Ahad, 20 November 2022

Cukup-cukuplah 28 tahun, kita tukarlah pula

By Manzaidi Mohd Amin - 9 April 2018
AMBO antara ribuan anak Kelantan yang bekerja mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur menerima jemputan ke majlis perjumpaan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih mesra dengan panggilan Tok Pa, semalam. Ambo tak dapat hadir kerana kekangan kerja. Tetapi ambo dimaklumkan oleh beberapa sahabat yang kebetulan berada di sana. Mereka mengatakan lebih 5,000 hadir. Semuanya anak jati Kelantan, atau pengundi berdaftar di Kelantan. Syukurlah, dengan sambutan yang begitu membanggakan ditunjuk ribuan anak Kelantan. Memang tepatlah slogan kami, “Set Kito Jange Pecoh” (kumpulan kita jangan berpecah). Melihat pada gambar-gambar suasana majlis itu yang dihantar oleh sahabat ambo dan info-info mereman bulu roma yang diselitkan bagi menghidupkan cerita itu, ambo rasa sangat gembira sekali. Sepanjang 28 tahun negeri kelahiran ambo ditadbir dan diperintah oleh Pas, markah yang ambo boleh berikan hanyalah setakat kosong perpuluhan kosong sahaja. Ambo tak malu nak beri markah sebanyak itu, sebab memang pentadbiran kerajaan Pas sejak tahun 1990, gagal sepenuhnya. Tidak ada apa yang ambo boleh banggakan dengan pencapaian atau ‘kejayaan’ kerajaan Pas pimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz dan kemudian digantikan oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakub. Sepanjang tempoh itu juga banyak kawasan yang sebelum ini dibangun dan dimajukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Mohamed Yaakob telah ditutup dan terbiar. Kawasan perindutrian di Pengkalan Chepa, yang dulunya pusat segala kilang pengeluaran dari pelabur asing, kini hidup segan mati tak mahu. Projek Bandar Baru Pengkalan Kubor di Tumpat, Bandar Baru Rantau Panjang dan Pulau Wau di Tumpat, hanya tinggal nama. Begitu juga projek Pelabuhan Darat di Kuala Krai, Lebuh Raya Rakyat dari Kota Bharu ke Kuala Krai hanya sekadar janji yang tertanam di bibir mulut golongan kepimpinan pak-pak lebai, yang gah dengan serban dan jubah. Dari janji yang tidak pernah tertuna seperti nak bina stadium khas untuk wanita, membina jambatan menghubungkan Palekbang di Tumpat ke Kampung Cina di Kota Bharu, sehinggalah hari ini berjanji pula nak bina lapangan terbang antarabangsa Kota Bharu di Machang. Tidakkah ini memalukan? Dijanji pula oleh pemimpin yang berdegar-degar bercakap Islam, tetapi satu pun tidak ditunaikan. Jadi, apa yang ambo boleh bangga kalau sahabat-sahabat ambo di ibu kota Kuala Lumpur tanya? Tidak keterlaluanlah kalau ambo hanya boleh geleng kepala. Walaupun rasa malu nak mengakui kelemahan kerajaan negeri sendiri, tapi lebih baik berterus terang daripada menipu perkara yang tidak berlaku. Ya, ambo tidak menipu. Kalau ambo menipu, ambo nak tanya… apa pembangunan yang telah, sudah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan ambo? Tak perlu bagi lima contoh, cukup bagi satu bukti sahaja untuk ambo tunjukkan kepada sahabat-sahabat ambo di luar sini. Jadi, kepada adik kakak anak-anak perantauan yang hadir pada majlis perjumpaan dengan Tok Pa di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia atau ringkasnya MITEC di Kuala Lumpur, jangan sia-sialah harapan Tok Pa dan barisan kepimpinannya. Ambo bukan nak berkempen, tapi sebagai anak Kelantan yang masih ada kedua mak ayah, adik beradik, anak-anak dan ahli keluarga yang ‘cari makan’ di negeri bergelar Serambi Mekah, Tanah Serendah Sekebun Bunga, tak salah kalau ambo rayu kepada semua perantau… balik nanti, tukar kerajaan. Sama-sama kita tukar dari kerajaan Pas kepada kerajaan BN. Kita bagilah peluang kepada BN pula untuk tempoh lima tahun ini. Kalau rasa kerajaan BN pun tak boleh buat apa yang kita harapkan dalam tempoh itu, kita tukar pula. Rasanya tak rugi kalau kita main tukar-tukar, sebab kita berada selama enam penggal atau 28 tahun bawah Pas pun kita tak dapat apa-apa, melainkan anak beranak dan kroni mereka sahaja. Ambo minta sangat-sangat kepada adik kakak yang bergelar pengundi luar, realisasikanlah, atau terjemahkanlah undi anda di atas kertas undi BN pada hari pengundian nanti. Syabas dan tahniah semua… Ambo amat menyanjungi kerja buat pemimpin seperti Tok Pa dan barisan kepimpinannya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: