Jumaat, 2 Disember 2022
Siakap oh siakap
By Manzaidi Mohd Amin - 6 November 2021
SETIAP kali aku terlintas nak makan di restoran, sama ada restoran atas darat, udara atau air, sama ada restoran bertaraf dua, tiga, empat atau lima bintang, benda pertama aku lakukan dulu ialah semak duit ada berapa ringgit.
Nak semak duit ni bukan setakat semak dalam poket baju, poket seluar dan dalam dompet saja, dalam akaun bank pun kena semak ada berapa ringgit baki.
Selain tu, jangan malu-malu tanya isteri, dia ada berapa ringgit dalam beg tangannya. Bukan apa, senang nak ‘berhutang’ dulu kalau-kalau harga makanan terlebih dari jangkaan. Orang kata, sediakan payung sebelum hujan. Tak salah kan.
Bila rasa duit cukup, barulah ajak keluarga makan dan pilihlah apa saja menu yang rasa membuka selera asalkan harganya cukup dengan duit yang ada. Itu persediaan kita sebagai pelanggan.
Tetapi, bagaimana pula dengan restoran? Ini yang penting. Pemilik restoran mesti jujur, terutama ketika terima pesanan pelanggan. Jangan sekali-kali berniat ‘jahat’ ambil kesempatan kaut keuntungan melampau.
Aku beri contoh, sekiranya pelanggan pesan siakap untuk makan lima ahli keluarga dan pelanggan tahu siakap dipesan itu harganya RM10 bagi 100 gram bersamaan RM100 satu kilogram.
Maka, pelanggan pesan dua siakap yang masing-masing berat satu kilogram. Baginya, dua kilogram siakap baru RM200. Masih boleh tambah lauk lain lagi untuk lengkapkan makan malam keluarga.
Selepas buat pesanan, pelanggan anggarkan harga keseluruhan termasuk siakap dua kilogram sekitar RM350 hingga RM400. Kira mampulah dengan duit yang ada ketika itu.
Malangnya, jika pelanggan berdepan dengan pekerja restoran tidak jujur, maka musibahlah jawabnya. Siakap yang dipesan dua kilogram, yang dimasak siakap lima kilogram.
Di sini berlaku ketidakjujuran pekerja restoran. Mereka sepatutnya maklumkan dahulu kepada pelanggan, siakap satu kilogram atau dua kilogram tak ada dalam simpanan, yang ada pun paling ringan siakap lima kilogram.
Bila dah dimaklumkan awal, terpulang kepada pelanggan nak teruskan atau tidak. Kalau pelanggan rasa tak mampu bayar, mereka mungkin akan pilih ikan lain yang lebih murah seperti kerapu, senohong, kembong, jenahak atau sirip yu.
Aku fikir, apa yang berlaku di Langkawi dan Melaka dua tiga hari lepas, yang mana pelanggan merungut harga siakap terlalu mahal, mungkin disebabkan mereka sama sekali tak terduga berat ikan yang dipesan dengan berat ikan yang dimasak.
Maksud aku, mereka tahu siakap itu harganya RM60 sekilogram, tetapi mereka tak tahu atau tak diberitahu berat sebenar. Kalau diberitahu pun, mungkin sekadar anggaran saja.
Anggaran pula jauh lebih ringan dari berat sebenar. Itu yang mungkin berlaku, yang mendorong pelanggan pilih ikan itu sebagai menu makan malam mereka.
Bukan mereka tak rujuk harga pada menu, bukan juga mereka tak ada duit nak bayar ikan besar lagi mewah itu. Tetapi mereka rasa seperti diperdaya. Yang dipesan berat dua kilogram, yang sampai berat tujuh kilogram.
Mungkin apa yang aku agak ini jarang berlaku, tetapi kejadian ini sering berlaku pada aku setiap kali masuk restoran dan buat pesanan. Orang lain aku tak tahu apa yang dialami mereka.
Ada juga restoran tidak nyatakan harga berat ikan, tetapi letak harga bagi tiga kategori saiz ikan, iaitu kecil, sederhana dan besar.
Bila aku pilih ikan sederhana dengan harga RM50 misalnya, pekerja restoran pula ambil ikan saiz besar berharga RM150 (juga misalan) tanpa pengetahuan pelanggan. Bila makan, memang kita tak tahu ikan itu bersaiz besar atau sederhana.
Masa bayar baru kita tahu ikan itu bersaiz besar dan ketika itu juga dimaklumkan pekerja restoran, ikan bersaiz sederhana yang aku pesan tidak ada dalam stok. Maknanya, pandai-pandai mereka pilih saiz tanpa rujuk atau maklum kepada pelanggan.
Masalah ini berlaku di mana-mana restoran dan kepada mana-mana pelanggan. Lain dipesan, lain yang sampai. Contohnya, bubur kacang satu mangkuk dalam menu RM5, masa bayar di kaunter harga RM10. Pun ada jenis ni.
Jenis ni selalunya berlaku di negeri yang jadi tumpuan pelancong, juga jarang-jarang berlaku di negeri atau Parlimen atau DUN yang ada pilihan raya.
Sebagai pengguna, kita kena bijak dan tahu taktik peniaga. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan