Ahad, 13 November 2022
Ada unsur ‘bisnes’ dalam debat Nazri-Tun M?
By Manzaidi Mohd Amin - 28 March 2017
SEPATUTNYA apabila polis menolak permohonan debat antara Datuk Seri Nazri Aziz dengan Tun Dr. Mahathir Mohamed yang dijadualkan 25 Mac lalu, maka berakhirlah isu itu.
Polis ada sebablah tidak meluluskan permit itu dan semua pihak harus akur dan terimanya dengan hati terbuka.
Malangnya, ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan itu dengan merancang untuk mengadakan semula debat berkenaan pada tarikh lain dan lokasi lain.
Sebagai pemerhati, terutama berkaitan isu debat antara Nazri dengan Tun Mahathir ini, saya rasa agak kecewa kerana ia akan diteruskan juga, walaupun pihak berkenaan tahu debat itu tidak menguntungkan sesiapa, apatah lagi rakyat.
Apa tujuan dan motif pihak berkenaan hendak menjadi ‘orang tengah’, saya tidak tahu. Tetapi, yang saya tahu debat ini hanya sia-sia, selain menambahkan lagi perpecahan dalam kalangan rakyat yang sudah berpecah belah.
Saya dapat tahu debat ini diadakan kononnya kerana masing-masing hendak mempertahankan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari 2009 sehingga kini dan skandal Bank Bumiputra Finance (BMF) di zaman Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003.
Padahal kedua-dua isu itu sudah pun dijelaskan dan Peguam Negara pun telah membuat kenyataan “tidak ada kes”. Tapi kenapa perlu diadakan lagi melalui platform debat?
Siapa Nazri hendak memberitahu kepada Tun Mahathir bahawa 1MDB tidak ada isu dan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa atau sebagainya?
Begitu juga siapa Tun Mahathir untuk menjelaskan kepada Nazri bahawa skandal BMF tidak ada kaitan dengannya walaupun ketika itu beliau Perdana Menteri?
Semua isu dan skandal ini sudah dijawab dan terjawab. Para Menteri Kabinet dan para Ahli-Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) sudah menjawab isu 1MDB. Maknanya, kira elesailah.
Tun Mahathir pun sudah menjawab skandal BMF dalam kenyataan-kenyataan akhbarnya sebelum ini. Itu juga dianggap sudah selesai.
Yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berkenaan ialah menggunakan platform yang dimilikinya untuk mengajak rakyat bersatu. Memberi penjelasan bahawa isu 1MDB dan skandal BMF sudah selesai. Bukan fikir kepentingan diri sahaja, sedangkan di luar sana rakyat bergolak sesama sendiri.
Tidak perlulah menjadi orang tengah untuk melaga-lagakan kedua-dua pemimpin ini, walaupun kedua-duanya yang beriya-iya mahu bertemu dalam forum debat.
Tidak bolehkah sebagai orang tengah, kita memainkan peranan sebagai pendamai? Itu lebih bermaruah dan disanjungi daripada menjadi pelaga yang memburukkan lagi keadaan.
Akan selesaikah isu 1MDB dengan penjelasan dari Nazri melalui debat ini? Dan akan wujudkan kebenaran skandal BMF dengan penjelasan Tun Mahathir menerusi debat ini?
Saya fikir kedua-dua isu itu tidak akan selesai atau tamat di situ sahaja, bahkan akan muncul isu baru yang bakal dicipta dan ditokok tambah oleh pihak tertentu untuk mengeruhkan lagi keadaan.
Kalau betul-betul nak selesai, ia sudah selesai dengan jawapan menteri-menteri kabinet di Dewan Rakyat lagi. Mereka ini mempunyai fakta yang lebih lengkap lagi untuk mempertahankan Perdana Menteri dari serangan pembangkang.
Kerajaan ada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan Ahli Parlimen dari BN dan Ahli-ahli Jawatankuasanya terdiri daripada pihak pembangkang, pihak yang bebas dan sebagainya.
PAC sudah menjalankan siasatan, dan hasil siasatannya telah diberitahu kepada Dewan Rakyat bahawa tidak ada kes penyelewengan dalam 1MDB, sebaliknya ia adalah satu projek kerajaan untuk memajukan negara dan rakyatnya untuk jangkamasa panjang.
Ahli-ajli Jawatankuasa PAC dari pembangkang yang turut serta dalam siasatan itu pun sudah mengakuinya. Jadi, kenapa perlu dipanjangkan lagi melalui debat?
Atau… mungkinkah kerana ada unsur ‘bisnes’ maka debat itu hendak diadakan juga? Saya yakin bukan itu alasannya. Tetapi, amat wajar sekali kedua-dua pihak memikirkan kembali baik buruk debat itu sebelum ianya berlangsung April ini. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan