Ahad, 13 November 2022
Hebatnya ‘pakar perang Facebook’ kita
By Manzaidi Mohd Amin - 15 March 2017
PAKAR perang Facebook ‘perperangan’ antara Malaysia dengan Korea Utara sudah senyap.
Sedang tidur barang kali atau mungkin sudah bosan membuat laporan atau mungkin juga mereka gantung laporan itu dengan “kedua-dua negara sedang gencatan senjata”?
Setakat ini, setelah hampir sebulan ‘berperang’ belum ada keputusan muktamad daripada ‘pakar perang Facebook’ itu mengenai negara mana yang menang, mana kalah.
Kalau baca laporan ‘pakar-pakar’ itu, bumi Malaysia dan bumi Korea Utara sudah jadi padang jarak padang tekukur. Semua bangunan hancur lebur, semua rakyat sudah mati katak dan ruang udara pula penuh dengan gas-gas beracun.
Beginilah keadaan yang digambarkan ‘pakar-pakar perang Facebook’ atau selepas ini saya sebut sebagai ‘netizen’ sahaja, dalam merekacipta krisis antara Malaysia-Korea Utara.
Netizen ini selalunya terlebih cerdik dan terlajak pakar daripada pakar-pakar strategi perang pasukan keselamatan negara.
Dengar sahaja Malaysia berkrisis, mereka pakat berebut-rebut mahu jadi orang nombor satu siarkan laporan ‘perang’. Kononnya, Korea Utara akan serang Malaysia melalui udara, darat dan laut.
Lagi pelik, setiap analisa mereka lebih memihak kepada musuh daripada tanah air sendiri.
Kadang-kadang nak ketawa, kadang-kadang rasa sedih dengan ketidakcerdikan mereka padahal, kalau ditinjau identiti akaun Facebook, mereka hanya penganggur, lepasan sekolah, kakitangan awam dan swasta berpangkat rendah dan macam-macam lagi.
Tidak ada seorang pun dari netizen terbabit berstatus sama ada masih berkhidmat dengan pasukan keselamatan atau bekas pasukan keselamatan. Mereka hanya budak-budak hingusan yang seronok mencipta spekulasi.
Para ilmuwan, cerdik pandai, termasuk anggota mahu pun bekas anggota pasukan keselamatan pun tidak berani hendak buat sebarang ramalan, inikan pula netizen.
Sudah macam terlebih sudu dari kuah pula. Hebatnya netizen Malaysia.
Kalau baca status-status mereka, saya sendiri pun berasa gerun. Gerun dengan kehebatan alat perang dimiliki Korea Utara dan kecut perut dengan alat pertahanan milik negara sendiri sebagaimana digambarkan oleh netizen yang rosak pemikiran itu.
Inilah antara dilema dihadapi kerajaan Malaysia hari ini. Berdepan dengan kesukaran mengawal pemikiran bebas netizen. Apatah lagi dalam kebebasan bersuara menerusi laman sosial. Susah dan sukarnya nak dibendung serta disekat.
Sehinggakan ada seorang bomoh tu turut tumpang sekaki tunjuk ‘ketidakcerdikan’.
Berdiri di tepi pantai, ‘sperung’ (teropong) atas bawah dengan buluh ajaib kononnya hendak sekat langit Malaysia dari diserang tentera udara, laut dan darat Korea Utara.
Pecah perut nak suka tapi, itulah hakikatnya perangai segelintir rakyat Malaysia. Saya tidak kata semua tidak cerdik. Ada yang cerdik dan berilmu dari bomoh dan netizen ini. Cuma kaedah dilakukan golongan cerdik ialah solat hajat.
Inilah yang sepatutnya. Sebagai umat Islam, kepada siapa lagi kita nak mohon perlindungan kalau bukan kepada Allah SWT. Tunjuklah solidariti dengan bersolat hajat menolak bala. Solat hajat memohon keselamatan dan kesejahteraan negara.
Dalam bab krisis antara negara ini, kita serahkan sahaja kepada kerajaan. Mereka ada banyak saluran untuk digunakan dan antaranya diplomatik dan rundingan. Inilah kaedah yang dilakukan kerajaan sesebuah negara di zaman moden ini.
Secara logiknya, bukan senang sesebuah negara nak gunakan ketenteraan untuk serang negara musuh. Walaupun mereka rasa kuat, kalau tak ada strategi, mereka tidak akan serang mudah-mudah.
Kebetulan netizen kita pula dari spesies tak ada akal nak fikir perkara-perkara begini dalam analisa masing-masing, pakai main hentam keromo. Mereka seronok barang kali kalau tidak dimasukkan unsur-unsur fitnah.
Saya sendiri ada membuat tinjauan perkembangan di Korea Utara melalui kaedah dunia tanpa sempadan. Tidak ada seorang pun rakyatnya mahu peperangan berlaku. Mereka tenang dan jalani kehidupan seperti biasa ketika negara mereka berkrisis dengan Malaysia.
Mereka serahkan kepada kerajaan mereka dan mereka yakin kerajaan mereka dapat selesaikan krisis itu dengan cara baik. Mereka sudah perit dengan peperangan. Krisis dengan Korea Selatan pun sudah banyak memberi pengajaran kepada mereka. Inikan pula nak berperang dengan Malaysia yang jauhnya kira-kira 5,000 kilometer.
Bahkan, rakyat kita yang berada di sana pun mengakui mereka masih bebas bergerak. Tidak ada sebarang ancaman diterima. Tidak ada sebarang gangguan daripada pasukan keselamatan atau dari rakyat Korea Utara itu sendiri.
Cuma di sini yang menyedihkan. Pakat bertepuk sebelah tangan. Pakat menjerit histeria seorang diri dan pakat berebut nak jadi juara pelapor laman sosial.
Cara olahan mereka mengenai senario krisis Malaysia-Korea Utara pula, jika berlaku perang, hanya mereka saja yang terselamat dari terkena ledakan peluru berpandu, dari letupan bom yang dilepaskan jet pejuang dan dari peluru bedil tentera Korea Utara.
Halimunan betul netizen Malaysia. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan