananya Allah SWT tidak membiarkan Muhammad SAW berbicara kecuali di bawah bimbingan wahyu.

(Artinya: "Tidaklah dia (Muhammad) berucap mengikuti hawa nafsu. Tidak lain yang diucapkan adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.") (An-Njam: 3-4)

Bahkan lebih dari itu, Muhammad SAW pun diperintahkan Allah SWT untuk mengajari para pengikutnya agar meneladani cara-cara beliau berdakwah.

(Artinya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku. Aku menyeru kepada Allah di atas bashirah. Aku dan mereka yang mengikutiku...") (Yusuf:108)

Sehingga Allah SWT pun memberikan jaminan akan keteladanan Muhammad dari sisi atau sudut manapun dan sebagai apapun dia.

(Artinya: "Sungguh pada diri Rasulullah terdapat teladan yang baik bagi mereka yang mengharapkan perjumpaan dengan Allah dan hari akhir serta banyak mengingat Allah.) (Al Ahzab:21)

Setelah begitu sempurnanya Allah SWT persiapkan Muhammad SAW, dipilih dari keluarga terhormat di kalangan dan pada zamannya dikenal sebagai Al Amin, bahkan sebelum dilantik menjadi nabi, dihiasi dengan akhlak mulia yang diakui bahkan oleh musuh-musuhnya, dibimbing di dalam bicara dan berdakwah.

Namun masih begitu banyak yang mendustakannya dan hidayah tidak mereka peroleh. Maka bagaimana pula jadinya jika melalui seseorang yang bukan dipersiapkan oleh Allah, bukan utusan-Nya, tak dikenal sebagai Al-Amin, belum terbukti akhlaknya serta tidak dibimbingkan Allah di dalam bicara dan berdakwah?

Sungguh benar ucapan Muhammad SAW tentang apa yang akan terjadi: "Akan datang pada manusia masa yang penuh tipu daya. Para pendusta dianggap jujur, sebaliknya orang jujur dicap pendusta.

Orang yang khianat dianggap amanah dan orang yang amanah dicap penghianat. Dan para Ruwaibidhah mulai angkat bicara. Ada yang bertanya: "Apa itu Ruwaibidhah?", Baginda menjawab, "Orang dungu yang lalai berbicara tentang umat."

Inilah saatnya zaman tersebut! Zaman yang lebih buruk dari pada zaman ketika Beliau diutus. Orang-orang jahiliyah di masa itu hanya mendustakan Rasulullah. Mereka
hanya mendustakan kebenaran, tetapi tidak pernah membenarkan kedustaan.

Bahkan kedustaan dianggap sebagai akhlak orang-orang rendah. Mereka tidak pernah menjadikan kedustaan sebagai wasilah untuk menggapai maksud. Mereka tidak pernah menghalalkan cara-cara hina guna mencapai tujuan.

Perhatikanlah bagaimana ucapan Abu Sufyan ketika ditanya oleh Raja Najasi,
Hiraklius, perihal Nabi SAW.

"...Demi Allah. Kalaulah tidak takut malu akan disebut pendusta, sungguh aku
sudah berdusta tentangnya..." (HR: Al Bukhari)

Mereka hanya menuduh Rasulullah SAW sebagai orang gila yang dengan sihirnya memecah belah bangsa Arab, tidak lebih dari itu. Tetapi mereka tidak pernah menganggap atau mencap orang-orang khianat sebagai amanah.

Ketika itu, dakwah yang haq disampaikan dengan cara yang haq didustakan. Tetapi dakwah yang batil disampaikan dengan cara yang bathil, tak pernah ada dan tak pernah
mereka benarkan.

Adapun zaman sekarang, dakwah yang haq didustakan dengan berbagai alasan, sedangkan dakwah yang batil dibenarkan dan dianggap benar juga dengan berbagai alasan. Khabar yang sahih diragu-ragukan, sedangkan cerita khayal dianggap suatu kebenaran. Dakwah yang haq ditinggalkan, sedangkan kedustaan dijadikan wasilah dakwah.

Cerpen, dongeng, sandiwara dan yang semisal dengannya tidak lebih dari bentuk-bentuk kedustaan atau kebohongan yang dikemas dengan keindahan bahasa, alur cerita dan cara pengungkapan.

Tetapi hakikatnya tetap dusta. Sedangkan agama yang haq dan mulia ini sama sekali tidak membutuhkan bantuan atau topangan berbentuk kedustaan. Sungguh agama ini terlalu suci dan terlalu mulia untuk mengharapkan bantuan dan pertolongan dari kebatilan.

(Ertinya: "Maka tak ada setelah AL Haq, selain kesesatan.") (Yunus: 32)

Jika melalui peribadi yang sudah dipersiapkan sedemikian rupa saja dakwah belum tentu menyebabkan seseorang mendapat hidayah. Maka apa yang diharapkan melalui dakwah yang dibangun di atas kedustaan?

Lantas, apa ertinya ucapan Rasulullah SAW yang sentiasa mengawali khutbahnya bagi kita semua: "Sesungguhnya, sebenar-benar pembicaraan adalah Kitabullah. Dan sebaik- baik petunjuk adalah petunjuk An-Nabi...."

Lantas, apa sebabnya kita boleh membenarkan kedustaan? Menganggap dongeng khayal sebagai wasilah dakwah sama saja dengan membenarkan kedustaan, sekaligus mendustakan kebenaran.

Bukankah Rasulullah SAw telah memperingatkan kita akan hal ini? Akankah peringatan itu kita dustakan pula? Ya, inilah saatnya zaman tersebut! Di mana kebenaran didustakan dan kedustaan dibenarkan.!

Rabu, 17 September 2008

Anwar ancaman ekonomi dan keselamatan negara

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah menjadi satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Perdana Menteri berkata, tindak tanduk Anwar selama ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik tetapi juga kestabilan ekonomi.

"Berikutan tindak tanduk Anwar itu, terdapat pengurus dana yang membuat laporan kononnya Malaysia bukan tempat yang baik untuk membuat pelaburan kerana suasana politik negara yang tidak menentu," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan terhadap Anwar berikutan ancaman tersebut, Abdullah berkata, kerajaan akan melakukan apa yang perlu.

Abdullah berkata, Anwar telah banyak membuat pembohongan mengenai kedudukan ekonomi negara termasuk kononnya tiada kemasukan pelaburan asing langsung (FDI), dan negara tidak mempunyai daya saing.

Sebaliknya, Abdullah berkata, FDI sebenarnya masih mengalir ke dalam negara ini, malah Malaysia merupakan antara negara yang diminati oleh pelabur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan, dan yang turut hadir pada sidang akhbar itu, mencelah dengan berkata, kadar pelaburan tahun ini mungkin lebih tinggi dari tahun lepas.

Mengenai kedudukan daya saing negara pula, Abdullah berkata, Malaysia mencatatkan kedudukan lebih baik dari tangga ke-23 kepada tangga ke-19 sekarang.

"Anwar mahu melingkupkan negara dan mengeksploitasi kepercayaan orang dan memperlecehkan negara di luar negeri,” kata Perdana Menteri.

Najib juga berkata, permainan politik Anwar boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

Najib meminta orang ramai agar tidak menjadi mangsa kepada mainan politik Anwar itu.

"Liputan media juga janganlah terperangkap dengan mainan politik itu kerana ia boleh memberi kesan psikologi," katanya.

Beliau juga berkata, mainan politik itu hendaklah dihentikan dengan segera.

Abdullah juga mengulangi kenyataannya enggan berjumpa dengan Anwar walaupun diminta oleh Anwar kerana bimbang kenyataannya akan diputar belit oleh Anwar.

Abdullah menafikan terdapat surat peralihan kuasa yang dihantar oleh Anwar kepadanya.
"Tidak ada langsung, bayang pun tidak ada," katanya.

Abdullah menjelaskan surat yang dihantar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepadanya pada Isnin lalu hanya menyentuh soal keselamatan negara, masalah moral dan politik negara.

"Yang kait dengan peralihan kuasa tidak ada. Jadi dia bohong rakyat dan ini untuk mengelirukan rakyat," katanya. - BERNAMA

Pak Lah tukar portfolio dengan Najib

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bertukar portfolio pertahanan dan kewangan sebagai sebahagian daripada proses penyerahan kuasa daripada Perdana Menteri kepada timbalannya itu pada Jun 2010.

Kedua-dua pemimpin juga komited dengan tempoh peralihan kuasa seperti yang ditetapkan sebelum ini dan untuk pemilihan UMNO pada Disember ini, Abdullah akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Najib sebagai Timbalan Presiden parti.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Najib di sini, semalam, Perdana Menteri berkata, portfolio kewangan adalah penting dalam mengambil kira situasi ekonomi semasa dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Katanya, beliau yakin Najib akan dapat melaksanakan peranannya yang amat penting itu terutama dalam memastikan ekonomi teguh dan kuat menghadapi cabaran.

Abdullah berkata, dengan kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan kini, beliau (Najib) boleh memainkan peranan yang lebih penting apabila berada di New York untuk menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

Ini kerana, sebagai Menteri Kewangan, Najib akan dapat menemui pelabur dan pengurus dana semasa di New York nanti, kata Perdana Menteri.

Abdullah turut mengumumkan Najib kini mengambil alih jawatan Timbalan Pengerusi Khazanah sejajar dengan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan. Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Abdullah.

Najib pula berkata, langkah Perdana Menteri melantiknya sebagai Menteri Kewangan menggambarkan keikhlasan Abdullah bahawa beliau adalah penggantinya kelak.

"Ia melambangkan keyakinan Perdana Menteri pada saya sebab saya akan sentiasa bincang dan rujuk pada Perdana Menteri, khususnya berkaitan dengan ekonomi, hala tuju ekonomi dan keutamaan ekonomi, supaya dasar-dasar kerajaan lebih jelas dan tepat," kata Najib.

Ditanya mengenai penurunan harga minyak mentah dunia sekarang, Abdullah berkata: "Lagi turun lagi baik."

Harga minyak mentah dunia kelmarin mencatatkan US$92 setong. Bagaimanapun Abdullah berkata, penurunan harga minyak dunia itu juga akan menyebabkan pengurangan pendapatan Petronas.

Ditanya sama ada harga pengguna bagi petrol dan diesel akan dikurangkan, Abdullah berkata: "Tunggulah lain kali." - BERNAMA

Ahad, 14 September 2008

Pengamal media dakwa dianiayai Ketua Pemuda UMNO

SINAR HARIAN Khamis 11 September 2008 KELANTAN@sinar www.sinarharian.com/nasional

OLEH: SUHAIZA ABU BAKAR

KOTA BHARU - Pengamal media terkejut apabila menerima surat saman daripada bank kerana tidak menjelaskan bayaran ansuran pembelian rumah dengan tunggakan lebih RM12,000 padahal rumah itu didakwa sudah dijual kepada rakannya, dipercayai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas.

Manzaidi Mohd Amin berkata, beliau hanya menyedari namanya disenarai hitam oleh Bank Negara Malaysia ketika ingin membeli kenderaan pada 2005.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau mendakwa kecewa dan teraniaya selepas perkara itu masih tidak selesai walaupun beberapa rundingan dilakukan dengan Ketua Pemuda terbabit, Ahmad Rosdi Mahmad yang berjanji untuk menyelesaikannya dan membayar tunggakan itu.

"Saya menjual rumah kos sederhana yang dibeli pada 1997 dengan harga RM32,000 di Pasir Mas kepada beliau kerana mengalami masalah kewangan berikutan kegawatan ekonomi dan beliau bersetuju membelinya pada pertengahan 1999.

"Saya mahu menukar nama hak milik tetapi beliau enggan, sebaliknya meminta saya mempercayainya. Dalam perjanjian lisan beliau berjanji dan memberi jaminan akan menyambung bayaran ansuran rumah itu sehingga tamat," katanya pada sidang media di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, semalam.

Menurutnya, selepas menyedari namanya disenari hitam pada 2005, beliau kemudian memaklumkan kepada Ahmad Rosdi dan diberikan jaminan perkara itu akan diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, beliau terkejut apabila menerima surat saman daripada pihak bank awal Ogos lalu dan diminta hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 15 September ini dan surat diminta hadir ke Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk tindakan saman, semalam.

Manzaidi berkata, beliau kemudian menghubungi Ahmad Rosdi dan lelaki itu memberitahu beliau menyerahkan urusan meneruskan bayaran ansuran berkenaan kepada adiknya.

"Saya tidak mengenali adik beliau dan kesal kerana tidak dimaklumkan perkara itu sehingga menimbulkan masalah ini. Pertemuan dengan adik Ahmad Rosdi dan pihak bank kemudian dibuat pada 26 Ogos lalu.

"Surat memberi kuasa kepada adik beliau untuk menyelesaikan tunggakan ansuran itu dibuat dan saya memintanya menyelesaikannya sebelum 5 September lalu bagi mengelak saya perlu hadir ke pejabat tanah hari ini (semalam)," katanya.

Menurutnya, perlara itu tidak diselesaikan juga sehingga semalam dan membuatkan beliau kecewa dengan perbuatan lelaki itu yang juga rakan yang dipercayainya.

Jumaat, 12 September 2008

Khutbah Nabi Mengenai Dajjal

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal."

Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya mengenai Dajjal. Aku adalah Nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi(angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin.

Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati.

Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baru. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

"Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas.

Sesiapa di antara kamu yang diseksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim a.s itu menjadi sejuk.

Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab:
"Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?"

Orang Arab itu akan berkata: "Tentu..."

Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu-bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula.

Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Sabda Rasulullah s.a.w lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan, tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya, tiba-tiba tumbuh.

Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat.

Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi.

Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah.

Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, "Di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka.

Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat.

Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah.

Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan:
"Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis.

Melihat saya menangis beliau bertanya: "Mengapa menangis?"

Saya menjawab: "Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya. "Rasulullah s.a.w berkata: "Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil mengenai agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."

Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah s.a.w menjawab:

"Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu. "Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam dan matahari ini berjalan dengan izinku.

Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?"

Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh.

Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.

Sabda Rasulullah: "Sebarkanlah walau seayat."

Wa'allahualam. Hanya Allah dan Rasulnya yang mengetahui.

Isnin, 8 September 2008

Nujum Pak Belakang

Berikut adalah kandungan Nujum Pak Belakang:-

5 September – Parti komponen BN (Barisan Nasional) dari Sabah dan Sarawak isytihar keluar dari BN.

6 September – Semua parti komponen BN dari Semenanjung keluar BN kecuali MCA dan MIC.

7 September – 10 Ahli Parlimen BN umum pindah kerusi parlimen ke Pakatan Rakyat.

8 September – 5 Menteri BN letak jawatan.

9 September – Sidang tergempar parlimen dipanggil.

10 September – Perdana Menteri umum meletakkan jawatan.

12 September - Sidang tergempar usul Anwar membentuk kerajaan 'caretaker'.

15 September – Anwar isytiharkan bentuk pakatan sebagai kerajaan 'caretaker' secara langsung di TV1, TV2 dan TV3, Bernama TV dan Astro Awani.

15 September – Anwar menghadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memohon restu.

16 September – Anwar akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

NOTA 1: Selepas meneliti kandungan Nujum Pak Belakang itu, anda perlu tip (tandakan) satu persatu kejadian yang berlaku mengikut peristiwa pada tarikh berkenaan.

Bagaimanapun, pada saya peralihan kerajaan pada 16 September ini hanyalah 'cywar' untuk 'reverse sykology'. Ia tidak lebih merupakan helah paling busuk daripada PR. Namun seperti yang kita sedia maklum itu memang cara dan pendekatan yang dilakukan pembangkang.

Mereka akan menguna seribu satu muslihat dan helah untuk meletakkan orang percaya peralihan itu akan berlaku.

NOTA 2: Kalau ia berlaku, kita harus ambil kira fakta ini:-

Barisan Nasional (BN) mempunyai 140 Ahli Parlimen/Kerusi. Nisbahnya ialah 89 kerusi diwakili Ahli Parlimen Islam dan 51 kerusi lagi Ahli Parlimen bukan Islam.

Pakatan Rakyat (PR) pula mempunyai 82 Ahli Parlimen/Kerusi, dengan nisbahnya 43 Ahli Parlimen Islam dan 39 Ahli Parlimen bukan Islam.

Andai kata, 30 Ahli Parlimen BN benar-benar melompat ke PR, semua mereka adalah bukan Islam. Oleh itu, PR mempunyai 43 Ahli Parlimen Islam dan 69 Ahli Parlimen bukan Islam. Di sini, majoritinya adalah bukan Islam.

Tetapi, jika 30 yang lompat itu, lima Ahli Parlimen Islam dan 25 Ahli Parlimen bukan Islam, maka kerusi dalam PR ialah 48 Ahli Parlimen Islam dan 64 Ahli Parlimen bukan Islam. Majoritinya masih lagi bukan Islam.

Jika ini yangg Anwar hendak, secara tidak langsung dia akan memusnahkan Islam dan Melayu di negara ini.

Ahad, 7 September 2008

Pada hari lelong dan saman itu...

Malam esok (8hb) saya bertolak balik ke Kelantan. Naik bas jam 9 malam dari Shah Alam. Jangka sampai Pasir Mas sekitar jam 5 pagi.

Lusa (9hb) saya buat sedikit persiapan untuk menghadapi kes lelong tanah/rumah Lubok Jong di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.

Tulat (10hb) jam 9 pagi saya berada di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Saya hanya akur dan bersedia menerima apa saja tindakan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan berhubung tapak tanah/rumah berkenaan.

Saya langsung tidak mengharapkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Haji Rosdi Mahmad dan adiknya Jafri Mahmad hadir. Pada saya, mereka tidak akan hadir pada hari pelelongan itu kerana mereka langsung tidak merasa bersalah menganiayai orang.

Saya telah nekad dan akan hadapi apa saja bentuk hukuman yang diambil oleh Pejabat Tanah dan Jajahan.

Pada 14hb ni saya balik Kelantan sekali lagi, sebab 15hb kena hadir ke Mahkamah sesyen Kota Bharu. Hari 15h ini yang paling menakutkan saya. Saya akan berdepan dengan peguam yang dilantik oleh RHB Bank Islamik untuk menyamankan saya (selaku penama rumah) kerana menyebabkan berlaku tunggakan sehingga RM12,8++.

Ahhhh (mengeluh) saya tak tau nak buat apa. Saya keseorangan menghadapi semua ini. Saya reda dengan apa saja yang bakal berlaku ke atas saya. Saya sedar, mulai 15hb ini akan berlaku perubahan dalam kehidupan saya.

Perubahan macam mana saya tak tahu, tetapi yang pastinya ia akan memberi kesan kepada sumber kewangan saya kerana terpaksa menanggung beban hutang yang dicipta oleh Haji Rosdi dan adiknya.

Dengan rendah diri, saya minta rakan-rakan yang beragama Islam agar selepas solat setiap hari, tolong mendoakan keselamatan untuk saya. Tolong mendoakan agar Allah melepaskan saya daripada azab yang dicipta oleh orang kaya tidak berhati perut ini.

Wasalam...

Sabtu, 6 September 2008

Cina saja sensitif, Melayu tak sensitif?

Secara peribadi saya bersetuju dengan keputusan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail untuk tidak memohon maaf kepada orang Cina berhubung kenyataannya mengenai ‘orang Cina adalah menumpang’.

Pada masa sama, saya sedih dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tanpa usul periksa terus memurahkan diri meminta maaf kepada orang Cina.

Kenapa orang Melayu/Islam perlu meminta maaf? Adakah dengan kata-kata Datuk Ahmad Ismail itu (yang dibuat berdasarkan fakta) dianggap menghina? Jangan jadi murah sangat wahai Melayu/Islam.

Kalau kata-kata itu dianggap menghina, bagaimana pula dengan tindakan Ahli Parlimen Seputeh - DAP, Teresa Kok menghapuskan tulisan Jawi pada papan tanda jalan di ibu kota?

Tidakkah itu menghina namanya? Kenapa beliau tidak meminta maaf kepada orang Melayu/Islam?

Adakah orang Melayu/Islam bising atau membuat bantahan atau membuat kenyataan besar-besaran di media atau mendesaknya memohon maaf atas perbuatannya yang jelas menghina orang Melayu/Islam?

Tidak, jawabnya. Kita, orang Melayu/Islam hanya diam, walaupun Cina itu berjaya menghapuskan kewujudan tulisan Jawi pada papan tanda jalan. Di Kelantan, setiap papan tanda, kain rentang WAJIB ada tulisan Jawi.

Seperkara lagi mengenai Cina ini, jika dia terasa sesuatu projek yang dirancangnya akan menjadi isu, dia cepat-cepat meminta agar perlara itu tidak dijadikan isu sensitif. Contohnya, perkara berkaitan ternakan babi atau daging babi di Sepang. Dia bangga mengumumkan projek babi terbesar dalam sejarah negara ini.

Ini adalah isu sensitif, tetapi Melayu/Islam tidak bising sebagaimana Cina bising dengan kenyataan Datuk Ahmad Ismail yang mengatakan 'orang Cina adalah menumpang’. Bagaimanapun, kata-kata itu belum tentu sahih kerana akhbar Cina yang menyiarkannya. Akhbar lain tidak.

Melayu/Islam juga pernah dihina oleh orang-orang kafir dalam DAP. Antaranya, ketika mula-mula parti pembangkang menawan Perak, DAP telah memboikot majlis angkat sumpah kerana wakil Pas dilantik menjadi Menteri Besar Perak.

Selain itu, DAP turut mempersoalkan keputusan sultan terhadap perjalanan agama Islam negeri Perak. Persoalannya ketika agama Islam dan kesultanan Melayu terus dihina, ke mana akhbar Cina pergi? Tidak ada langsung kenyataan daripada pemimpin-pemimpin mereka.

Di Perak, DAP terus menghina institusi agama dan kesultanan. Khabarnya di Pulau Pinang juga pakatan DAP-PKR tidak senang dengan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jika sultan dan Yang di-Pertuan Agong pun mereka boleh hina, orang Melayu/Islam tetap diam.

Fikir-fikirkanlah.

Sekilas Pandang (06hb Sept 08)

Memang wajar Khairy bimbang

PETANG Rabu lalu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin melahirkan kebimbangan dengan krisis keyakinan generasi muda terhadap pergerakan itu.

Ketika berucap pada Program Nur Ramadan di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras, beliau dilaporkan berkata, generasi muda telah menunjukkan sikap tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya umum lalu termasuk yang terbaru pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Baguslah kalau pucuk kepemimpinan pergerakan itu sudah sedar. Seperkara lagi yang beliau, ketuanya dan barisan kepemimpinan Pemuda perlu tahu ialah parti itu turut kehilangan sokongan dan minat golongan veteran serta dewasa.

Hakikat ini harus diterima UMNO. Anjakan tsunami politik yang dibawa parti komponen Pakatan Rakyat (PR) terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas telah mengubah segala persepsi masyarakat terhadap UMNO/BN.

Anak-anak muda, veteran dan dewasa dilihat lebih berminat kepada parti pembangkang bukan kerana mereka dijanjikan habuan, sebaliknya kaedah yang dibawa pemimpinnya sama seperti seorang pejuang, bukan seorang berkepentingan diri. Ini perbezaan jelas yang dapat dinilai.

Sama ada disedari atau tidak, itulah kenyataannya. Kebanyakan pemimpin Pemuda yang dipilih menerajui bahagian di seluruh negara bukan jenis berjiwa pejuang dan pembela.

Mereka menyertai parti hanya untuk mengejar kekayaan dan kemewahan. Jadi, tidak hairan kalau kita terserempak dengan begitu ramai pemimpin jenis itu yang memiliki pelbagai jenis kemewahan iaitu daripada kereta mewah sehingga rumah mewah dan isteri-isteri yang mewah.

Mereka lupa kepada matlamat dan visi parti untuk membela nasib orang Melayu. Mereka lupa kepada anak-anak muda yang memerlukan perhatian. Mereka hanya sedar diri yang mereka adalah pemimpin, apabila ada pemilihan di peringkat bahagian, negeri dan pusat serta tempoh pilihan raya umum hampir tiba.

Di situ mereka mula turun padang mencari anak-anak muda. Mengumpankan golongan itu dengan bulu tangkis, sepak takraw, bola pingpong dan sebagainya. Mereka cuba memperdayakan golongan remaja dengan menampilkan dirinya seolah-olah pejuang seperti
Mat Kilau dan Tok Janggut.

Bezanya, Mat Kilau dan Tok Janggut adalah pejuang tulen yang tidak ada sikit pun dalam hatinya untuk menipu, berbanding pemimpin muda hari ini, yang berjuang mengikut musim.

Oleh itu, memang wajar menantu Pak Lah runsing. Bagaimanapun, dia tidak boleh bersendirian. Dia patut mengajak ketuanya dan anggota Exco duduk semeja berbincang, mencari kaedah terbaik untuk menyelamatkan sayap parti itu daripada terus hilang kepercayaan orang Melayu semua peringkat usia.

Saya hanya boleh memberi satu cadangan kepada Khairy jika dia benar-benar serius hendak mencari punca kelemahan jentera partinya. Iaitu mengkaji semula sikap dan perangai kebanyakan pemimpin Pemuda di peringkat bahagian. Walaupun mereka memegang jawatan tertinggi kerana menang dalam pertandingan, tetapi faktor kemenangan itu harus dikaji dengan teliti.

Bagaimanapun, Pergerakan Pemuda harus sedar, apa yang berlaku atau menimpa sayap parti itu adalah bentuk hukuman Allah di atas ketakburan dan ketidakikhlasan mereka memimpin parti selama ini.

Jumaat, 5 September 2008

Tokoh Wartawan Negara Pak Samad meninggal

Pejuang kemerdekaan dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 5.58 petang ini (04hb Sept 2008/Khamis) akibat jangkitan paru-paru.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan.

Beliau yang dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924, meninggalkan seorang balu, Puan Sri Habibah Hamid dan 10 anak termasuk penulis blog dan bekas wartawan, Nuraina dan Maria.

Isteri pertamanya, Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.

Menurut anaknya, Nuraina, jenazah Abdul Samad telah dibawa ke rumahnya di No. 2, Lorong 16/7C, Petaling Jaya malam ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, selepas sembahyang Jumaat esok (05hb Sept 2008).

Katanya, rawatan dialisis kali kedua yang dilakukan oleh pihak hospital hari ini terpaksa diberhentikan kerana jantung bapanya tidak boleh bertahan.

"Sepatutnya rawatan dialisis selama empat jam, tetapi diberhentikan selepas sejam rawatan kerana keadaannya yang makin tenat," katanya.

Difahamkan, keadaan kesihatan yang tidak menentu itu disebabkan jangkitan paru-paru yang dihadapi bapanya. "Jangkitan itu telah merebak ke organ lain seperti di bahagian buah pinggang," katanya.

Allahyarham memulakan kerjayanya bersama Utusan Melayu di Singapura pada 1941 dan tidak lama selepas itu, Abdul Samad meneruskan kariernya dengan dilantik sebagai Penolong Pengarang Warta Malaya (Berita Malai) sebelum dinaikkan pangkat sebagai pengarang akhbar berkenaan.

Pada tahun 1946, beliau kembali ke Utusan Melayu sebagai Penolong Pengarang sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarang sehingga 1957. Dalam tempoh 30 tahun mulai 1958, Abdul Samad memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan dan Penasihat Editorial The New Straits Times Press.

Beliau mendapat pengiktirafan tertinggi apabila menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara pada 19 November 1988, selain anugerah kewartawanan lain dari dalam dan luar negara termasuk Anugerah Ramon Magsaysay.

Selain statusnya sebagai wartawan terulung, Abdul Samad yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan turut menyertai delegasi ke London untuk rundingan mendapatkan kemerdekaan negara pada 1956.

Beliau juga bergiat aktif dalam politik tanah air selepas penjajahan Jepun pada 1945 sebagai Presiden Parti Kebangsaan Melayu, sebelum menyertai bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Selepas lima tahun, beliau meninggalkan parti itu untuk menjadi Pengerusi Tetap UMNO Singapura. Abdul Samad menerima pangkat Darjah Panglima Setia Mahkota dengan gelaran Tan Sri pada 6 Jun 1992.

Lagi semangat diterima

....Mahkamah Yaumil Mahsyar bersedia untuk mengadili segalanya... sabar dan tabahkan hati, insyaAllah segala ujian dan dugaan tersebut adalah untuk mempertingkatkan ketakwaan Tuan kepada Khalik, diharap Tuan Man tetap tabah mendepaninya.

Semangat dan sokongan kawan2

Komen satu:
Sebagai seorang kenalan, saya turut hiba dengan apa yang menimpa manzaidi, tetapi saya tidak terkejut seorang yang di tempat dia tergamak melakukan kekejaman terlindung sedemikian.
Apalah sebuah rumah bagi orang berharta dan berkedudukan serta berpengaruh seperti mereka.
Mereka mampu memiliki rumah dengan hanya menandatangani beberapa dokumen sahaja, sedangkan bagi orang seperti saya terpaksa menghabiskan seumur hidup dewasa sehingga pencen untuk mempunyai rumah sendiri.
Itu pun belum menjadi kenyataan.

Komen Dua:
Kawe turut simpati dan mendoakan semoga demo diberi kelapangan dan sinar kejayaan dalam menghadapi masalah tersebut.
Yang bersalah akan pasti terhukum jua .....walau bukan hukuman di mahkamah dunia.

Komen tiga:
Sekadar berkongsi kedukaan manzaidi... Penderitaan dan kesusahan orang-orang kerdil tidak mendatangkan kudis pun kepada orang-orang yang kaya harta dunia.
Tetapi saya kenali manzaidi seorang yang berjiwa besar dan saya pun yakin Allah bersama orang yang benar. Doa orang teraniaya pasti dimakbulkan Allah. Bertahanlah dan teruskan perjuangan.

Betapa...ketika itu

Terima kasih kepada para sahabat. Saya tidak ada tempat hendak mengadu, melainkan terpaksa zahirkan dlm blog dan maklumkan kpd kawan2 utk berkongsi.

Hidup saya mula malap kira-kira tiga tahun lalu apabila permohonan saya untuk membeli kereta ditolak oleh bank dgn alasan nama saya sudah disenaraihitamkan.

Betapa! ketika itu.. saya tak dapat memikirkan apakah kesalahan saya sehingga nama disenaraihitamkan.

Apabila menghubungi Bank Negara, mereka menjelaskan saya ada tunggakan RM12,8++ dgn RHB Islamik. Masya-Allah, saya tersentak dengan jawapan itu.

Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada Rosdi Mahmad. Malangnya, dia memberi jawapan yang berdolak dalik walaupun berjanji akan menyelesaikan tunggakan itu.

Sebelum itu, dia mengungkit tindakannya membeli rumah saya. Katanya, dia beli rumah itu kerana simpati atau kesian kepada saya.

Saya jawab, terima kasihlah dan semoga Tuhan murahkan rezeki orang yang bersimpati kepada kawan yang dalam kesusahan.

Selepas itu (tiga tahun kemudian), saya menerima panggilan dari ayah menyatakan ada sepucuk surat daripada loyar RHB Bank. Minta saya hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 15 September ni. Selang dua hari kemudian, sepucuk lagi surat sampai.

Surat dari Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas menyatakan saya perlu hadir pada 10hb Sept ini untuk tindakan pelelongan tanah.

Dari situlah fikiran saya mula celaru, tidak menentu. Hilang selera makan, banyak termenung, banyak kerja terbengkalai dan tidak sedikit berlaku kesilapan ayat, tata bahasa dan macam-macam lagi.

Jantung sentiasa berdebar kencang... sering mengeluh... sakit kepala, pening, kabur penglihatan dan otak mula memikirkan yang bukan-bukan apa yang akan berlaku selepas ini. Yang pasti, saya terpaksa menanggung semua itu.

Saya juga kena mengambil kira masalah cuti di sini untuk balik Kelantan. Terpaksa menyusahkan kawan-kawan sejawatan kerana berlaku anjakan jadual off mereka dan dengan tiket bas dah naik 30 peratus, dengan petrol yang hanya turun 15 sen daripada kadar kenaikan 70 sen.

Semua itu memeningkan kepala bagi insan kerdil macam saya.

Saya tahu, saya tidak akan menang berlawan dengan orang politik yang bijak dan mahir dalam bab tipu menipu, putar belit.

Kalau mereka tidak ada strategi itu, masakan mereka dapat naik dan naik dan terus naik dalam politik.

Masakan mereka mampu memiliki rumah besar bagai istana, memiliki kereta mewah yang bernilai ratusan ribu ringgit dan memiliki isteri lebih daripada seorang.

Namun, malang dan sedihnya, kekayaan dan kemewahan yang dimilikinya itu bukan daripada hasil perjuangannya membela orang Melayu, sebaliknya hasil daripada perjuangan dan kerja keras menipu dan memutar belit orang Melayu untuk kepentingan diri sendiri. Wallahualam..

Khamis, 4 September 2008

Tahniah kepada Rosdi Mahmad

Pertama-tama sekali saya nak ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Mohd Rosdi Mahmad dan adiknya Jafri Mahmad kerana BERJAYA membuatkan hidup saya merana dan menderita.

Hanya dengan cara dia bersetuju membeli rumah saya lapan tahun lalu, tetapi pada masa sama dia menyerahkan kepada adiknya dan adiknya pula tidak meneruskan sambung bayar sewa beli selama empat tahun sudah cukup alasannya untuk mengheret saya ke Mahkamah dan meletakkan nama saya dalam kategori senarai hitam oleh Bank Negara Malaysia.

Berikutan tindakannya, pada 10hb September 2008, jam 9.30 pagi saya terpaksa hadir di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk tindakan pelelongan tanah (tapak rumah), manakala pada 15hb September 2008, jam 9 pagi saya terpaksa hadir di Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk menghadapi tindakan saman oleh RHB Islamik.

Dua tindakan ini sudah cukup menyebabkan hidup saya menderta sepanjang masa. Saya tidak tahu apa harus dilakukan lagi. Saya hanya reda dan berserah kepada Allah SWT untuk menentukan nasib saya selepas 10 dan 15hb September ini.

Kepada Rosdi dan adiknya, Jafri..Tahniah. Selamat maju jaya dalam politik, perniagaan dan hidup saudara. Saudara telah berjaya menggelapkan masa depan kawan saudara.

Akuan bersumpah: Saya tak sebar

Penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin hari ini menafikan bertanggungjawab menyebarkan perakuan bersumpah yang dibuat seorang doktor Hospital Pusrawi, Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid.

Beliau berkata, laporan tersebut hanya diambil daripada salah sebuah blog dan bukan milik persendirian laman web Malaysia Today.

"Kenapa perlu pihak berkuasa nak salahkan Malaysia Today di atas penyebaran itu, sedangkan kami hanya mengambilnya daripada laman blog lain," katanya.

Ia akuan bersumpah saya: Dr Mohamed

Doktor Mohamed Osman Abdul Hamid yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Hospital Pusrawi mengesahkan akuan bersumpah yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today adalah miliknya.

Beliau bagaimanapun mendakwa, penyebaran akuan bersumpah melalui laman web tersebut adalah di luar pengetahuannya.

"Saya bercuti selepas dinasihatkan Pusrawi dan tidak tahu bagaimana ia boleh tersebar.

"Saya tidak terlibat dengan politik dan sesungguhnya akuan bersumpah saya adalah benar," katanya pada sidang akhbar di Majlis Peguam di sini.

Innalillah hiwainna ilaihi rajiun

Pak Samad meninggal dunia 04/09/2008 6:46pm

KUALA LUMPUR - Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 6.35 petang ini kerana jangkitan paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan sepanjang tempoh itu terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan.

Isnin, 1 September 2008

Komen Jawi oh Jawi

Komen Satu:
Kesedihan kawe tidak terkata bila melihat apa yang tercatat dan tertera di blog tersebut. Terasa kecil semangat besar ini. Sepatutnya kita bukan sekadar bercakap, tetapi melakukan sesuatau yang terbaik bagi memulihkan tulisan tersebut. Jangan jadikan tulisan itu melukut di tepi gantang.

Tulisan itu adalah tulisan kita. Orang Thai bangga dengan tulisan mereka. apa lagi dengan kaum lain. Tetapi kita boleh kelih tulisan kita itu dibuang begitu sahaja. Nampak sangat hinanya.

Ulama silam menulis dalam tulisan jawi. Arwah Pak Leh Pedada menulis dalam jawi. Apa lagi dengan Tok Guru Haji Wan Mat Jal, Tok Selehor dan ramai lagi menjadikan tulisan itu tulisan memperkasakan ukhwah.

Di manakah letaknya nilai patriotik kita bila hal ini dicungkil? Apakah bila tiba musim pilihanraya baru tercungkil nilai tersebut? Kepada mereka yang "masam kepala" bercakap macam bertih goreng, sehinggakan gunung everest pun berasa nak pijak biar hancur, air di Laut China Selatan kalu boleh nak timba lagi, bila lagi nak bersatu hati memulihkan tulisan jawi.

Bila berlaku hal sedemikian, siapakah yang harus dipersalahkan? Apakah kita persalahkan burung-burung di angkasa atau ikan di lautan atau pokok kayu kayan yang memberikan kita buah dengan pelbagai rasa enak?

Saya kira kita sendiri yang hebat berfikir memberikan jawapan setimpal dengan apa yang kita pandang. Tepuk dada batuklah sendiri. Itulah realiti.

Komen Dua:
Saya diberitahu, persidangan meja bulat tentang pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tempoh hari, bahasa Melayu sudah diinjak-injak dengan segila-gilanya. Dalam persidangan itu ada juga timbalan menteri yang juga orang sastera/seni.

Nak harapkan tokoh besar politik untuk membela bahasa Melayu. Puahhhhh (pinjam kalimah Shahnon Ahmad).

Ini mungkin membuatkan kita berfikir: Sebenarnya dalam kalangan menteri yang ada, siapa yang pernah melalui pendidikan kebangsaan untuk memahami, menyayangi, memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu?