Khamis, 8 Disember 2022
Tak mustahil Pas kembali bertaut dengan UMNO
By Manzaidi Mohd Amin - 22 September 2022
MASIH ada lagikah peluang untuk Pas bersama UMNO sebagaimana di awal-awal meterainya Muafakat Nasional (MN) tidak lama dulu?
Persoalan ini masih menjadi misteri dan menghantui banyak pihak termasuk di kalangan pemimpin Pas dan UMNO sendiri.
Bahkan, Bawah Kolong (BK) pun tak dapat cari jawapan yang tepat, melainkan andaian semata-mata mengenai apa kesudahan dengan dua parti terbesar orang Melayu dan Islam ini.
Pagi tadi, dalam jam 6.45 pagi, BK terima panggilan telefon dari seorang Datuk yang sudah pencen dari politik tetapi masih mahu bercakap mengenai politik. Datuk ini adalah bekas menteri dan kini banyak menghabiskan masa bermain dengan cucu-cucu.
BK ingatkan Datuk pencen ini hendak keluarkan kenyataan media pasal perkembangan politik semasa, rupanya dia telefon hanya nak tanya pasal Pas dan UMNO.
Dia tanya BK, ada kemungkinankah Pas akan bersama UMNO pada PRU-15 ini?
BK kata, tak mungkin dan amat mustahil. Alasan BK, pertama, Pas lebih sayangkan parti Bersatu dari UMNO. UMNO ketika itu sudah jatuh miskin dan papa kedana lagi selepas kalah PRU-14.
Kedua, Pas terhutang budi kepada Muhyiddin selaku orang kaya baru (sebagai Perdana Menteri) yang berikan beberapa jawatan menteri dan timbalan menteri kepada pemimpinnya.
Ketiga, sekurang-kurangnya di bawah Muhyiddin, Presiden Pas pun dapat merasa jawatan dalam Kabinet, walaupun sekadar Duta Besar ke Timur Tengah, tetapi bertaraf menteri.
Pendek kata, Muhyiddin ketika berkuasa melalui Langkah Sheraton, pandai membeli jiwa hinggakan Pas sanggup tinggalkan ‘bini pertamanya’ untuk bersama ‘bini baru’ (walaupun sudah tua).
Itulah alasan yang BK berikan kepada Datuk pencen itu. Namun, Dato’ pencen itu tak mahu terima alasan BK.
Dia punyai pandangan lain dari BK dalam bab ini. Dia kata dengan penuh yakin, Pas akan bersama UMNO dalam PRU-15 ini. Alasannya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh menang kalau bergerak solo.
Sedangkan, parti-parti lain semuanya bergabung, buat khemah besar untuk lawan dengan musuh mereka.
PKR, DAP dan Amanah bergabung. Pas, Bersatu, Gerakan pun bergabung bawah satu bumbung. Begitu juga Putra, Iman dan Berjasa bergabung dalam Gerakan Tanah Air (GTA).
Ini UMNO dan BN tidak mahu bergabung? Nak bertanding solo dengan pihak lawan yang semakin kuat? Mustahil UMNO, BN akan menang, kata Dato’ pencen itu.
BK cuba beritahu kepada Dato’ itu, yang BK sebelum ini pernah buat artikel atau analisa mengenai formula Pas atau UMNO jika mahu menang PRU. Kesimpulan kepada analisa itu ialah Pas dan UMNO mesti bergabung.
Datuk itu mengiyakan apa yang BK kata mengenai formula dalam analisa itu. Tetapi, katanya, kali ini dua parti ini akan benar-benar bersatu semula tanpa ada parti ketiga (Bersatu).
Pada BK, mustahil perkara itu akan berlaku, kerana Pas tidak akan tinggalkan Bersatu dan UMNO tidak akan sekali-kali terima Bersatu. Lainlah kalau Pas sudah berpatah arang berkerat rotan dengan ‘bini barunya’ itu, baharulah UMNO boleh terima.
Datuk itu tidak puas hati. Dia cuba juga untuk yakin BK bahawa kali ini UMNO akan benar-benar terima Pas dan Pas akan tinggalkan Bersatu untuk bersama UMNO.
Pertama, alasannya kata Datuk itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dah makin lembut dan boleh terima Pas perlahan-lahan. Kedua, Ahmad Zahid pun fikirkan perkara sama, iaitu BN tidak boleh menang kalau bertanding secara solo.
Dan banyak lagi alasan diberikan Datuk itu kepada BK dengan harapan BK percaya dengan formula dia, kononnya akan berlaku kejutan besar sebelum Perdana Menteri umumkan pembubaran Parlimen.
Kejutan itu maksudnya, Pas akan tinggalkan Bersatu dan rakan parti Gerakan kerana hendak memeterai semula MN yang sekian lama terputus akibat pentingkan diri dan parti.
Kini, selepas Pas melihat gabungannya dengan Bersatu tidak akan pergi jauh, maka mereka merancang untuk merujuk kembali dengan isteri tuanya (UMNO).
Sebab itu, dalam seminggu dua ini kita lihat kenyataan pemimpin Pas terhadap UMNO pun mula ringan-ringan, tidak hentam keromo seperti mula-mula berpisah dulu.
Cumanya, dalam hal ini BK tidak menolak kemungkinan musuh dalam selimut yang ada dalam UMNO akan main cocok-cocok untuk pastikan gabungan Pas-UMNO tidak akan tercapai.
Musuh dalam selimut ini sudah terang lagi bersuluh. Mereka jiwa UMNO, tapi tidak sebulu dengan Presiden. Mereka tidak mahu Pas saja bergabung dengan UMNO. Mereka mahu Bersatu pun turut bersama dalam gabungan itu.
Mereka ini sebenarnya adalah anai-anai, yang makan dalam, yang merosakkan satu-satu organisasi secara diam-diam dari dalam. UMNO tidak terlepas dari anai-anai ini. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan