Khamis, 8 Disember 2022
PRU awal atau lambat: PM dalam situasi ditelan mati emak, diluah mati bapa?
By Manzaidi Mohd Amin - 12 September 2022
YANG sebut nak pilihan raya awal ialah UMNO, yang kelam kabut buat persiapan nak hadapi pilihan raya ialah Pas dan rakannya, Bersatu.
PKR, DAP dan Amanah masih berbelah bahagi antara nak pilihan raya awal atau nak pilihan raya pertengahan tahun depan.
Maksud Bawah Kolong (BK) pilihan raya awal ialah pilihan raya yang diadakan paling cepat November ini dan paling lewat Mei atau Jun tahun depan.
Apapun, eloklah buat persiapan awal-awal supaya rakan gabungan tahu kerusi mana kita nak dan berapa jumlah kerusi kita akan letak bertanding. Pihak lawan pun boleh buat persediaan awal juga.
Setakat ini UMNO dan Barisan Nasional (BN) tenang sahaja. Walaupun mereka yang minta dan desak diadakan pilihan raya awal, tetapi setakat ini belum kedengaran lagi dengan pembahagian kerusi bersama komponennya. Mereka juga belum sibuk bincang soal calon.
Namun, Pas yang mulanya tolak desakan UMNO itu, bukan setakat sudah bincang kerusi, kriteria calon pun sudah dalam penelitian mereka sebagaimana diuar-uarkan dalam muktamar tahunan parti itu di Kedah minggu lepas.
Malah, awal-awal lagi Pas buat ramalan tiga negeri akan kekal di tangan mereka iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Lepas itu mimpi nak tambah cawangan keempat iaitu Pahang.
Tidak salah untuk bercita-cita, tetapi kena tengok dengan suasana dan keadaannya.
Bukan setakat itu, ada juga pemimpin Pas beri cadangan kepada kerajaan agar pinda undang-undang tertentu supaya pemimpin yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah tidak layak bertanding PRU15 ini.
Malangnya, cadangan itu ditolak oleh Menteri Undang-Undang dengan alasan peruntukan sedia ada masih boleh digunapakai, iaitu pemimpin yang diputuskan bersalah oleh mahkamah sahaja tidak boleh bertanding.
Apahal sampai ke tahap itu cadangan Pas? Ini membenarkan satu ketika dulu pasal isu minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dirujuk sebagai dokumen ‘Pasleak’. BK malas ungkit, tetapi rakyat tidak pernah lupa.
Nampak sangat mereka tidak suka kepada pemimpin bergelar kluster mahkamah, hinggakan segelintir yang berdepan kes di mahkamah pun mahu dihalangnya.
Mana semangat demokrasi yang mereka laung-laungkan selama ini? Apakah demokrasi hanya terpakai apabila terkena batang hidung sendiri?
Manakala puak dalam PH pula, walaupun ‘berbelah bahagi’, naluri mereka sebenarnya membuak-buak mahu pilihan raya diadakan awal.
Panglima perang mereka sekarang ini pun sudah turun padang bawa isu ‘penyelewengan’ projek kapal tempur pesisir (LCS).
Kata timbalan sebuah parti, sehingga hari mengundi pun isu ini tidak akan habis, apatah lagi orang ramai ternanti-nanti nak tahu siapa Zainab.
Selain itu, PH juga mengharapkan isu perbicaraan beberapa pemimpin kanan UMNO di mahkamah ketika ini akan memihak kepada mereka, kerana rakyat mungkin tidak suka pemimpin ‘rasuah’ dan ‘seleweng’.
Itulah sebenarnya, kenapa BK kata, PN tanpa BN dan PH kemungkinan MUDA menyertainya, perlu bersetuju dengan UMNO dan BN untuk adakan pilihan raya awal. Banyak isu mereka boleh pengaruhi rakyat dalam kempen nanti.
Jadi, pada BK, tidak ada bezanya pilihan raya awal dengan pilihan raya akhir penggal. BN belum tentu menang majoriti kalau pilihan raya awal dan belum tentu kalah kalau pilihan raya pertengahan tahun depan.
Lagipun, UMNO sudah mendapat kelulusan RoS pasal usul untuk adakan pemilihan parti selepas enam bulan PRU. Cuma team ini tidak berapa selesa kalau-kalau kes mereka dipercepatkan dan hukuman dijatuhkan sebelum pilihan raya.
Cuma sekarang ini, BK lihat Perdana Menteri kita yang berada dalam dilema dan tekanan. Kalau BK berada di tempat beliau pun BK rasa serabut.
Nak panggil pilihan raya awal bagaikan ditelan mati emak, nak tunggu hingga tempoh PRU14 habis bagai diluah mati bapa.
Begitu juga kedudukannya sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan dan Naib Presiden dalam parti. Selagi kerajaan pimpinannya disokong dan dikongkong oleh musuh-musuh UMNO team Presiden, beliau tidak boleh buat keputusan mengikut kehendak parti.
Dan parti pula kena faham suasana itu. Tidak boleh main tekan dan desak saja kerana selepas BN kalah PRU14, kerajaan yang ada sekarang bukan kerajaan majoriti dua pertiga.
Kerajaan sekarang adalah kerajaan yang dibentuk bersandarkan sokongan dari parti-parti sekutu, bukan komponen. Sekutu tidak bermakna kawan, sekutu boleh bila-bila masa bertukar menjadi seteru.
Bayangkan, dalam tempoh empat tahun, tiga kerajaan bertukar tangan. Tiga Perdana Menteri mentadbir tiga kerajaan. Kenapa jadi begitu? Tanyalah Jauhari. Hanya Jauhari juga yang mengenal Manikam.
Begitulah yang BK nak gambarkan situasi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau sebenarnya dalam keadaan serba salah untuk membuat keputusan.
Dalam perjumpaan parti, beliau berdepan dengan Presiden, Timbalan Presiden serta dua lagi Naib Presiden serta akar umbi yang selalu menekan dan mendesaknya supaya pilihan raya awal diadakan.
Dalam kerajaan dan Kabinet pula, beliau dikelilingi musuh-musuh UMNO dan sekerat pemimpin UMNO yang mesra PN.
Team yang mesra PN ini tidak pernah senada dengan team presiden. Kalau boleh mereka tidak mahu pilihan raya diadakan awal dan kenapa PM perlu tunduk kepada desakan mereka ini.
Apapun, BK percaya PM kita bukan calang-calang orang. Beliau lama dalam politik dan masak dengan kehendak serta karenah parti.
Beliau mampu menyelesaikan kemelut ini dengan kebijaksanaan dan budi bicaranya. Cuma caranya ialah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak.
PM kita mahu membuat keputusan dengan berhati-hati dan adil supaya tidak memakan diri. Ini cara pemimpin yang berhemah dan berwibawa. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan