Khamis, 8 Disember 2022
Kalau takut banjir, Pas-PN, PKR-PH jangan tanding Parlimen
By Manzaidi Mohd Amin - 17 October 2022
INI yang peliknya Pas dan Perikatan Nasional (PN), PKR dan Pakatan Harapan (PH). Mereka tegas tak mahu bubar DUN masing-masing serentak dengan Dewan Rakyat.
Alasan konon, kalau mengundi tahun ini rakyat dalam bahaya kerana hari mengundi jatuh pada Monsun Timur Laut. Kata mereka, musim itu akan berlaku hujan lebat, ribut petir dan banjir besar.
Fenomena ini boleh mengancam nyawa rakyat. Bahaya kepada bot-bot dan perahu kecil di laut. Sepatutnya dalam musim begini rakyat patut duduk di rumah, jangan keluar ke mana-mana.
Secara logiknya memang betullah andaian mereka itu. Bawah Kolong (BK) pun setuju. Mana mungkin rakyat boleh keluar mengundi kalau air depan rumah separas lutut dan pinggang.
Mana mungkin rakyat boleh pergi ke pusat mengundi kalau hujan lebat dan ribut petir. Nak cari penyakit? Nyawa itu penting. Nyawa memang tak ada nilai nak dibayar. Nyawa sangat mahal.
Ini yang difikirkan oleh Pas dan PN, PKR dan PH. Mereka utamakan keselamatan dan nyawa rakyat. Sebab itu mereka tak mahu bubar DUN sekarang. Mereka nak bubar DUN tahun depan, apabila cuaca dah elok, dah okey.
Tapi, satu saja mereka lupa atau mereka buat-buat lupa. Mereka prihatin dengan keselamatan nyawa rakyat, tapi mereka bertanding juga di kerusi Parlimen PRU-15 ini.
Tidakkah bila mereka bertanding di Parlimen, rakyat akan keluar mengundi juga walaupun hujan lebat, ribut petir dan banjir?
Adakah kalau mereka bertanding di Parlimen tak berlaku banjir? Hanya kalau bertanding Parlimen dan DUN serentak baru berlaku malapetaka banjir? Ini yang BK kata pelik.
Selepas Perdana Menteri UMNO umum Yang di-Pertuan Agong perkenan bubar Parlimen, maka Pas-PN dan PKR-PH sahkan bertanding di 222 kerusi Parlimen. Apakah ketika memutuskan untuk bertanding tahun ini, mereka tidak fikir soal keselamatan dan nyawa rakyat?
Apakah mereka fikir nyawa rakyat kalau DUN dibubarkan serentak? Ilmu politik apa yang mereka guna pakai?
Bertanding di Parlimen, tak mengapa banjir pun. Cuma tak boleh DUN ikut serta bertanding, takut banjir.
Kalau nak jaga sangat nyawa rakyat, baik mereka jangan bertanding. Beri saja kemenangan percuma kepada UMNO dan BN.
Kalau mereka nak bertanding juga November ini, baik mereka bubar DUN serentak supaya rakyat sekali turun dapat selesaikan dua tanggungjawab serentak. Itu lagi logik dan masuk akal.
Kalau ada nyawa terkorban kerana banjir ketika keluar mengundi pun tak mengapa, kerana mereka berkorban untuk keluar mengundi calon Parlimen dan calon DUN.
Tapi kalau mereka terkorban hanya sempat mengundi calon Parlimen, maka Pas-PN dan PKR-PH akan kehilangan satu undi untuk calon DUN yang akan diadakan tahun depan.
Ini pandangan bodoh BK lah. BK bagi pandangan bodoh ini sesuai dengan keadaan politik yang semakin tidak cerdik.
Apapun alasannya, jawapan yang BK dapat daripada tindakan mereka ini adalah mudah saja.
Mereka bukan fikirkan sangat soal keselamatan dan nyawa rakyat, tetapi mereka tak bubar DUN serentak kerana mereka tak sempat nak tabur gula-gula kepada rakyat dalam Bajet Negeri.
Semua negeri akan bentang Bajet 2023 seminggu selepas Parlimen bersidang. Tetapi, Tak sampai tiga hari bersidang, Parlimen sudah dibubarkan. Maka, tidak sempatlah mereka nak bentang bajet masing-masing.
Bajet 2023 dalam keadaan sekarang sangat penting untuk dibentangkan, kerana bajet itu adalah nyawa orang politik. Mereka boleh gunakan bajet itu untuk sambung nyawa.
Mereka tahu, rakyat mudah lupa. Mereka tahu rakyat mudah termakan dengan janji, dan mereka tahu rakyat akan undi mereka jika janji kosong itu diolah nampak seperti ada isi.
Ini alasan sebenar yang mereka cuba sembunyikan dari pengetahuan rakyat. Tetapi, demi politik, putar belit isu supaya rakyat percaya mereka ambil berat soal keselamatan dan nyawa rakyat.
Tengok Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dibubarkan Oktober 2021 dan mengundi pada November 2021. Tidak ada satu pun bantahan daripada Pas, PKR dan Bersatu desak tangguh pembubaran DUN itu kerana hari mengundi jatuh pada musim tengkujuh.
Mereka berkempen, bertanding molek alah, kata orang Kelantan. Sikit pun mereka tidak fikir soal hujan, ribut petir dan banjir, padahal masa itu Monsum Timur Laut juga. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan