Ahad, 14 September 2008

Pengamal media dakwa dianiayai Ketua Pemuda UMNO

SINAR HARIAN Khamis 11 September 2008 KELANTAN@sinar www.sinarharian.com/nasional

OLEH: SUHAIZA ABU BAKAR

KOTA BHARU - Pengamal media terkejut apabila menerima surat saman daripada bank kerana tidak menjelaskan bayaran ansuran pembelian rumah dengan tunggakan lebih RM12,000 padahal rumah itu didakwa sudah dijual kepada rakannya, dipercayai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas.

Manzaidi Mohd Amin berkata, beliau hanya menyedari namanya disenarai hitam oleh Bank Negara Malaysia ketika ingin membeli kenderaan pada 2005.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau mendakwa kecewa dan teraniaya selepas perkara itu masih tidak selesai walaupun beberapa rundingan dilakukan dengan Ketua Pemuda terbabit, Ahmad Rosdi Mahmad yang berjanji untuk menyelesaikannya dan membayar tunggakan itu.

"Saya menjual rumah kos sederhana yang dibeli pada 1997 dengan harga RM32,000 di Pasir Mas kepada beliau kerana mengalami masalah kewangan berikutan kegawatan ekonomi dan beliau bersetuju membelinya pada pertengahan 1999.

"Saya mahu menukar nama hak milik tetapi beliau enggan, sebaliknya meminta saya mempercayainya. Dalam perjanjian lisan beliau berjanji dan memberi jaminan akan menyambung bayaran ansuran rumah itu sehingga tamat," katanya pada sidang media di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, semalam.

Menurutnya, selepas menyedari namanya disenari hitam pada 2005, beliau kemudian memaklumkan kepada Ahmad Rosdi dan diberikan jaminan perkara itu akan diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, beliau terkejut apabila menerima surat saman daripada pihak bank awal Ogos lalu dan diminta hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 15 September ini dan surat diminta hadir ke Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk tindakan saman, semalam.

Manzaidi berkata, beliau kemudian menghubungi Ahmad Rosdi dan lelaki itu memberitahu beliau menyerahkan urusan meneruskan bayaran ansuran berkenaan kepada adiknya.

"Saya tidak mengenali adik beliau dan kesal kerana tidak dimaklumkan perkara itu sehingga menimbulkan masalah ini. Pertemuan dengan adik Ahmad Rosdi dan pihak bank kemudian dibuat pada 26 Ogos lalu.

"Surat memberi kuasa kepada adik beliau untuk menyelesaikan tunggakan ansuran itu dibuat dan saya memintanya menyelesaikannya sebelum 5 September lalu bagi mengelak saya perlu hadir ke pejabat tanah hari ini (semalam)," katanya.

Menurutnya, perlara itu tidak diselesaikan juga sehingga semalam dan membuatkan beliau kecewa dengan perbuatan lelaki itu yang juga rakan yang dipercayainya.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran