Khamis, 8 Disember 2022

Orang politik mana ada sifat malu

By Manzaidi Mohd Amin - 18 September 2022
HEBATNYA propaganda Pakatan Harapan (PH) dalam kempen mereka untuk menang PRU15 ini. Walaupun nampak tidak logik dengan isu yang dibawa dan dijadikan modal, tapi tidak mengapa, asalkan boleh meyakinkan rakyat dengan dakyah itu. Rakyat kan mudah lupa kisah-kisah lalu. Bawah Kolong (BK) memerhati secara rapat dan dekat kempen para pemimpin PH, baik dari PKR, Amanah mahupun DAP. Dalam kempen itu, seperti tidak ada cacat cela sedikit pun pada batang tubuh mereka. Semuanya salah orang lain walaupun janji yang tidak ditunai itu asalnya dari mereka. Janji 100 hari gagal ditunaikan. Janji satu tahun tidak nampak bayang. Janji sebelum tumbang pada Februari 2020 pun langsung tidak kelihatan. Tapi, tidak apa, mereka tidak kisah sebab rakyat sudah lupa. Hari ini, mereka bawa kempen baharu pula ke lapangan. Seolah mereka tidak pernah berhutang janji dengan rakyat sebelum ini. Mereka turun melalak kononnya mereka perlukan menang untuk bela rakyat dan bina negara lebih maju. Anehnya, mereka langsung tidak rasa malu apabila berdepan dengan rakyat ketika menabur janji baharu. Beginilah politik. Siapa buat salah dulu, boleh menyucikan diri sekelip mata dengan kata-kata atau ucapan dakyah yang baik-baik. Rakyat kan mudah lupa. Jadi, tidak hairanlah kalau Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil boleh kelentong rakyat dengan kenyataan konon lebih banyak transformasi dan reformasi institusi berlaku dalam negara ini sekiranya PH sekali lagi diberikan peluang untuk menjadi kerajaan. Dia mahu rakyat yang mudah lupa ini membayangkan segala transformasi dan reformasi yang telah dilakukan kerajaan itu pada lima tahun akan datang. Sedangkan, dalam tempoh 22 bulan bagi empat tahun pertama penggal ini pun satu habuk tidak dikotakan, apatah lagi janji-janji baru untuk PRU15. Tun Mahathir sendiri ketika diangkat sebagai Perdana Menteri PH mengakui tidak dapat laksanakan janji dalam manifesto, dengan alasan janji itu hanya umpan untuk dapatkan undi rakyat. Disusuli pula pengakuan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang minta rakyat beri peluang kepada PH untuk berterus terang akan ketidakmampuan mereka mengotakan janji. Inikan pula seorang pemimpin kerdil macam Fahmi masih tidak insaf dengan pengakuan dua gergasi politik itu yang awal-awal mengaku kalah dalam bab menunai janji. Lagi rakyat yang mudah lupa ini mahu percaya. Semalam, ketika melancarkan jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PRU tak lama dah. Jun lalu, Naib Presiden itu beritahu, PRU dah hampir dekat. Kalau ‘dah hampir dekat dah’ pun sudah berlanjutan tiga bulan tanpa ada sebarang pembubaran Parlimen, apatah lagi ‘tak lama dah’ yang dikatakan semalam. Kata-kata politik, ‘tak lama dah’ boleh berlarutan sampai setahun. Begitu juga ‘masanya akan tiba’, entah berapa tahun baru tiba masa yang dimaksudkan itu. Sebagai rakyat, BK tidak kisah bila nak diadakan PRU pun. Awal pun tidak mengapa, lewat pun tidak mengapa. BK antara pengundi pos. Bekerja di Kuala Lumpur, tempat mengundi di Pasir Mas, jauh nak balik. Lagipun, perit jadi pengundi luar. Ketika di Kuala Lumpur dijanjikan bayaran balik tiket tambang pergi balik. Apabila tiba hari mengundi, sekretariat yang kononnya mengurus pengundi luar, hilang tak dapat dikesan. Alih-alih, dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini didedahkan di mahkamah, dana untuk pengundi luar Kelantan disonglap. Dimasukkan dalam akaun bini seorang pemimpin politik. Patutlah, sekretariat yang urus pengundi luar tiba-tiba ghaib. Dana tak sampai rupanya. Jadi, BK dan belasan ribu perantau yang bergelar pengundi luar terpaksa berputih mata habis duit poket ratusan ringgit buat belanja balik kampung semata-mata nak mengundi. BK dah perit nak balik mengundi. Oleh itu, BK mohon untuk mengundi secara pos PRU15 ini. Tidak perlu berhabis duit dan tidak perlu sakit hati pada mana-mana pemimpin yang berjanji kosong. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: