Khamis, 8 Disember 2022

Kenapa Pas, PH tak mahu PRU serentak dengan Parlimen?

By Manzaidi Mohd Amin - 2 September 2022
“NEGERI-negeri yang berada di bawah Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya hanya selepas Mac 2023,” kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. “Kerajaan Pas yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal daripada Mac tahun depan,” kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Kenyataan Pas tidak akan bubar DUN serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat ini bukan benda baharu. Di zaman mantan Menteri Besar, (Allahyarham) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi ulangi kenyataan sama. Akhirnya, apa yang berlaku, Pas ikut langkah Parlimen juga – terpaksa bubar dan adakan pilihan raya umum serentak. Nak keras ‘keng’, tapi tak kena tempat. Kalau dengar pada cakap, Pas antara parti politik paling tegas dan berani kerana tidak mahu ikut yang lain-lain, tetapi lihat pada perbuatan, tidak ke mana pun. Menikus macam yang lain-lain juga. Atau dengan kata lain, cakap tak serupa bikin. Setakat ini, dalam pencarian BK, belum ada lagi mana-mana negeri pembangkang tidak ikut serta bubar serentak dengan Parlimen. Semuanya ikut keputusan Parlimen, termasuklah di zaman tok guru Nik Aziz. Selangor dan Pulau Pinang di bawah PH pun ikut adakan pilihan raya serentak dengan Parlimen pada PRU14, begitu juga pilihan raya sebelumnya. PRU15 ini pun BK nak tengok sejauhmana Pas dan PH nak ikut atau tidak ikut Parlimen. Mereka ingat hendak mengadakan dua PRU dalam tempoh tidak sampai setahun tidak perlukan duit? Kata tidak mahu membazir duit rakyat, tetapi kalau mereka bertegas dengan keputusan sebagaimana dinyatakan dalam Muktamar Pas di Kedah Khamis lalu, bermakna mereka telah membazirkan duit rakyat. Kalau diadakan pilihan raya serentak, sekurang-kurangnya tiga empat ratus juta dibelanjakan. Tapi kalau dua kali PRU, ratusan juta lagi dihabiskan. Tidakkah itu membazir namanya? Tidak perlulah beri alasan nak tumpu kepada kebajikan rakyat. Rakyat sudah beri 32 tahun kepada Pas dan 14 tahun kepada PH untuk memerintah, tidak cukup lagikah tempoh itu untuk mereka bantu rakyat? Tiba-tiba dengan baki tempoh PRU14 hanya tinggal tujuh lapan bulan lagi, baru hendak tekan gear hendak beri perhatian kepada rakyat. Perhatian apa lagi dapat diberikan dalam tempoh sesingkat itu? Pembangunan apa lagi nak dilaksanakan dengan jangkamasa untuk PRU15 tinggal beberapa bulan sahaja lagi? Tidak perlulah beri bermacam-macam alasan atau dalil berkaitan kebajikan dan kepentingan rakyat kalau tempoh yang diberikan oleh rakyat selama ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Atau, adakah apabila tiba di pengakhiran tempoh penggal PRU – setiap PRU – baru kerajaan Pas dan kerajaan PH hendak mempedulikan rakyat? Islam anjurkah kepimpinan seperti itu? Padahal Islam itu meletakkan beberapa syarat bagi melayakkan seseorang untuk menjadi pemimpin, sama ada di peringkat negeri mahupun negara, iaitu jujur dan amanah. Inilah prasyarat yang ditetapkan dalam Islam. Tetapi, apa yang BK nampak dan lihat, ciri-ciri itu tidak ada dalam pemimpin sekarang, baik dalam Pas, UMNO, PPBM, PKR mahupun Amanah. Semuanya, kalau tidak banyak, sebesar biji sawi pun terselit ketidakamanahan dalam diri. Sedangkan, antara kriteria utama yang perlu ada pada seseorang ialah sifat jujur dan amanah kerana dua sifat ini yang dapat menjaga kepentingan rakyat, kebajikan rakyat. Pemimpin jujur dan amanah, apabila nak turun padang, tidak perlu disambut dengan bunga manggar, paluan kompang, hamparan karpet hijau, kuning, merah dan biru. Mereka tahu untuk buat persiapan itu memerlukan duit yang banyak. Zaman sahabat Nabi dilantik sebagai khalifah, mereka rasa nak turun, mereka terus turun tanpa diundang, tanpa diraikan. Mereka sentiasa tunjuk sikap prihatin dengan kehidupan rakyat tanpa mengira musim. Pemimpin zaman sekarang nak jumpa rakyat kena tunggu musim. Musim raya atau musim pilihan raya. Kalau tidak ada dua raya ini, jangan harap rakyat dapat jumpa mereka. Tengok saja kehidupan rakyat sekarang, rumah robek sana robek sini, jalan kampung lecak berselut. Bukan setahun dua, bertahun-tahun keadaan mereka macam itu, tidak dipedulikan. Kalau ada NGO turun membantu, wakil rakyat kawasan pula tersentak. Jadi, inikah alasan Pas dan PH tidak mahu bubar DUN serentak dengan Parlimen, kononnya kerana hendak beri tumpuan kepada rakyat? Baik bercakap dengan dinding. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: