Ahad, 11 Disember 2022
Laluan mudah Datuk Jo di Parlimen Titiwangsa?
By Manzaidi Mohd Amin - 17 October 2022
PENGUNDI Parlimen Titiwangsa tidak lagi menaruh harapan kepada Datuk Seri Rina Mohd Harun akan kembali ke kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November ini.
Menteri Wanita dan Keluarga itu dikatakan semakin jauh dengan pengundinya yang telah memberi kemenangan kepada beliau dalam PRU-14 mengalahkan orang kuat UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut sumber, Rina mutakhir ini lebih banyak menghabiskan masa di Parlimen Sepang sehingga menimbulkan desas desus beliau tinggalkan Titiwangsa kerana tidak yakin dapat mempertahankan kerusi itu kali ini.
Dalam PRU14 tahun 2018, Ketua Srikandi Bersatu itu menang dengan majoriti 4,139 undi selepas mendapat 23,840 undi, manakala Johari memperoleh 19,701 undi dan calon Pas 6,845 undi.
Sepatutnya Rina mempertahankan kerusi itu kerana kerjasama Bersatu dengan Pas boleh memberi undi yang lebih besar kepadanya untuk mengalahkan Johari bagi kali kedua.
Secara logik, gabungan undi Bersatu dan Pas pada PRU-15 akan memberi kemenangan besar kepada Rina dengan sekurang-kurangnya 30,000 atau lebih 40,000 undi, berbanding undi UMNO tidak lebih, tidak kurang sekitar 20,000 undi sahaja.
Ini meletakkan Rina jauh dalam keadaan selesa untuk kekal mempertahankan kerusi Titiwangsa penggal depan, berbanding Johari yang akan menerima mali kalau kalah lagi tahun ini.
Bagaimanapun, Rina dikatakan hilang keyakinan dapat mengalahkan Johari atas faktor Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan itu semakin mendapat sokongan penduduk yang mula sedar mereka sebelum ini ditipu oleh PH.
Menurut sumber, kekalahan Johari pada PRU-14 bukan disebabkan rakyat tidak suka kepadanya, tetapi kerana percaya kepada fitnah yang dibawa pembangkang ketika itu.
“Dalam PRU-14 itu, bukan Johari sahaja yang kalah, ramai nama-nama besar dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga menerima nasib sama.
“Sekarang trend dalam kawasan Titiwangsa sudah berubah. Rakyat dan pengundi tidak lagi akan mengulangi kesilapan sama pada PRU-15 ini. Mungkin situasi ini sudah dihidu Rina, menyebabkan dia berminat di Sepang,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.
Namun, bukan asing bagi Rina kalau memilih Sepang untuk bertanding kerana beliau pernah memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepang pada 2002 hingga 2013 dan pemangku Ketua Wanita UMNO Bandar Baru Salak Tinggi dari 2013 hingga 2016.
Jadi, tidak mustahillah kalau dikatakan sirih pulang ke gagang.
Selain Rina, antara nama yang dicadangkan Bersatu Pusat untuk dicalonkan melawan Johari di Parlimen Titiwangsa ialah Ketua Bersatu bahagian itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu bagaimanapun dikatakan tidak berminat dengan kerusi itu, sebaliknya ura-ura mengatakan dia sedang mengintai kerusi Bagan Serai milik Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
Dr. Noor Azmi antara Ahli Parlimen UMNO yang lompat ke Bersatu selepas PH menang PRU-14 dan dilantik Timbalan Menteri Kesihatan I.
Mana mungkin Wan Ahmad Fayshal berani kacau kerusi itu tetapi itulah spekulasi mengenai calon-calon menjelang PRU-15. – MalaysiaGazette/analisis/politik
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan