Jumaat, 3 Mac 2023

Apa dalil Pejuang, Berjasa mahu sertai PN?

By Manzaidi Mohd Amin - 2 March 2023
PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) khabarnya telah menghantar surat memohon untuk menjadi rakan gabungan Perikatan Nasional (PN). Dua parti ini, sebelum ini adalah rakan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dicetuskan penubuhannya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengetuai Pejuang. Sebelum PRU15 pada November 2022, Pejuang dan Berjasa melaungkan kesetiaannya bersama GTA. Kononnya GTA sahaja yang memperjuangkan nasib orang Melayu. Seolah tidak ada parti lain selain mereka dan GTA lah yang benar-benar mendengar denyut nadi orang Melayu. GTA ini juga disertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang kononnya tidak boleh menerima perjuangan parti lain seperti UMNO, Pas, PKR dan Amanah. Bila tiba tarikh PRU15, masing-masing meletakkan calon untuk bertanding melawan calon dari tiga gabungan gergasi, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN. Ada yang konfiden menang. Ada yang konfiden dapat bentuk kerajaan atas alasan rakyat sudah tolak BN, PH dan PN. Mereka buat andaian itu bersandarkan kepada corak pentadbiran Kerajaan PH selama 22 bulan, Kerajaan Prihatin 17 bulan dan Kerajaan Keluarga Malaysia 15 bulan. Tiga kerajaan sepanjang tempoh penggal PRU14. Bila keputusan diumumkan malam 19 November dan berlarutan sehingga dinihari 20 November, satu kerusi pun tak dimenangi oleh calon-calon GTA. Apatah lagi, penyandang dari Pejuang, Dr. Mahathir dan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz pun gagal pertahan kerusi. Keputusan undi dan kehendak pengundi ternyata memihak kepada PH yang menang 82 kerusi, PN 74 kerusi. Paling teruk BN yang dikatakan bakal membentuk kerajaan baharu pun hanya menang 30 kerusi. Inikan pula Pejuang, Berjasa dan Putra, yang merupakan parti-parti kecil yang tidak bergabung dengan parti-parti besar. Mungkin disebabkan kekalahan itu, maka Pejuang dan Berjasa melihat parti mereka tidak ada harapan lagi untuk menang pada PRU akan datang, lalu membuat keputusan keluar dari GTA. Tinggallah Putra satu-satunya parti tunggal dalam GTA. Syabas kepada Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, yang tidak tamak dalam mengejar kepentingan diri. Masih kekal setia menerajui dan menakhoda partinya menempuh badai dan ombak berseorangan. Yang lain semua hipokrit. Kalah dalam gabungan ini, lompat ke gabungan yang lebih kuat. Entah apa yang mereka cari sebenarnya. Tetapi, pakar politik berpandangan, mereka mahukan kerusi. Memang logik akal pandangan pakar politik ini. Kalau Pejuang dan Berjasa menyatakan penyertaan mereka dalam PN untuk bela nasib Melayu, adakah suara mereka akan didengar oleh Pas, Bersatu dan Gerakan? Adakah mereka yakin, dengan menyertai PN, setiap mereka akan mendapat sekurang-kurangnya 10 kerusi? Pas, Bersatu dan Gerakan tidak sedangkal itu untuk berikan mereka masing-masing 10 kerusi. Pada PN, satu kerusi pun sangat penting untuk mereka menang pada PRN ini dan PRU16 akan datang. Inikan pula nak korbankan 20 kerusi yang belum tentu akan dimenangi oleh Pejuang dan Berjasa. Kalau sekadar untuk memeriahkan gabungan, mungkin PN boleh terima penyertaan mereka, tapi kalau mereka tuntut beberapa kerusi untuk bertanding, walaupun menggunakan logo PN, mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr. Domonic Lau berfikir sepuluh kali. Jadi, jawapan kepada permohonan mereka berdua untuk menyertai PN adalah kerana mereka tersangat yakin PN akan dapat menawan enam negeri pada PRN ini. Mereka sudah nampak gelombang sokongan rakyat dalam PRN ini adalah pada PN, bukan pada PH. Sebab itu, mereka buat keputusan sekarang untuk menyertai PN, bukan PH, walaupun PH adalah kerajaan. Bermain politik mesti kena cerdik, selain ada strategi. Soal perjuangan, slogan, pendirian, buang ke tepi. Yang penting cita-cita peribadi mesti kesampaian, walaupun mereka sebenarnya kecapaian. Setakat coretan ini ditulis, PN belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menerima borang penyertaan mereka atau sebaliknya. PN pun ada agenda tersendiri juga. Mereka mesti mengadakan mesyuarat terlebih dahulu untuk dapatkan pandangan daripada ketua parti masing-masing, bukan main terima begitu sahaja. Kalau sebelum PRU15, mungkin kedua mereka ini diterima bagai menatang minyak yang penuh, tetapi sekarang selepas PN menang besar, walaupun tidak dapat bentuk kerajaan, mereka pun tahu jual mahal. – MalaysiaGazette

Urus jenazah pun boleh kaut untung

By Manzaidi Mohd Amin - 15 February 2023
RUPANYA mengurus jenazah yang selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital (UFH) adalah satu perniagaan bagi sesetengah pihak. Bawah Kolong (BK) langsung tidak tahu mengenai perniagaan ini sehinggalah BK ikuti kes empat Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) yang menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam (Selasa). Dari kertas pertuduhan itu baharulah BK tahu, jenazah atau mayat yang diserahkan polis ke UFH untuk urusan selanjutnya dan setelah selesai menjalani proses tertentu, ada syarikat yang akan menguruskannya untuk pengebumian atau sebagainya. Selama ini, BK ingat semua itu percuma atau ditanggung oleh kerajaan atau keluarga. Rupanya tidak. Jenazah atau mayat itu mempunyai nilai tertentu sehingga ada syarikat yang mungkin berebut dengan pesaing untuk mengendalikannya. Tetapi bagaimana pula boleh libatkan unsur rasuah? Sini yang mulanya BK tertanya-tanya. Namun, apabila kertas pertuduhan dibaca dan disoal jawab oleh Yang Arif Hakim, baharulah BK tahu sedikit daripadanya. Tertuduh bercerita, setiap mayat atau jenazah yang diserahkan polis ke UFH akan melalui beberapa proses oleh mereka yang berjawatan PPK. Selesai proses itu, jenazah atau mayat berkenaan akan diserahkan kepada syarikat untuk urusan seterusnya. Mungkin pengebumian. Di sinilah, PPK akan menetapkan harga tertentu sebagai suapan jika syarikat berkenaan nak mendapatkan hak milik ke atas mayat atau jenazah itu untuk diuruskan. Seperti yang BK kata, mungkin pengebumian, mungkin pembakaran atau sebagainya. Dan, unsur rasuah berlaku selepas ada proses tawar menawar antara PPK dengan syarikat. Kalau syarikat mahukan mayat atau jenazah itu, mesti kena bagi ‘duit kopi’. Kalau tak bagi, mungkin mayat atau jenazah itu diberikan kepada pihak lain. Mungkin begitu gamaknya. Sebab kalau bukan itu kaedahnya, masakan boleh berlaku rasuah antara syarikat dengan PPK. Sudah tentulah mayat atau jenazah itu berharga hingga jadi rebutan syarikat. Kisah realiti ini mengingatkan BK pada filem Tiga Abdul arahan Allahyarham P. Ramlee yang mana babak seorang saudagar unta gembira kerana dua hamba abdi yang dibelinya di pasar Isketambola dengan harga 2,000 pound dibayar dua kali ganda pula oleh seorang pembeli lain. Selepas dua beradik hamba abdi itu, iaitu Abdul Wahab dan Abdul Wahib dibeli oleh adiknya Abdul Wahub dengan harga 4,000 pound sterling, Husin Lempoyang suka bukan kepalang. “Hehehehehe… dunia! dunia, berniaga manusia lagi bagus daripada unta…wow!” Rupanya di zaman P. Ramlee yang filemnya itu sudah berusia hampir 60 tahun menjadi realiti di zaman sekarang, yang mana berniaga manusia, sama ada hidup atau mati boleh buat keuntungan besar. Dalam kes empat PPK yang dituduh itu, BK tidak tahu berapa harga untuk satu mayat atau jenazah yang akan diperoleh oleh syarikat berkenaan. Tetapi, setiap seorang PPK yang dituduh itu didakwa menerima lebih RM1,000 tiap seorang. Ada yang terima RM6,500 sepanjang berurusan. Ada yang dapat RM3,500 dan ada yang peroleh RM1,100. Jumlah yang diterima untuk beberapa kali bagi penyerahan mayat atau jenazah kepada syarikat. Pendek kata, rasuah berlaku di mana-mana tempat dan dalam apa keadaan sekalipun. Ia berlaku dan dilakukan dari setinggi-tinggi penjawat hingga serendah-rendah jawatan. Asalkan duit. Jenuh Yang Arif Hakim memberi nasihat, rasuah ini haram. Perbuatan memberi dan menerima rasuah ini serius dan boleh mengakibatkan kehilangan kerja jika disabitkan kesalahan. Yang Arif Hakim juga mengingatkan tertuduh. “Walau gaji kecil, kerja ini sangat mulia dan kalau kerja kerana Allah Taala, duit gaji yang kecil mendapat keberkatan Allah”. “Malangnya, kamu pilih jalan yang salah. Kamu guna duit haram itu beri makan minum kepada anak, isteri dan keluarga kamu. Astagfirullah…” ucap Yang Arif Hakim. Tertuduh di kandang OKT menangis teresak-esak, menyesal atas perbuatannya. Ada yang bertaubat di depan Yang Arif Hakim. Bertaubat tidak akan melakukan lagi perbuatan rasuah. Moral ceritanya, menangislah sekuat mana pun, insaflah seikhlas dan setulus mana sekali pun, mereka tetap menerima hukuman penjara dan kehilangan pekerjaan. Bayangkan, disebabkan terima rasuah berjumlah RM1,000, mereka hilang kerja tetap dan berpencen untuk selama-lamanya. Sedangkan, dalam hal ini, jabatan tidak rugi apa-apa dengan kehilangan mereka. Jabatan boleh ambil sesiapa sahaja di luar sana yang ada kelayakan sebagai ganti. Bagi jabatan, patah tumbuh hilang berganti. Bagi pesalah, patah hilang selama-lamanya. Siapa yang salah? – MalaysiaGazette

Apa dalil Pejuang, Berjasa mahu sertai PN?

By Manzaidi Mohd Amin - 2 March 2023 PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) khabarnya t...