Khamis, 8 Disember 2022
Nak kurangkan “jem”? Tukar saja kereta ke motosikal
By Manzaidi Mohd Amin - 19 June 2022
SECARA individu, kalau ditanya kepada saya, apa cara untuk atasi masalah kesesakan jalan raya di ibu kota?
Terus terang, saya akan katakan, saya laksanakan ini dapat selesaikan masalah itu.
Apa caranya? Tukar gaya hidup, daripada pandu kereta untuk ulang alik ke pejabat atau ke tempat tugasan, tukar kepada tunggang motosikal.
Itulah yang saya lakukan dan Alhamdulillah berjaya. Saya dapat sampai ke pejabat dalam masa setengah jam dengan tunggang motosikal, banding satu jam atau satu jam 15 minit untuk sampai ke pejabat dengan pandu kereta.
Lagipun, kalau tunggang motosikal, sampai pejabat tak perlu risau tempat letak motor, petak untuknya banyak disediakan PBT.
Lainlah dengan kereta, dah sampai lewat, belum tentu dapat petak parkir. Pusing tiga empat kali pun belum tentu dapat parkir. Sini saja, banyak masa habis terbuang, selain kena gerak awal pagi kalau nak sampai pejabat tepat pada waktunya.
Bila saya, sejak 10 tahun lalu amalkan tunggang motor ke tempat kerja, ianya Alhamdulillah berkesan. Saya tidak lagi berdepan dengan “jem” di lebuh raya, di jalan raya, di susur keluar atau masuk lebuh raya dan di lorong tol.
Kalau sebelum ini, nak sampai ke pejabat ambil masa sejam lebih, saya pula kena lepasi sekurang-kurangnya tiga tol untuk laluan sehala, kalau dua hala kena enam tol.
Tol pertama 90 sen, tol kedua RM2.20, tol ketiga pun RM2.20, sudah RM5.30 sehala, lepas tu kali dengan balik RM5.30, dah RM10.60 sehari untuk tol saja, belum campur kos minyak kereta sekitar RM20 sehari.
Bila saya buat keputusan tukar kenderaan, saya tidak peduli apa orang, jiran dan rakan nak cakap. Yang penting, kita dapat jimatkan kos dan jem untuk diri kita. Lagipun, mereka ini bukannya ada bersama kita tika kita susah di akhir bulan.
Kalau ada pun, bukan selalu mereka boleh bantu top-up poket kita. Dalam hal ini, kita sendiri kena reformasikan minda dan cara hidup kita. Buang ego, maknanya anda berjaya jimatkan kos.
Tunggang motor ni bukan suatu yang patut kita rasa malu pun. Pakaian kerja tetap kemas dan segak dan paling rare cepat sampai ke destinasi tanpa perlu tekan brek, main kluth, kuatkan kawalan pendingin hawa kereta.
Itu yang saya rasakan, kaedah terbaik atasi masalah kesesakan lalu lintas ini guna motosikal. Kerajaan boleh praktikkan. Mana tahu suku daripada jutaan pengguna jalan raya terbuka hati dan sambut saranan itu.
Jika semua tukar kepada motor, maka lorong motosikal yang ada tidak lagi relevan. Kementerian Pengangkutan kena lebarkan atau benarkan penunggang gunakan lebuh raya.
Kalau mereka berkongsi lebuh raya pun, tidak ada apa nak bimbang dengan bahaya kemalangan, sebab jumlah kereta sudah kurang, perjalanan pun semakin lancar dan tidak lagi timbul masalah kurang tempat parkir.
Saya bukan nak kata cadangan ini lebih baik daripada kerajaan berbelanja puluhan bilion ringgit untuk tambah sistem pengangkutan awam berasaskan tren bagi atasi masalah itu.
Tambah perkhidmatan tren pun okey juga, tetapi kaedah itu tidak dapat kurangkan jumlah kenderaan di lebuh raya atau jalan-jalan raya.
Sebabnya, sistem pengangkutan kita belum sampai ke tahap semaju dengan sistem pengangkutan negara luar, yang mana rakyatnya tidak perlu berkereta untuk ke stesen kereta api.
Di Malaysia, walaupun ada LRT, MRT, BRT, Monorel, Komuter dan ribuan bas, 100 peratus penumpang masih terpaksa guna kereta sendiri untuk ke stesen kereta api. Nak tunggu bas, ada kawasan perumahan mereka tidak disediakan pengangkutan itu.
Nak tak nak, mereka guna kereta sendiri, naik di jalan raya atau lebuh raya ke stesen kereta api. Itu pun kalau mereka rasa “perlukah aku naik kereta api, sedangkan aku sudah berada dalam kereta di lebuh raya atau jalan raya?”.
Jadi, apa faktor kesesakan jalan raya akan berkurangan dengan bertambahnya sistem pengangkutan tren? Hatta, kerajaan beri keistimewaan tambang percuma sekalipun, masalah “jem” tak akan selesai.
Kebanyakan jalan raya juga semakin sempit akibat pembinaan jajaran laluan kereta api. Kalau sebelum ini ada empat lorong sehala, kini tinggal dua lorong sehala. Dua lorong lagi dikorbankan untuk ruang pengangkutan awam.
Ini semua menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan tidak akan selesai sampai bila-bila selagi kenderaan baharu semakin bertambah dari sebulan ke sebulan.
Di negara barat, mereka tidak perlu berkenderaan sendiri lagi. Keluar saja rumah, berjalan kaki dua tiga langkah, bas sudah datang ambil mereka bawa ke mana-mana stesen kereta api.
Rakyatnya boleh simpan kereta dalam garaj rumah masing-masing dan digunakan pada waktu tertentu sahaja, seperti untuk berlibur bersama pasangan mahupun keluarga.
Kalau kita tengok lorong lebuh raya mereka cecah sampai lapan lorong sehala. Begitu juga rangkaian jalan raya, empat ke enam lorong sehala. Pendek kata, jajaran jalan atau lebuh raya mereka lebih tersusun dan terkedepan daripada kita. Kereta pun tak banyak sebab mereka lebih selesa guna pengangkutan awam.
Kesesakan lalu lintas ini mula dikesan luar biasa sebaik kerajaan umum peralihan fasa daripada pandemik ke endemik pada April lalu.
Sejak itu, rakyat mula bergerak bebas, baik di jalan raya, lebuh raya mahupun lorong-lorong perumahan tanpa perlu rasa takut diancam coronavirus lagi.
Dan, pertambahan sistem pengangkutan dari MRT1 sampai ke MRT3, LRT 1 ke LRT3, tren tiga gerabak ke enam gerabak pun dilihat masih tidak dapat atasi masalah kesesakan.
Pening juga mikir, macam mana cara dan kaedah nak kurangkan “jem” ni. Takkan nak minta rakyat tunggang motosikal, jatuhlah imej dan maruah yang pandu kenderaan mewah.
Walaupun saya anggap inilah kaedah terbaik, tetapi masing-masing mempunyai citarasa sendiri. Rambut saja sama hitam, tapi hati lain-lain. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan