Rabu, 17 September 2008

Pak Lah tukar portfolio dengan Najib

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bertukar portfolio pertahanan dan kewangan sebagai sebahagian daripada proses penyerahan kuasa daripada Perdana Menteri kepada timbalannya itu pada Jun 2010.

Kedua-dua pemimpin juga komited dengan tempoh peralihan kuasa seperti yang ditetapkan sebelum ini dan untuk pemilihan UMNO pada Disember ini, Abdullah akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Najib sebagai Timbalan Presiden parti.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Najib di sini, semalam, Perdana Menteri berkata, portfolio kewangan adalah penting dalam mengambil kira situasi ekonomi semasa dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Katanya, beliau yakin Najib akan dapat melaksanakan peranannya yang amat penting itu terutama dalam memastikan ekonomi teguh dan kuat menghadapi cabaran.

Abdullah berkata, dengan kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan kini, beliau (Najib) boleh memainkan peranan yang lebih penting apabila berada di New York untuk menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

Ini kerana, sebagai Menteri Kewangan, Najib akan dapat menemui pelabur dan pengurus dana semasa di New York nanti, kata Perdana Menteri.

Abdullah turut mengumumkan Najib kini mengambil alih jawatan Timbalan Pengerusi Khazanah sejajar dengan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan. Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Abdullah.

Najib pula berkata, langkah Perdana Menteri melantiknya sebagai Menteri Kewangan menggambarkan keikhlasan Abdullah bahawa beliau adalah penggantinya kelak.

"Ia melambangkan keyakinan Perdana Menteri pada saya sebab saya akan sentiasa bincang dan rujuk pada Perdana Menteri, khususnya berkaitan dengan ekonomi, hala tuju ekonomi dan keutamaan ekonomi, supaya dasar-dasar kerajaan lebih jelas dan tepat," kata Najib.

Ditanya mengenai penurunan harga minyak mentah dunia sekarang, Abdullah berkata: "Lagi turun lagi baik."

Harga minyak mentah dunia kelmarin mencatatkan US$92 setong. Bagaimanapun Abdullah berkata, penurunan harga minyak dunia itu juga akan menyebabkan pengurangan pendapatan Petronas.

Ditanya sama ada harga pengguna bagi petrol dan diesel akan dikurangkan, Abdullah berkata: "Tunggulah lain kali." - BERNAMA

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran