Khamis, 8 Disember 2022
Kenapa orang politik bila berjanji sebut bulan dan bintang?
By Manzaidi Mohd Amin - 11 November 2022
KENAPA orang politik apabila menabur janji, selalu kaitkan dengan bulan dan bintang? Apa istimewanya dua planet itu pada mereka sehingga dijadikan umpan janji kepada rakyat?
Adakah rakyat ketagih nak memiliki bulan dan bintang? Adakah bila sebut bulan dan bintang rakyat akan terpesona dengan semua janji dan kata-kata manis orang politik?
Kalau bulan memang munasabah sebab penjawat awam, pekerja swasta, peniaga, pelajar sentiasa menunggu cukup bulan untuk dapat gaji, rezeki dan belanja persekolahan.
Kalau bintang, tidak pernah pula menjadi impian rakyat, kerana mereka tahu planet yang berkelip-kelip sayup di langit malam itu hanya sekadar boleh dilihat, tidak boleh digapai. Maka, bintang tidak ada dalam kamus kehidupan rakyat.
Jadi, apakah istilah atau maksud sebenar bulan dan bintang yang sinonim sangat dengan orang-orang politik terutama di musim pilihan raya ini?
Mungkin pada orang politik, bulan dan bintang itu adalah suatu objek yang indah dipandang, tetapi tidak akan menjadi kenyataan untuk dipegang. Lalu, sangat sesuai digunakan untuk menarik sokongan.
Pada orang politik seperti ini, prinsip mereka alang-alang menabur janji biarlah sampai rakyat asyik dan terpesona mendengarnya, soal tunai atau tidak, letak tepi sebab rakyat akan lupa selepas itu.
Contohnya, penggal lalu ada yang berjanji nak hapuskan hutang PTPTN, janji nak hapuskan tol, janji nak hapuskan hutang peneroka, janji nak hapuskan cukai itu, ini. Tetapi selepas dapat kuasa, satu janji pun tidak ditunaikan.
Apabila rakyat tanya mana janji bulan dan bintang sebelum ini? Mereka beri alasan mudah, semua itu tidak boleh dihapuskan sebab kena melalui banyak syarat, terikat dengan perjanjian, perundangan dan sebagainya.
Mereka beri alasan yang susah supaya rakyat dapat terima hakikat, janji dulu tidak dapat ditunaikan kerana terikat dengan syarat dan perundangan. Maka, rakyat pun senyap.
Mungkin inilah gamaknya bulan dan bintang digunakan orang politik dalam menabur janji. Bulan dan bintang hanya boleh dilihat, tidak boleh dipegang. Janji boleh ditabur, tidak semestinya dikotakan.
Rakyat sepatutnya sudah lama sedar dengan penipuan ini. Mereka sepatutnya sedar janji seperti itu bukan ditabur pada musim ini sahaja, mereka ditipu sejak berpenggal-penggal PRU lamanya.
Mereka selalu lupa dan tetap juga teruja dengan janji-janji baharu, padahal mereka awal-awal lagi sudah diberi ‘hint’ atau petunjuk oleh orang politik yang turun padang dengan tangan kosong dan bermodalkan air liur.
Namun, kerana terlalu teruja dan seronok didatangi orang politik, yang lima tahun sekali turun padang, mereka termakan juga dengan janji-janji kosong itu.
Mereka tahu orang politik yang datang ziarah dari rumah ke rumah, jumpa di pasar-pasar pagi, pasar-pasar malam, sama ada melalui ziarah kasih atau walkabout ini bawa tin kosong, tetapi mereka tetap terpesona.
Mereka terpesona dengan perwatakan orang politik, dilihatnya peramah, mudah diajak berbicara, ambil berat soal kebajikan rakyat, bahkan kalau ada anak kecil ketika itu pun diriba, didukung dan diusapnya.
Padahal anak kecil ini akan jumpa semula dengan orang politik ini 18 tahun akan datang. Itu pun jika orang politik itu panjang umur.
Ada pula rakyat ketika bersua muka dengan orang politik retorik ini tiba-tiba berubah fikiran, ah! mungkin kali ini YB bercakap benar, tak bohong macam penggal lalu dah. Maka, disambutnya orang politik itu dengan kedua tangan dan memberi jaminan pula akan undi calon itu pada 19 November ini.
Memang tetap kata-kata seorang pemimpin ulung negara, bahawa Melayu mudah lupa. Maksud Melayu itu adalah rakyat. Sepenggal lepas ditipu, penggal ini kena tipu lagi. Betullah rakyat mudah lupa.
Politik sekarang tidak sama seperti dahulu. Politik dahulu, pemimpin guna duit sendiri untuk bela dan jaga kebajikan rakyat. Ada yang terpaksa gadai barang kemas, jual tanah, kereta, rumah dan harta benda untuk rakyat.
Sebab itu pemimpin dulu bila turun jumpa rakyat dan dengar aduan rakyat, mereka jawab, saya akan cuba… kalau jadi kenyataan, Alhamdulillah, kalau tak berjaya, saya akan usahakan juga.
Pemimpin sekarang lain, kalau mereka turun jumpa rakyat dan dengar aduan rakyat, mereka tuding jari atau lepas tangan pada orang lain sebab mereka datang bukan nak tunai janji, mereka datang nak berkempen untuk memenangkan mereka.
Sebab itu pemimpin sekarang, lain yang rakyat adu, lain yang mereka janji. Rakyat mengadu masalah perparitan, mereka janji nak bina sungai, nak buat lembangan. Rakyat bangkit masalah jalan berlubang, mereka janji nak gantikan lebuh raya bertingkat.
Peliknya, rakyat masih terpesona dengan janji itu walaupun tahu itu kosong dan bukan sekali ini mereka diulik dengan paluan tin kosong. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan