Khamis, 8 Disember 2022

Nak tawan Pahang? Jadikan Kelantan negeri contoh dulu

By Manzaidi Mohd Amin - 22 August 2022
DALAM seminggu lepas, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari ada buat kenyataan. Dalam kenyataan itu, dia ajak penyokong Pakatan Harapan (PH) Pahang sokong Pas untuk tumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini. Selang beberapa jam selepas dia keluarkan kenyataan itu, Angkatan Muda PH Pahang pun jawab. Jawapannya ringkas saja, “memang PH nak tumbangkan BN di negeri itu, tapi bukan bekerjasama dengan Pas”. Bawah Kolong (BK) tak tahu, nak menangis atau nak ketawa dengan jawapan kedua pemimpin muda Pas dan PH ni. Namun, pada BK, kenyataan balas Angkatan Muda PH Pahang itu menjawab persepsi BK, sama ada nak nangis atau ketawa. Ia adalah ‘pukulan maut’ kepada Pemuda Pas. Yalah, siapa nak bekerjasama dengan Pas kalau bercakap pun macam tak ada pendirian. Kalau orang Kelantan cakap, “tak lekat di pelunggur”. Pelunggur ni sejenis kayu keras sepanjang satu setengah kaki digunakan untuk tambat lembu. Pas memang bercita-cita besar sejak dulu lagi. Bercita-cita nak jadi pemerintah sejak sekian lama, dan Allah izinkan mereka memerintah Kelantan bermula 1990, manakala perintah Terengganu berselang seli dengan BN, dan terbaharu di Kedah bersama Perikatan Nasional (PN). Kali ini Pas nak tawan Pahang pula, walaupun PRU14 yang lalu Pas kalah di semua 14 kerusi Parlimen dan hanya menang lapan daripada 42 kerusi DUN negeri itu. Pada PRU14 juga, Pas bertanding di lebih 150 kerusi Parlimen. Dari jumlah itu, Pas hanya menang 18 dari 222 kerusi Parlimen dan menang 81 daripada 576 kerusi DUN seluruh Semenanjung. BK senaraikan jumlah dan negeri yang Pas menang. Di Kelantan, mereka menang sembilan kerusi Parlimen, 37 kerusi DUN; di Terengganu, mereka menang enam Parlimen dan 22 DUN; di Pahang, hanya menang lapan kerusi DUN, kalah di semua 42 kerusi Parlimen; di Perlis, dua DUN; di Kedah tiga Parlimen, 15 DUN; di Perak tiga DUN dan masing-masing satu DUN di Selangor dan Johor. Itu Pas bertanding solo, dan dalam PRU15 ini Pas terpaksa berkongsi kerusi dengan rakan tidur sebantalnya, parti Bersatu. Sudah tentu dalam pembahagian kerusi dengan Bersatu, Pas hanya dapat sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus sahaja daripada 222 kawasan Parlimen dan 576 kawasan DUN. Kuota selebihnya dah barang tentu Bersatu nak, kerana mereka pun mungkin nak bahagi-bahagikan dengan rakan-rakan politik lain yang mungkin mahu bersama Perikatan Nasional (PN). PN untuk PRU15 hanya Bersatu dan Pas sahaja, tidak melibatkan Barisan Nasional (BN) lagi. Tika ni BN akan bertanding bersama rakan komponennya iaitu MIC dan MCA. Jadi, kalau di calculate tolak campur, bahagi dan darab, BK dapat jawapan, amat sukar untuk Pas nak tawan Pahang. Entah-entah, Pas akan hilang kerusi yang dimenangi mereka di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak disebabkan rakyat kecewa dengan penolakan Pas bersama BN dalam Muafakat Nasional (MN). Kekalahan ini tak mustahil. Bersandarkan fakta yang BK dapat, Pas pernah catat rekod kalah dengan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah). Ini menunjukkan betapa tidak mahunya pengundi kepada Pas. Pada BK, hanya jauhari mengenal manikam. Begitulah di kerusi-kerusi yang Pas kalah bertanding. Pengundi tolak sebab mereka kenal siapa Pas. Yang masih terima Pas, tapi tidak menyeluruh seperti dulu hanya Kelantan, Terengganu dan sebahagian kecil di Kedah saja. Di Kelantan Pas paling lama memerintah, walaupun sampai sekarang BK tak tahu nak senaraikan apa kejayaan kerajaan negeri itu. Jangan pula bila BK palu sikit, maka tuduh BK blogger PH atau blogger UMNO. BK menulis atas dasar profesional sebagai pengamal media dan tiga perempat daripada umur BK habis di Kelantan, bawah pimpinan kerajaan Membangun Bersama Islam. Kampung BK di Pasir Mas, sekarang bawah wakil rakyat Ahmad Fadhli, tetap masih mundur sama seperti tahun 60-an. Masalah perparitan tak pernah selesai, masalah jalan jauh sekali nak turap baru. Hinggakan BK berpandangan, siapa saja calon yang menang di Pasir Mas atas tiket Pas, jangan harap rakyat akan dapat nikmati segala bentuk pembangunan. Sepanjang tempoh PRU13 lagi teruk, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz wakil rakyatnya. Selama lima tahun, batang hidung tak pernah nampak terlintas bayang ke kampung BK. Dan kini digilir ganti pula dengan Ahmad Fadhli, pun sama dengan rakannya Nik Abduh, cuma mulut wakil rakyat sekarang boleh tahan kalau berbual di Parlimen. Nik Abduh dulu macam tak ada mulut. Rakyat Pasir Mas pun tak kenal. BK nasihatkan wakil rakyat Pas, sebelum pasang cita-cita nak tawan Pahang, tolong majukan Kelantan dulu. Kalau dah betul-betul Kelantan boleh dijadikan contoh negeri terbaik bawah pemerintahan Pas, barulah sasarkan Pahang untuk next PRU. Pas perintah Kelantan selama 32 tahun, apa yang rakyatnya dapat nikmati dan kongsi kejayaan? Program-program jangka pendek dan jangka panjang langsung tidak ada. Dengan kos sara hidup yang tinggi pun, rakyatnya terkapai-kapai cari jalan selesaikan sendiri hidup mereka. Ini sangat berbeza dengan kerajaan campuran Selangor yang ada DAP, PKR dan Amanah dalamnya. Kerajaan Selangor saban bulan perkenalkan program-program yang berkaitan kebajikan hidup rakyatnya. Di Selangor ada bas percuma, di Kelantan rakyatnya yang miskin kena bayar sendiri tambang pengangkutan awam. Di Selangor, warga emas disediakan bantuan, di Kelantan warga emasnya nak hidup kena bertani dan menternak. Di Selangor, disediakan subsidi untuk milik rumah mampu milik. Di Kelantan, rakyatnya sekadar mampu tengok orang bukan Melayu dan bukan Islam memilikinya. Di Selangor, puluhan ribu rakyatnya disediakan peluang pekerjaan. Di Kelantan, kalau nak kerja kena berhijrah tinggalkan anak bini. BK tak layak nak nasihat Pas, tetapi BK rasa layak nak nasihatkan Ahmad Fadhli. Lagi pun BK juga anak Kelantan, anak jati Pasir Mas, pengundi calon Parlimen Pasir Mas. Dalam kawasan Parlimen Pasir Mas sendiri pun Ahli Parlimennya tak proaktif hinggakan Pasir Mas ni bergelar “Jajahan Mati” atau “Bandar Mati”. Zaman Datuk Ibrahim Ali pegang jawatan Ketua UMNO Bahagian dulu, hidup juga bandar Pasir Mas. Setiap bulan adakan ekspo di padang mini stadium. Jemput majikan-majikan pamer produk dan tawarkan peluang pekerjaan. Sejak dua penggal ini, penggal PRU13, Nik Abduh jaga Parlimen Pasir Mas, jarang berada di kawasan. Penggal PRU14, Ahmad Fadhli pula ambil alih, pun situasinya sama, malap. Tengok saja bangunan Serakai Mas, yang jadi mercu tanda Pasir Mas. Malap, kosong, kotor dan tidak terurus. Di Pasir Mas mana ada kawasan riadah. Dulu boleh jadikan tebing Sungai Kelantan tempat beriadah, sekarang sudah ditutup akibat hakisan tebing. PBTnya pun sama, hanya tahu jaga petak parking saja. Tak tahu nak landskap struktur-struktur yang ada. Bukan nak perlekeh, tapi jadilah wakil rakyat yang benar-benar cakna. Bukan sekadar ulang alik ke Kuala Lumpur, mentang-mentang kita Ahli Parlimen. Fungsi Ahli Parlimen juga sama dengan fungsi ADUN. Cuma Ahli Parlimen skopnya luas, rapat dengan Menteri Kabinet, boleh cadangkan projek-projek yang memberi manfaat kepada rakyat untuk dibawa balik. Tapi, dalam tempoh dua penggal ini apa Ahli Parlimen Pasir Mas bawa balik untuk Pasir Mas dan Kelantan khususnya? Cadangan nak perkenalkan perkhidmatan bas elektrik di Kelantan sejak 2017 lagi, sampai sekarang tidak ada satu bayang bas pun bergerak di jalan raya. Semuanya sekadar cadangan. Dengan imej beginikah Pas nak tawan Pahang? Tunggu minggu depan, BK akan bagi formula terbaik kepada Pas sekiranya benar-benar nak menang dan bentuk kerajaan di peringkat Persekutuan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: