Jumaat, 2 Disember 2022
Melaka pula bergolak?
By Manzaidi Mohd Amin - 2 October 2021
KETIKA suhu politik negara makin reda dengan penubuhan kerajaan baharu ‘Keluarga Malaysia’ pada 20 Ogos lalu, kini timbul pula pergolakan kepemimpinan di Melaka.
Sejak Langkah Sheraton Mac 2020, keadaan politik dan pentadbiran di peringkat pusat dan negeri seperti telur di hujung tanduk, bergolak sepanjang masa tanpa mengira musim.
Dari kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei 2018, menyaksikan pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya bertahan selama 22 bulan.
Selepas itu bertukar pula kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sempat mentadbir selama 17 bulan, kini tidak sampai satu setengah bulan kerajaan Keluarga Malaysia mengambil alih, tercetus pula krisis politik.
Walaupun berlaku di peringkat politik dan sekadar olak dalam cawan, tetapi jika tidak ditangani dengan baik, boleh mengundang tsunami politik.
Nampaknya, dalam tempoh lima tahun PRU14 ini dari 2018 hingga 2023, keadaan politik di negara ini tidak akan tenang sebagaimana penggal PRU sebelum ini.
Tempoh penggal ini juga merupakan cabaran paling besar berlaku di Malaysia dan dunia khususnya, iaitu pertukaran tiga kerajaan di peringkat pusat dan dua di peringkat negeri, ketika rakyat dicengkam pandemik Covid-19.
Tsunami politik ini berpunca daripada sikap pemimpin itu sendiri. Mereka memilih untuk mengutamakan kepentingan diri daripada kesihatan rakyat, dengan berpolitiking siang dan malam.
Rakyat tidak pernah merasa aman dalam tempoh tiga tahun ini, sentiasa memikirkan bilakah suasana politik dan pentadbiran akan aman damai, wakil-wakil rakyat bertandang mengunjungi mereka seperti sebelum ini.
Begitu juga, rakyat sudah tanam dalam minda mereka, pentadbiran kerajaan baharu Keluarga Malaysia ini menandakan berakhirnya politiking murahan dan masing-masing dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Malangnya, panas yang disangka ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kerajaan pusat yang dikatakan sudah berada di landasan betul, rupanya masih ada negeri yang tergelincir rel.
Itulah Melaka. Dikatakan berlaku pergolakan politik di kalangan wakil rakyat UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri itu, sehingga nyaris mengundang pertukaran kerajaan.
Kekucahan ini bertiup kencang selepas dikatakan empat wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendak melompat dari kerajaan sekarang kepada Pakatan Harapan (PH).
Jika benar khabar angin itu, Melaka bakal menyaksikan pertukaran kerajaan dari PN kepada PH, yang mana sebelum ini Melaka ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan bertukar tangan kepada PH selepas PRU14.
Daripada empat ADUN itu, antara yang disebut adalah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan; dan ADUN Telok Mas dari PPBM, Noor Effendi Ahmad.
Bagaimanapun, Norhizam telah menafikan dakwaan itu semalam, manakala tiga lagi masih berdiam diri.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN, yang mana 17 kerusi memihak kepada kerajaan negeri sekarang, baki 11 kerusi lagi milik PH.
Jika empat ADUN dari kerajaan ini lompat parti – dikatakan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD), maka PH bakal mempunyai 15 kerusi, sekali gus mengambil alih kerajaan itu dari PN yang tinggal hanya 13 kerusi.
Sampai bila agaknya keadaan seperti ini akan berterusan? Ini merupakan satu pembaziran wang rakyat yang ketara. Segala peruntukan yang ada hanya dihabiskan untuk memuaskan nafsu kepentingan diri.
Sementara itu, menurut sumber, terdapat usaha lebih daripada empat ADUN merancang untuk mengadap Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Khabar angin turut bertiup kencang mendakwa, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memohon untuk mengadap Mohd Ali pada semalam, tetapi permohonan itu dikatakan ditolak.
Untuk rekod, kerajaan Melaka dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH yang tumbang Mac tahun lalu.
Sebagai ketua negeri yang tenang, beliau menganggap spekulasi itu hanya perkara biasa dalam dunia politik.
Katanya, tiada yang akan kekal dalam landskap politik negara yang mana perubahan pasti akan berlaku sama ada cepat atau lambat.
“Maaf, saya enggan ulas mengenai desas-desus perubahaan kerajaan negeri ketika ini.
“Bagi saya, ini perkara biasa dalam dunia politik, perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktunya nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan