Khamis, 8 Disember 2022

Sejak bila blok sana ambil berat pasal banjir?

By Manzaidi Mohd Amin - 11 October 2022
BAWAH Kolong (BK) pun perasan, sebaik tersebar khabar angin UMNO mahu PRU15 diadakan tahun ini, ramai dalam kalangan pemimpin blok pembangkang dan separa kerajaan membantah. Alasan utama mereka bantah, kerana PRU tahun ini akan berlangsung dalam musim tengkujuh, atau dengan kata lain, hujan lebat, ribut, kilat dan banjir. Ini menyusahkan rakyat, kata mereka. Sejak bila blok sana prihatin sangat dengan kesusahan rakyat hadapi banjir? Selama ini pun, kalau berlaku banjir hanya sebelah pihak saja yang nampak bersungguh-sungguh bantu mangsa banjir. Tidak nampak pun batang hidung atau kelibat mereka ini, yang sekarang ini beriya-iya tunjuk simpati kepada rakyat. Bukan BK nak perlekeh mereka, tapi meluat dengan sandiwara politik yang mereka mainkan. Sebenarnya, yang mereka takut bukan rakyat harungi banjir, tetapi mereka akan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan DUN, malah negeri kerana sepanjang penggal PRU14, rakyat telah menjadi penilai dan keputusan sudah ada di tangan mereka. Itu yang mereka takut. Lepas itu ancam rakyat dengan situasi banjir, supaya rakyat takut dan sekali gus mengharapkan rakyat tolak PRU15 tahun ini. BK dah nampak mainan politik mereka, selain mereka sendiri malas untuk turun padang bantu rakyat yang berdepan dengan banjir. Mereka takut basah. Mereka takut bantuan yang dihulurkan kepada rakyat tidak segempar yang mereka canang sebelum ini. Kalau di Zon Selatan, banjir berlaku hampir setiap masa, bukan dalam musim tengkujuh saja. Setiap kali hujan, berlakulah banjir kilat. Penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara. Siapa yang uruskan? Kerajaan yang memerintah uruskan, selain sayap parti dari UMNO yang bertungku lumus turun membantu. Di Zon Timur pula, sudah ditetapkan musim tengkujuhnya bulan Disember tahun ini dan berlarutan hingga bulan Mac tahun depan. Begitu juga di Zon Utara dan Zon Tengah, banjir melanda di luar musim tengkujuh. Pendek kata, banjir sekarang ini berlaku di luar musim. Banjir di Johor baru-baru ini, dan sebelum itu berlaku kepala air di Baling Kedah. Berlaku di luar musim. Begitu juga banjir besar di Selangor ada Disember tahun lalu dan melarat hingga ke Januari dan Mac tahun ini. Semuanya berlaku di luar musim tengkujuh. Malah, sekarang pun berlaku banjir kilat kalau hujan lebat. Blok sana tidak ambil kira pun bencana ini. Masih juga memperbesar-besarkan isu PRU dalam musim tengkujuh. Sengaja nak menakut-nakutkan rakyat. Pada BK, blok sana memang tidak profesional. Mereka nak berpolitik, tetapi tidak kena tempat. Macam-macam alasan digunakan untuk tarik sokongan. Setiap musim ini, tak kira musim tengkujuh, musim buah-buahan, musim perayaan mahupun musim apa saja, akan mengikut kitaran. Kalau sebelum ini musim tengkujuh di Zon Timur berlaku bulan Oktober, tahun depan akan berlaku bulan November dan terusnya Disember, Januari tahun berikutnya. Musim ini tidak tetap pada satu-satu bulan itu saja. Ia berubah-ubah. Begitu juga musim perayaan, Ramadan, Syawal dan sebagainya. Ia ikut kitaran. Mereka tahu kitaran ini, tetapi mereka mainkan sentimen untuk menakut-nakutkan rakyat, sebab kononnya rakyat jahil bab kitaran ini. Ini yang BK kata blok sebelah sana tidak profesional. Lebih lagi si murai yang baru dapat sarang. Kicaunya membingitkan telinga. Kicau saja lebih, hasilnya ke laut. Pada BK, PRU tahun ini atau tahun depan sama saja. Janji kerajaan baharu adalah kerajaan yang kuat dan stabil. Mentadbir tanpa gangguan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan. Barulah rakyat hidup senang. Ekonomi negara dapat dipulihkan dan pelabur mula yakin dengan Malaysia. Macam sekarang, apa sudah jadi? Tak sampai 22 bulan memerintah sudah jatuh. Tak sampai setahun setengah mentadbir sudah tukar Perdana Menteri. Pelabur mana tak lari dengan keadaan yang menakutkan mereka ini. Pelabur datang nak tanam modal, nak buat duit dan kongsi bersama. Kita pula buat mereka takut. Cabut larilah, buat apa lagi duduk dalam negara yang kacau bilau. Jadi, ini yang UMNO fikirkan. Mereka fikir soal kesejahteraan rakyat, keselamatan rakyat, ekonomi stabil, sama-sama dapat cari dan kongsi rezeki dalam negara yang aman, damai dan harmoni, tanpa sebarang gangguan. Malangnya, niat baik UMNO cuba dipesongkan, kononnya UMNO nak menyusahkan rakyat. Ingat, susah-susah dahulu, senang-senang kemudian. Ini peribahasa yang digunakan oleh UMNO. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran