Rabu, 23 November 2022
Kenapa Akmal, tidak Dr Afif?
By Manzaidi Mohd Amin - 17 November 2018
PELIK bin ajaib. Itulah yang boleh dikatakan berlaku dalam proses pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi penggal 2018 – 2021 yang bermula pada 22 September hingga 10 November lalu.
Ketika dua sayap PKR, iaitu AMK dan Wanita bersidang semalam, semuanya berjalan lancar. Tidak ada sebarang kekecohan mahu pun provokasi daripada mana-mana team dicetuskan.
Setakat ini hanya ada dua team, iaitu team Rafizi Ramli dan team Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Kedua-duanya berentap cukup hebat sepanjang proses pengundian yang mengambil masa paling lama dalam sejarah pemilihan parti, sembilan minggu.
Dapat dilihat cahaya keceriaan pada riak muka Dr. Afif Bahardin yang tampil dengan penuh yakin pada Kongres AMK kali ke-13 semalam kononnya beliaulah yang bakal mengambil alih jawatan Ketua AMK yang baharu sebelah petang nanti.
Bahkan, ketika menuju ke dewan persidangan di tingkat tujuh Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) pun, beliau sering beriringan dengan ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang bakal bergelar mantan pada sebelah petang.
Semua mata perwakilan yang hadir tidak putus-putus tertumpu kepada Afif, kononnya itulah bakal ketua mereka yang akan menerajui sayap terpenting PKR dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
Ketika itu juga, langsung tidak kelihatan kelibat lawannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dan namanya atau tubuh badannya seolah tidak wujud langsung kepada perwakilan.
Hebatnya penangan team Mohamed Azmin. Semua jawatan utama dari dua sayap dan nasional dibolot orang-orangnya – dari sayap AMK, sayap Wanita sampai ke jawatan Timbalan Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Sesi perbahasan menyokong Ucapan Dasar Ketua AMK bermula selepas solat Jumaat, iaitu kira-kira jam 3 petang, tersasar satu jam dari jadual.
Namun, seramai 14 perwakilan dari 14 negeri bijak mengurus masa. Mereka hanya bercakap hal-hal penting yang berkaitan dengan masa depan parti itu sahaja selain tidak sedikit dari mereka memberi peringatan kepada parti agar tidak melupakan rakyat yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.
Afif ketika itu yang masih berjawatan Timbalan Ketua AMK turut menyampaikan ucapan penggulungan sebelum memaklumkan kepada perwakilan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan mengumumkan keputusan jawatankuasa baharu AMK bagi penggal 2018-2021 sebaik selepas ucapan penangguhan Ketua AMK yang terakhir penggal 2015-2018, Nik Nazmi.
Jelas kelihatan wajahnya yang ceria dan semakin menghampiri ke penamat persidangan, nama Afif mula dilaung sebut oleh para perwakilan, seolah mereka tidak sabar hendak menjulang ketua baharu.
Ketika berucap Afif secara sinis menegur JPP kerana gagal mengendalikan proses pemilihan dengan baik sehingga mencetuskan pergaduhan, ada cabang terpaksa ditangguhkan pengundian berikutan masalah teknikal.
Beliau juga dengan bangga menempelak JPP kerana terpaksa mengambil masa lama untuk proses pemilihan iaitu sembilan minggu. Suatu tempoh yang cukup lama, memenatkan dan membosankan.
Katanya, untuk mengendalikan pengundian bagi 800,000 ahli pun JPP mengambil masa selama sembilan minggu, atau lebih tepat hampir satu bulan 19 hari.
“Bayangkan kalau pemilihan penggal akan datang parti mempunyai keahlian lebih satu juta, mungkin berbulan-bulan tempoh pengundian,” katanya sambil bertanya kepada perwakilan, wajar atau tidak AMK mendesak JPP agar mengkaji semula sistem pemilihan.
Semua perwakilan sepakat melaungkan setuju. Serentak itu juga Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya mengakhiri ucapan sebagai Timbalan Ketua AMK.
Selepas itu, wakil JPP mengambil alih acara terakhir itu dengan mengumumkan barisan jawatankuasa baharu AMK 2018-2021.
Namun, kejutan berlaku. Nama yang tidak disangka-sangka telah disebut sebagai Ketua AMK yang baharu, iaitu Akmal Nasrullah Ahli Parlimen Johor Bahru.
Dewan persidangan seolah panik. Majoriti daripada kira-kira 400 perwakilan yang hadir tercenggang, tertanya-tanya. Mereka seperti tidak percaya apa yang mereka dengar ketika nama Akmal Nasrullah diumumkan.
Mereka mengharapkan nama yang sudah tidak asing lagi dalam AMK, Afif disebut sebagai Ketua AMK bagi penggal 2018-2021 tetapi apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.
Itulah yang dikatakan pelik bin ajaib. Macam mana perkara itu boleh berlaku. Ketika nama lain disebut-sebut sebagai pemenang, walaupun ianya tidak rasmi lagi, kenapa secara tiba-tiba nama Afif seorang yang tersasar?
Ini yang mengganggu fikiran Afif, mungkin Mohamed Azmin, Nik Nazmi dan majoriti perwakilan serta ahli-ahli akar umbi di luar sana sendiri pun masih tidak percaya dengan keputusan rasmi yang diumumkan JPP.
Jadi, tidak peliklah kalau Akmal Nasrullah ‘diboo’ oleh perwakilan kerana namanya dan kehadirannya tidak diperlukan oleh parti.
Apapun, keputusan itu adalah muktamad dan semua pihak kena terima hakikat yang mereka menjunjung perlembagaan parti.
Yang penting, sungguhpun Rafizi kalah dan team beliau gagal memenangi jawatan-jawatan lain yang dipertandingan, sekurang-kurangnya beliau masih boleh berbangga kerana ‘zuriatnya’ masih tidak pupus. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan