Rabu, 23 November 2022

Rombakan kabinet, siapa bakal digugurkan?

By Manzaidi Mohd Amin - 30 May 2019
SIAPA menteri dan timbalan menteri yang bakal dilucutkan jawatannya jika khabar angin berlaku rombakan kabinet selepas Hari Raya Aidilftri minggu depan menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya tiga menteri dan lima timbalan menteri bakal digugurkan dari Kabinet serta kementerian. Antara menteri yang menjadi sebutan di media sosial yang akan digantikan dengan muka baharu ialah Dr. Maszlee Malik, Senator P. Waythamoorthy dan Datuk Seri Rina Harun. Timbalan menteri pula Datuk Mahfuz Omar, Senator Datuk Marzuki Yahya, Datuk Dr. Hatta Ramli dan Mohamad Hanipa Maidin. Sumber memberitahu Malaysia Gazette, pertukaran itu dilakukan berikutan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi mereka sepanjang setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah. Namun, kejutan juga dikatakan bakal berlaku apabila bekas pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut dilantik menggantikan menteri PH yang digugurkan itu. Tentunya orang ramai terutama ahli politik dapat ‘menghidu’ siapa bekas pemimpin UMNO yang bakal menerajui kementerian penting kerajaan PH itu. Antara menteri yang agak teruk ‘diserang’ oleh rakyat mahupun pemimpin parti gabungan PH ialah Maszlee, yang dikatakan gagal sepenuhnya melakukan transformasi dalam Kementerian Pendidikan yang diterajuinya. Setiap kenyataan dan buah fikir beliau tidak ada satu pun disambut baik oleh rakyat, sebaliknya menjadi bahan ketawa orang ramai seperti memperkenalkan pemakaian kasut dan stokin hitam. Beliau juga turut ‘diserang’ oleh beberapa pemimpin kanan DAP berhubung kuota bukan Bumiputera untuk mendapatkan tempat di Matrikulasi Kementerian Pendidikan. Serangan demi serangan dari DAP ini dan disokong pula oleh rakan dari parti Melayu liberal dalam PH memaksa Mahathir untuk membuat rombakan Kabinetnya. Hatta, ketika PH menyambut hari ulang tahun setahun pemerintahannya pada 9 Mei lalu, Dr. Mahathir hanya sekadar memberi markah lima peratus untuk pencapaian Kabinetnya, iaitu jumlah yang terlalu rendah dan menimbulkan tanda tanya rakyat. Selain itu, P. Waythamoorthy juga disebut-sebut akan digugurkan dari Jemaah Menteri kerana gagal menyatupadukan rakyat Malaysia selepas insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada November tahun lalu. Rusuhan itu menyebabkan kematian anggota Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipukul ketika arwah menjalankan tugas memadam api di sebuah kereta yang dibakar perusuh. Waytha bukan sahaja gagal menangani masalah itu, sebaliknya mengeluarkan kenyataan berat sebelah sehingga mencetuskan rasa kurang senang rakyat terhadapnya. Tindak tanduk beliau telah menjatuhkan imej kerajaan PH dan memalukan air muka Dr. Mahathir yang mengambilnya dari NGO Hindraf dan diberikan jawatan menteri. Selain digugurkan, ada beberapa menteri dan timbalan menteri ditukar ke kementerian lain. Kata sumber, penggantian dan pertukaran menteri serta timbalan menteri adalah perkara biasa dalam mana-mana kerajaan dan ia bukan suatu yang mengejutkan. Mungkin ada di luar sana gembira dengan pengguguran menteri dan timbalan menteri berkenaan dan ada juga yang tidak berpuas hati dengan rombakan itu, jika benar-benar berlaku. Bagi Tun Dr. Mahathir, selepas setahun memerintah, prestasi yang diharapkan dapat dicapai ialah melebihi 20 peratus atau sekurang-kurang 20 peratus dicapai setiap tahun sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Bagaimanapun, dalam tempoh itu, hanya lima peratus sahaja prestasi pencapaian direkodkan dan ini diakui oleh beberapa menteri yang syok sendiri. Rombakan ini adalah yang pertama dalam era pentadbiran Tun Dr. Mahathir, kerana selepas ini, iaitu setahun dari sekarang akan menyaksikan peralihan kuasa antara beliau dengan ‘penggantinya’ Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana, jika Anwar ditakdirkan mempunyai rezeki untuk menduduki kerusi nombor satu kerajaan PH itu, insya-Allah Mei atau Jun 2020, beliau sudah tentu akan melantik kalangan penyokong setianya dalam barisan Kabinet. Beliau hanya perlu bersabar menghitung hari sahaja. Buat masa ini beliau tidak perlu gopoh gapah atau terlalu excited atau teruja sehingga tersilap langkah lagi. Bagi timbalan menteri pula, ada baiknya separuh daripada 27 orang yang ada ditukar baharu. Ini kerana, setakat ini rakyat tidak nampak peranan mereka sebagai penjawat nombor dua selepas menteri. Mahfuz contohnya, sebelum dilantik timbalan menteri, beliau seorang pemimpin yang dilihat lantang menegur kerajaan terdahulu dan tegurannya itu menggambarkan seolah beliau memahami hal ehwal kementerian yang dikritiknya. Tetapi, malangnya apabila Tun Dr. Mahathir melantiknya sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia, beliau seolah hilang taring untuk bercakap atau membuat sebarang perubahan di kementeriannya. Tempat beliau atau menterinya, M. Kula Segaran selayaknya diberikan kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang lantang memperjuangkan hak-hak pekerja. Tetapi Mahathir tidak berminat dengannya kerana dia begitu lantang menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga membelakangkan ‘perjanjiannya’ dengan PH. Mungkin rezeki Abdullah Sani tiba selepas ini, atau paling lewat setahun dari sekarang untuk merasai kerusi empuk menteri atau timbalan menteri di bawah kepimpinan Anwar. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: