Rabu, 23 November 2022
Ismail Sabri dan 100 hari PKP
By Manzaidi Mohd Amin - 16 June 2020
TARIKH 25 Jun 2020 bersamaan Khamis ini genap 100 hari rakyat Malaysia hidup dalam situasi normal baharu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berikutan tercetusnya penularan wabak koronavirus, yang mulanya melanda sebuah daerah di China.
PKP dikuatkuasa pada 18 Mac 2020, iaitu hari ke-18 kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Persekutuan dari Pakatan Harapan (PH), yang hanya sempat memerintah selama 22 bulan dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.
Bawah kabinet baharu, Muhyiddin melantik empat Menteri Kanan untuk membantunya, iaitu Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Menteri Kanan (Menteri Pertahanan), Menteri Kanan (Menteri Kerja Raya), dan Menteri Kanan (Menteri Pendidikan).
Dari empat Menteri Kanan itu, seorang daripadanya adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau diberi jawatan paling berat dan mencabar, Menteri Pertahanan (Kluster Keselamatan).
Sebagai pemimpin senior dalam parti dan berpengalaman luas dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, dengan memegang beberapa jawatan menteri, beliau dapat menjalankan segala tugas dengan baik dan berkesan.
Sungguhpun begitu, pengalaman berperang dengan pandemik Covid-19 cukup mencabar baginya, berbanding berdepan dengan ragam rakyat dan pengguna selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Begitu juga, tidak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya ketika menerajui dua kementerian itu, perlu membuat sidang media setiap hari membentangkan hal berkaitan harga barangan keperluan dan bantuan kepada rakyat di luar bandar.
Kali ini beliau betul-betul berdepan dengan kehidupan normal baharu, iaitu PKP. Seawal jam 8 pagi, setiap hari, sudah memasuki pejabat di Putrajaya untuk bermesyuarat dengan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri lain.
ADVERTISEMENT
Isu utama dibincangkan mengenai wabak dan penularan virus Covid-19. Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk menyelamatkan nyawa rakyat dari diserang dan dijangkiti virus bahaya yang boleh menyebabkan kematian.
Selaku Menteri Kanan Kluster Keselamatan, beliau bertanggungjawab penuh memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), anggota Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Maritim dan agensi penguatkuasa lain berada di barisan hadapan memerangi wabak itu.
Sekatan jalan raya, kawalan sempadan negara, operasi pemantauan premis, kawalan pergerakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dijalankan secara tegas dan telus, tanpa sebarang kompromi mahupun pertimbangan.
Mana-mana individu yang berada di jalan raya mahupun lebuh raya, jika gagal memberi alasan munasabah tujuan pergerakan mereka, akan diarah berpatah balik. Bayangkan, situasi ketika itu. Kemarahan rakyat memuncak kerana normal hidup biasa mereka telah dinafikan dalam sekelip mata.
Ini semua dilakukan dengan arahan kerajaan, yang keluar dari mulut Ismail Sabri demi untuk keselamatan rakyat. Baginya, nyawa rakyat harus diselamatkan walaupun teramat pahit dan berat untuk dikuatkuasakan.
Bab kecaman, makian, cacian, kata nista tidak usah dikatakan lagi. Setiap hari dihamburkan kepadanya dengan pelbagai tohmahan hanya kerana mengeluarkan arahan menyekat normal hidup biasa rakyat kepada normal hidup baharu.
Beliau tahu dan sedar. Tetapi, apa boleh buat. Beliau juga terpaksa menjaga nyawa orang lain yang tidak berdosa, yang mematuhi arahan PKP agar penularan wabak Covid-19 tidak merebak menjangkiti mereka akibat kedegilan segelintir daripadanya.
Tiada siapa tahu betapa besarnya pengorbanan beliau lakukan. Setiap pagi, menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri dan Menteri-Menteri yang terlibat seperti Menteri Kesihatan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Hal Ehwal Undang-Undang) dan Menteri Pendidikan serta Menteri Wilayah Persekutuan.
Mereka berbincang, membentangkan cadangan, saranan, nasihat, pandangan dan SOP masing-masing dengan satu perintah, iaitu rakyat patuh PKP, supaya wabak Covid-19 dapat diperangi.
Barisan hadapan pula siang malam bertugas di jalan raya, di lebuh raya, di hospital, di pusat kuarantin, di lapangan terbang, di sempadan negara memerangi Covid-19.
Ada yang terkorban dalam menyelamatkan nyawa orang lain. Suami kehilangan isteri. Isteri kehilangan suami. Ayah kehilangan anak dan ibu akibat daripada bahaya wabak koronavirus.
Namun, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menghadapi dengan tabah dan semangat yang kuat. Walaupun beliau tahu apa saja pengumuman harian yang dibuatnya tidak disukai rakyat. Tetapi, itulah yang terbaik untuk menyelamatkan negara ini dari menjadi seperti Amerika Syarikat, Itali dan China, yang menyaksikan ratusan ribu rakyatnya terkorban diserang virus Covid-19.
Bukan mudah baginya untuk mengumumkan perkembangan yang berlaku semalam, hari ini dan esok. Beliau tahu, apa yang diumumkannya terutama untuk memberitahu tempoh PKP akan dilanjutkan lagi dua minggu atau sebulan bukan suatu berita yang baik.
Sebab itu, beliau sering kali ‘diserang’, sama ada oleh netizen mahupun blogger yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya. Beliau juga tidak dapat lari dari difitnah dengan berita-berita palsu.
Beliau tempuhnya dengan tabah. Beliau terpaksa menunjukkan wajah yang tenang, walaupun dalam fikirannya berserabut dan berselirat dengan maki hamun pelbagai pihak di luar sana.
Semestinya ubat yang mujarab adalah pahit. Itu yang dipegangnya.
Bukan senang untuk mengarahkan orang ramai tinggal di rumah. Tidak keluar dari rumah. Duduk berkurung pada mulanya 24 jam kemudian berminggu sehingga mencecah tiga bulan, tanpa dapat melakukan sebarang aktiviti sosial. Dia tetap lalui hari-hari itu dengan tenang dan sabar.
Sebab itu, ada kalanya kita melihat beliau tampil dengan baju berwarna warni. Itu semua dilakukan untuk mengundang keceriaan dalam dirinya, dan ternyata trend pakaiannya dijadikan bahan lawak oleh sesetengah pihak yang kreatif.
Ada yang menyamakan baju bercorak yang dipakainya dengan kuih muih. Reaksi beliau ialah “seronok”.
“Saya seronok, ada orang menyamakan baju saya dengan kuih muih, kerana pada bulan puasa, saya faham semua orang fikir pasal kuih,” katanya dalam wawancara dengan sebuah akhbar.
Itulah cara beliau menghiburkan hatinya dan rakyat, ketika di luar sana masih ada pihak tertentu menuding jadi menyalahkannya kerana tidak dapat menyambut puasa seperti biasa. Tiada bazar Ramadan, tiada gerai menjual juadah berbuka.
Paling menyedihkan, Hari Raya Aidilfitri disambut dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pun orang ramai menyalahkan beliau.
Kononnya, kerana pengumumannya, golongan perantau tidak dapat merentas negeri pulang menyambut hari raya bersama keluarga di kampung.
Seperti kata orang tua-tua, sejauhmana perjalanan, akhirnya sampai ke destinasi juga. Begitulah halnya dengan pelaksanaan PKP. Akhirnya, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula dari 10 Jun hingga 31 Ogos ini.
Dalam tempoh PKPP ini, walaupun SOPnya tetap perlu dipatuhi, banyak sekatan dan larangan telah dilonggarkan. Antaranya kilang-kilang, restoran dan kedai makan boleh beroperasi sepenuhnya.
Sekolah bakal dibuka 24 Jun ini. Prasekolah, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Pusat Asuhan Kanak-Kanak (Taska) mula boleh beroperasi sejak semalam.
Ini semua berita menggembirakan rakyat Malaysia, tetapi, Ismail Sabri tetap akan bersiaran di kaca televisyen untuk menyampaikan maklumat semasa mengenai wabak itu.
Setiap hari, bermula jam 2 petang, ramai juga menunggu untuk mendengar perkembangan yang akan dikhabarkan oleh beliau. Kini, sudah ada wajah-wajah ceria di kalangan rakyat. Mula ada kesedaran berputik dalam hati mereka.
Sudah ada yang insaf. Mereka mula menerima dan sayang beliau. Rasa rindu rakyat diubati dengan menontonnya di kaca televisyen setiap hari. Namun, mulai semalam, beliau akan ke udara tiga hari seminggu.
Ada yang telah bersuara, menyifatkan apa yang dilakukan kerajaan selama PKP ini demi kebaikan mereka dan negara.
Hasil ketegasan itu, Malaysia merekodkan kes kematian terendah iaitu 121 orang, dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,505 dan jumlah kes sembuh seramai 7,733 orang.
Dalam senarai dunia pula, Malaysia berada di tangga ke-66 dari 187 negara yang terlibat dengan penularan pandemik Covid-19.
Terima kasih kerajaan Malaysia. Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri; Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan semua barisan hadapan yang terlibat. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan