Khamis, 8 Disember 2022
Banjir: Rantau Panjang bertukar jadi akuarium
By Manzaidi Mohd Amin - 3 March 2022
MINGGU akhir bulan Februari lalu, BK balik kampung di Pasir Mas, Kelantan. Ketika itu Kelantan sudah dua hari hujan tak henti-henti.
Sepanjang berada di kampung dua hari, dari Jumaat 25 Februari hingga Sabtu 26 Februari, beberapa lokasi sekitar kampung BK sudah dinaiki air. Selain hujan, disertai juga ribut.
Dalam pemikiran BK bersoal tanya, adakah bencana banjir tahun 2014 akan berulang di negeri tumpah darahku?
Sabtu malam, BK bertolak balik ke Shah Alam. Sepanjang perjalanan dengan bas, BK intai dari cermin tingkap bas, hujan tak henti-henti bermula dari stesen bas Pasir Mas sampai stesen bas Shah Alam.
Di bumi Shah Alam pula bukan setakat hujan lebat, disertai juga ribut petir, angin kencang dan kilat sabung menyabung. Lagi menakutkan.
Ketika itu, dalam pemikiran BK bersoal tanya lagi, adakah peristiwa banjir buruk 17 dan 18 Disember 2021 akan berulang?
Dalam tempoh itu, bermacam-macam perkhabaran BK terima. Anak di kampung memaklumkan, bumbung rumah sedikit terangkat dipukul angin kencang dalam kejadian ribut Isnin 28 Februari tu.
Semua ruang dalam rumah basah, katanya. Ada barang-barang sempat dialih ke tempat lebih selamat, ada yang tak sempat diselamatkan. BK hanya mampu beristigfar. Semua kejadian, ada hikmah yang Allah nak bagi.
Selang beberapa hari, kawan di Rantau Panjang maklumkan, paras air depan rumahnya di Kampung Tok Deh sedang naik. Katanya, dari jam 8 pagi, air di paras betis orang dewasa.
Jam 12 tengah hari pula, air dah mencecah paras pinggang orang dewasa. Katanya, dalam rumah juga air sudah masuk. Barangan perabut, barangan elektrik, barangan keperluan dia suami isteri, pakaian dan mainan anak-anak sudah ditenggelami air.
Kereta, motosikal juga tenggelam. Nak alik ke tempat selamat, sudah tidak ada ruang selamat lagi di bumi Rantau Panjang. Setiap ceruk sudah dinaiki air. Nak tak nak terpaksa akur melihat aset kesayangan satu demi satu ditenggelami banjir.
Hebat sungguh ujian diterima sahabat dari Rantau Panjang ini. Lagi hebat, tidak ada seorang pun wakil rakyat mahupun pemimpin parti datang bertanya khabar, atau sekurang-kurangnya menghulurkan bekalan makanan dan minuman.
Semua pemimpin tidak berada di kawasan ketika itu. Masing-masing sibuk ‘jual ubat’ di Johor Bahru. Kebetulan Johor ada pilihan raya negeri.
Hari ini, 3 Mac 2022, BK terima lagi satu mesej panjang dari sahabat di Kelantan. Dia menceritakan serba sedikit kejadian banjir di negeri bergelar Serambi Mekah itu. BK baca pun terasa sedih dan pilu.
Berikut BK perturunkan mesej itu untuk dikongsi bersama:
“Ini.. bukan kenyataan yang saya buat atau reka tulis. Ianya keluhan yang saya yakin dari orang Rantau Panjang atau sekitar tebing Sungai Golok sebelah Malaysia.
Kita bergembira kerana pengharapan berpuluh tahun untuk permbinaan tebatan banjir Sungai Golok akhirnya dilaksanakan dan projek Fasa 1 sudah bermula.
Tapi, apakan daya kebijaksanaan perancang untuk projek ini dengan dijadikan Fasa 1 bermula dari bawah dan semakin ke bawah menghala ke (daerah) Tumpat telah menyebabkan air terkepong di bahagian hulu sungai seperti sebuah akuarium yang dibina khusus untuk rakyat Rantau Panjang.
Disebabkan tebatan tersebut air yang terkepung itu memasuki setiap pelosok bumi Rantau Panjang dari depan (Sungai Golok) dan dari belakang (Sungai Lanchang dari Danau Tok Uban melalui Sungai Lubuk Jong).
Banjir 2014 pun sumbangan air dari Lubuk Jong (air dari Sungai Kelantan yang melimpah ke Sungai Lubuk Jong) sampai setakat Kampung Gual Periok saja. Tetapi kali ini serata bumi sungai itu menyumbang.
Amat menghairankan kalau dilihat di sebelah Thailand, projek tebatan mereka bermula dari sebelah hulu Sungai Golok menuju ke hilir atau ke Tumpat, Kelantan.
Apa sudah jadi????
Siapakah perancang arkitek bagi projek ini?
Membina sebuah akuarium untuk rakyat.
Bila berlaku begini, mereka sayangkan akuarium itu dari harta benda rakyat yang ada antaranya 100 peratus musnah, dari yang dalam rumah hinggalah kenderaan.
Mereka tidak buat persedian sebab belum ada sejarah berpuluh tahun dan berkali-kali banjir besar sebelum adanya akuarium itu halaman rumah mereka tenggelam, tapi kali ini tahun pertama setelah adanya akuarium itu, rumah mereka tenggelam merosakkan seluruh harta benda dan kereta mereka.
Pecahkan dulu benteng itu demi rakyat. Tolonglah rakyat sedang menderita. Tolonglah bertindak. Pecahkan dulu untuk rakyat.
Semoga rintihan didengari. Bantuan ini lebih penting dari bantuan beras dan sardin.
Terima kasih bagi yang membaca sambil berfikir!
Ya, BK baca dan sambil berfikir. Ada betulnya juga dengan luahan serta rayuan si penulis ini. Dia minta kerajaan mengarahkan kontraktor yang melaksanakan kerja pembinaan tebatan banjir sepanjang Sungai Golok sebelah Malaysia dipecahkan dahulu.
Nampaknya, kesan pembinaan tebatan itu bukan untuk mengurangkan banjir, tetapi menambahburukkan lagi banjir.
Pembinaan Fasa 1 tebatan itu menyebabkan limpahan air Sungai Golok mudah masuk ke penempatan penduduk di Rantau Panjang, tetapi sukar untuk mengalir keluar.
Dengan kata lain, air itu terkepong dan melata mencari kawasan rendah untuk bertakung. Memang betullah keadaan ini seperti akuarium. Air boleh masuk, tetapi air tidak boleh keluar.
Penduduk Rantau Panjang jadi ikan, harta benda mereka pula jadi bahan hiasan dalam akuarium itu. Pelik BK mikir.
Seorang sahabat BK, Ismail Daud berkata, sejak 30 tahun mendiami di Rantau Panjang, ini pertama kali musim tengkujuh yang melanda negeri itu meranapkan segala isi dalam rumahnya.
Kesian sungguh. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan