Khamis, 8 Disember 2022
Seronok tengok wajah ceria menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan
By Manzaidi Mohd Amin - 6 December 2022
SERONOK tengok wajah-wajah ceria Menteri Kerajaan Perpaduan clock in iaitu imbas kad perakan waktu sebagai tanda mereka masuk dan memulakan tugas di kementerian masing-masing semalam.
Lebih bersemangat bagi menteri-menteri 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tak dapat teruskan khidmat dan tugasan mereka sepenuh penggal PRU14 sebelum ini kerana berlaku Langkah Sheraton.
Begitu juga keceriaan jelas tergambar pada wajah mereka yang baharu pertama kali dilantik sebagai menteri. Acara imbas kad perakam waktu diiringi ketua-ketua setiausaha kementerian masing-masing.
Bawah Kolong (BK) harapkan kali ini mereka dapat menjalankan tugas sebagai menteri genap sepenggal PRU15 tanpa gangguan mana-mana pihak yang cuba untuk menggantikan Kerajaan Perpaduan.
Pada PRU14 sebelum ini PH hanya sempat membentuk kerajaan selama 22 bulan, diganti dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PH-Prihatin) bawah Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 17 bulan dan diganti pula Kerajaan PN- Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selama 14 bulan.
Dalam tempoh empat tahun empat bulan, tiga kerajaan terbentuk. Ini adalah satu sejarah yang sukar dilupakan berlaku dalam politik Malaysia selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14.
Rakyat mengharapkan biarlah peristiwa PRU14 tinggal dan kekal dalam sejarah dan tidak lagi berlaku pada PRU15 dan PRU akan datang. Seksa sangat kalau dalam satu penggal berlaku dua tiga kali pertukaran kerajaan.
Pertukaran kerajaan ini membazirkan duit rakyat. Rakyat membayar cukai untuk digunakan dalam urusan pembangunan, tetapi dihabiskan dengan benda tidak berfaedah.
Cukuplah sejarah menghuru-harakan itu berlalu. Kini, rakyat menaruh harapan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meletakkan kembali ekonomi negara pada landasan yang betul. Insya-Allah.
Berbalik kepada menteri-menteri yang baru memulakan tugas secara rasmi pada Isnin semalam. Hampir keseluruhan Jemaah Menteri diberi tugasan baharu.
Contohnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini menteri pertanian, kini diberi amanah menjaga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Mohamad Sabu yang sebelum ini Menteri Pertahanan, penggal ini beliau menjaga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Walaupun ada cerita tersirat di sebalik pembentukan Kabinet baharu namun dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, akhirnya Kerajaan Perpaduan terbentuk juga.
Kepada gabungan parti yang kalah, jadilah pembangkang yang relevan dan bermanfaat. Jangan tahu sebut nak jadi pembangkang yang semak dan imbang tetapi masih mengeluarkan kenyataan berbaur dengki dan dendam.
Apabila terbentuknya kerajaan yang sah, bukan masa lagi kepada parti yang tidak menang untuk ‘memahat rumah yang dah siap’. Simpan dulu dendam kesumat, luahkan pada hari berkempen PRU16 nanti.
Sekarang masa untuk sama-sama mainkan peranan pulihkan ekonomi, ringankan beban hidup rakyat dengan kos sara hidup yang melambung.
Tanya Kerajaan Perpaduan bila nak tunaikan janji nak turunkan harga minyak, baik minyak masak mahupun petrol dan diesel. Bagaimana dengan janji nak hapuskan tol atau sekurang-kurangnya turunkan harga di tol-tol.
Tak payah main isu kleptokrat, isu penyamun, isu penyangak. Sebab bukan seorang dua yang kleptokrat, penyamun dan penyangak. Boleh dikatakan semua ada terkait dengan isu seperti itu. Umpama, telunjuk lurus, kelengkeng berkait.
Jadi, tak perlu nak besar-besarkan apa saja isu peribadi seseorang. Kalau tak puas hati boleh buat laporan kepada pihak berkuasa. Biar mereka kendalikan. Ini bukan masanya lagi nak berpolitik. Rakyat sudah buat keputusannya pada 19 November lalu dan Yang di-Pertuan Agong sudah tetapkan parti mana jadi kerajaan.
Semua ahli politik kena terima hakikat. Cukup empat tahun empat bulan rakyat dikecamuk dengan politik tak berkesudahan. Jangan tunjuk kita gila kuasa. Kena tunjuk kita prihatin kepada rakyat. Biar cakap serupa dengan bikin.
Nak jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri bukan untuk memuaskan hati dan diri sendiri. Semua jawatan itu harus dipikul demi menjaga negara dan rakyatnya.
Di akhirat nanti Allah akan tanya apa kamu buat dengan jawatan yang diberikan itu.
Kalau tak takut kepada undang-undang dunia, takutlah undang-undang di akhirat.
BK bukan nak ceramah atau tazkirah, tapi nak beritahu yang betul benar. Supaya ahli politik tidak alpa dengan janji Allah kepada mereka. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan