Khamis, 8 Disember 2022
Balik raya sewa hotel kerana rumah tiada air
By Manzaidi Mohd Amin - 17 May 2022
KISAH sambut raya di Kelantan baru-baru ini menarik minat Bawah Kolong (BK) untuk ulas.
Biasa, anak menantu balik dengan wajah ceria dan gembira kerana dapat jumpa kedua orang tua atau kedua mentua.
Al-maklum, dua tahun tak dapat balik raya di kampung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
BK pun tak lepaskan peluang balik kampung. Hanya kali ni bukan beraya dengan mak ayah, tetapi ayah sahaja sebab mak sudah dijemput Ilahi pada 25 Februari 2021.
Apapun, sebagai anak, kita kena ceria dan gembirakan ayah, yang sunyi selepas ketiadaan isteri tersayang.
Sepanjang sambut raya di kampung, BK ada bertandang ke beberapa rumah saing sahabat. Macam-macam kisah kami bercerita, termasuklah pengalaman kesesakan jalan raya sepanjang perjalanan pulang dan macam-macam lagi.
Antara cerita paling tragis ialah pengalaman saudara mara seorang kenalan BK. Bagi mereka, sambut raya di rumah Kelantan tidak menceriakan sebab bekalan air untuk kegunaan harian tiada.
Kisahnya lebih kurang begini;
“Abang, jom balik KL,” getus isteri kepada suaminya. Suami pelik, kenapa pula si isteri tiba-tiba ajak balik KL, padahal mereka dan anak-anak baru saja sampai di rumah mak ayah di kampung.
“Eh, awak buang tabiat ke? Kan kita baru saja sampai ni? Abang penat memandu 12 jam tak hilang lagi ni, awak dah ajak balik KL,” kata suami kehairanan.
“Abang boleh ke duduk di rumah ni kalau masuk tandas buka paip, air tak ada? Yang keluar hanya angin saja. Macam mana nak ambil wuduk, macam mana nak bersihkan anak, nak minum, nak masak kalau air tak ada?” soal isteri.
Mak ayah mentua pandang menantu dengan rasa malu. Sebab masalah air ni bukan baru. Berlaku sepanjang masa tak kira musim banjir, musim lembab, musim sejuk mahupun musim banjir, air tetap bermasalah.
“Emm.. kalau macam tu, nanti abang hubungi hotel, kot-kot ada bilik kosong.. bolehlah kita bermalam di hotel dan boleh duduk sekejap-kejap di rumah mak ayah ni.
Begitulah situasi yang berlaku kepada anak menantu perantau yang balik kampung untuk beraya dengan mak ayah atau mak ayah mentua di Kelantan.
Dialog yang BK rakam ni bukan rekaan. Ia benar-benar berlaku pada satu keluarga perantau di sebuah kampung di Mukim Tok Uban, dalam daerah Pasir Mas, baru-baru ini.
BK percaya banyak lagi masalah sama dihadapi keluarga perantau. Mereka beriya-iya mahu balik kampung kerana dah dua tahun tak dapat balik.
Sekurang-kurangnya mereka nak merasai pengalaman bakar lemang, masak ketupat, masak rendang dan macam-macam kuih muih dengan mak ayah atau mak ayah mentua.
Bila balik kampung, sekurang-kurangnya terbayang dalam kepala nak tolong mak ayah atau mak ayah mentua buat persiapan raya, bersih rumah, salin langsir dan sebagainya.
Terbayang kemeriahan pasang pelita, main bunga api, pasang pelita, lampu lip lap dan tidur berhimpit-himpit di ruang rumah yang sempit.
Malangnya, semua impian itu tak kesampaian kerana baru satu jam tiba di rumah kampung, suasana meriah bertukar muram dan murung. Masuk tandas saja, air tak ada. Kolah kering kontang, tempayan pun sama.
Terpaksalah tahan kencing, tahan berak dan tahan segala-galanya. Hati siapa tak panas kalau keceriaan balik kampung diragut oleh ketiadaan bekalan air.
Nak tak nak, selain sewa hotel yang jauh dari rumah, demi untuk kesenangan mak ayah, terpaksa juga keluarkan duit beli enjin air dan upah jiran gali telaga tiub.
Tak pasal-pasal, balik raya nak belanja mak ayah, adik-adik, tetapi duit terbang untuk dapatkan sumber air bawah tanah.
Beginilah keadaan dan situasi di Kelantan. Masalah utama rakyat, selain miskin ialah mendapatkan bekalan air bersih.
Kerajaan negeri yang berslogankan Membangun Bersama Islam hanya tahu nafi dan beri alasan tidak munasabah. Itu kerajaan Islam, cakap berbelit-belit.
Sehingga coretan ini ditulis, BK tidak tahu sampai bila masalah air akan berlarutan. Semuanya terletak pada pengundi. Pandai mereka pilih, pandailah tanggung. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan