Sabtu, 31 Disember 2022

Wahai pemimpin buatlah perangai macam seorang pemimpin

By Manzaidi Mohd Amin - 25 December 2022
ADA yang tanya Bawah Kolong (BK) kenapa sesetengah pemimpin buat perangai bukan macam seorang pemimpin? BK tanya balik, apa maksud yang dikatakan pemimpin buat perangai bukan macam seorang pemimpin itu? Dia jelaskan, rakyat harapkan pemimpin itu dapat mencari ikhtiar terbaik untuk selesaikan masalah yang dihadapi, bukan cari helah untuk melepaskan tengkok daripada terjerat dengan masalah rakyat. BK tanya lagi, adakah anda maksudkan kepada seorang pemimpin yang hilang ketika rakyatnya berdepan dengan musibah banjir baru-baru ini? Atau anda maksudkan seorang pemimpin yang memberi jawapan mudah sebagai formula menyelesaikan harga ayam mahal di pasaran? Dia kata, dua-dua sekali. Malah, ada lagi pemimpin yang buat perangai bukan macam seorang pemimpin kalau BK saksi persidangan Parlimen yang pertama bagi penggal PRU15 pada 19 Disember lalu. Begini, jawab BK: Dalam hal ini kita tak boleh salahkan pemimpin berkenaan jika mereka buat perangai bukan macam seorang pemimpin. Memang dari azali lagi kita tahu itulah perangai mereka, tapi kita undi dan pilih juga. Bila mereka dah jadi pemimpin yang sah dan tunjuk perangai bukan macam seorang pemimpin, kita nak salahkan siapa? Nak kata kita tidak diperingatkan, rakaman video penceramah bebas, ustaz Kazim Elias berulang kali diputarkan di media sosial, malah dihafal dari mulut ke mulut. Ustaz Kazim kata, silap pilih pemimpin, kita akan dapat taik. Jadi sekarang, rakyat rasa mereka dapat apa dengan memilih pemimpin yang bukan macam perangai seorang pemimpin? Pendek kata, siapa saja dipilih jadi pemimpin, perangai dan sikap mereka tak dapat lari daripada mewarisi sikap dan perangai pemimpin terdahulu. Padahal, pemimpin ini juga yang tegur dan kritik pemimpin terdahulu. Cuma bila tiba giliran mereka, perangainya saling tak tumpah dengan yang dahulu. Betullah kata orang-orang tua dulu, mengata orang kena beringat, jangan diri sendiri yang terkena pula. Dulu, kita kata Datuk Seri Hassan Malek tak cerdik sebab beri alasan, jangan makan ayam kalau harga ayam mahal. Kemudian, kita “boo” Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana beri jawapan, jangan beli telur kalau telur mahal. Boleh dikatakan, alasan ini menjadi trend kepada menteri, tidak kira yang mengetuai KPDNHEP mahupun menteri berkaitan dengan ekonomi. Seolah, itulah jawapan terbaik mereka untuk disampaikan kepada rakyat. Secara logiknya memang betul, benar dan tepat sekali jawapan itu, walaupun nampak macam bodoh. Memang logiklah, kalau kita tak mampu nak beli ayam kerana harganya agak yahudi, kita tukar kepada ikan, udang, ketam, sotong atau beli lauk yang dah masak. Tidaklah sampai perlu masuk wad kalau tak dapat makan ayam. Begitu juga, isu pemimpin hilang pada musim banjir. Isu ini bukan baharu. Ia berlaku hampir setiap tahun. Susah nak kata dan susah nak fikir dengan sikap dan perangai pemimpin yang bukan macam seorang pemimpin ini. Sebagai pemimpin, bukan mereka tak tahu bermula November hingga Disember dan berakhir Januari tahun baharu, negara atau negeri akan berdepan dengan musim tengkujuh dan Monsun Timur Laut. Dalam masa tiga bulan ini, mereka sepatutnya tahu akan berlaku hujan lebat, ribut petir, banjir kilat mahupun bah. Tetapi, peliknya ada pula pemimpin boleh merancang bawa keluarga makan angin di luar negara. Mungkin pada mereka bermain salji bersama keluarga di luar negara lebih baik daripada meredah banjir bersama rakyat di kawasan. Apa nak heran, balik ke tanah air nanti, ucap saja “minta maaf”, habis cerita. Jadi, itulah lebih kurang jawapan BK kepada mereka yang bertanya. Walaupun jawapan itu tidaklah detail sangat, tetapi sekurang-kurangnya menggambarkan itulah perangai pemimpin kita. Mereka ini lebih kurang dua kali lima saja dengan pemimpin-pemimpin terdahulu. Cuma mereka ini mengkritik sebab ketika itu mereka tidak berada di tempat pemimpin sebelumnya. Sekarang, bila mereka berada di satu tempat yang pernah diduduki pemimpin terdahulu, barulah mereka merasakan sendiri ‘kebodohan’ yang menjadi sumpahan mereka selama ini. Bila dah jadi pemimpin ni ubahlah perangai dan sikap. Jangan terlalu sangat mengatakan orang, kelak diri sendiri akan terikut-ikut dengan orang yang kita katakan itu. Sebab itu, orang tua selalu pesan, bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar. Nak jadi pemimpin, jadilah seorang pemimpin yang benar-benar berwibawa, berkaliber, bijaksana, prihatin dan berjiwa rakyat, bukan jadi pemimpin untuk buat sarkas. Kalau tak malu pada rakyat, malulah pada anak cucu. Mereka akan membesar dan ada masanya mereka akan menyaksikan gelagat atuk nenek mereka yang memalukan itu. – MalaysiaGazette

Ahad, 11 Disember 2022

Maka lengkaplah Kerajaan Perpaduan

By Manzaidi Mohd Amin - 9 December 2022
SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai timbalan menteri malam ini, selesailah tanda tanya yang bermain dalam fikiran rakyat mengenai apa akan berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengumuman ini melengkapkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan 24 November 2022 dengan pembentukan barisan Kabinet yang dikecilkan daripada sebelum ini pada 2 Disember lalu. Kerajaan Perpaduan dibentuk menerusi gabungan antara Pakatan Harapan (PH), BN, Parti Gabungan Sarawak (PGS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan selepas tidak ada mana-mana parti menang dengan majoriti mudah pada PRU15, 19 November lalu. Justeru, gabungan PH yang mendapat 82 kerusi Parlimen dengan BN (30 kerusi), PGS (23 kerusi), GRS (enam kerusi) dan Parti Warisan (tiga kerusi) campur Parti Bangsa Malaysia (PBM), Bebas dan KDM empat kerusik melayakkan sebuah kerajaan dibentuk. Dalam hal ini, Perikatan Nasional (PN) tidak mahu dilibatkan. Gabungan Parti Bersatu, Pas dan Gerakan ini lebih senang menjadi pembangkang agar ada semak dan imbang di Parlimen nanti. Sepanjang penggal PRU14 dari Mei 2018 hingga pembubaran Dewan Rakyat diumumkan pada 10 Oktober lalu, rakyat hidup dalam keadaan terumbang ambing berikutan berlaku pertukaran tiga kerajaan. Dalam tempoh itu, rakyat hidup menderita dengan pandemik Covid-19, yang menyebabkan ramai hilang kerja, putus pendapatan, ekonomi negara semakin merudum dan kos sara hidup meningkat. Sebab itu, tidak pelik kalau rakyat mengharapkan PRU15 dipanggil awal supaya sebuah kerajaan baharu yang stabil dan makmur dapat ditubuhkan. Bemula Ogos 2022, rakyat tertanya-tanya bila Perdana Menteri hendak membubarkan Dewan Rakyat supaya PRU ke-15 dapat diadakan. Mendengar keluhan itu, Datuk Seri Ismail Sabri yang merupakan Perdana Menteri kesembilan ketika itu memutuskan tarikh 10 Oktober 2022 sebagai pembubaran Parlimen. Selepas Dewan Rakyat dibubarkan, rakyat tertanya-tanya bilakah tarikh pilihan raya diadakan, kerana mereka tidak sabar untuk keluar mengundi. Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 19 November 2022 sebagai hari mengundi, rakyat tidak sabar-sabar menunggu detik pengumuman parti mana yang menang dengan majoriti mudah. Namun, sehingga pukul 4 pagi pada 20 November 2022, tidak ada satu parti pun mendapat 112 kerusi atau majoriti mudah. Ini memaksa Yang di-Pertuan Agong memanggil semua ketua-ketua parti untuk menyelesaikan keputusan berkenaan. Tuanku kemudian mencadangkan agar dibentuk sebuah Kerajaan Perpaduan antara PH dengan PN, memandangkan kedua-dua parti itu mendapat jumlah yang terbanyak, tetapi bukan dominan. Tetapi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan itu dengan alasan tindakan membentuk Kerajaan Perpaduan ‘lari’ dari perjuangan asal gabungan itu. Atas kebijaksanaan Tuanku, maka cadangan dikemukakan kepada BN agar bergabung saja dengan PH supaya kerajaan dapat dibentuk bagi menamatkan kegusaran dan kebimbangan rakyat. Atas titah itu, BN bersetuju dan bersedia bersama PH untuk menubuhkan kerajaan dengan Anwar yang mendapat kerusi terbanyak sebagai Perdana Menteri, manakala BN mencadangkan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Selepas persetujuan dicapai, Tuanku memberi perkenan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan majlis angkat sumpah Perdana Menteri dilakukan pada jam 5 petang 24 November di Istana Negara. Pada 2 Disember 2022, Anwar mengumumkan barisan Jemaah Menterinya, yang turut menamakan Datuk Seri Fadzillah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPBS) sebagai Timbalan Perdana Menteri II. Dengan itu, maka selesailah konflik kecil pembentukan kerajaan pasca PRU15 dan Anwar serta barisan Jemaah Menterinya memulakan tugas masing-masing pada 5 Disember lalu. Rakyat mengharapkan kerajaan ini kekal sehingga tamat penggal PRU15 pada 2027 nanti, tanpa berulang lagi ‘langkah’ atau kerajaan tebuk atap sebagaimana berlaku sepanjang penggal PRU14. Rakyat mengharapkan kerajaan baharu ini dapat segera memulihkan ekonomi negara, sekali gus mengatasi masalah kos sara hidup tinggi yang membebankan mereka selama ini dalam meneruskan kesinambungan hidup. Rakyat menaruh keyakinan dengan keupayaan dan kebolehan Anwar serta dibantu Jemaah Kabinetnya untuk meletakkan semula ekonomi negara pada landasan yang betul. Mereka tidak tahan menempuhi kehidupan di sebuah negara yang tergelincir dari landasan dan cukuplah empat tahun kemelut itu berlaku untuk dimasukkan dalam sejarah kehidupan. – MalaysiaGazette/analisis

Masih ada lagikah UMNO, BN pada PRU16?

By Manzaidi Mohd Amin - 26 November 2022
JIKA diimbau atau diteliti kembali keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) dari PRU 11 hingga PRU 15, apa yang dijumpai adalah suatu yang amat menakutkan. Rasa takut itu lebih tepat ditumpukan pada jumlah kerusi yang dimenangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam tempoh 18 tahun dari 2004 hingga 2022. Dalam pemerhatian dan penelitian itu, sedar atau tidak, UMNO dan BN sedang melalui era kejatuhan atau dengan lebih tepat kemerosotan sokongan orang Melayu, masyarakat Cina dan kaum India kepada parti itu. Kemerosotan itu mula dikesan pada PRU 12 tahun 2008, apabila jumlah kerusi yang dimenangi UMNO dan BN ketika itu sekadar 140 kerusi, sedangkan jumlah sebelumnya iaitu pada PRU 11, parti keramat orang Melayu itu menang lebih 200 kerusi. Dalam PRU 12 itu, UMNO dan BN hilang sebanyak 60 kerusi, kemudian PRU 13 hilang lapan kerusi menjadikan 132 kerusi yang dimenangi pada 2013 dan hilang lagi 53 kerusi pada PRU 14 apabila UMNO dan BN hanya mendapat 79 kerusi. Namun, daripada 79 kerusi itu, UMNO dan BN hilang lagi 39 kerusi apabila 39 ahli Parlimennya lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Dengan tindakan itu, UMNO dan BN tinggal 40 kerusi sehinggalah pada PRU 15 jumlahnya makin berkurangan kepada 30 kerusi. Sungguhpun jumlahnya berkurangan, berkat keramat yang ada pada parti itu, meletakkan UMNO dan BN masih menjadi kerajaan dengan menyatakan sokongan kepada parti gabungan terbanyak. Sepanjang PRU 14, UMNO dan BN untuk pertama kalinya menjadi pembangkang dengan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Di Parlimen, beliau dan 39 ahli Parlimen UMNO serta BN ‘diserang’ bertubi-tubi oleh blok kerajaan – PH yang komponennya terdiri daripada PKR, Parti Amanah, DAP, Parti Bersatu dan Warisan. Tetapi, UMNO dan BN bersikap anak jantan, mereka menangkis segala serangan itu selama 22 bulan sehingga kerajaan PH jatuh akibat krisis dalaman parti itu yang menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tidak cukup dengan itu, sekumpulan ahli Parlimen PKR diketuai Timbalan PKR masa itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin membuat Langkah Sheraton. Langkah Sheraton itu menyebabkan kerajaan PH tumbang dan memberi laluan kepada Parti Bersatu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuh kerajaan ‘tebuk atap’. Muhyiddin kemudian memikat Pas supaya menyertai parti itu dan membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN). Kerana ghairah dengan tawaran jawatan dalam Kabinet, Pas yang ketika itu terikat dengan Muafakat Nasional (MN) memutuskan untuk berpisah dengan UMNO. Maka, kerajaan tebuk atap iaitu PN 1.0 ditubuhkan dengan jumlah sokongan daripada ahli Parlimen Bersatu, ahli Parlimen bekas PKR dan ahli Parlimen Pas. UMNO dan BN pula kekal untuk tidak bersama PN, tetapi menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan, dengan Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanapun, kerajaan PN 1.0 mampu bertahan 17 bulan sahaja dan tempat Muhyiddin digantikan oleh Ismail Sabri dari UMNO sebagai Perdana Menteri kesembilan. Ismail Sabril kemudian menamakan kerajaannya sebagai kerajaan PN – Keluarga Malaysia. Kerajaan Keluarga Malaysia ini walaupun zahir ditadbir oleh UMNO dan BN, tetapi pergerakannya dikawal oleh Bersatu. Dengan kata lain, UMNO dan BN tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian. Setiap dasar mesti mendapatkan restu, izin atau persetujuan daripada parti Bersatu. Maka, berjalanlah kerajaan yang tidak sempurna itu mentadbir negara sehingga Ismail Sabri memutuskan untuk mendapatkan perkenan Tuanku Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2022. Disangkakan dengan pembubaran Dewan Rakyat lebih awal dari tamat tempoh penggal PRU 14, UMNO dan BN akan mendapat kembali nyawanya yang lebih separuh hilang itu. Tetapi, strategi itu telah memakan diri, apabila pada 19 November lalu, UMNO dan BN hanya mampu menang 30 kerusi sahaja. Sebanyak 70 peratus muka baharu semuanya kecundang. Jika diconggak dan dihitung, riwayat UMNO sekadar tinggal suku nyawa sahaja lagi. Jika tiada usaha dilakukan dari kepimpinan sekarang, tidak mustahil UMNO akan lenyap pada PRU 16 akan datang. Sejarah menunjukkan sokongan kepada UMNO dan BN semakin hilang sejak 2004. Anak-anak muda yang baru pertama kali mengundi sebaik mencapai umur 18 tahun tidak lagi berminat kepada parti terbesar orang Melayu itu. Mereka lebih cenderung kepada PH – PKR, Amanah dan DAP serta PN – Bersatu dan Pas. Mungkin kerana dua gabungan itu pandai bermain angin mereka, berbanding UMNO yang berterusan bertelagah sesama sendiri sejak sekian lama. Kesimpulannya, UMNO adalah parti keramat. Buktinya, walaupun kalah dalam dua PRU dengan mendapat jumlah kerusi yang paling kecil, tetapi takdir Allah menetapkan parti itu berada dalam blok kerajaan. PRU 14 kerajaan Keluarga Malaysia dengan PN dan PRU 15 Kerajaan Perpaduan dengan PH. Walaupun begitu, UMNO tidak boleh menganggap itu sebagai rezeki atau tuah untuk meletakkannya berasa selesa, sebaliknya kepimpinan UMNO perlu fikirkan bagaimana untuk mengembalikan sokongan rakyat pada PRU 16 akan datang. Ramai ahli UMNO rindukan kegemilangan parti itu di era 70-an, 80-an dan 90-an. Mereka seronok mendengar keputusan PRU 11, UMNO dan BN menang lebih 200 kerusi. Tetapi, kalau UMNO masih bertelagah sesama sendiri, tidak mendekati anak muda, tidak melakukan reformasi dan membiarkan musuh dalam selimut menghancurkan UMNO dari dalam, tidak mustahil dalam empat atau lima tahun akan datang, orang Melayu akan menyaksikan UMNO dimasukkan dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan. Jika itu berlaku, amat sedih dan malanglah bagi generasi Melayu akan datang dan kepada sisa baki pejuang yang masih ada. Walaupun ada PH dan PN, tetapi semangat juang dua parti itu tidak sama dengan semangat juang UMNO. UMNO hidup sebelum negara merdeka, sedangkan PH dan PN hidup selepas merdeka. Semangatnya jauh berbeza, bagai langit dengan bumi. – MalaysiaGazette/analisis

Kenapa PN tolak cadangan Agong untuk tubuh Kerajaan Perpaduan?

By Manzaidi Mohd Amin - 23 November 2022
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2022. MEMANDANGKAN tiada mana-mana parti yang menang secara dominan atau dengan majoriti mudah, maka Yang di-Pertuan Agong mencadangkan agar dibentuk sebuah kerajaan perpaduan. Kerajaan perpaduan ini bermakna kerajaan gabungan antara parti-parti yang ada jumlah kerusi tertentu, tetapi jumlahnya tidak mencecah 112 sebagaimana ditetapkan Perlembagaan Persekutuan. Maknanya, cadangan daripada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan perpaduan itu ialah gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN), manakala Perdana Menteri dilantik dari mana-mana gabungan yang mendapat lebih kerusi dari gabungan lain. Dalam maksud Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri bagi kerajaan perpaduan ini ialah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab gabungan itu mendapat 82 kerusi, manakala Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana gabungannya memperoleh 73 kerusi sahaja. Baginda telah mencadangkan nisbah yang adil bagi kedua-dua pihak kerana kerajaan Persekutuan perlu dibentuk sesegera mungkin bagi mengurus tadbir negara dan hal ehwal rakyat. Kalau tergantung sehingga hari ini yang sudah masuk hari keempat pasca PRU15, tidak baik untuk negara dan rakyat. Negara boleh hilang berbilion ringgit sehari tanpa ada kerajaan yang stabil dan makmur. Namun, Muhyiddin dikatakan menolak cadangan itu dengan alasan, PN pada dasarnya sudah mempunyai bilangan Ahli Parlimen melebihi 112 kerusi sebagaimana dikehendaki Perlembagaan. “Di sini ada surat akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka, Datuk Nazim Mohamad Halim yang sahkan penerimaan dokumen yang kami serahkan atau dihantar menerusi e-mel yang merupakan bukti kami mempunyai sejumlah bilangan MP (ahli Parlimen) melebihi 112 yang dikehendaki. “Jadi, sebab itu kami yakin sewajarnya boleh membentuk kerajaan, tetapi bila saya menghadap baginda tadi (semalam), dikatakan ia (115) tidak mencukupi dan saya tidak tahu apa sebabnya. “Selepas itu kerana dikatakan tiada satu pun yang mempunyai jumlah bilangan yang mencukupi, Tuanku mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk Unity Government (Kerajaan Perpaduan),” kata Muhyiddin pada sidang media, semalam. Memang benar PN mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan PH, tetapi baginda perlu meneliti sejauh mana kesahihan kedudukan 39 kerusi lagi yang dikatakan menyokong PN untuk menubukan Kerajaan Persekutuan. Itu Yang di-Pertuan Agong ambil kira, sebab daripada 39 kerusi itu melibatkan 23 parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan enam parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sedangkan kedua parti ini terikat dengan Akuan Sumpah (SD) kepada BN sebelumnya. Tidak boleh ada dua SD serentak untuk menyokong mana-mana parti lain yang mereka rasa perlu berbuat demikian, melainkan disertakan dengan persetujuan daripada BN. Mengambil kira perkara ini yang mendorong Istana Negara untuk tidak menerima jumlah 112 atau 115 yang diserahkan oleh PN semalam. Justeru, disebabkan tidak ada kata sepakat dan tiada keputusan dicapai antara Muhyiddin dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka Yang di-Pertuan Agong mencadangkan agar dibentuk kerajaan perpaduan. Kalau melihat kepada kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad semalam, beliau antara pemimpin dari PH yang pertama mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan nasional. Dalam kenyataannya, beliau berharap kerajaan baharu yang dinamakan perpaduan nasional dapat dibentuk secepat mungkin. Dzulkefly bukan sekadar Ahli Parlimen, malah Pengarah Strategi Amanah yang dilaporkan berkata, pembentukan kerajaan itu perlu disebabkan tiada gabungan parti yang mendapat kemenangan majoriti. “Disebabkan tiada gabungan yang mendapat kemenangan majoriti untuk membentuk kerajaan, justeru terdapat keperluan mendesak untuk membina kerajaan perpaduan. “Kita patut fokus kepada national reset agenda atau agenda menetapkan semula kedudukan negara di landasan sebenar,” kata Dzulkefly menerusi ciapan Twitternya. Kenapa perkara yang mudah menjadi susah? Adakah kerana jawatan Perdana Menteri yang diimpikan Anwar dan Muhyiddin menjadi halangan untuk bersetuju dengan cadangan dan saranan Yang di-Pertuan Agong? Kedua pemimpin ini tidak lekang dari mulut “demi kepentingan rakyat”, “demi mengembalikan negara yang kini tidak stabil” dan macam-macam demi lagi. Hakikatnya, biila ditanya kepada rakyat, mereka langsung tidak kisah siapa jadi kerajaan, sama ada kerajaan majoriti mudah atau kerajaan dua pertiga atau kerajaan perpaduan. Kepada rakyat, asalkan selepas PRU15 pada 19 November lalu, keesokan hari sudah ada kerajaan baharu. Mereka tidak kisah pun siapa Perdana Menteri, sama ada Muhyiddin atau Anwar. – MalaysiaGazette/analisis/pru15

Bersandarkan hasil dapatan badan pengkaji, semua parti dapat bentuk kerajaan

By Manzaidi Mohd Amin - 18 November 2022
PELBAGAI hasil dapatan dikeluarkan pihak tertentu yang kononnya mendapat pengiktirafan badan berkuasa untuk melakukan kajian bagi mendapatkan jawapan parti mana bakal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok. Ada kajian yang mendapat keputusan Barisan Nasional (BN) mengatasi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) serta ada juga keputusan yang memihak kepada PH serta PN. Namun, setakat ini, tiga dapatan daripada lima badan pengkaji telah mengeluarkan jawapan hampir sama iaitu BN bakal membentuk kerajaan Persekutuan, manakala PH dan PN menjadi pembangkang. Tiga dapatan itu menyatakan, perolehan kerusi oleh BN antara 85 hingga 90 kawasan Parlimen di Semenanjung, tidak termasuk jumlah kerusi dimenangi rakan BN di Sabah dan Sarawak. Dua dapatan lagi masing-masing mendedahkan keputusan orang ramai yang memilih PH sebagai kerajaan dan satu lagi memilih PN sebagai kerajaan. Semua jawapan itu bagaimanapun, tidak dapat disahihkan oleh mana-mana pihak berautoriti, tetapi mereka berhak mendedahkannya kerana ia adalah hasil kajian yang dilakukan di lapangan. Sehingga jam 7 malam ini, yang berbaki kira-kira lima jam lagi untuk tempoh berkempen tamat pada jam 11.59 malam, penulis belum menerima jawapan yang tetap parti mana akan menang majoriti. Ini kerana, sepanjang 19 hari membuat liputan calon-calon berkempen, sokongan bagi tiga parti gabungan itu sama kuat. Kempen oleh tiga parti ini mendapat sambutan menggalakkan. Bendera dan poster sama banyak, kempen ceramah sama hebat dan program walkabout pun mendapat sambutan Sebab itu, kalau kita dengar kenyataan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing mendakwa mereka akan menang. Cuba nampak ghairah sejak awal kempen ialah Anwar dan Muhyiddin. Ke mana sahaja berceramah, mereka mengangkat diri sendiri sebagai Perdana Menteri. Dengan kata lain, tanpa segan silu mereka telah mengisytiharkan kepada rakyat bahawa merekalah Perdana Menteri ke-10 pada 20 November ini. Di belah pihak BN pula, sudah terang lagi bersuluh, poster boy adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau turun berkempen tidak pernah mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-10. Cuma isu Perdana Menteri dalam kalangan BN ini dimainkan oleh dua parti lawannya iaitu PH dan PN. Tuan badan tidak memikirkan soal itu, sebaliknya mahu beri tumpuan kepada soal kebajikan rakyat. Selepas menang, baharulah BN akan buat pelantikan secara rasmi sebagaimana dijanjikan oleh Ahmad Zahid dan dipersetujui sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Berbalik kepada senario sokongan rakyat kepada tiga parti gabungan ini, setakat ini nisbahnya boleh diletakkan sebagai 50-50. Angka itu diletakkan sama rata, sama adil kerana kita tidak dapat menjangkakan berapa peratus rakyat akan keluar mengundi esok. Peratusan ini pula bergantung kepada keadaan cuaca, yang mana sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu, cuaca Monsun Timur Laut mula menunjukkan ketidaktentuan. Tarikh 8 November 2022 secara tiba-tiba menyaksikan bandaraya Shah Alam banjir, kemudian diikuti 11 November dan terbaharu 17 November. Keadaan ini memberi kesan kepada pengundi, sama ada mahu keluar mengundi atau biarkan PRU15 berlalu begitu sahaja tanpa mereka keluar mengundi. Namun begitu, bersandarkan kepada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka baru-baru ini, boleh dikatakan BN telah sapu bersih semua kerusi ditandinginya termasuk milik PH dan PN. Tetapi, PH dan PN bernasib baik kerana ada juga satu dua zuriatnya masih diberi nyawa sebagai pewaris yang akan meneruskan hikayat hidup parti berkenaan. Itulah momentum yang penulis dapat gambarkan. Perangkaan 50-50 bukan berdasarkan sembang rambang orang ramai secara bersemuka, tetapi bersandarkan kepada naluri. Malah, ini adalah jawapan yang benar-benar adil, berbanding memberi harapan kosong kepada rakyat, sedangkan kita sendiri tidak tahu jawapan yang diberikan responden itu jujur atau retorik. Jawapan lebih tepat ialah sama-samalah tunggu pengumuman rasmi dari SPR malam esok. Tidak perlu mengharapkan jawapan yang tidak menjamin kepada kebenaran. – MalaysiaGazette/analisis/pru15

Ismail Sabri perlu satu penggal penuh jika nak menjayakan ideanya

By Manzaidi Mohd Amin - 10 November 2022
SECARA umum, skala 77.9 peratus daripada 1,211 responden yang terlibat dengan kajian selidik secara tatap muka di lapangan bersetuju Konsep Keluarga Malaysia adalah amat baik dalam menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini. Lebih separuh daripada respoden, iaitu 59.5 peratus mengakui inisiatif, bantuan dan dasar Keluarga Malaysia telah memberi manfaat kepada mereka dan ahli keluarga. Manakala 49.9 peratus menyatakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mempunyai misi jelas dalam mengutamakan kebajikan rakyat. Perangkaan peratusan itu terkandung dalam laporan kajian ‘Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia’ oleh Panel Penyelidikan ILHAM Centre (ILHAM). Kajian itu dilaksanakan selama tiga minggu bermula 20 Oktober hingga 6 November lalu dengan 1,211 responden telah memberikan kerjasama mengisi borang kaji selidik proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif. Semua responden itu melibatkan dari seluruh negara yang dipilih secara persampelan rawak berstrata dan meliputi semua segmentasi jantina, kaum, peringkat umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan dan lokaliti yang berbeza. Menurut laporan itu, pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini telah dilaksanakan dengan semua responden yang ditemui dapat menyempurnakan borang kaji selidik dengan jayanya. Borang kaji selidik telah dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi memudahkan penilaian kefahaman terhadap subjek atau topik yang diperbincangkan. Sebanyak 10 domain utama dinilai dalam kajian ini meliputi Prestasi Kerajaan Keluarga Malaysia, Konsep Keluarga Malaysia, Dasar dan Inisiatif Perdana Menteri, Pengurusan Ekonomi, Pelaburan Asing, Aspirasi Masa Depan, Bajet 2023, Bajet 2023 Untuk Wanita, Bajet 2023 Untuk Belia dan Bajet 2023 Untuk Mahasiswa. Data kuantitatif yang diperolehi melalui borang kaji selidik dan kualitatif yang dikumpulkan melalui perbincangan kumpulan sasar itu telah disusun secara sistematik bagi memudahkan kefahaman secara berstruktur dan memandu kronologi topik perbincangan. Laporan itu hanya merujuk kepada prestasi semasa kerajaan dan pencapaian dasar Keluarga Malaysia, namun melihat kepada usaha kerajaan melalui Pasukan Jihad Tangani Inflasi mampu membendung kenaikan harga barangan hanya dipersetujui sebanyak 46.4 peratus. “Ini menunjukkan kerajaan masih berada di peringkat awal dan sedang mengatasi isu harga barangan yang dihadapi oleh pengguna. “Secara umum, rakyat menerima idea-idea dasar Keluarga Malaysia sebagai wadah perpaduan dan sebanyak 75.8 peratus bersetuju semangat Keluarga Malaysia mampu mengekalkan keamanan dan kerukunan. “Malah, 58.5 peratus bersetuju Keluarga Malaysia juga mampu mencegah perpecahan rusuhan kaum di Malaysia,” kata laporan itu. Ini menunjukkan secara asasnya, rakyat menerima polisi dan dasar kerajaan yang baik dalam konteks menjaga keharmonian kaum bersesuaian dengan kemajmukan rakyat di Malaysia. Pencapaian tertinggi diperolehi ialah sebanyak 82.5 peratus terhadap program Jamin Kerja dan Diskaun Saman PDRM. Ternyata dalam perkara yang melibatkan pemberian one-off, subsidi potongan harga saman, bantuan kerajaan secara mudahnya rakyat amat mengalukan kerana dapat meringankan beban mereka dalam kos sara hidup. “Bagaimanapun, hanya 30 peratus pernah menghadiri secara fizikal Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, yang berkemungkinan disebabkan faktor lokasi penganjuran yang bertumpu di kawasan utama. “Ini menandakan program Aspirasi Keluarga Malaysia harus diteruskan dan diperluaskan hingga sampai ke seluruh peringkat akar umbi,” lapor ILHAM. Namun, penilaian persepsi rakyat kepada Dasar Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Ismail Sabri secara umumnya disambut baik walaupun sebahagiannya masih lagi belum jelas mengenai hala tuju negara menerusi dasar itu mampu memberi manfaat kepada mereka secara spesifik. Dengan pengesahan oleh responden memberikan peratusan memuaskan terhadap pelaksanaan Dasar Keluarga Malaysia walaupun hanya 13 bulan Perdana Menteri mentadbir negara. Ini kerana, apabila negara melangkah masuk ke fasa endemik, trauma mereka masih lagi berbekas ketika mana berdepan dengan kehilangan punca pendapatan, hilang pekerjaan sehingga segelintir mengibar bendera putih kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilalui selama lebih dua tahun. Selain itu, dari aspek politik pula, drama politik berebut teraju kekuasaan menyebabkan rakyat sangat letih dengan pertembungan kuasa yang berlaku. Ini dapat dilihat dengan rendahnya peratusan penyertaan rakyat di dalam dua siri pilihan raya negeri yang berlangsung di Melaka dan Johor. Kehadiran watak Perdana Menteri yang tidak membawa pendekatan jalur keras, kurang kontroversi serta menghargai peranan parti pembangkang menyebabkan suhu politik tempatan menjadi reda. Maka, apabila Dasar Keluarga Malaysia diperkenalkan, rakyat terbanyak menerimanya dengan baik. Kaum Melayu, masyarakat di luar bandar dan pedalaman menerima dasar ini adalah untuk meletakkan kembali Malaysia di landasan yang tepat. Kajian ini menyukat dasar itu selepas Parlimen dibubarkan. Ternyata, Dasar Kerajaan Keluarga Malaysia ini adalah baik, tetapi memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk direalisasikan. Perdana Menteri memerlukan satu penggal penuh jika ingin menjayakan lagi idea beliau ini selepas Pilihan Raya Umum ini. Pencapaian Ismail Sabri selama 13 bulan tetap harus dipuji. Ini kerana selama perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri telah menunjukkan hasil kejayaan dan membina asas bagi meletakkan semula negara pada landasan yang betul dan perlu bersedia menghadapi gelombang kesuraman ekonomi pada masa mendatang. – MalaysiaGazette/analisis.pru15

PRU15 saksikan ramai nama besar terkorban

By Manzaidi Mohd Amin - 6 November 2022
PERAMAL politik menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini adalah ibu segala pilihan raya. Ia adalah pilihan raya yang menyaksikan nama-nama besar dalam arena politik tanah air terkorban dan berakhir karier politik masing-masing untuk tempoh lima tahun. Sebenarnya bukan atas kehendak atau permintaan mereka untuk bertembung, apatah lagi berlawan dengan musuh yang bukan calang-calang orang, tetapi kerana perancangan yang diatur oleh parti, mereka patuh untuk ‘membunuh’ dan akur ‘dibunuh’. Di PRU sebelum ini, strategi begini tidak pernah berlaku, melainkan secara kebetulan mereka berasal di kawasan yang sama, bukan seperti sekarang, terpaksa dipindahkan ke kerusi jauh dari tempat tinggal semata-mata untuk mematikan musuh atau diri dimatikan musuh. Sebagai contoh, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan yang tinggal di Pandan, Kuala Lumpur ditempatkan di Parlimen Padang Besar untuk lawan calon PN, Datuk Rushdan Rusmi dan calon PH, Mohamad Saad@Yahya. Tetapi, beliau tidak menduga, penyandang Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dari UMNO sanggup mempertahankan kerusi itu dengan bertanding atas tiket bebas. Adakah beliau dapat ‘membunuh’ tiga calon ini atau dirinya ‘dibunuh’ oleh tiga pihak lawan ini? Tambahan pula Zahida tidak dapat turun berkempen kerana masih dalam edah kematian suami. Jadi, karier siapa akan berakhir dalam PRU15 ini? Zahida, Zahidi, Rushdan atau Mohamad Saad? Contoh seperti inilah para peramal mengatakan PRU15 kali ini adalah ibu kepada segala PRU, kerana ia seolah-olah pertandingan kalah mati, pertandingan yang mempertaruhkan nyawa dan masa depan diri dalam politik. Selain Padang Besar, di kerusi Parlimen Arau juga nampak panas. Penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak disenaraikan pucuk pimpinan UMNO, BN telah membuat keputusan bertanding atas tiket PN. Mungkin beliau boleh menang selesa atas tiket PN sebab komponen PN ialah Pas dan Bersatu, yang mana ahli, pengikut dan penyokong dua parti ini akan terjemahkan undi mereka kepada Pak Dan. Begitu juga di Langkawi, setakat ini tidak ada mana-mana pemimpin dapat menewaskan Bapa Pemodenan Negara untuk merampas kerusi itu daripadanya, baik kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun mencabarnya. Anaknya, Datuk Seri Mukhriz juga dijangka mengekalkan kerusi Jerlun sebagai Ahli Parlimen itu pada 20 November ini. Cuma di Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berada dalam keadaan tidak selamat apabila BN meletakkan bekas ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob sebagai pencabarnya. Di Sungai Petani, Datuk Marzuki Yahya dari parti Pejuang dicabar oleh Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dari BN. Ini pun bukan calang-calang orang yang boleh dipandang rendah oleh Marzuki. Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pula dijangka menang mudah di Baling, begitu juga Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismal akan mengekalkan kerusi Kulim Bandar Baharu kerana pencabarnya bukan daripada kalangan berpengaruh. Jauh di Kelantan sana, bekas ADUN Demit, Datuk Mumtaz Md. Nawi dari PN diletakkan oleh pucuk pimpinan Pas di kerusi Parlimen Tumpat untuk memberi ucapan selamat tinggal kepada pengkhianat parti, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. Che Abdullah menang Parlimen itu atas tiket Pas dan juga merupakan ahli Pas, tetapi kerana tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi itu, beliau berjumpa dengan Presiden UMNO meminta izin bertanding atas tiket BN. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi persetujuan tanpa memikirkan perasaan pimpinan UMNO Bahagian yang sekian lama memasang impian mahu bertanding, hanya mampu menggigit jari. Jika ditanya bagaimana keadaan di Parlimen Pasir Mas, yang ini walaupun sukar diramal, tetapi naluri penulis menyatakan, Datuk Ab. Ghani Harun dari BN akan menang. Kemenangannya mungkin disebabkan pertembungan undi antara penyokong penyandang, Ahmad Fadhli Shaary (PN) dengan pencabarnya, Datuk Husam Musa (PH). Di Rantau Panjang pula, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali memperjudikan nasib berlawan dengan penyandang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dari PN/Pas. Bagi beliau, kalah itu biasa, menang itu bonus. Di Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz akan menerima tentangan daripada bekas timbalannya ketika mereka dalam UMNO iaitu Datuk Suparadi Md. Noor yang bertanding atas tiket PH. Tetapi tidak mustahil tuah memihak kepada calon BN, Bakri @ Mohd Bakri Mustapha. Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal pula diramalkan oleh para peramal sebagai seekor ikan kembung yang dijadikan umpan untuk menangkap jerung. Beliau diletakkan di kerusi Machang untuk berlawan dengan penyandang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. Beliau boleh diibaratkan seorang tentera yang dihantar ke medan perang, pergi tidak balik-balik. Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menarik diri daripada bertanding PRU ini menyebabkan perebutan di Jeli tidak sengit. Tempatnya diletakkan bekas pegawai khas beliau, Zahari Kechik. Di Tambun, Perak agak sukar diramal, sebab dua calon ini masing-masing mempunyai nama besar, Mereka adalah Anwar dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Kedua-duanya sama berpengaruh dan sama-sama menjadi idola. Hanya rakyat Tambun yang akan menentukan melalui undi pada 19 November ini. Di Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertanding atas tiket PH, dikatakan bakal jadi lauk lawannya, Khairul Azwan Harun dari BN. Begitu juga Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan menjadi makanan Ahmad Zahid Hamidi. Di Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai dari BN tidak boleh menganggap calon lawan, Young Syefura Othman (PH/DAP) sebagai pesaing yang mudah. Young Syefura atau Rara bukan pertama kali bertanding pilihan raya. Sudah tentu Rara menggunakan sehabis kudrat dan jentera dari DAP untuk mengalahkan veteran MCA itu. Kerusi lain pula seperti Bera sudah terang lagi bersuluh milik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Begitu juga di Kuala Selangor, walaupun pertama kali menyertai pertandingan, tetapi nama Tengku Zafrul Abdul Aziz semakin menyerlah sejak kejayaannya sebagai Menteri Kewangan. Cuma nasib penyandang, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agak malap sedikit kerana pencabarnya seorang nama besar, walaupun baru dalam arena politik. Di Gombak, penyandangnya, Datuk Seri Azmin Ali tidak akan memberi laluan mudah kepada pencabarnya yang juga merupakan bekas anak buahnya, Datuk Seri Amirudin Shari. Amirudin diletakkan di situ sebagai syarat parti tidak perlukan beliau lagi di peringkat negeri. Datuk Zuraida Kamaruddin yang baru selesai kemelut perebutan jawatan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan berdepan dengan pencabarnya, bekas ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dari PH. Atas nama parti baharu, sukar untuk bekas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu untuk mengekalkan kemenangan PRU14. Di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin tiba-tiba sahaja menjadi popular dalam kalangan rakyat dan pengundi kawasan itu. Penampilannya yang segak bergaya menyebabkan ramai ‘jatuh cinta’. Kelebihan ini yang menjadi ramalan para peramal bahawa Khairy akan menang di Sungai Buloh walaupun dengan majoriti tipis. Satu lagi kerusi yang menjadi perhatian ialah Titiwangsa, apabila Khalid Abdul Samad yang sebenarnya lebih selesa berada di Shah Alam telah dipindahkan ke Parlimen itu untuk berlawan dengan Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Demi ‘mempertahankan’ kedaulatan Kampung Baru, Khalid rela bertarung di Titiwangsa. Apa nak pelik, kalau mati, tanam. – MalaysiaGazette/analisis/pru15

Isham jadi pilihan pengundi?

By Manzaidi Mohd Amin - 4 November 2022
SHAH ALAM – Isham Jalil antara seorang daripada 22 calon Barisan Nasional (BN) Selangor yang disebut-sebut oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Beliau akan bertembung dengan tiga calon parti lawan dalam pertandingan empat penjuru pada 19 November ini antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA). PN mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya yang juga bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Dr. Afif Bahardin, manakala PH meletakkan Ketua Amanah Shah Alam, Azli Yusof dan GTA menamakan peguam parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali. Jika melihat kepada nama ini, hanya Dr. Afif pernah dua penggal bertanding sebagai ADUN Seberang Jaya di Pulau Pinang, tiga lagi adalah muka baharu yang pertama kali masuk gelanggang pertandingan. Namun, Isham dan Dr. Afif adalah dua nama besar dalam parti masing-masing yang dijangka memberi saingan hebat sengit antara satu sama lain. Bagaimanapun, kedua mereka tidak boleh memandang rendah pengaruh Azli yang merupakan Setiausaha Politik kepada Khalid Abdul Samad yang menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari Julai 2018 hingga Februari 2020. Khalid pula adalah Ahli Parlimen Shah Alam empat penggal di Shah Alam yang dimenanginya ketika bertanding atas tiket Pas dan Amanah dari tahun 2004 hingga tamat penggal PRU14. Jadi, dalam pertandingan kali ini, mata tertumpu kepada tiga calon ini, tetapi penganalisis politik membuat ramalan populariti Isham mengatasi Dr. Afif dan Azli. Dr. Afif pula kemungkinan berdepan dengan kehilangan banyak undi berikutan tindakannya keluar parti PKR untuk bersama bosnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai parti Bersatu. Ahli dan penyokong PKR kawasan itu akan mensabotajnya dan sama ada tidak keluar mengundi atau memberi undinya kepada calon lain. Ini tidak mustahil akan berlaku. Walaupun dalam empat penggal PRU, UMNO tidak pernah menang, tetapi itu bukan kayu pengukur untuk menyatakan Isham juga akan mengikut jejak bekas calon BN sebelum ini. Penampilan Isham yang dilihat sebagai seorang pemimpin muda yang ikhlas dan jujur, memberi banyak peluang kepadanya untuk menewaskan tiga lawan itu. Selain itu, Isham juga antara calon paling muda daripada Dr. Afif, Azli dan Muhammad Rafique. Sudah tentu faktor usia memberi kelebihan kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO ini untuk bergelar Yang Berhormat pada 20 November ini, yang mana beliau diramalkan mendapat undi paling banyak daripada pengundi muda berusia 18 yang secara automatik layak mengundi. Isham yang berkelulusan Sarjana Muda Kelas Pertama (Kejuruteraan) di Universiti Bristol ini mempunyai banyak kelebihan dari segi debat dan pidato. Beliau juga aktif bersama UMNO dan BN, sebelum dilantik Ketua Penerangan BN Selangor. Esok, Isham akan masuk gelanggang pertandingan sebaik hadir ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Teratai MBSA, Seksyen 19, Shah Alam sebelum jam 10 pagi esok. – MalaysiaGazette/analisis/politik/pru15

PBM bergolak, satu kapal dua nakhoda

By Manzaidi Mohd Amin - 30 October 2022
KETIKA hari penamaan calon semakin menghampiri dan kebanyakan parti politik sudah menempatkan calon masing-masing, tetapi Parti Bangsa Malaysia (PBM), parti paling bongsu dalam politik Malaysia masih bertelagah sesama sendiri. Sehingga kini, perpecahan semakin serius, apabila wujud dua watak utama dalam PBM yang masing-masing mengaku sebagai presiden yang sah dan mengikut perlembagaan. Kalau mengikut perlembagaan dan rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), nama Datuk Larry Sng Wei Shien adalah presiden asal parti itu yang diwarisi daripada bapanya, Sng Chee Hua sejak 2013. Namun, parti yang dilahirkan di Sarawak itu mula mendapat nama di Semenanjung selepas beberapa Ahli Parlimen (bekas) dari PKR yang menyertai ‘Langkah Sheraton’ menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 mahu tinggalkan parti Bersatu. Untuk meneruskan kesinambungan dalam politik, sekumpulan bekas pemimpin PKR ini termasuk Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai PBM dan mahu membawa parti itu seiring dengan parti politik yang ada di negara ini. Penyertaan Zuraida kemudian disambut baik oleh Larry Sng dan barisan kepimpinan parti waktu itu kerana sekurang-kurangnya PBM dapat melebarkan sayapnya di Semenanjung, selain menjadi teras di Sarawak. Namun, lain yang diharap, lain pula yang berlaku, apabila tiba-tiba timbul persengketaan di peringkat dalaman, yang mana kumpulan bekas PKR mahu mengangkat Zuraida sebagai presiden menggantikan Larry Sng. Bagaimanapun, cara kumpulan bekas PKR itu mengambil alih jawatan nombor satu yang dipegang oleh Larry Sng dibuat secara tidak teratur dan tersusun. Sungguhpun benar Larry Sng ada menyatakan akan menyerahkan jawatan presiden kepada Zuraida, tetapi proses penyerahan itu akan dilakukan secara tertib, mengikut peraturan dan perlembagaan parti. Tetapi, kumpulan bekas PKR ini dilihat seperti tidak sabar dengan Larry Sng yang bergerak perlahan seperti sloth, sedangkan tempoh PRU15 sudah tidak lama lagi dan parti perlu bergerak aktif dalam masa yang singkat untuk menarik sokongan rakyat. Justeru itu, kumpulan bekas PKR ini menerusi Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi parti pada 7 Oktober lalu untuk memilih Zuraida sebagai presiden. Dalam mesyuarat yang tidak dihadiri Larry Sng itu mendakwa majoriti Ahli Majlis Tertinggi parti bersetuju menggantikan jawatan yang dipegang Ahli parlimen Julau itu kepada Zuraida. Tarikh 7 Oktober 2022 adalah hari pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat. Larry Sng pula berada di Sarawak untuk mengikuti pembentangan bajet itu dan sudah tentu tidak dapat hadir. Tambahan pula, tarikh mesyuarat itu tidak dipersetujuinya. Serentak itu juga, beliau menggunakan kuasanya sebagai Presiden, menggantung tugasan Nor Hizwan dan Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid atas alasan tidak mematuhi arahan presiden. Malah, pada 28 Oktober di Bilik Gerakan Utama PBM di ibu kota, kumpulan bekas PKR yang diketuai Nor Hizwan telah mengadakan sidang media khas untuk menjelaskan kedudukannya dan Zakaria dalam parti. Katanya, Larry Sng tidak berhak menggantungnya kerana Ahli Parlimen Julau itu bukan lagi presiden selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 7 Oktober 2022 memutuskan Zuraida sebagai presiden yang sah. Larry Sng pula dalam responsnya menyifatkan mesyuarat pada 7 Oktober itu sebagai tidak sah, kerana melanggar Fasal 21 (i) iaitu Majlis Tertinggi PBM hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan atau apabila diarah oleh Presiden… Tetapi respons Larry Sng itu disanggah oleh Nor Hizwan yang mendakwa mesyuarat 7 Oktober juga dijalankan mengikut Fasal 21 (i) iaitu… atau atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli-ahli Majlis Tertinggi. Nor Hizwan mendakwa, mesyuarat itu dihadiri oleh separuh daripada jumlah ahli-ahli majlis itu. Dengan itu, katanya, pelantikan Zuraida sebagai presiden pada hari itu adalah secara rasmi dan mengikut perlembagaan parti. Serentak itu, juga dakwanya, Larry Sng adalah mantan presiden. Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaharu Larry Sng, satu tindakan tegas dan keras daripanya apabila menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu termasuk ‘presiden’nya Zuraida kerana didakwa melanggar disiplin parti. Penggantungan berkuatkuasa serta-merta itu turut melibatkan Haniza Mohamad Taha, Dr. Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr. G. Sathiskumar, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage dan Abdul Aziz Abdul Kadir. Turut digantung, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim. Larry Sng berkata, tindakan itu dibuat berhubung penglibatan berterusan kumpulan berkenaan yang menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya. “Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum. “Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook. Serentak itu juga, Larry memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini (30 Oktober 2022) di Sarikei, Sarawak, jam 4 petang memandangkan perkara itu amat mendesak untuk membincang dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera. Namun, kumpulan Zuraida pula akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 3 November ini di Kuala Lumpur. Setakat ini, bukan sahaja rakyat, media pun turut keliru dengan kemelut politik PBM. – MalaysiaGazette/analisis/politik

Parti politik baharu muncul musim PRU satu fenomena biasa

By Manzaidi Mohd Amin - 31 October 2022
SETIAP kali tiba musim pilihan raya umum, kemunculan beberapa parti baharu secara tiba-tiba bukan perkara mengejutkan. Selalunya, penubuhan parti baharu atau ‘dihidupkan’ semula parti yang tidak aktif berlaku disebabkan kekecewaan orang politik. Kerana dipecat atau kecewa dan tidak dapat meneruskan kesinambungan politik dalam parti sedia ada, mereka mengintai parti-parti kecil yang tidak aktif untuk dijadikan medan perjuangan. Sebab itu, selepas penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan terbaharu Parti Penyatuan Nasional (PPN) adalah biasa. Malah, banyak lagi parti-parti lama yang tidak timbul dalam arena politik Malaysia yang mungkin menjadi pilihan orang politik untuk diaktifkan, mungkin pada PRU akan datang. Antaranya, Kongres Ceylonese Malaysia (MCC), Parti Punjabi Malaysia (PPM), Parti Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Bersatu Sasa Malaysia (MUPP), Parti Generasi Baru (NewGen), Parti Alternatif Rakyat (PAP), Parti Bersama Malaysia (MUP), Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan banyak lagi. Selain itu, ada parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), Parti Barisan Pulau Pinang (PFP) dan Parti Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM). Semua parti ini berdaftar dengan RoS tetapi tidak aktif kerana untuk menggerakkan satu-satu parti memerlukan sumber kewangan yang besar. Apa yang menarik dalam PRU15 ini ialah kemunculan PPN, yang dikatakan akan bertanding di lebih 150 kerusi Parlimen. Walaupun, tidak mempunyai nama besar atau orang politik tetapi PPN yang hanya membariskan individu tertentu dan golongan profesional dikatakan sudah nekad untuk bertanding. Jika benar dan mendapat kelulusan RoS sebelum 5 November ini, PRU15 lagi meriah dengan menyaksikan pertandingan empat hingga lima penjuru. Yang pasti setakat ini empat parti gabungan iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di semua 222 kerusi Parlimen. Menurut Presiden Penaja PPN, Datuk Ibrahim Yahaya, parti pimpinannya itu sudah pun bersiap sedia dengan jentera untuk membantu calon yang bertanding. Katanya, PPN tidak mementingkan kemenangan tetapi misi utama parti itu ialah mengutamakan kebajikan atau pembelaan rakyat Malaysia. “Memandangkan PRU ini berlangsung dalam musim banjir, PPN juga telah menyiapkan jenteranya yang akan bergerak memberi bantuan kepada rakyat yang terlibat bencana alam. “Ini yang kita dahulukan dan utamakan, bukan hanya mementingkan parti dan diri sendiri. Saya harap kita semua dilindungi Allah,” katanya baru-baru ini. Selain meletakkan calonnya di Semenanjung, PPN juga dijangka bertanding di Sabah dan Sarawak. Tidak diketahui sejauhmana PPN mendapat sokongan rakyat di dua negeri itu, tetapi Ibrahim tetap yakin dapat bertapak selepas bertanding pada PRU15 yang ditetapkan 19 November ini. Satu perkara yang boleh dikatakan semangat juang yang tinggi PPN ialah parti itu tidak bergabung dengan mana-mana pakatan sama ada BN, PH, PN mahu pun GTA sebaliknya akan bergerak secara solo. “Kita tidak masuk mana-mana gabungan. Kita bertanding secara individu menggunakan lambang PPN. “Tujuan kita menyertai PRU adalah hendak menyatukan bukan memecahbelahkan, di samping PPN akan menjadi contoh dan model kepada parti lain supaya utamakan rakyat, bukan pentingkan diri sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette/analisis/politik/pru15

Mampukah Ahmad Jazlan kembalikan Kelantan kepada UMNO-BN?

By Manzaidi Mohd Amin - 27 October 2022
MENANG atau kalah UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kelantan terletak sepenuhnya atas bahu Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. Beliau diberi tanggungjawab mengurus tadbir UMNO, BN Kelantan sejak 2018 selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mengambil alih daripada pengerusi sebelumnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Mustapa tidak lagi bersama UMNO kerana telah lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi meneruskan kesinambungannya dalam politik.. Lalu pucuk pimpinan memilih Ahmad Jazlan mengetuai UMNO Kelantan, dan pemilihan bukan bukan dibuat secara tergesa-gesa atau terdesak kerana anak kepada mantan Ketua UMNO Bahagian Machang ini bukan calang-calang orang. Beliau terlibat dalam politik bermula 1997 sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Negeri dan dilantik Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan pada 2014. Pendek kata, Ahmad Jazlan banyak pengalaman dalam politik UMNO Kelantan dan juga dalam kerajaan apabila dilantik Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2015 hingga 2018. Bukan itu saja, Ketua UMNO Bahagian Machang ini juga pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Beliau berjiwa muda dan tidak mustahil akan memilih calon-calon muda serta muka baharu untuk diletakkan di 14 kerusi Parlimen di Kelantan, termasuk di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri tahun depan. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dilantik ini juga mempunyai strategi dalam menyusun atur gerak kerja politik di negeri Serambi Mekah kerana beliau pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). Walaupun tidak diketahui siapa antara nama calon yang telah dikemukakan kepada pucuk pimpinan awal Oktober lalu, ramai penganalisis yakin dan percaya, setiap nama yang dicadangkan itu adalah yang boleh menang. Situasi hari ini sudah jauh berbeza dengan sebelum ini, yang mana sejak UMNO, BN Kelantan kalah tahun 1990, parti itu diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, sebelum diserahkan kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Namun, dua nama besar ini juga tidak menjamin UMNO, BN Kelantan menang. Sehinggalah pucuk pimpinan memilih Mustafa, kemudian ditukar kepada Tan Sri Annuar Musa dan Mustafa sekali lagi mengepalai parti itu. Ternyata, walaupun diletakkan nama-nama besar itu pun, UMNO, BN Kelantan tetap kalah kepada Pas. Rakyat Kelantan antara yang paling unik. Sekali mereka marah kepada UMNO, BN dan tidak kira siapa yang dilantik sebagai pengerusi pun, sampai bila-bila mereka tolak. Tetapi, ramalan kuat mengatakan Ahmad Jazlan akan menamatkan kemarau kekalahan dan akan memberikan kemenangan kali ini. Dia dikatakan mempunyai aura berlainan daripada pengerusi sebelumnya. Apakah aura itu? Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang ini lebih dekat dengan anak-anak muda, selain meletakkan yang lama atau veteran duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Itulah antara kelebihan pemimpin berusia 58 tahun ini, dan diganding pula dengan Timbalannya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, 65, iaitu cicit kepada seorang ulamak tersohor. Dalam PRU8 tahun 1990, UMNO kalah semua 14 kerusi selepas Pas bergabung dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang diketuai Tengku Razaleigh atau Ku Li. PRU9 tahun 1995, UMNO, BN dapat merampas dua dari 14 kerusi Parlimen, PRU10 tahun 1999, UMNO hanya mampu menang satu kerusi iaitu Gua Musang yang dimenangi Ku Li selepas kembali semula menyertai UMNO. Kekalahan tahun itu menyaksikan Pas bergabung dengan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) selepas terbubarnya APU berikutan tindakan Ku Li menyertai semula UMNO. UMNO, BN Kelantan kembali mengganas pada PRU11 tahun 2004 dengan memenangi sembilan daripada 14 kerusi yang dipertandingkan, namun PRU12 tahun 2008, UMNO gagal mempertahankan sembilan kerusi yang dimenangi apabila hanya dua sahaja gagal digugat oleh Pas iaitu Gua Musang (Ku Li) dan Jeli, Mustapa Mohamed. PRU13 tahun 2013, UMNO, BN menang lima kerusi Parlimen dan PRU14 tahun 2018, juga kekal lima kerusi. Oleh itu, tidak mustahil sejarah PRU11 tahun 2004 akan berulang kembali di Kelantan bawah pimpinan Ahmad Jazlan. Ini berdasarkan kepada kenyataan mantan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa ahli Pas di akar umbi tidak gembira kerjasama parti mereka dengan Perikatan Nasional (PN), sebalik lebih gembira sekiranya Pas bersama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN). Ketidakgembiraan ahli Pas di peringkat bawahan ini yang menjadi kemungkinan akan berlaku perubahan di Kelantan, apabila dikatakan akan menterjemahkan undi mereka kepada UMNO, BN, bukan Pas-PN atau Bersatu-PN. – MalaysiaGazette/analisis/politik/pru15

Anwar, pelarian politik yang mencari ‘nyawa’

By Manzaidi Mohd Amin - 22 October 2022
ORANG politik yang bertanding di luar negeri kelahirannya, boleh diibaratkan sebagai pelarian politik. Begitu juga orang politik yang memilih untuk bertanding di luar kawasan tempat tinggalnya boleh dikatakan penakut. Daripada banyak parti politik, setakat ini hanya Pas, PKR dan DAP yang dilihat lebih cenderung meletakkan calon luar di satu-satu kerusi Parlimen setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU). Ini pernah berlaku kepada beberapa nama besar dalam politik pembangkang iaitu Mohamad Sabu atau Mat Sabu dari Kedah tidak pernah bertanding di negeri sendiri. Beliau lebih selesa menjadi calon luar dan memilih bertanding di Permatang Pauh, Pulau Pinang, di Nilam Puri (sekarang Kubang Kerian) di Kelantan dan di Kota Raja, Klang, Selangor. Demikian juga penasihat DAP, Lim Kit Siang, sepanjang berkarier dalam politik, beliau bertanding di Bandar Melaka dan Kota Melaka di Melaka, di Petaling Jaya, Selangor; di Ipoh Timur, Ipoh; Gelang Patah dan Iskandar Puteri di Johor. Tradisi pelarian politik ini turut terpalit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang lebih selesa memilih bertanding dari luar negeri kelahiran di Pulau Pinang dan tempat tinggalnya di Segambut, Kuala Lumpur. Sejarah politiknya tidak pernah merekodkan beliau bertanding di Bukit Mertajam, kawasan Parlimen kelahirannya di Kampung Ceruk Tok Kun. Sebaliknya, Presiden PKR itu memilih Permatang Pauh sebagai kerusi Parlimen pertama untuk bertapak dalam politik. Beliau bertanding atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU keenam tahun 1982 hingga PRU kesembilan tahun 1995. Daripada empat PRU itu, beliau ditentang dan berjaya mengalahkan Mat Sabu calon Pas pada PRU7 tahun 1986 dan Datuk Mahfuz Omar dalam PRU8 tahun 1990. Selepas keluar dari UMNO, beliau menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan terus kekal menyandang kerusi Permatang Pauh untuk PRU12 tahun 2008 mengalahkan calon BN, Arif Shah Omar Shah dan PRU13 tahun 2013 menewaskan Mazlan Ismail, juga dari UMNO. Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tahun 2018 iaitu selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong atas kesalahan yang disabitkan sehingga dipenjarakan, beliau memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson. Ketika ini UMNO yang kalah dalam PRU14 mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calonnya melawan Anwar kerana tidak mahu membazirkan kos, tambahan pula rakyat masih dalam ‘mood’ PRU14. Kali ini, selepas sepenggal di Port Dickson, Anwar membuat keputusan untuk melepaskan kerusi itu dan merantau mencari kerusi lain bagi membolehkan beliau bertanding serta meneruskan kesinambungan hidupnya dalam politik. Dalam merantau mencari, beliau telah tertarik dengan Parlimen Tambun, Perak sebagai destinasi sesuai. Tidak diketahui, kenapa daripada 222 kerusi Parlimen yang ada, beliau tidak memilih Bukit Mertajam kawasan kelahirannya atau Segambut tempat tinggalnya untuk bertanding. Beliau dilihat lebih selesa bertanding di luar negeri kelahiran dan di luar kawasan tempat tinggalnya. Ini berbeza dengan kebanyakan pemimpin politik lain yang lebih seronok memilih negeri atau kawasan kelahiran sebagai lokasi bertanding. Jadi, tidak keterlaluan kalau dikatakan beliau adalah pelarian politik di tanah air sendiri, kerana memilih untuk bertanding di luar kawasan. Parlimen Tambun pula bukan calang-calang orang yang hendak dicabar Anwar kerana kawasan itu adalah kubu kuat UMNO yang berjaya dirobohkan calon Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Sudah tentu UMNO akan mengambil semula Tambun dengan meletakkan calon boleh menang menentang Anwar dan Ahmad Faizal. Kerusi itu sebelum ini disandang bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dari UMNO yang kalah dengan majoriti 5,320 undi kepada Timbalan Presiden Bersatu. Apakah Anwar dapat mengalahkan Ahmad Faizal pada 19 November ini, sama-sama kita tunggu dan lihat. Namun, bukan laluan mudah bagi calon Perdana Menteri PH itu hendak merampas kerusi berkenaan kerana beliau merupakan calon luar yang menggunakan ayaq, bukan ayor. Perak juga negeri yang sebelum ini tidak pernah menjadi tumpuan calon luar, berbanding Kelantan, Melaka dan Johor yang menganggap perkara biasa jika ada calon luar datang bertanding. – MalaysiaGazette/analisis

Laluan mudah Datuk Jo di Parlimen Titiwangsa?

By Manzaidi Mohd Amin - 17 October 2022
PENGUNDI Parlimen Titiwangsa tidak lagi menaruh harapan kepada Datuk Seri Rina Mohd Harun akan kembali ke kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November ini. Menteri Wanita dan Keluarga itu dikatakan semakin jauh dengan pengundinya yang telah memberi kemenangan kepada beliau dalam PRU-14 mengalahkan orang kuat UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Menurut sumber, Rina mutakhir ini lebih banyak menghabiskan masa di Parlimen Sepang sehingga menimbulkan desas desus beliau tinggalkan Titiwangsa kerana tidak yakin dapat mempertahankan kerusi itu kali ini. Dalam PRU14 tahun 2018, Ketua Srikandi Bersatu itu menang dengan majoriti 4,139 undi selepas mendapat 23,840 undi, manakala Johari memperoleh 19,701 undi dan calon Pas 6,845 undi. Sepatutnya Rina mempertahankan kerusi itu kerana kerjasama Bersatu dengan Pas boleh memberi undi yang lebih besar kepadanya untuk mengalahkan Johari bagi kali kedua. Secara logik, gabungan undi Bersatu dan Pas pada PRU-15 akan memberi kemenangan besar kepada Rina dengan sekurang-kurangnya 30,000 atau lebih 40,000 undi, berbanding undi UMNO tidak lebih, tidak kurang sekitar 20,000 undi sahaja. Ini meletakkan Rina jauh dalam keadaan selesa untuk kekal mempertahankan kerusi Titiwangsa penggal depan, berbanding Johari yang akan menerima mali kalau kalah lagi tahun ini. Bagaimanapun, Rina dikatakan hilang keyakinan dapat mengalahkan Johari atas faktor Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan itu semakin mendapat sokongan penduduk yang mula sedar mereka sebelum ini ditipu oleh PH. Menurut sumber, kekalahan Johari pada PRU-14 bukan disebabkan rakyat tidak suka kepadanya, tetapi kerana percaya kepada fitnah yang dibawa pembangkang ketika itu. “Dalam PRU-14 itu, bukan Johari sahaja yang kalah, ramai nama-nama besar dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga menerima nasib sama. “Sekarang trend dalam kawasan Titiwangsa sudah berubah. Rakyat dan pengundi tidak lagi akan mengulangi kesilapan sama pada PRU-15 ini. Mungkin situasi ini sudah dihidu Rina, menyebabkan dia berminat di Sepang,” kata sumber kepada MalaysiaGazette. Namun, bukan asing bagi Rina kalau memilih Sepang untuk bertanding kerana beliau pernah memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepang pada 2002 hingga 2013 dan pemangku Ketua Wanita UMNO Bandar Baru Salak Tinggi dari 2013 hingga 2016. Jadi, tidak mustahillah kalau dikatakan sirih pulang ke gagang. Selain Rina, antara nama yang dicadangkan Bersatu Pusat untuk dicalonkan melawan Johari di Parlimen Titiwangsa ialah Ketua Bersatu bahagian itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu bagaimanapun dikatakan tidak berminat dengan kerusi itu, sebaliknya ura-ura mengatakan dia sedang mengintai kerusi Bagan Serai milik Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali. Dr. Noor Azmi antara Ahli Parlimen UMNO yang lompat ke Bersatu selepas PH menang PRU-14 dan dilantik Timbalan Menteri Kesihatan I. Mana mungkin Wan Ahmad Fayshal berani kacau kerusi itu tetapi itulah spekulasi mengenai calon-calon menjelang PRU-15. – MalaysiaGazette/analisis/politik

Adly, Dr. Yadzil dijangka bertembung di Jasin

By Manzaidi Mohd Amin - 14 October 2022
SELAIN spekulasi pimpinan UMNO di Melaka bertukar kerusi demi untuk menguatkan parti dan kerajaan negeri, perkara sama turut tempias kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu. Terbaharu, khabar angin bertiup kencang mengaitkan dua nama besar dalam PH dan PN negeri itu, yang dikatakan akan berentap di kerusi Parlimen Jasin. Jasin antara kerusi yang menjadi rebutan Bersatu yang akan meletakkan Ketua Badan Pimpinan negeri, Dr. Mohd Yadzil Yaakub manakala PH dari Amanah pula akan mempertaruhkan Pengerusi negerinya, Adly Zahari. Ketika ini, penyandang Parlimen Jasin adalah Datuk Ahmad Hamzah dari UMNO yang ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun 2020 dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan. Namun, pada Disember 2020, Ahmad, 74, mengumumkan tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sejak 2008 pada PRU-15 kali ini. Hasrat itu dinyatakannya sendiri kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof. Dalam dua PRU sebelum ini iaitu tahun 2008 dan 2013, beliau mendapat majoriti yang besar melebihi 10,000 undi, cuma pada PRU14 hanya mendapat majoriti tipis, 219 undi. Sungguh pun tipis, Ahmad yang diberi gelaran gergasi Jasin tetap menang mengalah Khairuddin Abu Hassan dari Amanah dan Abdul Alim Shapie dari Pas. Kini, selepas Ahmad tidak lagi mempertahankan kerusi itu, ia mula menjadi rebutan di kalangan PN dan PH untuk meletakkan panglima mereka masing-masing. Pemerhati politik melihat, setakat ini hanya Exco Kerajaan Negeri itu yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mampu mencabar Dr. Mohd Yadzil dan Adly di kerusi berkenaan berdasarkan sokongan penduduk setempat. Kubu UMNO itu dilihat semakin goyah susulan pengumuman Pas semalam untuk terus kekal bersama PN dalam PRU-15 manakala BN pula akan bergerak solo berdepan dengan empat penjuru. Persoalan sama ada UMNO berani mengemukakan calon baharu seperti yang dilakukan pada PRN Melaka hanya akan terbukti selepas pengumuman calon sedikit masa lagi. Melaka yang terletak dalam Zon Selatan bersama Negeri Sembilan dan Johor mempunyai enam kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN. Bagaimanapun, DUN Melaka telah mengadakan Pilihan Raya Negeri awal pada November lalu, menyaksikan UMNO, BN menyapu bersih 21 daripada 28 kerusi, sekali meletakkan parti itu menang selesa. Parlimen Melaka pula ketika ini dikuasai oleh PH yang menang di empat kerusi iaitu Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka, manakala BN dan PN masing-masing satu kerusi iaitu Masjid Tanah (lompat parti dari BN ke PN) dan Jasin. – MalaysiaGazette/Analisis/politik/pru15

Memang wajar Tuanku kecewa

By Manzaidi Mohd Amin - 11 October 2022
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah buat keputusan secara bijaksana dengan memberi perkenan permintaan Perdana Menteri untuk memulangkan kembali mandat kepada rakyat menerusi pilihan raya kali ke-15. Tidak saja Tuanku yang kecewa dengan politik tanah air sejak Barisan Nasional (BN) jatuh pada PRU14 pada 9 Mei 2018, rakyat juga turut kecewa dan menderita dengan situasi politik tidak menentu sepanjang tempoh empat tahun lima bulan ini. Bermula 10 Mei 2019 PH mengambil alih kerajaan Persekutuan, kemudian 23 Februari 2020 tidak semena-mena kerajaan PH jatuh selepas Perdana Menterinya, Tun Dr. Mahathir meletak jawatan. Bukan sahaja disebabkan Perdana Menteri ketujuh itu meletakkan jawatan, rakan gabungan PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengumumkan keluar dari pakatan itu dan diikuti Timbalan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat dari partinya. Ahli Parlimen Gombak itu bersama beberapa Ahli Parlimen PKR, dengan kerjasama Bersatu, Pas serta BN membentuk Perikatan Nasional (PN) 1.0. Namun, Yang di-Pertuan Agong perkenan melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pembentukan gabungan parti yang mempunyai lebih sokongan untuk disahkan sebagai kerajaan. Akhirnya, selepas enam hari Tun Dr. Mahathir sebagai PM interim, manakala PN 1.0 telah mendapat sokongan melebihi daripada PH, maka baginda perkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan. Maka, terbentuklah kerajaan PN 1.0 bermula 1 Mac 2020, iaitu serentak pula dengan negara dilanda pandemik Covid-19. Pentadbiran kerajaan PN 1.0 tidak dapat melangkau jauh kerana dikekang Covid-19 yang semakin menular sehingga terpaksa dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Dari situ, Muhyiddin menggunakan wang negara yang dikumpul oleh kerajaan BN selama ini untuk meringankan beban rakyat, namun usaha itu tidak menemui jalan penyelesaian. Dari Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion sehinggalah kepada PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang keseluruhannya berjumlah RM305 bilion telah dibelanjakan. Namun, kehidupan rakyat masih terhimpit. Jutaan rakyat Malaysia hilang pekerjaan, hilang mata pencarian, hilang sumber pendapatan kerana semua industri tidak dapat beroperasi dan rakyat pula dikurung dalam rumah. Keadaan Covid-19 tidak berubah walaupun hampir setahun berlalu sehingga Muhyiddin mengadap Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri agar Seri Paduka Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan Darurat bagi seluruh Persekutuan berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda. Kelemahan pentadbiran Muhyiddin nampak menyerlah apabila negara diumumkan darurat, tetapi kes positif dan kes meninggal dunia akibat Covid-19 semakin meningkat. Timbul tanda tanya, apabila darurat dilaksanakan, rakyat tidak dapat keluar rumah, tidak dapat merentas negeri dan negara, tetapi dua kes itu (positif dan kematian) semakin meningkat. Kemaslahatan ini mendorong rakyat, termasuk ahli politik meragui kewibawaan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Pada 20 Ogos 2021, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan untuk menerajui kerajaan PN 2.0 yang dinamakan Keluarga Malaysia. Malaysia menempa sejarah penubuhannya apabila dalam tempoh empat tahun lima bulan, tiga perdana menteri dan tiga kerajaan Persekutuan bertukar tangan. Kemelut ini yang menyebabkan ekonomi negara merudum, politik tidak stabil, kehidupan rakyat makin terjejas, manakala pelabur pula bungkus tikar bantal tinggalkan negara ini untuk melabur di negara lain. Tinggalkan Malaysia dalam pentadbiran yang tidak ada hala tuju kerana yang menguasai kerajaan bukan dari parti dominan, sebaliknya sekadar kerjasama antara parti. Kerajaan seperti ini tidak akan stabil selama-lamanya kerana masing-masing akan ugut menggugut sekiranya Perdana Menteri tidak ikut kehendak mereka. Budaya ugut menggugut ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan berlaku kerajaan baharu. Ini yang mungkin baginda merasa amat kecewa. Nasihat sudah berbakul, tetapi masih juga ingkar. Maka, cara terbaik ialah baginda memperkenan permintaan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang benar-benar stabil bagi PRU ini dan selama-lamanya. – MalaysiaGazette/Analisis/Rencana

Khamis, 8 Disember 2022

Seronok tengok wajah ceria menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan

By Manzaidi Mohd Amin - 6 December 2022
SERONOK tengok wajah-wajah ceria Menteri Kerajaan Perpaduan clock in iaitu imbas kad perakan waktu sebagai tanda mereka masuk dan memulakan tugas di kementerian masing-masing semalam. Lebih bersemangat bagi menteri-menteri 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tak dapat teruskan khidmat dan tugasan mereka sepenuh penggal PRU14 sebelum ini kerana berlaku Langkah Sheraton. Begitu juga keceriaan jelas tergambar pada wajah mereka yang baharu pertama kali dilantik sebagai menteri. Acara imbas kad perakam waktu diiringi ketua-ketua setiausaha kementerian masing-masing. Bawah Kolong (BK) harapkan kali ini mereka dapat menjalankan tugas sebagai menteri genap sepenggal PRU15 tanpa gangguan mana-mana pihak yang cuba untuk menggantikan Kerajaan Perpaduan. Pada PRU14 sebelum ini PH hanya sempat membentuk kerajaan selama 22 bulan, diganti dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PH-Prihatin) bawah Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 17 bulan dan diganti pula Kerajaan PN- Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selama 14 bulan. Dalam tempoh empat tahun empat bulan, tiga kerajaan terbentuk. Ini adalah satu sejarah yang sukar dilupakan berlaku dalam politik Malaysia selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14. Rakyat mengharapkan biarlah peristiwa PRU14 tinggal dan kekal dalam sejarah dan tidak lagi berlaku pada PRU15 dan PRU akan datang. Seksa sangat kalau dalam satu penggal berlaku dua tiga kali pertukaran kerajaan. Pertukaran kerajaan ini membazirkan duit rakyat. Rakyat membayar cukai untuk digunakan dalam urusan pembangunan, tetapi dihabiskan dengan benda tidak berfaedah. Cukuplah sejarah menghuru-harakan itu berlalu. Kini, rakyat menaruh harapan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meletakkan kembali ekonomi negara pada landasan yang betul. Insya-Allah. Berbalik kepada menteri-menteri yang baru memulakan tugas secara rasmi pada Isnin semalam. Hampir keseluruhan Jemaah Menteri diberi tugasan baharu. Contohnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini menteri pertanian, kini diberi amanah menjaga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Mohamad Sabu yang sebelum ini Menteri Pertahanan, penggal ini beliau menjaga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Walaupun ada cerita tersirat di sebalik pembentukan Kabinet baharu namun dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, akhirnya Kerajaan Perpaduan terbentuk juga. Kepada gabungan parti yang kalah, jadilah pembangkang yang relevan dan bermanfaat. Jangan tahu sebut nak jadi pembangkang yang semak dan imbang tetapi masih mengeluarkan kenyataan berbaur dengki dan dendam. Apabila terbentuknya kerajaan yang sah, bukan masa lagi kepada parti yang tidak menang untuk ‘memahat rumah yang dah siap’. Simpan dulu dendam kesumat, luahkan pada hari berkempen PRU16 nanti. Sekarang masa untuk sama-sama mainkan peranan pulihkan ekonomi, ringankan beban hidup rakyat dengan kos sara hidup yang melambung. Tanya Kerajaan Perpaduan bila nak tunaikan janji nak turunkan harga minyak, baik minyak masak mahupun petrol dan diesel. Bagaimana dengan janji nak hapuskan tol atau sekurang-kurangnya turunkan harga di tol-tol. Tak payah main isu kleptokrat, isu penyamun, isu penyangak. Sebab bukan seorang dua yang kleptokrat, penyamun dan penyangak. Boleh dikatakan semua ada terkait dengan isu seperti itu. Umpama, telunjuk lurus, kelengkeng berkait. Jadi, tak perlu nak besar-besarkan apa saja isu peribadi seseorang. Kalau tak puas hati boleh buat laporan kepada pihak berkuasa. Biar mereka kendalikan. Ini bukan masanya lagi nak berpolitik. Rakyat sudah buat keputusannya pada 19 November lalu dan Yang di-Pertuan Agong sudah tetapkan parti mana jadi kerajaan. Semua ahli politik kena terima hakikat. Cukup empat tahun empat bulan rakyat dikecamuk dengan politik tak berkesudahan. Jangan tunjuk kita gila kuasa. Kena tunjuk kita prihatin kepada rakyat. Biar cakap serupa dengan bikin. Nak jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri bukan untuk memuaskan hati dan diri sendiri. Semua jawatan itu harus dipikul demi menjaga negara dan rakyatnya. Di akhirat nanti Allah akan tanya apa kamu buat dengan jawatan yang diberikan itu. Kalau tak takut kepada undang-undang dunia, takutlah undang-undang di akhirat. BK bukan nak ceramah atau tazkirah, tapi nak beritahu yang betul benar. Supaya ahli politik tidak alpa dengan janji Allah kepada mereka. – MalaysiaGazette

Jangan salahkan anak muda kalau kalah

By Manzaidi Mohd Amin - 21 November 2022
JANGAN salahkan undi muda atas kekalahan kita untuk menang majoriti pada Pilihan Raya Umum yang ke-15, Sabtu lalu. Mereka yang pertama kali menterjemahkan pilihan hati atas kertas undi tentunya membuat perkiraan yang dianggap bertepatan dengan keputusan mereka bersandarkan kepada pengalaman dan siapa yang pernah dekat dengan mereka sebelum ini. Undi muda atau Undi-18 diibaratkan kanak-kanak yang baru didaftarkan masuk ke tadika. Mereka memulakan alam pra persekolahan dengan hanya pengetahuan yang sedikit mengenai huruf, angka, ayat dan perkataan. Bila berada di tadika atau sekolah, mereka kenal sepenuhnya huruf, angka dan ayat-ayat hasil daripada didikan guru. Kita sebagai ibu bapa hanya sekadar berbangga apabila anak kita sudah pandai membaca dan mengira. Tetapi kita lupa, dalam mengenal huruf dan angka, ada unsur pendidikan lain yang lebih penting diterapkan guru dalam minda dan jiwa anak-anak. Sebagai ibu dan bapa kita terlepas pandang hal itu, dan hanya lihat di luaran sahaja anak kita sudah pandai membaca dan mengira. Inilah antara kesilapan awal kita sebagai ibu bapa. Mengharapkan sangat anak-anak kita akan pandai belajar dengan hantar mereka ke tadika atau sekolah, sedangkan kita sibuk dengan urusan kerja, tanpa memberi perhatian serius dalam soal pendidikan di rumah. Dalam politik, guru itu adalah pemimpin, kanak-kanak pula anak muda yang genap umur 18 tahun dan layak mengundi. Daripada mereka tidak tahu apa-apa pasal politik, ahli politiklah yang bertanggungjawab membentuk mereka untuk kenal politik. Gagal mendekati mereka, gagal mendidik mereka mengenal politik, maka sesebuah parti itu akan tanggung kerugian masa untuk tempoh tertentu. Ini tidak berlaku kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Mereka memandang sepi gelombang anak muda. Kalau didekati pun, hanya sekerat daripada mereka, bukan secara menyeluruh. Lain dengan PH dan PN, sebaik kerajaan lulus akta baharu umur pengundi, mereka terus mendekati anak muda dengan menganjurkan pelbagai program, kursus dan bengkel. Apabila anak muda keluar dari program, kursus dan bengkel, mereka sudah kenal, tahu dan faham apa itu politik dan tidak perlu fikir untuk mengundi siapa pada PRU. Minda mereka sudah ditanam awal-awal lagi. Sebab itu, kita lihat kenapa PH dan PN banyak mendapat undi daripada anak muda, malah undi mereka menyumbang kepada kemenangan berpuluh kerusi. Sebab apabila mereka keluar dari kilang PH atau PN, mereka sudah tahu siapa nak diundi. Mereka tidak segan silu berkempen untuk parti masing-masing. Mereka akan memilih calon atau parti yang dekat dengan mereka, yang selama ini mengajar mereka apa itu sistem demokrasi dan bagaimana sistem pentadbiran negara diurus tadbir. Walaupun mereka merasakan pendidikan itu amat berat untuk difahami, tetapi di peringkat usia muda sebegini, minda mereka mudah dilentur. Sebab itu orang tua-tua dulu kata, kalau nak lentur buluh, biar dari rebungnya. UMNO, BN tak ambil iktibar dari pengalaman datuk nenek moyang mereka. UMNO, BN sentiasa berada dalam zon selesa. Pandangan dan pemikiran orang biasa tidak diterima, malah dipandang rendah kerana anggap cara mereka sahaja yang betul. Kita cadangkan mereka, dekatilah anak muda. Mereka tak tahu apa-apa pasal politik. Inilah masa dan ketikanya untuk rebut peluang, tetapi tidak diendahkan. Lain dengan PH dan PN, kedua parti ini mendekati anak muda ketika di awal usia 17 tahun lagi. Mereka tubuh pasukan bola dan apa saja yang anak muda minat. Mereka main angin anak muda. Umur 17 tahun ini, mereka masih bergelar pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM. Yang lulus cemerlang akan diurus sambung pengajian ke universiti awam atau swasta. Yang lulus biasa-biasa akan sambung belajar di tingkatan enam, di kolej dan sebagainya. Jadi, siapa yang sambut golongan ini? Tidak lain adalah parti politik. Soal parti mana yang jadi pilihan anak muda ini bergantung sepenuhnya atas strategi dan kebijaksanaan sayap parti memainkan peranan. Ini boleh dilihat sepanjang kempen PRU baru-baru ini, ramai anak muda tidak malu-malu memilih PN dan PH, manakala di pihak BN amat sedikit. Yang mana ahli-ahli politik tidak percaya dengan pandangan Bawah Kolong (BK) ini makna mereka tidak turun ke lapangan sepenuhnya. Mereka hanya terperap dan syok di kawasan sendiri seperti katak bawah tempurung. Tidak pernah ambil tahu suasana dan keadaan di luar sana. BK mengambil contoh di Kelantan, ketika ratusan ribu perantau pulang ke kampung untuk mengundi. Mereka ini disambut puluhan ribu anak-anak muda yang bermotosikal sambil mengibarkan bendera Pas dan PH. Hanya sedikit mengelilingi kampung dengan berbasikal memegang bendera dacing. Suasana begini bukan sahaja berlaku di Kelantan, di negeri lain pun sama. Ini hakikat yang berlaku di depan mata BK. Apabila diajukan soalan kenapa parti lain dapat sambutan menggalakkan anak muda? Mereka bertanya semula kepada BK, “dari mana parti ini dapat duit yang banyak untuk taja anak-anak muda berkempen?” Mereka hanya tahu persoalkan dari mana parti-parti itu dapat duit, bukan nak ubah strategi yang lebih agresif untuk menambat atau menarik sokongan anak-anak muda. Dalam kempen PRU, kita tidak boleh fikirkan di mana dan bagaimana parti lawan dapat duit. Mereka perlu fikirkan bagaimana untuk patahkan strategi lawan. Tapi ini tidak berlaku. Pada BK, memang logik akal kalau BN kalah di semua 14 kerusi Parlimen. Alasan BK mudah saja, ketika rakyat Kelantan berdepan isu bekalan air, air berkarat, isu jalan raya tidak sempurna dan isu rakyat perlukan lebuh raya, jentera UMNO, BN Kelantan senyap sepi. Tidak ada seorang pun pemimpin UMNO, BN mendekati atau tampil untuk membela mereka, hinggakan rakyat menganggap UMNO, BN sudah tidak ada lagi di Kelantan. Tetapi, dalam tempoh dua minggu kempen, jentera UMNO, BN turun menjanjikan itu ini. Ini sudah terlambat. UMNO, BN tidak pernah mahu ambil pengajaran dari pengalaman yang lepas-lepas. Mereka sentiasa menganggap parti berada dalam zon selesa walaupun kalah teruk pada PRU14. Mereka hanya tahu mencari kesalahan pengundi kalau mereka kalah. Itulah trend UMNO, BN dulu, kini dan selamanya. – MalaysiaGazette

Kenapa orang politik bila berjanji sebut bulan dan bintang?

By Manzaidi Mohd Amin - 11 November 2022
KENAPA orang politik apabila menabur janji, selalu kaitkan dengan bulan dan bintang? Apa istimewanya dua planet itu pada mereka sehingga dijadikan umpan janji kepada rakyat? Adakah rakyat ketagih nak memiliki bulan dan bintang? Adakah bila sebut bulan dan bintang rakyat akan terpesona dengan semua janji dan kata-kata manis orang politik? Kalau bulan memang munasabah sebab penjawat awam, pekerja swasta, peniaga, pelajar sentiasa menunggu cukup bulan untuk dapat gaji, rezeki dan belanja persekolahan. Kalau bintang, tidak pernah pula menjadi impian rakyat, kerana mereka tahu planet yang berkelip-kelip sayup di langit malam itu hanya sekadar boleh dilihat, tidak boleh digapai. Maka, bintang tidak ada dalam kamus kehidupan rakyat. Jadi, apakah istilah atau maksud sebenar bulan dan bintang yang sinonim sangat dengan orang-orang politik terutama di musim pilihan raya ini? Mungkin pada orang politik, bulan dan bintang itu adalah suatu objek yang indah dipandang, tetapi tidak akan menjadi kenyataan untuk dipegang. Lalu, sangat sesuai digunakan untuk menarik sokongan. Pada orang politik seperti ini, prinsip mereka alang-alang menabur janji biarlah sampai rakyat asyik dan terpesona mendengarnya, soal tunai atau tidak, letak tepi sebab rakyat akan lupa selepas itu. Contohnya, penggal lalu ada yang berjanji nak hapuskan hutang PTPTN, janji nak hapuskan tol, janji nak hapuskan hutang peneroka, janji nak hapuskan cukai itu, ini. Tetapi selepas dapat kuasa, satu janji pun tidak ditunaikan. Apabila rakyat tanya mana janji bulan dan bintang sebelum ini? Mereka beri alasan mudah, semua itu tidak boleh dihapuskan sebab kena melalui banyak syarat, terikat dengan perjanjian, perundangan dan sebagainya. Mereka beri alasan yang susah supaya rakyat dapat terima hakikat, janji dulu tidak dapat ditunaikan kerana terikat dengan syarat dan perundangan. Maka, rakyat pun senyap. Mungkin inilah gamaknya bulan dan bintang digunakan orang politik dalam menabur janji. Bulan dan bintang hanya boleh dilihat, tidak boleh dipegang. Janji boleh ditabur, tidak semestinya dikotakan. Rakyat sepatutnya sudah lama sedar dengan penipuan ini. Mereka sepatutnya sedar janji seperti itu bukan ditabur pada musim ini sahaja, mereka ditipu sejak berpenggal-penggal PRU lamanya. Mereka selalu lupa dan tetap juga teruja dengan janji-janji baharu, padahal mereka awal-awal lagi sudah diberi ‘hint’ atau petunjuk oleh orang politik yang turun padang dengan tangan kosong dan bermodalkan air liur. Namun, kerana terlalu teruja dan seronok didatangi orang politik, yang lima tahun sekali turun padang, mereka termakan juga dengan janji-janji kosong itu. Mereka tahu orang politik yang datang ziarah dari rumah ke rumah, jumpa di pasar-pasar pagi, pasar-pasar malam, sama ada melalui ziarah kasih atau walkabout ini bawa tin kosong, tetapi mereka tetap terpesona. Mereka terpesona dengan perwatakan orang politik, dilihatnya peramah, mudah diajak berbicara, ambil berat soal kebajikan rakyat, bahkan kalau ada anak kecil ketika itu pun diriba, didukung dan diusapnya. Padahal anak kecil ini akan jumpa semula dengan orang politik ini 18 tahun akan datang. Itu pun jika orang politik itu panjang umur. Ada pula rakyat ketika bersua muka dengan orang politik retorik ini tiba-tiba berubah fikiran, ah! mungkin kali ini YB bercakap benar, tak bohong macam penggal lalu dah. Maka, disambutnya orang politik itu dengan kedua tangan dan memberi jaminan pula akan undi calon itu pada 19 November ini. Memang tetap kata-kata seorang pemimpin ulung negara, bahawa Melayu mudah lupa. Maksud Melayu itu adalah rakyat. Sepenggal lepas ditipu, penggal ini kena tipu lagi. Betullah rakyat mudah lupa. Politik sekarang tidak sama seperti dahulu. Politik dahulu, pemimpin guna duit sendiri untuk bela dan jaga kebajikan rakyat. Ada yang terpaksa gadai barang kemas, jual tanah, kereta, rumah dan harta benda untuk rakyat. Sebab itu pemimpin dulu bila turun jumpa rakyat dan dengar aduan rakyat, mereka jawab, saya akan cuba… kalau jadi kenyataan, Alhamdulillah, kalau tak berjaya, saya akan usahakan juga. Pemimpin sekarang lain, kalau mereka turun jumpa rakyat dan dengar aduan rakyat, mereka tuding jari atau lepas tangan pada orang lain sebab mereka datang bukan nak tunai janji, mereka datang nak berkempen untuk memenangkan mereka. Sebab itu pemimpin sekarang, lain yang rakyat adu, lain yang mereka janji. Rakyat mengadu masalah perparitan, mereka janji nak bina sungai, nak buat lembangan. Rakyat bangkit masalah jalan berlubang, mereka janji nak gantikan lebuh raya bertingkat. Peliknya, rakyat masih terpesona dengan janji itu walaupun tahu itu kosong dan bukan sekali ini mereka diulik dengan paluan tin kosong. – MalaysiaGazette

Ada lagikah orang politik berjiwa besar?

By Manzaidi Mohd Amin - 3 November 2022
ORANG politik sebenarnya tidak berjiwa besar. Kalau mereka kata mereka berjiwa besar, itu bohong namanya. Itu sandiwara semata-mata. Selama ini, mereka tunjuk diri mereka berjiwa besar kalau musibah itu menimpa kepada diri orang lain. Mereka akan beri nasihat dan menenangkan kawannya dengan kata-kata, banyak-banyak bersabar, parti lebih penting, perjuangan perlu diutamakan dari kepentingan diri, kerusi yang kita sandang ini adalah milik parti bukan hak milik kita. Sejuk hati mendengar nasihat mereka. Kata-kata semangat ini dengan serta merta mematahkan hasrat kawan itu untuk memberontak dan bertindak terburu-buru. Itulah yang selalu kita dengar. Kata-kata nasihat, kata-kata semangat dari mereka yang kononnya berjiwa besar. Kononnya dari mereka yang utamakan parti dan pentingkan perjuangan parti dari segala-galanya. Tetapi apabila terkena pada batang hidung sendiri, nama tidak disenaraikan sebagai calon, maka melentinglah. Mengelupur tak cukup tanah. Mengamuk seperti orang hilang akal. Dalam sekelip mata sudah lupa kata-kata nasihat, kata-kata semangat yang diberikan kepada kawan sebelum ini. Malah tindakan mereka lagi dahsyat, semua bilik gerakan ditutup, bendera yang sudah siap dipasang diturunkan. Ada yang seberang ke parti lawan. Ada yang tubuh parti sendiri dan isytihar bertanding lawan calon dari bekas parti sendiri. Tak cukup dengan itu, hasut pula pengikut dan penyokong supaya tidak keluar mengundi. Kalau keluar mengundi pun jangan pangkah calon dari parti sendiri. Biarlah parti yang mereka kumpul segala harta kekayaan kalah. Ini memang terjadi dan berlaku dalam dunia politik. Tidak ada seorang pun ahli politik zaman sekarang reda sekiranya tidak dipilih. Kalau ada yang kata ‘reda’ itu, ia bukan keluar dari pengucapan ikhlas, sebaliknya nak tutup rasa malu. Apabila setiap ahli politik masuk satu-satu parti politik, bertanding dan menang dan terus menang, mereka akan rasa seronok dan mahu bertanding lagi. Bila terlalu lama jadi wakil rakyat, mereka akan gelap mata. Mereka sudah lupa di bawah mereka ada pelapis yang patut diberi peluang. Sebab itu, Bawah Kolong (BK) perhatikan, dalam setiap kali pemilihan calon untuk PRU, akan ada empat kategori, kategori calon muka baharu, kategori calon muka lama, kategori calon bangkit dari kubur dan kategori selagi tak masuk kubur. Kategori calon muka baru dan muka lama adalah biasa. Cuma yang sikit pelik kategori calon bangkit dari kubur. Kategori ini adalah calon yang dulu pernah bertanding kemudian penggal seterusnya nama digugurkan. Tiba-tiba penggal kali ini nama mereka dicalonkan semula. Kategori ini rakyat akan muak. Sebab mereka sudah tengok muka ini sebelum ni. Seolah tak ada nama lain atau muka lain yang lebih muda dan segar nak dicalonkan. Muka lama yang sudah berkedut juga dipilihnya. Bagi kategori selagi tak masuk kubur pula adalah jenis wakil rakyat yang bertanding sejak zaman 60 an, 70 an, 80 an, 90 an dan sampai ke zaman milenium pun masih dicalonkan lagi untuk bertanding. Jenis ini mungkin rakyat tak muak dan rakyat suka hingga berterusan beri kemenangan kepadanya. Tak apa, selagi tak masuk kubur, teruskanlah bertanding dan bertanding. Yang ini tak apa lagi, ada yang lebih pelik, badan duduk atas kerusi roda pun masih nak dicalonkan. Padahal, mereka sudah diberi banyak penggal sebagai wakil rakyat. Tetapi tak rasa puas, tetap nak bertanding juga. Sebenarnya ahli politik macam ini jenis yang telah dikuasai nafsu. Dia gagal mengawal akal dan asyik merasakan dirinya masih baik dan layak bertanding. Inilah jenis yang sekali diberi peluang, mahu pegang selama-lamanya. Seperti tidak ada orang lain yang lebih layak darinya. Jadi, selama ini jika ada ahli politik yang mengangkat dirinya sebagai berjiwa besar itu hanya palsu semata-mata. Ia hanya sebuah ungkapan yang dihafal untuk dilontarkan kepada orang lain, bukan untuk dirinya sendiri. Inilah politik. Politik memang sukar untuk diramal dan dibaca, kerana politik juga hari ini kawan, esok boleh jadi musuh dan musuh pula boleh dijadikan kawan. Tempoh PRU14 sepatutnya mengajar kita untuk lebih memahami politik. Contohnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seteru politik. Pada mata kasar kita beranggapan tidak mungkin mereka berdua akan berbaik. Tentulah dendam kesumat tebal dalam hati tetapi kerana politik mereka boleh duduk semeja. Oleh itu, tidak ada mana-mana pemimpin politik berjiwa besar. Sesiapa sahaja terlibat dalam politik, automatik mereka adalah seorang yang retorik dan hipokrit. – MalaysiaGazette