Jumaat, 18 November 2022

60,000 guru tak daftar pemilih, mana tanggungjawab anda?

By Manzaidi Mohd Amin - 20 October 2017
MENURUT kata Tan Sri Annuar Musa, dalam rekodnya, lebih kurang 60,000 guru di negara ini tidak mendaftar sebagai pemilih berdaftar. Maknanya pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, kesemua guru ini tidak pernah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan. Dan pada PRU-14 ini pun mereka tidak mungkin dapat mengundi juga lagi kerana senarai daftar pemilih untuk PRU-14 sudah ditutup. Kalau mereka mendaftar sekarang pun, mungkin layak mengundi pada PRU-15. Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat-sangat terkejut dengan pendedahan Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu kerana angka 60,000 bukan jumlah yang kecil. Ia suatu jumlah yang tersangat besar. Jumlah yang boleh memenangkan dua kerusi Parlimen dan sekurang-kurangnya tiga atau empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Selain itu, jumlah 60,000 juga suatu angka yang boleh menentukan sama ada sesebuah parti itu beroleh undi popular atau sebaliknya. Mengundi adalah satu kemestian bagi setiap rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun tapi 60,000 guru yang belum mendaftar sebagai pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tentunya berumur 30 tahun ke atas, malah ada yang mungkin berusia 59 tahun. Soalan saya sama juga dengan pertanyaan Tan Sri Annuar, kenapa guru-guru ini tidak mendaftar sebagai pengundi sedangkan umur mereka jauh lebih dari layak mendaftar sebagai pengundi? Apakah mereka merasakan mengundi setiap lima tahun sekali ini tidak penting? Atau mereka anggap mengundi atau tidak, tak menjadi hal pada mereka. Jika ini pandangan mereka, jelas mereka adalah rakyat yang tidak amanah dan bertanggungjawab kerana meletakkan amanah dan tanggungjawab memilih kerajaan pada bahu orang lain, sedangkan mereka cukup bulan terima gaji. Memang patutlah pada PRU-13 lalu, peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 84.8 peratus daripada 11.3 juta pengundi. Sebab 60,000 guru ini tidak mendaftar sebagai pendaftar pemilih. Bayangkan kalau mereka layak mengundi dan sama-sama membuang undi, sudah tentu jumlah peratusannya melebihi 90 peratus. Tapi, kenapa mereka tidak berbuat demikian, sedangkan hari mengundi selalunya diadakan pada hari cuti persekolahan, atau cuti khas. Mereka boleh sahaja balik ke kampung untuk mengundi. Tidak ada apa-apa halangan pun. Memang patutlah Tan Sri Annuar Musa kecewa dengan guru (segelintir guru saja). Sebab mereka pandang enteng akan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia. Tahulah, parti mana berjaya membentuk kerajaan sekali pun, gaji mereka tetap dibayar tetapi tidakkah kita kasihan kepada rakyat? Ibu bapa kita, adik beradik kita, saudara mara kita, sahabat taulan kita atau jiran tetangga kita di kampung kalau Malaysia ini jatuh ke tangan pembangkang? Lihat saja apa sudah jadi pada rakyat Kelantan bawah pemerintahan Pas sejak 27 tahun lalu. Apa berlaku pada rakyat Pulau Pinang dan Selangor bawah Pakatan Rakyat (sekarang Pakatan Harapan) dari tahun 2008 hingga kini? Bagaimana anak-anak kita di Terengganu ketika Pas memerintah negeri itu dari tahun 1999 hingga tahun 2004 dahulu? Tidakkah kita berasa bersalah? Sedangkan mengundi itu adalah hak kita sebagai warganegara sebagaimana termaktub dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan? Mengikut statistik terbaharu, sehingga 5 Januari 2016, daripada 17.7 juta rakyat Malaysia yang layak mendaftar sebagai pendaftar pemilih hampir 4.2 juta belum berdaftar iaitu 59 peratus adalah orang Melayu dan bumiputera termasuk 60,000 guru-guru yang Tan Sri Annuar nyatakan itu. Jika belum ada kesedaran lagi dalam kalangan 60,000 guru-guru ini selepas ditegur oleh Tan Sri Annuar Musa, bermakna sehingga hari membuang undi pada PRU-14 ini, hampir 2.4 juta orang Melayu dan Bumiputera termasuk guru-guru berkenaan tidak akan keluar mengundi. Ini sudah tentu tidak baik untuk kerajaan dan tidak adil kepada rakyat Malaysia lain yang keluar mengundi untuk mengekalkan kerajaan sedia ada. Mereka bersesak-sesak di jalan raya, berjalan jauh pulang ke kampung semata-mata hendak mengundi, sedangkan 60,000 guru-guru ini seronok berlibur menikmati cuti dengan keluarga tanpa sedikit pun rasa bersalah. Hendak mendaftar sebagai pengundi tidaklah sesusah mencari restoran nasi kandar. Pergi sahaja ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, pejabat-pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara, atau paling mudah pun di pejabat pos berkomputer juga diseluruh negara. Oh, susahlah nak pergi ke situ sebab jauh. Okey, tak apa. Anda boleh pergi sahaja ke pejabat daerah atau pejabat majlis daerah atau tempat-tempat awam seperti pasar malam, pasar raya atau taman perumahan yang dikunjungi oleh Out-Reach Team SPR. Anda hanya isi borang berdasarkan maklumat yang terkandung dalam MyKad saja. Nama anda, Nombor kad pengenalan anda dan alamat tempat anda mengundi. Tak perlu isu berapa isteri anda miliki, berapa anak anda ada. SPR tak mahu maklumat itu. Anda juga boleh berkunjung ke pejabat itu pada waktu rehat atau cuti hari minggu di UTC. Rasanya di setiap negeri dah ada UTC. Kerajaan dah sedia banyak kemudahan untuk rakyatnya berurusan. Hanya kita yang malas dan liat hendak pergi mendaftar. Dalam saya membuat carian mengenai daftar pemilih, saya terjumpa satu kisah seorang anak muda yang secara tidak sengaja mendaftar sebagai pemilih. Asalnya, dia hendak berurusan perkara lain, tapi lain pula jadinya. Mari kita baca kisah pendeknya ini; “Baru-baru ini aku ada pergi ke Pejabat Pos settlekan bil-bil rumah. Ketika bayar bil, aku terpandangkan satu notis di kaunter Pejabat Pos, kenyataan bagi sesiapa yang ingin mendaftar sebagai pengundi. Balik saja di rumah, aku tanya mak, lalu mak aku terangkanlah. Kebetulan aku dah cukup umur dan layak daftar sebagai pengundi. Memandangkan aku masih bercuti, aku guna kesempatan ini pergi mendaftar sebagai pengundi. Boleh sahaja aku daftar secara online, tapi aku malas. Terlebih rajin pula aku pergi Pejabat Pos dan daftar sajalah di situ. Cara mendaftar melalui Pejabat Pos cukup mudah, tak sampai 10 minit dah siap. Caranya: Ambil nombor, setelah nombor dipanggil, cakap pada kerana di kaunter, “saya nak daftar sebagai pengundi”. Hulurkan MyKad anda. Tidak perlu isi borang, sebab semuanya akan di key-in dalam komputer oleh kerani yang bertugas di kaunter. Selepas borang siap diisi kemudian dicetak, aku hanya perlu turunkan tanda tangan dan cap jari. Akhirnya siap! Bangga aku dah daftar sebagai pengundi dan kini menunggu-nunggu masa untuk turun padang, mengundi. Itulah kisahnya. Mudah kan nak daftar sebagai pemilih berdaftar. Tak sampai pun 10 minit. Beratur di restoran nasi kandar belum tentu 10 minit dapat ambil makanan. Kita, sebagai guru patut berasa malu dengan kesungguhan anak muda ini. Dia mendaftar sebagai pemilih bukan kerana dipaksa, tetapi atas kerelaannya sendiri dan atas kesedarannya sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Mungkin kesedaran anak muda ini adalah hasil daripada didikan guru-guru. Manalah tahu kan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: