Jumaat, 2 Disember 2022

Menang bergaya di Melaka, kedudukan BN sukar digugat

By Manzaidi Mohd Amin - 21 November 2021
KEPUTUSAN rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengejutkan semua pihak. Semua keputusan itu, yang dibuat oleh rakyat Melaka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang semalam, sedikit pun tidak menepati ramalan penganalisis politik dan NGO bebas yang melakukan kajian sikap pengundi. Ada yang meramalkan Barisan Nasional (BN) menang tipis dan kedudukannya bagai telur di hujung tanduk, serta tidak sedikit meletak harapan terlalu tinggi kepada Perikatan Nasional (PN), kononnya bakal membentuk kerajaan baharu dengan kemenangan bergaya. Seperti biasa, penganalisis propembangkang pula meramalkan Pakatan Harapan (PH) akan membolot semua 28 kerusi yang dipertandingkan dengan pengagihan 11 kerusi untuk PKR, sembilan Parti Amanah Negara (Amanah) dan lapan kerusi DAP. PN mencagarkan 15 kerusi untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), lapan Pas dan lima Gerakan, manakala BN sebanyak 20 kerusi untuk UMNO, tujuh MCA dan satu MIC. Turut menawarkan diri bertanding ialah parti yang baru dua setengah tahun usia, iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) satu kerusi dan Bebas sebanyak 22 kerusi. Di awal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka lagi, nama UMNO-BN tidak begitu popular di kalangan Analisa penganalisis. Masing-masing meramalkan sukar untuk parti itu menang, berdasarkan ‘kekuatan’ suara dan jentera PN serta PH. Media banyak memberi tumpuan kepada calon popular PN iaitu Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin yang akan bertanding di DUN Tanjung Bidara melawan musuh ketatnya dari UMNO, Datuk Seri Rauf Mohd Yusoff. Ramai membuat andaian, PRN ini adalah yang terakhir bagi Rauf, kerana populariti Mas Ermieyati tidak dapat ditandinginya, lebih lagi bekas Yang di-Pertua DUN Melaka itu terpalit dengan isu pasir – sebagaimana didedahkan empat ADUN yang lompat parti. Namun, semuanya terjawab malam tadi, sebaik satu persatu kerusi DUN yang diumumkan SPR memihak kepada UMNO-BN. Mas Ermieyati yang diumumkan PN sebagai calon Ketua Menteri Melaka – jika menang, didapati kalah kepada Rauf dengan majoriti 364 undi. Rauf mendapat 3,5559 undi, manakala Mas memperoleh 3,195 undi. Dengan keputusan itu, Mas terpaksa ‘balik awal’ dan akur dengan keputusan rakyat Melaka masih mengekalkan Rauf. Dalam keseluruhan keputusan itu, majoriti paling tipis diperolehi calon BN, Datuk Zaidi Attan di DUN Serkam, iaitu 79 undi. Beliau yang mendapat 5,038 undi berlawan sengit dengan pencabarnya, Ahmad Bilal Rahudin dari PN-Pas yang mendapat 4,959 undi. Manakala majoriti paling banyak atau tinggi ialah 7,778 undi yang dimenangi Leng Chau Yen (PH-DAP) bagi DUN Bandar Hilir. Beliau mendapat 9,091 undi melawan Lee Kah Sean (BN-MCA) yang mampu mengumpul 1,313 undi. Lain-lain keputusan ialah calon Ketua Menteri Melaka dari BN, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengekalkan kerusi DUN Lendu dengan menang majoriti 3,104 undi. Beliau mendapat 4,486 undi mengalahkan calon PN-PPBM, Abdullah Mahadi (1,382 undi) dan PH-Amanah, Mohamad Asri Ibrahim (1,155 undi). Calon Ketua Menteri dari PH pula, Adly Zahari (Amanah-Bukit Katil) satu-satunya calon tunggal Amanah yang menang, manakala lapan lagi kalah di kerusi DUN masing-masing. Beliau dicabar oleh calon BN-UMNO, Datuk Hasnoor Sdg Husin dan calon PN-Pas, Muhammad Al Afiz Yahya. Dalam pertandingan itu Adly menang dengan majoriti 1,057 undi selepas mendapat 6,805 undi. Hasnoor berjaya mengumpul 5,748 undi dan Muhammad Al Afiz memperoleh 3,715 undi. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang tidak kurang mendapat perhatian media, selepas dikaitkan dengan dunia seni, iaitu Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira membuktikan serangan lawan tidak mempengaruhi pengundi di DUN Rim. Anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin menang dengan bergaya apabila mendapat 4,037 undi. Lawannya, Azalina Abdul Rahman PN-PPBM mendapat 2,710 undi dan B. Prasant Kumar PH-PKR 2,163. Satu-satunya calon tunggal dari MIC, P. Shanmugam (DUN Gadek) juga mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menewaskan calon PH-DAP, G. Saminathan dengan majoriti 559 undi. Shanmungam mendapat 3,022 undi, manakala Saminathan (2,463) dan calon PN-PPBM, Mohd Amir Fitri Muharam memperolehi 2,041 undi. Calon kedua BN-MCA yang menang ialah Datuk Lim Ban Hong (DUN Kelebang) yang mendapat 5,028 undi mengalahkan kalahkan Datuk Gue Teck PH-PKR dengan majoriti 876. Ban Hong mendapat 4,152 dan Bakri Jamaluddin PN-Pas mendapat 3,884 undi. Datuk Seri Idris Haron PH-PKR pula kalah di DUN Asahan selepas mampu mendapat 2,666. Bekas Ketua Menteri Melaka itu dikalahkan calon BN-UMNO, Fairul Nizam Roslan dengan majoriti 2,993. Fairul Nizam mendapat 5,659 undi, manakala lawannya B. Dhanesh PN-Gerakan hanya mendapat 1,364. Pertandingan di DUN ini menyaksikan enam penjuru yang disertai tiga calon bebas. Calon bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee terpaksa berputih mata menerima kekalahannya di tangan calon BN-UMNO, Datuk Kalsom Nordin dengan majoriti 131 undi. Kalsom mendapat 4,830 undi, diikuti lawannya, Muhamad Danish Zainudin PH-PKR (4,708 undi), Mohd Azrudin Md. Idris PN-PPBM (2,681 undi) dan Norhizam hanya mengumpul 1,218 undi. Sebanyak 21 kerusi DUN yang dimenangi BN ialah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai. PH menang di lima kerusi iaitu Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN dua kerusi di Sungai Udang dan Bemban. Seramai 476,037 pengundi direkodkan dalam senarai pendaftar pemilih Melaka dengan SPR menyediakan 217 pusat mengundi, 1,109 saluran. Daripada 112 calon yang bertanding, 96 adalah lelaki, 16 wanita dengan calon dari PH, Farzana Hayani Mohd Nasir antara termuda, berusia 21 dan bertanding di DUN Sungai Rambai. Calon paling tua ialah dari BN, iaitu Kalsom yang berusia 68 dari DUN Pengkalan Batu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran