Ahad, 26 Mei 2024
Tergamak bunuh anggota keselamatan
ITULAH perangai manusia, pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan negara pun sanggup dibunuh. Kalau anggota keselamatan mahu dibunuhnya, apatah sangat kita yang kerja biasa-biasa ini.
Terlebih dahulu, Pak Dee nak sedekahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada dua anggota polis yang terkorban akibat kerakusan manusia yang tidak dididik dengan ilmu agama.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat (17 Mei 2024), Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said terbunuh diserang seorang lelaki yang disyaki pengikut Jemaah Islamiyah (JI) di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.
Seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan, iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Bagaimanapun, penyerang yang tidak berperikemanusiaan itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian pada awal pagi itu juga. Alhamdulillah.
Agak sedih dan terharu, dua anggota polis yang terkorban itu masih muda. Terlalu muda. Umur baharu awal 20-an. Jika Allah pinjamkan nyawa lebih lama kepada arwah, sudah tentu kehidupannya berubah menjadi yang lebih baik dari sebelumnya dengan izin Allah.
Namun, nyawa mereka diragut dengan asbab kewujudan manusia yang dikurniakan akal, tetapi tidak digunakan. Manusia yang konon berilmu Islam, tetapi menyeleweng dari ajaran asal dibawa dan dianjurkan Nabi Muhammad SAW.
Manusia beramalkan ajaran sesat tidak boleh diiktiraf sebagai penganut Islam yang menjalani kehidupan berasaskan al-Quran dan Hadis. Manusia seperti ini wajar disisihkan kerana bagi mereka semua pihak termasuk anggota keselamatan adalah musuh.
Perjuangan mereka tidak jelas. Matlamat kehidupan mereka kabur. Kita tidak tahu apa yang mereka mahu perjuangkan dan apa yang mereka matlamatkan. Sedangkan, al-Quran dan Hadis sudah menyatakan dari awal, Islam adalah agama keamanan, kedamaian dan persaudaraan.
Amallah agama secara sederhana, bukan secara ekstrem, keterlaluan dan berlebihan yang mendatangkan ‘kecederaan’ kepada akal kita. Inilah yang berlaku kepada pengikut JI.
Pak Dee cuba nak singkapkan serba sedikit siapa dan apa JI ini. Mengikut carian Pak Dee, JI adalah kumpulan berkaitan Al-Qaeda di rantau ini dan diasaskan di Indonesia.
Ia mula masuk ke Malaysia pada pertengahan tahun 1990-an menerusi penubuhan sekolah pondok dan matlamatnya untuk mewujudkan apa yang dinamakan sebagai Daulah Islamiyah Nusantara, yang merangkumi Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan selatan Filipina.
Kumpulan tersebut telah diharamkan di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Pengasasnya ialah Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar pada 1993, yang berakar daripada jaringan sekolah Pondok Ngruki sejak 1971.
Mereka mengasaskan JI susulan pertembungan ideologi dengan gerakan Negara Islam Indonesia yang lebih lama yang diketuai Ajengan Masduki. Namun, Abdullah Sungkar meninggal dunia tahun 1999 pada usia 62 tahun.
Kajian oleh Fletcher School of Law and Diplomacy di Amerika Syarikat pada 2004 menyatakan Abdullah mendapat inspirasi daripada pemikir yang mengangkat tafsiran agama secara literal, seperti pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb dengan doktrin membenarkan jihad bersenjata terhadap regim yang tidak Islamik.
Sementara itu, Abu Bakar, 85, didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di Bali pada 12 Oktober 2002. Namun, tiada bukti secara langsung yang mengaitkannya dengan insiden itu yang dilaporkan meragut 202 nyawa.
Pada 2011, dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan membuat latihan separa tentera untuk militan di Aceh. Namun, hukuman penjaranya dikurangkan dan dia dibebaskan pada Januari 2021.
Sebelum penangkapannya, Abu Bakar menghabiskan masa lebih sedekad di Malaysia bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa Indonesia.
Dia kembali ke Indonesia pada 1999 – selepas era reformasi republik itu – untuk menubuhkan Majlis Mujahidin Indonesia yang bertujuan melaksanakan undang-undang Islam di Indonesia.
Gerakan JI di Indonesia menjadi begitu lemah sepanjang dekad lalu, menurut Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi Indonesia Adhe Bhakti.
“Tiada serangan berkaitan JI di Indonesia sejak 15 tahun lalu,” katanya sepertimana Pak Dee petik laporan dari portal Malaysiakini.
Dia berpandangan ia berikutan tindakan yang diambil Indonesia terhadap pemimpin JI, termasuk pengganti terakhir Abu Bakar, Para Wijayanto pada 2019.
Adhe turut yakin yang sebarang anggota atau kumpulan berkaitan JI di Malaysia tiada pertalian dan saki-baki gerakan itu di Indonesia, berdasarkan bukti dokumen daripada perbicaraan dan temu bual dengan anggota dan bekas anggota JI sejak 2014.
Abu Bakar dan Abdullah adalah pengasas Madrasah At-Tarbiyyah Al-Islamiyah Luqmanul Hakiem yang terletak di Ulu Tiram di Johor. Madrasah itu tidak lagi beroperasi pada awal 2000-an.
Antara bekas pelajarnya adalah pengganas yang paling dikehendaki di Malaysia, Noordin Mohd Top yang lahir di Kluang, Johor. Noordin terbunuh ketika serbuan pihak berkuasa Indonesia pada 17 September 2009, atas peranannya di belakang banyak serangan bom di Indonesia pada awal 2000-an.
Turut pernah belajar di sana adalah dua lelaki yang kini ditahan di Guantanamo Bay – warga Indonesia Riduan Isamuddin, yang lebih dikenali dengan nama Hambali, Nazir Lep yang berasal dari Johor. Kedua-duanya ada pengalaman perang di Afghanistan dan ada pertalian dengan Al-Qaeda.
“Abu Bakar dan Abdullah bersembunyi di Johor. Dari Malaysia, Abu Bakar mengaturkan penghantaran rekrut untuk menyertai perang di Afghanistan,” kata Adhe.
Buat sekian lama, pihak berkuasa di Malaysia menggunakan undang-undang penahanan tanpa bicara, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), terhadap individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas.
Kesalahan-kesalahan berkaitan turut disentuh bawah Kanun Keseksaan, iaitu Seksyen 130B hingga Seksyen 130Z, antaranya bagi kesalahan “melakukan, merekrut, menghasut, menggalak, memberi sokongan dan mengarahkan” kegiatan keganasan.
Felo pelawat di S Rajaratnam School of International Studies Singapura, Noor Huda Ismail berkata, serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat itu menunjukkan betapa ideologi mampu bertahan.
“Ia menekankan keperluan pendekatan peringkat masyarakat secara menyeluruh untuk integrasi anggota kumpulan seperti JI dan keluarga mereka,” kata warga Indonesia itu.
Katanya lagi, serangan itu seperti sangat dipengerahui perkembangan peringkat global dan serantau, terutama menerusi kaedah serangan berteknologi rendah yang pernah dilihat di tempat lain sebelum ini.
Itulah serba sedikit info mengenai JI. Namun, Pak Dee harap, satu hari nanti mereka sedar mereka telah terjerumus dalam ajaran yang salah dan kembali ke pangkal jalan. Aamiin. – NasionalDaily siaran 19 Mei 2024
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan