Jumaat, 18 November 2022
Huru hara penangan cinta politik
By Manzaidi Mohd Amin - 1 November 2017
BETULLAH bagai dikata, masa bercinta semuanya nampak indah dan baik-baik belaka. Pasangan buat salah dan silap pun nampak betul.
Begitulah halnya dengan parti dan politik, terutama Pas dengan serpihannya, PAN. Ketika yang berada dalam PAN sekarang ini bersama dalam Pas sebelumnya, apa saja tok guru kata, semuanya betul.
Tok guru kata Islam itu adalah Pas, Pas itu adalah Islam, semua pakat mengiakan. Tuan guru kata, UMNO itu kafir, Malaysia itu negara sekular, semua bersorak mengiakan.
Apa saja lafaz dan ucapan atau kenyataan yang keluar dari mulut tok guru dan tuan guru, semua yang berada dalam PAN sekarang ketika berada dalam Pas sebelum ini anggapnya betul. Tidak ada sedikit pun khilaf. Hebatnya penangan cinta.
Tapi bila bergaduh, dan kemudian bercerai, semua yang dikatakan tidak khilaf itu mula ikhtilaf. Apa saja lafaz tok guru dan kenyataan tuan guru dulu adalah ikhtilaf. Tidak betul.
Padahal, sebelum ini mereka yang mengiyakan dan jadi tukang sorak sehingga ramai terpesong. Yang elok-elok berpegang pada al-Quran dan Hadis mula berpegang pada ‘kezuhudan’ tok guru dan tuan guru.
Nak buat macam mana, dah nama tok guru dan tuan guru. Tentulah di dadanya penuh dengan ilmu Allah. Tak ikut nanti takut dituduh terkeluar dari Islam. Padahal apa yang dikatakan oleh tok guru dan tuan guru itu, logik akal pun tak boleh dipakai.
Itulah politiking sesebuah parti. Orang berparti, dia nak berparti. Orang berpolitik, dia pun nak berpolitik. Sedangkan, politik dan parti ini hanyalah alat acuan yang membentuk mengikut hala tuju seseorang ketua.
Yang menjadi mangsa keadaannya siapa? Rakyat bawahan. Rakyat melihat pemimpin mereka berparti, mereka pun ikut berparti. Rakyat lihat pemimpin mereka berpolitik, mereka pun berpolitik. Walhal, pemimpin hanya berpolitik, bukan berparti.
Pemimpin tidak pernah bergaduh dengan musuh parti. Mereka bergaduh ketika di pentas politik sahaja. Selepas itu mereka berpeluk-pelukan, mereka makan minum satu meja. Ketawa hilai, bertepuk bertampar.
Kita, rakyat bawahan pula berparti, bukan berpolitik. Sebab itu berlaku perpecahan dalam kalangan marhaen. Saudara mara tidak bertegur sapa. Suami isteri yang berbeza parti bercerai. Sanak saudara bermasam muka. Sebab kita berparti.
Kalau rakyat berpolitik sama seperti pemimpin mereka berpolitik, pecah belah tidak akan terjadi. Sebab, mereka tahu itu hanya politik. Kenapa perlu nak bermasam muka dengan sedarah sedaging. Kenapa perlu nak cerai isteri yang berbeza parti. Itu tidak cerdik namanya.
Kalau kita tengok Haji Hadi ‘bergaduh’ dengan Perdana Menteri, Najib Razak. ‘Pergaduhan’ itu hanya kerana mereka berdua berlainan parti. Dalam politik, mereka berbaik. Mereka bersalam-salaman. Berpeluk cium (salam semut) dan duduk sebelah menyebelah serta berbisik-bisik lagi.
Begitu juga Husam Musa dengan kepimpinan Pas Kelantan sekarang. Walaupun Husam sudah keluar dari Pas dan apa yang tidak diburukkan oleh Husam pasal kepimpinan Pas dulu dan sekarang, itu kerana mereka berlainan parti.
Kalau berpolitik, mereka tidak bermasam muka sebagaimana kita yang rakyat marhaen ini bermasam muka dengan jiran tetangga, dengan saudara mara dan dengan sahabat taulan. Siapa lebih cerdik?
Sebab itu, kalau kita nak berpolitik, kita kena ada sedikit kecerdikan. Jangan ikut perasaan dan hawa nafsu. Pemimpin berperang mulut dengan musuh parti, tuduh menuduh, kata mengata, itu hanya rencah atau proses untuk memperbetulkan sesebuah parti lawan atau yang memerintah.
Kita yang ikut emosi ini pula, yang tidak tahu erti politik mula memendam dendam terhadap musuh parti. Lalu, habis semua musuh-musuh parti kita benci, sehinggakan musuh parti buat baik pun kita nampak buruk.
Paling ketara berlaku perpecahan kerana parti dan politik ialah Kelantan. Di kampung-kampung wujud puak-puak. Ada puak UMNO, ada puak Pas, ada puak PAN dan ada puak PPBM.
Kedai kopi pun kalau dulu ada satu saja dan di situlah mereka berkumpul sambil hirup kopi, teh tarik, kini dah ada empat lima buah. Di buka mengikut fahaman parti masing-masing.
Kita hendak salahkan siapa dengan perpecahan ini? Pemimpin atau diri kita sendiri?
Pemimpin bergaduh dengan rakan sejawatan dari parti lawan kerana hendak tunjuk hebat. Untuk mendapatkan kekuatan, mereka memerlukan kita sebagai penyokong. Kita pula menyokong secara membabi buta.
Tindakan kita ini saling tak tumpah seperti perangai segelintir kerani atau pion di sesebuah pejabat, besar keegoaan dan lebih ‘berkuasa’ dari majikan.
Sebab itu, saya tengok keadaan politik hari ini lebih parah dari sebelumnya. Mak ayah kita, datuk nenek kita berparti dan berpolitik untuk sama-sama memajukan negara. Kita berparti dan berpolitik hendak meranapkan negara.
Jadi, fikir-fikirkanlah. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan